June 21, 2014

Multaqa Pendakwah - Pemegang Tauliah, Peringkat Negeri Selangor

-->
Shah Alam, 21 Sya`ban 1435 = 19 Jun 2014 (Khamis):

Selaku salah seorang yang mempunyai `Tauliah Berceramah Agama Dan Mengajar - D1 & D2`` Penulis dijemput ke Multaqa di atas bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Penulis hadir mengikuti Multaqa di atas yang dirasmikan oleh Y.B. Tuan Salehen Bin Mukhyi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor.


Multaqa diisi dengan pembentangan kertas kerja berjudul Isu dan Cabaran Gerakan Dakwah Islamiah di Malaysia dibentangkan oleh Prof. Dr. Badlihisham bin Mohd Nasir Pensyarah Fakulti Tamaddun Islam UTM Skudai, diikuti Forum `Etika Da`ie` dan pada sebelah petangnya juga Forum bertajuk `Dakwah Generasi Y: Apa Peranan Kita`.

Dalam ucapan pembukaannya  Y.B. Tuan Salehen dalam majlis yang dihadiri Y.Bhg. Ustaz Ahmad Zaki bin Arshad Timbalan Pengarah JAIS, Ustaz Haji Mohd Basori bin Umar Ketua Penolong Pengarah (Dakwah), Tuan Haji Mazlan Bahagian Fatwa – kini Pegawai di JAKIM, tapi sanggup datang, Ketua-Ketua Pentadbir Agama Islam Daerah, Penyampai kertas kerja, penal-penal forum dan pserta-peserta, Tuan Salehen mengucap tahniah kepada AJK Multaqa yang dapat menarik peserta-peserta agak ramai.

Menurut Y.B. Tuan Salehen Selangor yang mempunyai 3 juta penduduk Islam berdepan dengan berbagai isu akibat dari berlainan aliran, kelainan agama, pertembungan adat budaya yang bersifat tempatan dan juga dari luar. Contoh kelainan mazhab, ajaran sesat, isu hudud, Kalimah Allah, perebutan anak oleh kelainan agama ibu bapa, murtad dan banyak lagi. Menurutnya dengan isu yang banyak, masa sehari untuk dibincangkan tidak mencukupi dan memerlukan masa yang lebih panjang. Kita akan melihat pada masa akan datang untuk berbincang lebih serius dan mendalam dalam masa yang lebih panjang.


Y.B. Tuan Salehen juga menarik perhatian peserta mengenai masalah rumah tangga dan gejala sosial yang antaranya diakibatkan oleh kesebokan ibu bapa, tidak memberi perhatian terhadap anak-anak dan tidak membimbing mereka dengan cara kehidupan agama Islam, tidak solat berjamaah sesama keluarga, akibatnya anak-anak menjadi liar dan terjebak di dalam gejala sosial yang memasalahkan mesyarakat. Tidak kurang juga dari akibat kesebokan dan kurang memberi perhatian pada pasangan dan anak-anak, mengakibatkan meningkatnya jumlah perceraian. Dan Selangor adalah paling tinggi di Malaysia dari segi statistic perceraian. Kesebokan dengan masalah dalaman yang mau diselesaikan menyebabkan pendakwah-pendakwah lupa, selain dari menyelesaikan masalah masyarakat dan umat, tugas pendakwah ialah berusaha memperkenalkan Islam kepada yang bukan Islam. Wadah ini begitu luas, 40% penduduk adalah bukan Islam. Menurut Y.B. ini adalah cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dan di atasi. Dengan harapan itu beliau merasmikan Multaqa dengan lafaz Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim.

Sebelum daripada itu, Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir ketika membentangkan kertas kerjanya, berjudul Isu Dan Cabaran Gerakan Dakwah Di Malaysia menggalurkan sejarah dakwah di Malaysia bermula dari kedatangan Islam. Gerakan dakwah seharusnya bermula kepada kalangan terdekat sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bermula dari keluarga dan kemudian kepada kaumnya. Kemudian Islam yang bermula di Makkah berkembang di Madinah. Dakwah disambung oleh khalifah-khalifah dan diteruskan oleh kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah sehingga ianya diserang oleh Holagu dari tentera Moghul.

Seterusnya pembentang melompat kepada perkembangan dakwah zaman moden bertolak dari gerakana Ikhwan al-Muslimin yang menurutnya menjadi inspirasi dakwah di seluruh dunia. Seterusnya katanya dakwah menjadi satu disiplin tersendiri. Beliau memetik pendapat Dr. Ahmad Ghalwash yang menekankan bahawa dakwah itu ialah Islam itu sendiri, manakala Dr. Rauf Shalaby, dakwah ialah sebuah gerakan menegakkan Negara Islam dan mempertahankan keberlangsungannya. Dr. Abdul Karim Zaidan pula menyatakan dakwah ialah seruan kepada Islam yang di dalamnya ada maudhu`, da`I, mad`u dan manhaj al-dakwah.


Menurut pembentang dakwah di Malaysia bertolak dari tahun 1970an. Beliau menyebut beberapa organisasi seperti Al-Arqam, Tabligh dan ABIM disamping terlibat sama parti politik seperi Pas dan UMNO. Perkembangan dakwah juga berlaku di institusi pendidikan yang lahir di dalamnya Fakulti Islam dan Jabatan Dakwah.

Antara isu yang dibangkitkan ialah usaha menegakkan Negara Islam setelah dijajah atau setelah bebas dari penjajahan, tetapi tidak mengikuti dasar pemerintahan Islam, juga isu yang menjadi cabaran ialah pegangan ideologi seperti sekularisme, faham liberalisme, perpecahan di kalangan umat Islam sendiri akibat dari perbezaan fahaman yang mau ditegakkan. Isu usaha gerakan agama lain meluaskan pengaruh mereka terhadap agama Islam. Beliau juga menyebut tentang isu hudud yang katanya, ``
``Cara pengurusan ummah dalam isu-isu lain seperti hudud turut dibayangi oleh motif politik dari cuba mencapai objektif dakwah yang sebenarnya.`` (hlm. 12). Cara pembentang membicarakan isu ini tidak menyenangkan.

Dari segi potensi mengatasi isu dan cabaran beliau melihat:
``… Islam sejak sekian lama telah diambilkira sebagai dasar Negara sehingga banyak polisi seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, Islam Hadhari dan wasatiah Islam muncul.``(hlm. 13-14).

Beliau mau ditangani:
``Perbezaan politik perlu ditangani dengan lebih professional dan pro-Islam.`` (hlm. 14).
``… lampu hijau yang diberikan  kepada kemaraan hudud perlu didokongi dengan ikhlas dan serius bukannya dengan membiarkan lembu berkeliaran di jalan yang pastinya menjadi masalah kepada semua pihak.`` (hlm. 15).
``Isu makanan halal misalnya perlu ditangani dengan tegas dan professional. Makanan halal yang menjadi maudhu dakwah utama perjuangan gerakan al-Arqam, harus diperjuangkan secara lebih tegas dan sistematik``. (hlm. 15).
Pembentangan agak meluas terutama tentang sejarah dakwah, rasanya kurang perlu. Banyak isu-isu semasa dan mutakhir yang menjadi cabaran dari segi dakwah di Malaysia patut ditampil dan dihuraikan  secara terperinci tidak diberi. Ada bias dan kecenderungan politik di dalam kertas kerja ini.

Sekian.

June 20, 2014

Catatan Tambahan Mengenai Bangi Bandar Ilmu

-->
21 Sya`ban 1435 = 19 Jun 2014 (Khamis):

Bangi Bandar Ilmu dapat diperkukuhkan dengan berbagai-bagai faktor dan elemen. Bandar ilmu dengan wujud di dalamnya dan disekitarnya beberapa buah universiti dan masjid serta surau-suraunya giat dengan kegiatan ilmu pengetahuan, walaupun sudah layak dipanggil Bandar Ilmu, tetapi kewujudan elemen-elemen yang lain lagi lebih mengukuhkan Bangi Bandar Ilmu.


Antara faktor kukuh di BBB seharusnya mempunyai tokoh-tokoh yang kukuh di dalam bidang-bidang keilmuan tertentu dan terkenal keluar dari Bangi. BBB ada elemen ini, tetapi tidak cukup ramai bagi menyemarakkan Bangi di dalam bidang-bidang kepakaran. Setengahnya tidak ditonjolkan. Inisiatif perlu diambil oleh Pendukung Bangi Bandar Ilmu mengukuh dan memperkenalkan tokoh-tokoh yang berkelayakan.

Faktor yang menonjolkan sesuatu tempat ialah adanya pemikiran dan karya-karya besar dihasilkan di tempat berkenaan. Misalnya Al-Khuarizmi yang menghasikan kaedah geometri menjadikan diri dan tempat asalnya al-Khuarizmi terkenal. Bukhari penghimpun Hadith menjadikan diri dan tempatnya terkenal. Adakah ulama` dan Intelektual BBB menghasilkan karya ilmiah ? Sudah tentulah ada dan ramai. Tetapi setakat ini tidak ada karya agung yang diterima dan diperkatakan di Bangi dan di Malaysia. Pendukung BBI perlu berusaha menonjolkan karya-karya bermutu dan terkenal di dalam Negara bahkan hingga ke luar Negara. Jika belum ada usaha dan galakan bagi penghasilan perlu dilakukan.

Satu cara memprojekkan Bangi Bandar Ilmu, pendukung Bangi Bandar Ilmu hendaklah mendapatkan tenaga pakar bagi melibatkan diri di dalam kerja-kerja penyelidikan mengenai topik-topik menarik secara persendirian atau kerjasama dengan pihak lain dengan mendapat tunjangan dari pihak swasta atau kerajaan. Hasilnya diwacana dan diterbitkan oleh pihak Bangi Bandar Ilmu atau secara bersama.

Sehubungan dengan penghasilan karya-karya ini, sesuatu Bandar Ilmu kukuh identitinya dengan adanya industri buku di tempat berkenaan. Antara industri buku dimaksudkan antaranya wujudnya penerbit-penerbut buku popular yang menerbit buku-buku pengarang terkenal dan menjadi rebutan pembeli. Sebagai contohnya `Telaga Biru` yang diusahakan oleh pasukan usahawan muda yang berjiwa agama dan menerbitkan buku-buku di dalam bidang-bidang terkenal. Telaga Biru dapat membina imej sebagai penerbit buku-buku bahkan majalah keislaman. Bangi Bandar Ilmu juga patut ada penerbit buku-buku sedemikian. Dalam hubungan ini juga perlu wujudnya kedai-kedai buku berwibawa dan ilmiah menjadikan Bangi terkenal dengan kedai-kedai buku bermutu. Pendukung Bangi Bandar Ilmu harus menggalakkan pengusaha-pengusaha kedai buku bertapak di Bangi. Pengusaha dan penerbit buku seperti `Shabab` yang ada  patut diberi galakan dan sokongan. Karnival dan jualan buku tahunan atau dwi-tahunan di Bangi satu cara memperkenal dan melariskan jualan buku.


Tercetusnya Polimik Ilmiah pada sesautu tempat dan masa menonjolkan imej setempat. Misalnya dengan berlakunya Peperangan Sifin mencetuskan kelahiran Khawarij, seterusnya Qadariyyah, Jababariyyah dan Mu`tazilah. Ini melahirkan padangan yang bersifat falsafah di dalam Islam yang kesannya ketara di dalam keilmuan Islam. Apakah mungkin lahir polimik Ilmiah tentang isu-isu keilmuan di Bangi ? Setakat ini masih belum lahir dan diharap akan tercetus polimik keilmuan berhubung dengan sesuatu topic yang memberi imej baik bagi Bangi Bandar Ilmu. Kita pernah cetuskan pendapat bahawa di Bangi perlu ada institusi yang dikenali sebagai `Pemikiran Bangi`, iaitu kelompok ilmuan dan pemikir yang membicarakan sesuatu isu releven dan semasa dari satu masa ke satu masa. Pendapat dari kelompok `Pemikiran Bangi` ini seharusnya dihormati masyarakat kerana kejituan pendapat dan menjadi rujukan luar yang kelompok ini atau individu darinya menjadi rujukan pendapat oleh media dan masyarakat. Walaupun sudah ada Wacana Pemikiran Bangi, tetapi tidak menjadi rujukan oleh media dan masyarakat. Lantaran topik-topik dibicarakan juga tokoh-tokoh tidak menonjol, tidak ada penerbitan susulan yang berhubung dengannya untuk dijadikan rujukan. Ini bererti ada kelemahan yang perlu di atasi dan pembaikan perlu dilakukan bagi meningkatkan reputasi Pemikiran Bangi di BBB.

Kita memperkatakan bahawa Bangi bersemarak dengan ilmu, bahkan disifatkan sebagai Taman atau Wadi Ilmu. Adakah setakat ini ianya menjadi daya tarikan orang datang ke Bangi Bandar Ilmu melakukan ziarah Ilmu ? Mungkin tidak ketara dan pengajian berlaku sesama setempat. Bangi Bandar Ilmu seharusnya menjadi tarikan pengunjung-pengunjung Ilmu, bahkan boleh jadi sebagai `Pelancongan Ilmu. Mereka datang secara bersendiri atau secara package. Pusat-pusat pengajian hendaklah diatur dan diselaraskan hingga memudahkan pengunjung-pengunjung ilmu yang datang. Ini termasuk menyediakan inapan yang menjadi tumpangan mereka untuk mengikuti berbagai-bagai ilmu yang ditawarkan. Lokasi-lokasi pengajian dan pra-sarana juga seharusnya disedia dan dijaga agar ianya menjadi sebagai Taman Ilmu.

Kita lebih membicarakan imej Bangi Bandar Ilmu dengan adanya universiti-universiti di sekitar Bangi, sebenarnya satu cara mempertingkatkan imej Bangi Bandar Ilmu ialah dengan mengadakan sekolah pada peringkat menengah berbagai aliran yang baik yang menjadi tarikan pelajar-pelajar untuk datang belajar pada peringkat menengah di Bandar Baru Bangi dan seterusnya ke universiti. Peranan ini wajar diambil inisiatif oleh Kompleks Pendidikan Islam Bangi, tapi untuk menarik minat belajar di sini sekolah hendaklah membuktikan prestasinya terbaik – dengan guru, kurikulum dan pentadbiran terbaik, menjadi rebutan pelajar untuk datang.


Bangi Bandar Ilmu adalah wawasan besar. Pasukan pendukungnya seharusnya mempunyai visi dan misi yang jelas, tidak sekadar ikut-ikutan dan tidak seharusnya menjadi platform bagi tujuan yang lain. Gagasan seharusnya diprojek dan disusun dengan teliti oleh pakar-pakar berwibawa, dihormati keilmuan dan berkemampuan dari segi pentadbiran. Gagasan perlu diterjemahkan menjadi realiti dan seharusnya menunjukkan prestasi yang tinggi dan berdaya maju. Jika terbukti menyerlah tentu mendapat dokongan dan sokongan dari berbagai pihak – tempatan dan luaran.

Sekian.

June 19, 2014

Lagi Hasil Diskusi Meja Bulat Bangi Bandar Ilmu Dan Rumusan

-->
BBB, 20 Sya`ban 1435 = 18 Jun 2014 (Rabu):

Majlis Diskusi Meja Bulat Bangi Bandar Ilmu yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd. Khazani Abdullah membuka peluang perbincangan. Saudara Sh`ari Chin dari Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) menyatakan PPBBB telah berbincang dengan pihak MPKj berhubung dengan penaikan taraf bulatan-bulatan – Bulatan Ilmu (Bulatan masuk dari Tol Bangi), Bulatan UKM dan Bulatan Kemajuan. BBB kini sesak dengan pertambahan penduduk melebihi 100,000 orang. Perluasan jalan-jalan perlu bagi mengatasi kesesakan  dan sesuai dengan harapan penduduk antaranya disuarakan awal tahun ini melalui Himpunan Tahunan Penduduk yang maukan Bangi sebagai Bandar Selamat.


Sebenarnya jalan-jalan dari Reko ke Bangi, Jalan dari Tol Bangi ke Jalan Kemajuan dan dari Tol ke Kilang sedang dalam proses peningkatan sejak 2012 lagi dengan peruntukan RM80 juta sesuai dengan wujudnya MRT dari Sungai Buluh ke Kajang.

Tuan Haji Abdul Rahman Daud dari Masjid Al-Umm mencadangkan bahawa penyampaian ilmu dan dakwah tidak saja kepada jamaah masjid dan surau, mereka adalah jamaah setia dan tetap yang memang mengikuti majlis-majlis, usaha perlu dibuat untuk mengadakan ceramah di Tasik Cempaka, di kawasan-kawasan flat dan di mana tempat-tempat bermasalah dengan mengadakan `Speaker Corner` di tempat-tempat sedemikian.


Semasa Adun Bangi (2008-2013) majlis Ilmu secara bersiri pernah diadakan di Tasik Cempaka, di Pasar Bandar Baru Bangi dan di Kilang, antaranya dengan kerjasama PPBBB. Di kilang melalui Persatuan Pekerja-Pekerja kilang. Semua majlis yang diadakan adalah berjaya. Kita adakan Ceramah Khas sempena Ramadhan di Pasar Bangi. Majlis seperti ini perlu dikembangkan ke tempat-tempat lain sebagaimana dicadangkan oleh Tuan Haji Abdul Rahman.

Tuan Haji Mohd Kalok juga dari Masjid al-Umm mencadangkan agar ditubuhkan yayasan di bawah trusti yang ada legal standing bagi mengendalikan Bangi Bandar Ilmu dan mempunyai investment. Beliau juga bersetuju diadakan perpustakaan yang melibatkan masyarakat. Beliau percaya masyarakat Bangi sedia menyokong jika ianya dikendalikan dengan baik.

Cikgu Arbaisyah berpendapat bagi menjayakan Bangi Bandar Ilmu perlu ada Badan Pelaksana yang dapat menjalankannya secara teratur dan mempunyai dana mencukupi. Beliau mengambil contoh mengendalikan kursus bagi golongan pelajar di Masjid Al-Hasanah semasa tutup Sekolah memakan peruntukan besar. Kita mencapai objektif, tapi apabila program seperti ini ditawarkan kepada surau-surau tidak ada yang sanggup, kerana tidak ada dana dan kekurangan tenaga.


Saudara Abdullah dari Institut Pendidikan Islam Bangi mencadangkan:

Menghadkan jumlah dan mengawal pusat-pusat hiburan yang makin bercambah dan merosakkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Up Town makin jauh berubah. Dulu ada disertakan program dan ceramah Islam. Kini bagai tidak terkawal, bahkan terdapat rumah urut. Beri perhatian dan kawalan dari terus merebak gejala-gejala yang tidak sihat.

Bagi memberi imej Bangi Bandar Ilmu kenal pasti ulama dan buat kerjasama dengan mereka di dalam mengadakan program-program yang dapat ditujukan kepada masyarakat bukan saja di masjid dan surau, tetapi masyarakat awam seperti pekerja-pekerja kilang. Pihak surau wajar mengadakan kerjasama dengan pihak kilang. Didikan kepada mereka tidak merugikan masa dan pendapatan kilang, sebaliknya dengan amanah dan dedikasi kerja makin meningkatkan prestasi dan menambahkan pendapatan kilang-kilang.

Beliau juga menyarankan supaya mendekati masyarakat muda agar jinak dengan agama. Tasik Cempaka jangan biarkan jadi lubuk maksiat, tapi dekati anak muda dan yang terlibat dengan nasihat dan bimbingan. Beliau menarik perhatian dengan apa yang diadakan oleh Majlis Agama Islam Singapura. Mereka adakan klinik Al-Qur`an di kawasan terbuka. Anak muda malu untuk belajar dengan guru secara formal, tapi bila mereka didatangi mereka mengambil peluang untuk belajar. Bagi penggalakan ada pihak-pihak bermurah hati mewaqafkan sejumlah Al-Qur`an.


Jam 12.00 saudara Rusli Jusoh ambil masa 15 minit membentangkan rumusan:

1)      Cadangan ditubuhkan Jawatankuasa Pelaksana bagi Bangi Bandar Ilmu dan penubuhan yayasan
2)      BBI sewajarnya menjadi seperti Oxford dan Cambridge
3)      Wajar pendidikan berdasarkan waqaf ilmu yang ditunjangi sama oleh pihak agama, swasta dan NGO.
4)      Memasyarakatkan ilmu melalui masjid-surau dan kawasan-kawasan terbuka
5)      Perlu dirikan billboard Bangi Bandar Ilmu di tempat strategic
6)      Galakkan pengajian Al-Qur`an dengan mengadakan klinik Qur`an terbuka
7)      Naikkan taraf perpustakaan yang ada atau wujudkan yang baru yang bersesuaian dengan keperluan
8)      Perlu jaringan kerjasama antara BBI-IPT-Industri di Bangi. Tangani isu penting masyarakat
9)      Turun ke tempat bermasalah seperti di Kilang, rumah flat dan pasar malam.
10)  Kurangkan pusat-pusat hiburan dan kawal mana yang ada.

Sekian.

June 18, 2014

Sesi Perbincangan Meja Bulat Bangi Bandar Ilmu

-->
BBB, 19 Sya`ban 1435 = 17 Jun 214 (Selasa):

Selepas dua kertaskerja Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu dibentang Sesi Perbincangan dibuka dalam masa lebih kurang satu jam 11.00- 1200 tengahari. Seramai 8 orang berkesempatan memberi pendapat. Terawal memberi pendapat ialah Dr. Tajol Ariffin Noordin Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam Bangi yang juga Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB. Beliau merujuk bahawa pembukaan Bangi mempunyai hubungan rapat dengan UKM. Menurutnya pada tahun 1973 selaku salah seorang AJK pemimpin Pelajar di Kampus UKM Jalan Pantai, Kuala Lumpur beliau dan beberapa pemimpin pelajar melawat tapak Kampus UKM di Bangi menyertai rombongan Tun Razak Canselor UKM ke Upacara Pecah Tanah UKM.  Menurut Dr. Tajol Tun Razak mengharapkan Bangi yang bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan UKM menjadi Bandar universiti seperti Oxford dan Cambrdge dan secara santai Tun Razak menyatakan beliau berhasrat untuk tinggal di Bangi satu masa nanti. Menurutnya tiga perkara disebut Tun Razak. Tun mau Bangi menjadi Bandar Melayu Islam tidak seperti PJ dan Kuala Lumpur. Bangi (UKM) harus menjadi pusat rujukan ilmu dan mampu menyelesaikan isu-isu semasa secara intelektual.


Dr. Tajol Ariffin mau konsep pengajian  bersifat Wakaf Ilmu yang pengajiannya tidak dikenakan yuran dilaksanakan sebagaimana berlaku di Al-Azhar. Merujuk kepada KPI yang beliau menerajui dan berada di Wadi Ilmu, selepas beberapa tahun beroperasi bangunan 3 tingkat yang mengendalikan pengajian Sekolah Rendah Agama, Menengah dan wacana Ilmu terutama pada setiap Sabtu kini sudah terasa begitu sempit dan memerlukan tapak yang lebih selesa. Dengan merujuk kepada Puan Faezah Ketua Timbalan Pegawai Daerah yang hadir, beliau berharap melalui Pejabat Daerah Hulu Langat dapat kiranya diperuntukkan tanah seluas 10 ekar bagi membangun kampus tambahan untuk persekolahan rendah dan menengah bagi KPI.

Merujuk kepada masalah kebersihan di Bangi, beliau menyifatkan BBB adalah `Bandar Kotor`. Beliau tujukan isu kekotoran ini kepada Wakil MPKj yang turut hadir. Katanya, ``Dulu ada dilancar dan diisytiharkan konsep ``Zon Bersih` seperti Zon Satu dan 16`. Beliau mahu semua kawasan di Bangi adalah zon Bersih. Beliau meyebut 15 tahun dahulu ada ditubuhkan Cawangan MPKj di BBB, kemudian ditiadakan. Beliau mau Mini MPKj ini diwujudkan semula di BBB bagi memudahkan penduduk berurusan dan membuat aduan. Beliau mau BBI mengadakan jaringan Ilmu dengan semua universiti keliling Bangi. Pentadbiran BBI haruslah dikendalikan oleh Sekretariat BBI secara rasmi dengan kakitanganya bergaji dengan peruntukan operasi dan gaji paling minimum sebanyak RM5,000 sebulan. Sumbangan boleh didapat dari Adun, Persatuan Penduduk, Masjid-masjid, KPI dan Surau Al-Nur.


Berhubung dengan ketiadaan tanah untuk kompleks pendidikan, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Pengerusi Masjid Sungai Ramal Luar menyebut di Sungai Ramal Luar terdapat 4 ekar tanah yang asalnya diperuntukkan kepada tapak bagi bangunan pendidikan, terletak di bawah MAIS, tetapi akhir-akhir ini tapak tersebut dicadangkan untuk perumahan dan kedai. Beliau mencadangkan agar desakan dibuat agar di atas tanah tersebut didirikan Pusat Pengajian. Menurutnya tanah wakaf ini juga sesuai sama didirikan bangunan perpustakaan untuk penduduk setempat. Sungai Ramal Luar sesuai dijadikan pusat pengajian berindukkan Masjid Sungai Ramal Luar dengan tambahan perpustakaan. Masjid Sungai Ramal Luar yang dulu dikenali sebagai Masjid Haji Mat Saman adalah antara masjid tertua di Hulu Langat (1929). Pada awal 2000 menjadi isu apabila masjid ini hendak dirobohkan untuk diganti dengan yang baharu. Ada pendapat tidak perlu diroboh. Bangunan lama masih kukuh dan adalah bersejarah. Pengarah JAIS pada masa itu Dato` Khusran Munawi termasuk Penulis selaku Adun turut hadir sama berbincang yang akhirnya keputusan diambil mengekalkan bangunan lama sebagai bangunan berkembar bagi menampung tempat solat, khususnya pada hari Jumaat dan juga digunakan sebagai tempat kuliah, pengajaran dan mengaji Qur`an. Projek ini telah dirangka, khabarnya belum dilaksana. Kita sokong didirikan perpustakaan, kalau tak dapat, bangunan lama itu sebahagiannya dijadikan perpustakaan dan pengajian berindukkan masjid dijalankan.


Puan Faezah Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat turut menjawab tentang kedudukan tanah dan skop tugas Pejabat Daerah termasuk mengurus permasalahan kampung tradisional – termasuklah Kampung Sungai Ramal Luar. Berhubung dengan tapak yang ditimbulkan, AJK Masjid mestilah berurus terlebih dahulu dengan MAIS pemilik Tanah Waqaf dan Pejabat Tanah sedia berurusan menyelesaikan tapak tanah berkenaan. Beliau juga menyatakan kekesalan, dalam masa hasrat menjadikan Bangi Bandar Ilmu permasalahan sampah sebahagian daripadanya oleh kerana tidak ada `civic minded` di kalangan penduduk. Kempen kesedaran perlu dilakukan untuk membersih minda bagi membersih persekitaran, katanya.

Sekian.

June 17, 2014

Point-Point Utama Jadi Cabaran Bagi Pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu - Pendekatan Makro

-->
BBB, 18 Sya`ban 1435 = 16 Jun 2014 (Isnin):

Kertaskerja kedua Perbincagan Meja Bulat bertema `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` dibentangkan oleh Profesor Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Rektor KUIS berjudul ``Indikator Dan Cabaran Pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu (BBI). Penulis bertolak, menerima realiti BBI kerana di Bangi dan sekelilingnya mempunyai banyak pengajian tinggi, pusat penyelidikan, berbagai agensi dan kemudahan serta masjid dan surau-surau yang aktif. Baginya ianya semacam `Practical Open University``. Beliau mengenengahkan 12 point (indicator) yang perlu ditangani yang juga merupakan cabaran yang perlu diatasi.


Baginya pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu memerlukan sebuah Badan pentadbir khusus dan sepenuh masa. Badan mempunyai JK Induk, Pelaksana dan Pemantau yang mempunyai strategi jangka pendek dan jangka panjang, mempunyai KPI dan kriteria-kriteria bagi menjaga kualiti. Untuk itu Badan perlu perancangan, kemudahan fizikal tenaga kerja, pengurusan teratur sebagai budaya kerja.

BBI sebagai sebuah kampus terbuka perlu mempunyai jawatankuasa pelaksana, mempunyai yayasan yang diwakili pihak berkenaan. Beliau mahu Pejabat BBI berada dilokasi strategic seperti Bangi Gateway atau di Seksyen 8 sebagai mercu tanda yang jelas. Beliau mau perpustakaan Awam di hadapan Pejabat Daerah dipertingkatkan dan digalakkan masjid surau mempunyai perpustakaan mini. Sesuai dengan zaman kecanggihan komunikasi, maka BBI perlu mempunyai semua peralatan komunikasi canggih berkenaan..


Sebagai BBI, maka pihak badan pentadbir dan pelaksana perlu membudayakan kegiatan ilmiah seperti siri seminar dan wacana ilmiah yang antaranya sudah diadakan terutama oleh Kompleks Pendidikan Islam (KPI). Beliau juga mau diadakan penyelarasan kegiatan di masjid dan surau dan didirikan billboard gergasi yang memaparkan kegiatan keilmuan di BBI. Begitu juga pihak pentadbiran perlu mengadakan karnival pendidikan, pameran buku dan jualan dengan penawaran diskaun yang menarik.


Sebagai Pentadbir di KUIS beliau menawarkan Umrah Bermodul dengan kerjasama KUIS dan mencadangkan agar diadakan Mou dengan masjid-masjid terkenal, tempat-tempat dan institusi-institusi  yang mempunyai tradisi keilmuan seperti Acheh, Brunei dan KUIS sendiri. Beliau juga mencadangkan agar dianjurkan program ilmu secara berpackage di dalam dan luar Negara bagi golongan remaja. Turut sama dicadangkan ialah Pondok Moden bagi warga emas dan bagi memenuhi konsep pendidikan sepanjang hayat. Beliau juga turut mencadangkan agar diadakan pendidikan khas bagi warga istimewa dan menggalakkan satu rumah satu hafiz, juga dicadangkan agar diadakan sticker BBI dan anugerah Ilmuan BBI secara tahunan. Akhirnya beliau menganjurkan supaya memperkenalkan sistem waqaf ilmu dan biasiswa BBI.

Berhubung dengan cabaran Pembentang mengemukakan 7 perkara. Oleh kerana konsep BBI secara makro ini sesuatu yang besar seperti Open University, maka ianya memerlukan sebuah institusi pentadbiran yang terdiri dari Jawatankuasa pentadbir dan jawatankuasa pelaksana dan memerlukan kampus, bangunan dan ruang pengajaran (tidak disebut) selain dari masjid dan surau, tenaga pengajar dan pelajar (tidak disebut secara khusus) dan sudah tentulah memerlukan biaya yang tinggi, termasuk biasiswa kepada pelajar. Sumber kewangan ada disebutkan , iaitu dari Waqaf Ilmu BBI dan kerjasama dengan Perbadanan Waqaf Islam dan Yayasan BBI serta peruntukan Adun.

Bagi menjamin pelaksanaan BBI ini pembentang menegaskan ianya perlu kepada kepimpinan yang mantap dan pasukan yang bekerja kuat. Bagi mempromosi BBI ini beliau juga mencadangkan agar menggunakan tenaga artis dan icon di BBB bagi meluaskan publisiti BBI. Beliau juga menegaskan bahawa konsep BBI adalah merentasi kaum, agama dan status ekonomi dengan itu kepentingan semua pihak, termasuk yang bukan Islam diberi perhatian sama. Konsep BBI dan pengisian juga diharapkan tidak bersifat eksklusif dan elitis, tetapi terbuka kepada semua.

Sekian.

June 16, 2014

Pendekatan Secara Mikro Bangi Bandar Ilmu Berindukkan Masjid Al-Umm

-->
BBB, 17 Sya`ban 1435 = 15 Jun 2014 (Ahad):

Elemen utama secara realiti yang mencirikan BBB sebagai Bandar Ilmu ialah Masjid dan Suraunya yang berjumlah 30 buah. Masjid dan surau dihidupkan bukan saja dengan kegiatan ibadah, tetapi pengajaran-pengajaran. Antara  masjid dan surau yang menonjol, ialah Masjid al-Hasanah dan Surau Al-Nur. Faktor-faktor lain seperti wujudnya universiti-universiti sekitar Bangi, Pusat-Pusat Penyelidikan, Kompleks Pendidikan Islam, Darul Shifa` dan penduduk Bangi yang rata-rata terdidik dengan keilmuan dan cintakan ilmu pengetahuan mengukuh Bangi sebagai Bandar Ilmu. Dengan infra-struktur keilmuan berkenaan BBB sudah layak dan memang telah diisytiharkan sebagai Bandar Ilmu sebagaimana telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS, Bandar Baru Bangi. Perbincangan Meja Bulat dilihat sebagai mencari jalan bagi mempertingkatkan imej Bangi yang sememangnya sudah beridentiti sebagai Bangi Bandar Ilmu.


Kertas kerja pertama oleh Dr. Shafie Abu Bakar mengambil pendekatan mikro di atas. Beliau sebagai Pengerusi dan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm mempunyai visi dan misi merangka pendekatan dan kegiatan Masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan (2015). Kedudukan Masjid Al-Umm begitu strategic di dalam `Wadi` antara bukit dan perlembahan dan persekitaran mempunyai 1 masjid, 8 surau, 1 Darul Shifa`, 1 Kompleks Pendidikan Islam dan 4 sekolah (tidak termasuk Kafa di bawah surau-surau). Kawasan ini terkenal dengan kegiatan ilmu di institusi-institusi berkenaan. Sebab itu ianya dijadikan model bagi membangunkan zon ilmu dengan penambahan infra-struktur keilmuan diperlukan. Zon ini dikenali dengan Wadi Bangi Bandar Ilmu atau secara ringkasnya `Wadi Ilmu`. Pendekatan Mikro ini boleh diluaskan ke seluruh Bangi dengan menurut mekanisme yang sama dengan penambahan masjid sebagai induk bagi surau-surau di bawahnya. (Pembahagian surau-surau di bawah sesebuah masjid ditentukan oleh pihak berkuasa JAIS). Institusi-institusi lain yang boleh mempertingkatkan prestasi keilmuan di bawah sesuatu zon masjid boleh ditambah menurut keperluan.


Keperluan lain bagi meningkatkan imej Wadi Ilmu dan identiti seluruh Bangi sebagai Bandar Ilmu, ialah kegiatan yang seharusnya dijalankan oleh Masjid al-Umm ialah mengadakan pengajian mengikuti solat waktu terutama antara Maghrib dan Isya` dan hujung-hujung minggu, mengadakan konvensyen Ilmu terutama pada cuti persekolahan dan package pengajian. Masjid akan mengadakan Pengajian Tahfiz berasrama. Mereka belajar di Sekolah rendah, menengah atau agama integrasi menurut kelayakan umur masing-masing dan mengikuti tahfiz di waktu lain daripada itu.


Pihak Masjid Al-Umm bercadang mengadakan Pengajian Pondok Masjid  yang diikuti oleh warga emas dan orang tua. Penginapan disediakan bagi yang tidak mempunyai penginapan. Kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tempatan adalah diharapkan bagi mengisi slot-slot pengajian yang bersesuaian dan berusaha mendapat pengiktirafan.

Kompleks Pendidikan Islam dilihat sebagai institusi penting di dalam memprojekkan imej Bangi Bandar Ilmu dan kegiatan-kegiatan dijalankan sejak perasmiannya pada tahun 2013 dengan pendidikan Sekolah, ceramah mingguan dan wacana Pemikiran Bangi. KPI wajar bekerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi di Bangi memberi penerangan tentang peluang bagi pelajar dan penduduk Bangi mengikuti pengajian dan pendedahan berbagai bidang keilmuan. KPI wajar bekerjasama dengan Sekolah-sekolah di Bangi bagi memajukan pelajaran anak-anak di Bangi.


Surau Al-Nur adalah antara surau paling aktif dan terkenal bukan saja di Bangi, tetapi di luar Bangi. Surau yang berada di Wadi Ilmu Bangi ini menjadi contoh yang baik bagi surau-surau. Surau Al-Nur wajar menyusun dan menyelaras kegiatan surau-surau di Wadi Ilmu dan berperanan sebagai bank maklumat tentang tokoh-tokoh yang dapat dijemput oleh surau-surau. Kegiatan Takaful di surau ini patut dikembangkan kepada surau-surau lain.


Sebuah Pusat Perubatan Islam Dar al-Shifa` di Bangi, adalah sebuah institusi yang unik di bawah Pengasas dan Pimpinan Dato` Dr. Haron Din – Tokoh Ulama` terkenal. Institusi ini terkenal di seluruh Negara dan mempunyai cawangan di negeri-negeri. Dar al-Shifa` yang berada di dalam zon Wadi Ilmu diharap makin berkembang dan memberi ruang dan peluang bagi pelajar-pelajar yang layak untuk mengikuti pengajian di Dar al-Shifa`. Adalah difaham Dar al-Shifa` telah bekerjasama dengan Fakulti Perubatan beberapa universiti. Sudah tentu ini bukan saja mempopularkan Dar al-Shifa, tapi turut memperkenalkan Bangi Bandar Ilmu. Berbagai surau selain daripada yang disebutkan di atas adalah sama memberi perhatian pada perkembangan keilmuan dan sama mengadakan berbagai kegiatan yang memprojekkan Bangi Bandar Ilmu.


Bagi melaksana, menjaya dan mempertingkatkan Bangi Bandar Ilmu Pengajian Masjid di Wadi Ilmu memerlukan bangunan serba guna yang kawasan sesuainya ialah di Medan Usahawan. Bangunan bertingkat di sini perlu diusahakan bagi menempatkan Pejabat Pentadbiran, Dewan-Dewan Kuliah, Seminar dan Konvensyen. Sebuah Perpustakaan yang lengkap yang bersesuaian dengan berbagai pengajian di Wadi Ilmu juga perlu diadakan di bangunan yang dirikan. Begitu juga Hotel Bajet juga perlu diadakan untuk inapan mereka yang datang belajar di hujung minggu, mingguan, bulanan dan kursus package, begitu juga dengan makmal computer dan berbagai alat komunikasi. Klinik Dar al-Shifa berserta klinik lain yang diintegrasi dengan Dar al-Shifa` juga perlu diadakan di bangunan berkenaan bagi kemudahan orang awam mendapat rawatan. Termasuklah penyediaan katil-katil bagi pesakit-pesakit..


Di bangunan yang diharap dapat dibina akan diwujudkan bahagian penerbitan bagi mengeluarkan buku-buku dan maklumat-maklumat serta penerbitan dari berbagai  bidang, seterusnya diwujudkan galeri dan ruang pameran. Seterusnya ruang perniagaan dan makanan.

Satu tugas yang penting bagi menyelaras dan meningkatkan kemajuan Wadi Ilmu ialah merangka dan menyusun kurikulum bagi setiap kursus  dan pengajaran bagi semua kategori pengajian. Kemudahan bersukan dan beriadah perlu disediakan bagi menjaga kesihatan. Padang awam dan Dewan Orang Ramai berdekatan masjid adalah dipohon dari pihak berkuasa bagi meningkatkannya untuk berbagai kegiatan bersesuaian, termasuk bagi sukan.


Wadi Ilmu Bangi perlu menubuhkan Ahli Jawatankuasa pembinaan Komplek Pengajian setelah mendapat keizinan menggunakan tapak dan mencari dana bagi membina Kompleks Kebelbagaian tujuan dan pentadbiran bagi semua pengajian. Bagi memantapkan perjalanan dan pengajian secara teratur dan berkualiti memerlukan sebuah jawatankuasa yang mantap yang dapat merealisasikan Wadi Ilmu yang berindukkan Masjid Al-Umm.

Adalah diharapkan pengajian di Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm bersifat Jami` (universiti) menjadi kenyataan yang boleh diikuti dan dicontohi oleh masjis-masjid dan surau-surau yang lain.
Usaha membangunkan Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm merupakan sumbangan ke arah  Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Sekian.

June 15, 2014

Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu - Perasmian

-->
UKM, 16 Sya`ban 1435 = 14 Jun 2014 (Sabtu):

Cetusan idea `Bangi Bandar Ilmu` sempena Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi pada bulan Julai 2007 dan dirasmikan pengisytiharannya oleh yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS Bandar Seri Putra Bangi memberi impak penting di dalam memprojekkan imej dan identiti Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu.


Pagi ini bertempat di Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia diadakan Diskusi Meja Bulat membincangkan tajuk:
``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu`` yang dianjurkan oleh  Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dengan dua kertaskerja dibentangkan. Kertas pertama berjudul, `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` oleh Mantan Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar dan sebuah lagi kertas berjudul, ``Indikator dan Cabaran: Perlaksanaan Bangi Bandar Ilmu`` dibentangkan oleh Prof. Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Rektor KUIS. Tiga puluh orang peserta dijemput untuk sama membicangkan kertaskerja yang dibentang untuk mencapai rumusan yang diharapkan. Pembentangan dan perbincangan mulai jam 8.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari.


