BBB, 06 Sya`ban 1435 = 4 Jun 2014 (Rabu):
Penulis adalah sebagai antara orang yang terlibat langsung
dengan perkembangan UKM, turut merasai dari awal denyut nadi dan perkembangan,
menyaksi tentang keraguan, tetapi dengan azam UKM terus dengan keazaman dan
keyakinan. Sepuluh tahun usia UKM dapat dikatakan sebagai era Jalan Pantai, Kuala Lumpur yang masih
dalam serba kekurangan di samping tiga tahun terakhir sudah berpindah ke Kampus
Bangi dalam menuju kemantapan. Dalam masa tersebut Penulis sebagai Pelajar
Sulung UKM menerima dan mengalami konsep pendidikan, aspirasi dan perjuangan
UKM. Separuh lebih dari dekad pertama UKM Penulis selaku pelajar peringkat
ijazah pertama dan kedua di samping menjadi tutor. Dan bila berpindah ke Bangi
Penulis sudah berjawatan pensyarah di Jabatan Pertsuratan Melayu, FSKK, UKM.
Genap 10 Tahun UKM Penulis yang telah menulis sebelum masuk
UKM dan berterusan menulis semasa belajar dan mengajar di UKM, secara peka dan
sedar telah merakamkan tanggapan Penulis sebaik usia 10 tahun UKM. Penulis
melihat kehadiran UKM adalah sesuatu yang hak, walaupun ada usaha menafikan hak
berkenaan. Kata Penulis:
Universiti Kebangsaan Malaysia
(Sempena 10 Tahun Usia)
Kehadiranmu di tanah Pusaka
Sesuatu yang hak
Dari kemahuan bonda
Bermusim kau dinafikan
Hari ini tegak menjadi kenyataan.
Harapan terhadap wujudnya pengajian tinggi seperti Universiti
Kebangsaan telah disedari berzaman sebagaimana telah dibicarakan. Kesedaran ini
semakin nyata di ambang kemerdekaan sebagaimana terakam di dalam Penyata Razak,
tetapi selama ini terabai dan diragukan. Kebangkitan rakyat mendesak supaya
Universiti Kebangsaan didirikan menyebabkan pihak berkuasa yang sebagai enggan
terpaksa menerima kenyataan dan akur dengan kehendak rakyat dan mendirikan
Universiti Kebangsaan. Kata Penulis:
Benih di rahim zaman
Tersemai di ambang kemerdekaan
Pada Penyata Razak
Sempena negarawan terbilang
Terhalang oleh kelalaian
Ombak kesedaranlah meruntuh keengganan
Ia adalah kemahuan rakyat
Membuak mendesak
Dekad 70an menyaksikan
Kebangkitanmu tegak dijulang
Tangan-tangan pejuang
Meski permulaan menumpang
Di lembah keraguan
Tapi penuh gigih
Mendepani dekat 80an.
Dengan perpindahan ke Kampus Bangi, Penulis melihat dengan
sendiri Universiti Kebangsaan mulai bertapak kukuh bagi menghadapi perkembangan
bagi masa hadapannya. Secara alegori Penulis membandingkan pembersihan
hutan-hutan sebagai membersih `keraguan` yang dihadapi selama ini dan
menempatkannya dengan bangunan-bangunan dan infra-struktur sebagai asas
keyakinan. Kata Penulis:
Dekad pertama usia universiti
Di kampus induk Bangi ini
Hutan keraguan telah dibersihkan
Bangunan keyakinan terdiri
Menghiasi lembah dan kaki bukit
Siang benteng pertahanan
Malam saujana kerlipan.
Di Kampus Bangi universiti yang selama ini kekurangan dari
segi fizikal dan infra-struktur dan masih belum berkembang dari segi akademik
seperti belum berkembang dari segi fakulti, jabatan, tenaga pengajar, pelajar
dan belum menyerlah dari segi penyelidikan, maka di Kampus Bangi
kekurangan-kekurangan ini dihadapi, diatasi dan ditingkatkan dari segi
prestasi. Kata Penulis:
Di sini
Meniti satu dasawarsa usia
Universiti mencari kesempurnaan
Antara kemanusiaan sains dan keimanan
Bersepadu di bawah satu institusi
Berintegrasi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Di atas asas yang terbina
Dengan cawangan perkembangan
Kau tidak sekadar mengeluar pelajar
Tapi menegak identiti
Kemampuan bahasa ibunda
Pendukung budaya
Penjelmaan satu rupabangsa
Peneroka pemikiran bangsa
Kemegahan bersama.
Setelah melalui sedekad usia Universiti Kebangsaan Penulis
membuat kesimpulan bahawa:
Universiti Kebangsaan Malaysia
Satu dekad berlalu
Kau bawa keyakinan
Harapan masa depan.
Jabatan Persuratan Melayu,
27 Jun 1980.
(Madu Ilmu, 1999: 73-74).
Dan era 80an dapat dinamakan dengan era pembangunan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment