June 4, 2014

DYMM Tuanku Ja`afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Canselor Kedua UKM Rasmikan Bangunan Dan Penamaan Bangunan Perpustakaan Tun Seri Lanang

-->
BBB, 05 Sya`ban 1435 = 03 Jun 2014 (Selasa):

Majlis Perasmian ini berlangsung di bangunan perpustakaan berkenaan di Kampus Bangi, iaitu pada 19hb. Sya`ban 1400 bersamaan dengan 20hb. Julai 1980. Majlis Perasmian bermula dari jam 9.00 pagi sehingga jam 11.30 pagi. DYMM Tuanku Canselor tiba jam 9.30 pagi diiringi Pemangku Naib Canselor, Pemangku Ketua Pustakawan, ahli-ahli akademik, pegawai-pegawai universiti dan kakitangan perpustakaan.


Dalam titah alu-aluannya Tuanku Canselor, antaranya menitah,
``Terlebih dahulu izinkan Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Perasmian Bangunan Perpustakaan Tun Seri Lanang yang telah berusaha mengadakan majlis ini dan juga kepada pihak Perpustakaan kerana mengadakan pameran sempena majlis ini.

Beta merasakan amat sesuai nama perpustakaan ini diberikan nama Perpustakaan Tun Seri Lanang. Maka amat wajarlah diabadikan nama tokoh silam di Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai mengenang jasa beliau dalam dunia penulisan sejarah dan juga kesusasteraan Melayu.``
(Buku Cenderamata, Perpustakaan Tun Seri Lanang, 1980: 2).


Manakala Pemangku Naib Canselor pada masa itu, iaitu Prof. Datuk Mohd Ghazali Hj. Abd. Rahman  pula menyatakan,
``Dengan wujudnya sebuah Perpustakaan yang besar dan indah di tengah-tengah Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia ini, saya berharap supaya ianya bukan sahaja menjadi lambang kemegahan Universiti ini tetapi juga merupakan tempat mencarigali bahan-bahan bernilai dan berfaedah kepada semua golongan masyarakat kita hari ini dan akan datang. Kakitangan dan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia seharusnya juga merasa bertuah kerana dapat menikmati keindahan dan keselesaan bangunan Perpustakaan ini di samping menjalankan tugas dan kewajipan masing-masing.``
(Buku Cenderamata, 1980: 3).

Lokasi Perpustakaan Tun Seri Lanang ini terletak di Lingkungan Pertama Kampus UKM Bangi di perlembahan selepas Pusanika UKM, ke sebelah atasnya di Puncak lingkongan Satu ialah Fakulti Ekonomi dan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan dengan di sebelah kanan lembah Lengkongan Pertama ialah rangkaian bangunan Fakulti-Fakulti Sains. Dalam konteks ini Perpustakaan berada di bahagian tengah kampus, terutama bagi Lengkongan Pertama Kampus.


Menurut Pemangku Ketua Pustakawan Perpustakaan Tun Seri Lanang, Encik Azman Rajudin, bahawa Perpustakaan yang mempunyai keluasan 220,000 kaki persegi pada masa itu telah dapat mengumpul sebanyak 280,000 jilid bahan bacaan dan sedang melatih 25 Pustakawan untuk membantu tugas-tugas di Perputakaan Tun Seri Lanang. Di samping Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM mempunyai 3 cabang perpustakaan. Perpustakaan Cabang Sains (masih di Jalan Pantai) menempatkan 40,000 jilid buku, Perpustakaan cabang Perubatan dengan 100,000 jilid buku, manakala Perpustakaan Cabang Sabah 10,000 jilid buku.
(Buku Cenderamata, 1980: 4 & 14).

Sempena dengan Majlis Perasmian Bangunan dan Penamaan Perpustakaan diadakan Pameran Perkembangan Perpustakaan UKM dari 1970-1980 di tingkat 4 bangunan Perpustakaan mulai 2 – 5 Julai 1980 dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Pameran-pameran ialah mengenai:

a)      Manuskrip-manuskrip lama
b)      Gambar-gambar
c)      Keratan-keratan akhbar
d)     Penerbitan Perpustakaan Uniuversiti Kebangsaan Malaysia
e)      Carta-carta
f)       Tayangan slaid

Sempena dengan Majlis Perasmian di atas juga diadakan Hari Terbuka pada hari tersebut (2 Julai 1980) mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 6.00 petang. Pengunjung boleh melihat sekitar Perpustakaan dan menonton beberapa film dokumentari.

Dengan Perasmian Bangunan dan Penamaannya dengan Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM dapat melengkapkan keperluan penting bagi UKM, iaitu menyediakan sebuah Perpustakaan yang sempurna dari segi fizikal yang mampu menerima pertambahan koleksi berterusan bagi kepentingan warga kampus bagi mereka merujuk sumber-sumber keilmuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment