June 2, 2014

Dekad Pertama UKM Melengkapkan Diri Di Bangi

-->
BBB, 03 Sya`ban 1435 = 01 Jun 2014 (Ahad):

UKM melengkapkan dekad pertamanya dengan perpindahannya ke Bangi. Dengan perpindahan tidak bererti semuanya sudah lengkap di Bangi. Tidak semua Fakulti berpindah ke Bangi pada akhir 1977. Tatkala Fakulti Sastera (Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan) berpindah, Fakulti yang paling ramai dengan pelajar, beberapa Fakulti masih lagi belum berpindah, iaitu Fakulti Sains masih berada di Jalan Pantai dan Fakulti Islam dan sebahagian dari Fakulti Sains masih di Seksyen 17 Petaling Jaya. Ini ialah kerana bangunan-bangunan bagi fakulti-fakulti berkenaan masih belum siap. Sebahagian dari Fakulti Sains sedang dalam pembangunan, manakala Fakulti Islam masih belum dibangunkan. Adapun Fakulti Perubatan mempunyai kampus tersendiri bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur dan Cheras. Sebuah lagi Cawangan UKM ialah di Sabah yang kemudian diangkat taraf menjadi Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Perpindahan penting ialah bahagian pentadbiran dan perpustkaan. Pentadbiran adalah lengkap dan sempurna perpindahan sejak awal lagi. Adapun perpustakaan semestinya berpindah dengan berpindahnya mana-mana fakulti. Ini ialah kerana perpustakaan adalah bahagian penting yang menyediakan bahan rujukan dan penyelidikan baik bagi pelajar, maupun tenaga pengajar. Sebenarnya pada permulaan perpindahan ke Kampus Bangi, bangunan perpustakaan masih dalam pembinaan, tetapi ianya perlu berpindah dengan fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan ke Bangi. Pada peringkat permulaan perpustakaan mengambil tempat sementara di aras 3 dan 5 bangunan Pentadbiran UKM Bangi sementara perpustakaan sebenarnya siap. Sebahagian dari perpustakaan ialah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu yang mempunyai perpustakaannya sendiri dan berpindah sejak perpindahan dilakukan. Sebagaimana disebutkan pada peringkat permulaan perpindahan masjid belum didirikan. Pada peringkat permulaan perpindahan solat Jumaat didirikan di pekarangan bangunan pentadbiran, kemudian dipindahkan ke ruang legar FSKK dan apabila perpustakaan siap, maka solat Jumaat di dirikan di bahagian bawah bangunan perpustakaan sementara siapnya Masjid UKM.

Selain dari dewan-dewan kuliah dan tutorial dan pejabat-pejabat bagi setiap jabatan dan bilik-bilik pensyarah yang dapat dikatakan lengkap diperlukan kepada dewan besar. Dewan ini siap dengan siapnya fasa pertama pembangunan Kampus Bangi, UKM. Bangunan ini tersergam indah dapat dilihat dari jalan di tepi kampus dan berada di bahagian permulaan masuk sebelah kiri. Dewan ini diperlukan bagi mengadakan peperiksaan yang melibatkan ramai pelajar, begitu juga diperlukan bagi majlis konvokesyen dan majlis-majlis yang melibatkan ramai peserta. Dewan mulai digunakan pada bulan Oktober 1979 dan dirasmikan penggunaannya dengan nama Dewan Canselor Tun Abdul Razak. Kata Penulis:


Dewan Canselor Tun Abdul Razak: Satu Penyaksian

Di hari ini
Di dewan sepermai ini
Kami saksikan sebuah sejarah
Terakam indah
Universiti Kebangsaan Malaysia
Engkau adalah aspirasi
Hasrat pribumi
Sebuah cita yang selamanya di bintang
Hari ini makin rapat di pangkuan
Sebuah perjuangan
Dikeramatkan.

Kami yang berhimpun di sini
Di Dewan Besar ini
Merakam kenangan
Bahawa tatkala gemuruh kemahuan
Maukan sebuah dasar dipastikan
Ada wira menyahutnya
Membimbing
Tun Razak Allhyarham
Putera nusa tercinta
Pahang yang lumrah pahlawan
Menganugerahi
Pemimpin bangsa
Tatkala Negara gelora kemerdekaan
Ianya berganding dalam perjuangan
Bila Negara mencapai kemerdekaan
Ialah tapak pembangunan
Siapakah berani menidakkan
Jasanya dalam pelajaran ?
Memimpin Negara
Dengan jiwa waja
Ia menghadapi cabaran
Melaksanakan sepenuhnya
Dasar pelajaran.

Tatkala negera mencari identiti
Dengan dasar pelajarannya sendiri
Ialah perangka mengetuai
Sebuah dasar dikenali
``Penyata Razak``
Betapa azamnya
Di dalam Negara yang baru mencapai kemerdekaan
Bagi pelajaran ialah menterinya
Melaksanakan apa yang dirangkakan
Tatakala ia diberi kepercayaan
Memimpin Negara
Dengan jiwa waja
Ia menghadapi cabaran
Melaksanakan sepenuhnya
Dasar pelajaran.
Di dalam gemuruh suara rakyat
Maukan institusi pengajian tinggi
Berasaskan aspirasi pribumi
Ialah tokoh sakti merestui
Pembimbing harapan
Penyusun kembali ketidakadilan.

Tun Razak
Jika engkau menyemai benih
Dasar pelajaran
Hari ini tatkala rumpun yang subur
Mulai runduk dengan buahnya yang ranum
Kami mengingatimu
Jasamu tak ternilai
Kampus yang kami huni
Indah permai ini
Engkaulah menerokai
Dan merestui.

Hari ini
Kami dengan penuh kesyukuran
Menghargaimu
Merasmikan dewan permai ini
Dengan namamu
``Dewan Canselor Tun Abdul Razak``
Dengan harapan namamu yang harum
Bercantum dengan aspirasi universiti
Sebagai satu identiti
Abadi.

Dewan ini
Adalah titiktanda kampus kami
Ialah perakam detik peristiwa
Berlaku di sini
Dari gerak siswa
Ke persidangan bijak pandai
Di sini para seniman mencurah ilham
Olahragawan menerima pengiktirafan
Semoga
Tun dalam inspirasi
Di dewan ini
Bersama kami terus menyaksi
Perkembangan universiti.

Jabatan Persuratan Melayu
Oktober 1979.
(Madu Ilmu, 1999: 77-79).

Sekian.

No comments:

Post a Comment