Sebelum pembentangan Majlis Diskusi Meja Bulat dirasmikan oleh Adun Bangi Ustaz Shafie Ngah yang bercakap dari perspektif Adun berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, bahawa katanya, pada majlis ini sengaja dipanggil pihak MPKj dan Pejabat Daerah, kerana banyak masalah di Bandar Baru Bangi berkait dengan kedua Jabatan, contoh kebersihan berkait dengan MPKj. Menurutnya Adun memberi perhatian terhadap wanita yang 50% daripada penduduk di Bangi adalah wanita, juga perhatian kepada belia yang 30% terdiri dari kalangan mereka. Untuk pelajar sudah ada 23 siri bimbingan matematik yang melibatkan 120 pelajar. Program menjahit juga diadakan bagi kalangan wanita dan sukan bagi belia. Beliau juga bergembira dengan kegiatan masjid dan surau, seperti Masjid al-Hasanah menganjur pengajian Tafaqquh fi al-Din. Beliau berharap dengan kefahaman keilmuan dapat membentuk masyarakat yang baik dan sama prihatin di dalam membantu hala tuju kerajaan. Beliau juga prihatin terhadap masalah kebersihan dan rumput panjang yang isu ini nampaknya katanya terus berulang. Jam 9.10 pagi beliau merasmikan perbincangan dengan meminta maaf beliau tidak dapat bersama kerana mempunyai program di tempat lain.
Kelicinan majlis sama dipandu oleh saudara Rusli Jusuh selaku Pengerusi Persatuan Pemuda Prihatin dengan Ustaz Nushi selaku Ahli MPKJ. Majlis dikendalikan oleh saudara Amirul Hakimi.dan perbincangan dikendalikan oleh Dr. Mohd Khazani Abdullah.


Sebenarnya `Bangi Bandar Ilmu` asalnya adalah idea ditonjolkan bagi menyedarkan masyarakat di Bangi, bahawa Bangi mempunyai identiti  khusus dan istimewa yang semua patut bersyukur dan bangga serta sama  terlibat menyokong, mendukung dan mempertingkatkan identiti dan prestasinya. Penulis di dalam kegiatannya mendekati rakyat selaku Adun Kajang (1999-2004) telah mengambil pendekatan bermula dengan menggunakan slogan `Anda Memberi Mandat Kami Memberi Khidmat` serta bergerak dengan `AJK Bertindak Adun Kajang` yang imej ketara ialah ``Membuka Kaunter Adun Kajang`. Banyak permasalahan rakyat dapat diselesaikan melalui `Pembukaan Kaunter Aduan`. Adun Kajang.


Projek `Bangi Bandar Ilmu` adalah approach lanjutan bagi menarik perhatian masyarakat. Pada masa Penulis selaku AJK Persatuan Penduduk BBB, maka selaku AJK yang bertanggungjawab mengetusi bahagian  Perhubungan bagi AJK Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi juga YDP Pas Serdang Penulis mencadangkan dalam mesyuarat AJK agar diadakan Sambutan Sempena 30 Tahun Bandar Baru Bangi. Cadangan disetujui dan Penulis dilantik menjadi Ketua Pengarah Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi. Soal Bangi Bandar Ilmu dicetuskan dalam sambutan. Dalam kata-kata aluan  dalam Buku Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi 30 Julai – 1 September 2007 (dengan kegiatan bersiri) selepas kata-kata aluan oleh Dr. Tajol Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Penulis mencatat dalam kata-kata alu-aluan dalam buku sambutan:


``Menjadikan masyarakat berkesedaran tinggi dengan maklumat semasa dan mementingkan pelajaran sesuai ianya sebagai Bandar Ilmu``.

(Buku Cenderamata Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, 2007: 6).


Dalam artikal ``Catatan 30 Tahun Bandar Baru Bangi`` yang disusun Penulis dalam buku yang sama Penulis mencatat:
``Apakah hasrat diimpikan penduduk yang memilih BBB sebagai tempat kediaman dan membina kehidupan ?
Mereka mahukan BBB sebagai `Bandar Ilmu` yang terus melahirkan generasi `Iqra`. Mereka mahukan BBB Bandar `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` dan Bandar `Al-Baladil Amin. BBB sebagai Bandar Ilmu memang nyata, lantaran BBB kini dikelilingi institusi-institusi pengajian tinggi yang terdiri dari UKM, UNITEN, UniKL, USIM, Universiti Multimedia, KUIS dan Universiti Kolej Nilai. Sebahagian besar dari tenaga pengajar dan pelajar-pelajarnya tinggal di sekitar kawasan Bangi. Dengan kehadiran institusi, tenaga pengajar dan pelajar menyemarak wanginya BBB. Sesungguhnya BBB berfungsi melahirkan generasi intelektual pelapis kepimpinan di dalam berbagai bidang memajukan Negara.``
(Catatan 30 Tahun Bandar Baru Bngi, dlm. Buku, Sambutan 30 Tahun BBB, 2007: 7).

Apabila Penulis menjadi Adun Bangi 2008-2013, maka sengaja diadakan Majlis pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu yang dilancarkan oleh Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS. Dalam kegiatan Adun bagi sesi 2008-2013 maka melaksanakan konsep Bangi Bandar Ilmu diberi keutamaan. Misalnya pada kepala setiap terbitan Buletin Bangi ada ungkapan ``Bangi Sejahtera, Aman, Berilmu Dan Prihatin`. Berbagai kegiatan diadakan berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu seperti memperuntukkan kewangan Tahunan Adun kepada pendidikan antara yang tertinggi di samping kegiatan agama, kebajikan dan belasan bidang yang lain, mengadakan anugerah cemerlang bagi semua peringkat pelajar setiap tahun, program back to school, membantu pelajar susah, menyambut Hari Ilmu peringkat Bangi setiap tahun, membantu Pasti, Sukan pelajar-pelajar, menerbitkan buku Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi dan berbagai-bagai lagi. Imej Bangi Bandar Ilmu sudah wujud. Cetusan bermula 2007 dan pengisian dengan berbagai kegiatan berlaku mulai 2008. Perkara yang bakal dibincangkan pada Diskusi Meja Bulat nanti bukan lagi bagaimana menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu, tetapi bagaimanakah pendekatan terbaik dan lebih efektif bagi mempertingkatkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.