June 17, 2014

Point-Point Utama Jadi Cabaran Bagi Pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu - Pendekatan Makro

-->
BBB, 18 Sya`ban 1435 = 16 Jun 2014 (Isnin):

Kertaskerja kedua Perbincagan Meja Bulat bertema `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` dibentangkan oleh Profesor Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Rektor KUIS berjudul ``Indikator Dan Cabaran Pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu (BBI). Penulis bertolak, menerima realiti BBI kerana di Bangi dan sekelilingnya mempunyai banyak pengajian tinggi, pusat penyelidikan, berbagai agensi dan kemudahan serta masjid dan surau-surau yang aktif. Baginya ianya semacam `Practical Open University``. Beliau mengenengahkan 12 point (indicator) yang perlu ditangani yang juga merupakan cabaran yang perlu diatasi.


Baginya pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu memerlukan sebuah Badan pentadbir khusus dan sepenuh masa. Badan mempunyai JK Induk, Pelaksana dan Pemantau yang mempunyai strategi jangka pendek dan jangka panjang, mempunyai KPI dan kriteria-kriteria bagi menjaga kualiti. Untuk itu Badan perlu perancangan, kemudahan fizikal tenaga kerja, pengurusan teratur sebagai budaya kerja.

BBI sebagai sebuah kampus terbuka perlu mempunyai jawatankuasa pelaksana, mempunyai yayasan yang diwakili pihak berkenaan. Beliau mahu Pejabat BBI berada dilokasi strategic seperti Bangi Gateway atau di Seksyen 8 sebagai mercu tanda yang jelas. Beliau mau perpustakaan Awam di hadapan Pejabat Daerah dipertingkatkan dan digalakkan masjid surau mempunyai perpustakaan mini. Sesuai dengan zaman kecanggihan komunikasi, maka BBI perlu mempunyai semua peralatan komunikasi canggih berkenaan..


Sebagai BBI, maka pihak badan pentadbir dan pelaksana perlu membudayakan kegiatan ilmiah seperti siri seminar dan wacana ilmiah yang antaranya sudah diadakan terutama oleh Kompleks Pendidikan Islam (KPI). Beliau juga mau diadakan penyelarasan kegiatan di masjid dan surau dan didirikan billboard gergasi yang memaparkan kegiatan keilmuan di BBI. Begitu juga pihak pentadbiran perlu mengadakan karnival pendidikan, pameran buku dan jualan dengan penawaran diskaun yang menarik.


Sebagai Pentadbir di KUIS beliau menawarkan Umrah Bermodul dengan kerjasama KUIS dan mencadangkan agar diadakan Mou dengan masjid-masjid terkenal, tempat-tempat dan institusi-institusi  yang mempunyai tradisi keilmuan seperti Acheh, Brunei dan KUIS sendiri. Beliau juga mencadangkan agar dianjurkan program ilmu secara berpackage di dalam dan luar Negara bagi golongan remaja. Turut sama dicadangkan ialah Pondok Moden bagi warga emas dan bagi memenuhi konsep pendidikan sepanjang hayat. Beliau juga turut mencadangkan agar diadakan pendidikan khas bagi warga istimewa dan menggalakkan satu rumah satu hafiz, juga dicadangkan agar diadakan sticker BBI dan anugerah Ilmuan BBI secara tahunan. Akhirnya beliau menganjurkan supaya memperkenalkan sistem waqaf ilmu dan biasiswa BBI.

Berhubung dengan cabaran Pembentang mengemukakan 7 perkara. Oleh kerana konsep BBI secara makro ini sesuatu yang besar seperti Open University, maka ianya memerlukan sebuah institusi pentadbiran yang terdiri dari Jawatankuasa pentadbir dan jawatankuasa pelaksana dan memerlukan kampus, bangunan dan ruang pengajaran (tidak disebut) selain dari masjid dan surau, tenaga pengajar dan pelajar (tidak disebut secara khusus) dan sudah tentulah memerlukan biaya yang tinggi, termasuk biasiswa kepada pelajar. Sumber kewangan ada disebutkan , iaitu dari Waqaf Ilmu BBI dan kerjasama dengan Perbadanan Waqaf Islam dan Yayasan BBI serta peruntukan Adun.

Bagi menjamin pelaksanaan BBI ini pembentang menegaskan ianya perlu kepada kepimpinan yang mantap dan pasukan yang bekerja kuat. Bagi mempromosi BBI ini beliau juga mencadangkan agar menggunakan tenaga artis dan icon di BBB bagi meluaskan publisiti BBI. Beliau juga menegaskan bahawa konsep BBI adalah merentasi kaum, agama dan status ekonomi dengan itu kepentingan semua pihak, termasuk yang bukan Islam diberi perhatian sama. Konsep BBI dan pengisian juga diharapkan tidak bersifat eksklusif dan elitis, tetapi terbuka kepada semua.

Sekian.

No comments:

Post a Comment