June 9, 2014

Mengepalai Perjuangan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan: IBKKM Dan Jabatan Persuratan Melayu - Berlaku Pertindihan Fungsi

-->
10 Sya`ban 1435 = 08 Jun 2014 (Ahad):

Misi ketara penubuhan UKM ialah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu – Selain dari bahasa kebangsaan dan rasmi, pada peringkat pengajian tinggi – di UKM. Antara tiga fakulti yang terawal ditubuhkan, maka Fakulti Sasteralah dilihat sebagai institusi yang paling utama memikul tugas pendaulatan dan pengilmuan. Sebenarnya di antara jabatan yang ada di dalam Fakulti Sastera yang kemudian dikenali sebagai Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, maka Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu sebagai komponan di dalam Fakulti Sastera sekitar tahun 1970 yang memikul tanggaung jawab berkenaan, kerana ialah jabatan yang mengkaji dan meningkatkan tentang bahasa, menilai, mempromosi dan meningkat sastera yang memperindahkan bahasa tersebut. Sedangkan jabatan-jabatan lain lebih berperanan menggunakan bahasa tersebut di dalam disiplin-disiplin berkenaan di dalam bidang masing-masing. Namun tidak dapat dinafikan semua bidang lain di dalam Fakulti sastera dan Fakulti-fakulti yang lain yang menggunakan bahasa Melayu secara langsung atau tidak langsung berperanan meningkatkan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa keilmuan hingga ke peringkat tertinggi di pengajian tinggi.


Apa yang diharap dari pengajian bahasa dan sastera memang didukung oleh Jabatan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Namun dalam perjalanan dan perkembangan keilmuan di Fakulti Sastera, maka kedudukan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan turut mengalami perubahan. Pada peringkat awal penubuhan UKM, maka Fakulti Sastera adalah diketuai oleh Dekannya, iaitu Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas yang juga selaku Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.

Bila berlaku perkembangan dan perubahan, maka sejak sesi1973/74 semasa Fakulti masih bernama Fakulti Sastera dan Dekannya bertukar tangan kepada Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail, maka Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu telah diangkat tarafnya kepada Institut Bahasa Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) bertaraf Fakulti dengan penambahan bidang Kebudayaan. Peningkatan jabatan kepada Institut yang bertaraf Fakulti sudah tentulah bertujuan bagi memperluaskan fungsi institut terhadap bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu bertaraf fakulti yang Dekannya ialah Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Tenaga akademik adalah tenaga dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu seperti di bawah Fakulti Sastera dengan penambahan tenaga akademik dari Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas, Dr. Teuku Iskandar Alibasjah, Dr. Muhammad Amin Sweeney, Siti Hawa bt. Saleh, Muhammad bin Haji Salleh, Drs. Erid Otto van Reijn, Farid bin Mohd Onn, Drs. Isma Nasrul Karim dan C.W.Watson.

Konsep IBKKM adalah sebagai sebuah fakulti yang mempunyai pelajar dari peringkat ijazah pertama sehingga ke peringkat Ph. D. IBKKM juga adalah sebuah Pusat Penyelidikan. Bagi pelajar-pelajar di IBKKM selain dari memilih kursus-kursus di IBKKM, mereka boleh memilih kursus-kursus di jabatan-jabatan lain di bawah Fakulti sastera yang kemudian dikenali sebagai FSKK. Demikian juga pelajar-pelajar dari jabatan-jabatan lain di bawah FSKK boleh memilih kursus-kursus di IBKKM sebagai melengkapkan unit dengan kursus-kursus yang menjadi pilihan. IBKKM juga menawarkan kepada mereka yang berkelayakan menjadi Karyawan Tamu. Selain dari mempunyai bangunan sendiri IBKKM turut mempunyai perpustakaan khusus bagi IBKKM di samping Perpustakaan Tun Seri Lanang sebagai perpustakaan induk. Selepas penubuhan IBKKM, institut ini berjalan dengan baik dan mempunyai pelajar-pelajarnya sendiri.

Namun pada 1978 FSKK merasakan ianya perlu mempunyai jabatan sendiri di bawah FSKK bagi memenuhi keperluan kursus bahasa, kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, tanpa perlu mengambilnya dari IBKKM. Ini membawa kepada penubuhan Jabatan Persuratan Melayu mulai sesi 1978/79. Ini membawa kepada berlakunya duplikasi dari segi menawarkan kursus, iaitu di IBKKM dan Persuratan Melayu. Sebahagian dari tenaga pensyarah yang dulunya berada di bawah IBKKM dipindahkan ke Jabatan Persuratan Melayu di FSKK. Polisi diambil agar IBKKM menjadi pusat penyelidikan sepenuhnya. Namun untuk tempoh tiga tahun IBKKM terus mengendalikan kursus bagi pelajar ijazah pertamanya yang diambil sebelum daripada itu. Antara tokoh pelajar yang berada dalam sesi perubahan ini ialah seperti Awang Sariyan, Uthman Puteh, Rahman Shaari, Sahlan Muhammad Saman, Abdul Rahman Napiah dan ramai lagi.


Kita tidaklah pasti adakah tindakan yang diambil sebagai mengasingkan IBKKM, tanpa pelajar ijazah pertama sebagai keputusan sepenuhnya bersifat akademik atau mempunyai unsur politik kampus. Walaupun selepas 3 tahun apabila pelajar ijazah pertama IBKKM terakhir dapat dihasilkan dan tidak ada lagi pelajar ijazah pertama dan tidak berlaku duplikasi dari segi penawaran kursus bagi ijazah pertama dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, tetapi sebenarnya ia tetap berlaku duplikasi dalam mana Jabatan Persuratan Melayu seharusnya menawarkan kursus bagi pelajar ijazah pertama bagi ijazah FSKK, UKM, tapi sebenarnya Jabatan Persuratan Melayu juga menganjurkan kursus dan bimbingan bagi pelajar-pelajar pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah sebagaimana ditawarkan oleh jabatan-jabatan lain di bawah FSKK, sedangkan IBKKM juga menawarkan ijazah lanjutan – Sarjana dan Ph. D. sebagaimana dikhususkan kepadanya sebagai institut bagi ijazah lanjutan. Ini bererti berlaku pertindihan fungsi.

Walaupun dilihat dari segi luaran semacam ada `pertikaian` antara IBKKM dan Jabatan Persuratan Melayu, tapi kedua-duanya berjalan dengan baik dari segi akademik dan melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti tinggi dalam masa berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment