BBB, 26 Sya`ban 1435 = 24 Jun 2014 (Rabu):
Profesor Ismail Hussein yang pernah mengetuai Jabatan
Pengajian Melayu Universiti Malaya (1976-1980) dan memimpin selaku Ketua Satu
Gapena sejak ditubuhkan (1970) dan berterusan lebih tiga dekad adalah tokoh
penting dan berpengaruh di dalam Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu.
Pendiriannya sebagai imej kepada Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya
dan Gapena yang dipimpinnya. Dalam masa dunia persuratan Melayu sebok
memperkatakan tentang Bapa Persuratan Melayu. Ismail adalah tokoh kukuh dengan pendapat
bahawa Abdullah Munshi adalah Bapa Persuratan Melayu Moden. Alasan utama Ismail
Hussein,
``Abdullah adalah penulis Melayu yang pertama yang karyanya
dapat dicetak dan diterbitkan.``
(Abdullah Munshi, Wajah: Biografi Seratus Penulis, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,, 1981: 66).
Karya seperti Kesah
Pelayaran Abdullah (ditulis 1253H.) dicetak (1838M.) dan Hikayat Abdullah
dicetak 1848. Percetakan dan penerbitan di dalam bahasa Melayu pada masa itu
adalah menggunakan tulisa jawi. Tetapi Abdullah menurut pengenalan bagi Kesah
Pelayaran Abdullah:
``Adapun Kesah Pelayaran Abdullah ini telah dicetak
mula-mula sekali di Singapura oleh pengarangnya sendiri, Munshi Abdullah, iaitu
sebelah muka dengan tulisan Jawi dan sebelahnya pula dengan tulisan Rumi. Lepas
itu buku ini telah dicetak beberapa kali di negeri Belanda. Dan dalam tahun
1886 sekali lagi buku ini dicetak di Singapura.``
(Abdullah bin Abdul Kadir, Munshi, Kesah Pelayaran Abdullah,
Malaysia Publications Limited, Singapura, 1965: III).
Merujuk kepada pengeluaran kitab bercetak bertulisan jawi, sekadar
bandingan, maka adalah yang terawal dicetak antaranya di Mesir seperti
Percetakan al-Maymaniyyah (1309H.), al-Matba`ah al-Karimi al-Islamiyy, Misr
(1315H.), al-Matba`ah al-Miriyyah al-Ka`inah, Makkah (1300H.), al-Matbaah
al-Imam Singapura (1326H.). Percetakan-percetakan yang lain lebih kemudian dari
tarikh-tarikh di atas. (Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik bin
Abdullah (Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya,
Tesis Sarjana di IBKKM, UKM, 1976/77: 487-511).
Soal karya Abdullah Munshi dikatakan tulisan di dalam bahasa
Melayu terawal dicetak maka adalah difahami bahawa buku Kesah Pelayaran
Abdullah dicetak mula-mula sekali di Singapura oleh pengarangnya sendiri 16
tahun sebelum beliau meninggal (Abdullah meninggal 1854M.). Ini bererti dia
mencetak dan menerbitkan karangannya sejak lebih 150 tahun lepas, berbanding
kitab-kitab Jawi tertua (1435-1300H) adalah sejak 135 tahun yang lepas. Ertinya
buku Hikayat Pelayaran Abdullah memanglah lebih awal dicetak dari percetakan
kitab-kitab yang pada awalnya dicetak di Makkah, Mesir dan kemudian di
Singapura – juga Pulau Pinang.
Tetapi persoalannya, apakah tujuan Profesor Ismail Hussein
menjadikan faktor percetakan sebagai ciri moden dan Abdullah Bapa bagi
Persuratan Melayu ? Kita berpendapat baharu dan moden seharusnya dikira dari
segi kandungan yang membawa kelainan dan pembaharuan. Berbanding pada masa yang
sama ulama` seperti Shaykh Daud Patani yang bergiat di Makkah pada pertengahan
abad ke 19, lebih kurang sezaman dengan Abdullah Munshi. Beliau mengarang lebih
dari 30 buah kitab untuk dakwah Islamiah. Dalam kajian Penulis:
``Bahkan pada masa itu semua kitab-kitab disalin tangan,
manakala kitab-kitab di dalam bahasa Melayu masih sedikit. Kekurangan ini telah
menimbulkan dorongan Shaykh Daud al-Fatani untuk mengarang kitab-kitab jawi.
Pelajar-pelajar pada masa itu terpaksa
membelinya dari penyalin-penyalin atau mengupah penyalin-penyalin khusus
atau menyalinnya sendiri. Shaykh Daud sendiri mempunyai kumpulan
penulis-penyalin setiap kitab yang dihasilkannya, sedia disalin dalam jumlah
naskhah yang banyak oleh pegawai-pegawai penyalinnya untuk dimiliki oleh orang
lain.``
(Shafie bin Abu Bakar, Haji Abdul Malik bin Isa (Cicit Tok
Pulau Manis, Pesaka VIII, Lrmbaga Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu,
1992: 30).
Antara kitab Shaykh Daud al-Fatani yang popular disalin
ialah Munyat al-Musalli dikarang 1242H.(disalin 1277H.). Kitab-kitab Shaykh
Daud yang disalin disebarkan kepada para jamaah Haji yang datang ke Makkah dan
mereka membawa balik kitab-kitab yang disalin untuk dijadikan bahan pengajaran
di tempat masing-masing di Kepulauan Melayu.
Sama ada pada masa zaman belum ada percetakan karangan
Shaykh Daud telah popular dan tersebar di pelusuk Nusantara, lebih-lebih lagi
selepas adanya percetakan. Ini ialah kerana karangan-karangannya ialah panduan
keilmuan Islam yang diamal oleh masyarakat umat Islam. Kita tidak fikir
karangan Abdullah Munshi popular di tengah masyarakat sebagaimana
karangan-karangan Shaykh Daud Patani. Significantnya adalah kerana pembaharuan
yang dibawa di dalam karangannya.
Point yang Penulis ingin tekankan, bahawa faktor percetakan
tidak kuat untuk dijadikan hujah, bahawa dengannya menjadikan sesebuah karang
ini moden, mendahului zaman dan sebagainya. Faktor penentu utamanya ialah
kandungan yang dibawa dan sejauh mana ianya membawa perubahan dan perspektif
baru dalam bidang persuratan. Memang banyak elemen-elemen pembaharuan yang
dibawa oleh Abdullah, tetapi percetakan bukan elemen yang menjadikannya moden
atau sebaliknya. Pembaharuan ini tetap dikira sekiranya buku-buku Abdullah
dicetak kemudian dari tarikh-tarikh percetakan kitab-kitab di atas atau
buku-buku yang lain. Keberadaan beliau pada zamannya dengan pembaharuan yang
dibawa lebih penting dari karyanya dicetak atau tidak.
Sekian.
No comments:
Post a Comment