BBB, 5 Sya`ban 1435 = 2 Jun 2014 (Isnin):
Perpustakaan Induk UKM siap pada awal1980. Dengan itu
perpustakaan sementara di aras 3 dan 5 bangunan Pentadbiran di Bangi yang dipindahkan
dari Jalan Pantai pada Oktober 1977 dipindahkan ke bangunan kekal awal 1980.
Seawal perpindahan telah difikirkan tentang nama yang sesuai
diberikan kepada perpustakaan. Adalah diharapkan nama perpustakaan berkenaan
dapat disiapkan sebelum perasmian dilakukan.Tinjauan dibuat kepada pihak-pihak
yang releven, terutama mereka yang berkaitan dengan bidang kesusasteraan dan
kebudayaan Melayu. Antara pendapat ditinjau dari En. Shaharom Husain seorang
ahli drama dan menjadi karyawan Tamu Jabatan Persuratan Melayu UKM. Penulis
turut ditinjau pandangan dan turut sama mencadangkan bahawa nama Tun Seri
Lanang diabadikan sebagai nama Perpustakaan UKM. Bahkan Penulis diminta
menggubah sebuah puisi sempena menamakan Perpustakaan dengan nama Tun Seri
Lanang.
Daripada tulisan Shaharom Husain dipetik pendapatnya tentang
Tun Seri Lanang:
``… Tun Seri Lanang seorang besar kerajaan Melayu Johor yang
chintakan sejarah Tanah Ayer dan Kesusasteraan Melayu. Zaman hidup-nya kira2
akhir Kurun Masehi ke XVI hingga awal Kurun Masehi XVII. …. Nama timbangan Tun
Seri Lanang terkenal dalam Kesusasteraan Melayu … Tun Mahmud di-kenal dalam
kalangan kaum kerabat-nya kerana itulah nama batang tubuh-nya yang sa-benar.``
``…. Sungguh pun beliau berdarah bangsawan dan berpangkat
jawatan bendahara Kerajaan Johor, tetapi perkhidmatan-nya bersama2
berkechimpong di lembah Kesusasteraan Melayu itu-lah yang membuat nama beliau
hingga sekarang di-kenal dan di-sanjung oleh orang ramai terutama peminat2
sastera kita. Hasil2 kesusasteraan-nya yang berbentuk prosa dan puisi yang
di-susun atau di-karang-nya di-antara T.M. 1612 dengan T.M. 1615 di dalam
``Sejarah Melayu`` itu, maseh tetap menguntum semerbak, di-pandang kelasik dan
bernilai tinggi hingga sekarang.``
Dipetik dari Tun Seri Lanang,
Riwayat hidup dan Sandiwara,
Oleh Shaharom bin Husain.
(Microfis).
Adapun kepada Penulis diminta oleh pihak Perpustakaan
beberapa minggu untuk digubah puisi berhubung dengan `Perpustakaan Tun Seri
Lanang` dan menyerahkan kepada pihak Perpustkaan tidak lewat dari akhir
pertengahan Jun 1980 untuk dinilai bagi dimasukkan dalam buku Cenderamata
Perasmian Penamaan Perpustakaan yang akan diadakan pada 19hb. Sya`ban 1400
bersamaan 2hb. Julai 1980. Puisi yang dihantar dan diterima ialah:
Perpustakaan Tun Seri Lanang
Kami yang meneliti jejak zaman
Kegunaan warisan
Inti pemikiran bangsa dan budaya
Untuk diabadikan
Pada gedung ilmu ini
Menemui kepastian
Tiada lain darimu
Tun Seri Lanang
Kau sekaligus pendita dan pujangga
Mentari zaman di ufuk Nusantara.
Telah kau bicarakan tentang warisan
Titisan peradaban dunia
Teradun dalam jalinan
Dan engkau dengan segala kemegahan
Menjunjung peradaban bangsa
Berpusat di Melaka
Cahaya timur
Menarik segala bangsa
Menikmati kemakmuran
Segalanya kau rakamkan
Di dalam kitab
Sulalatu`s-Salatin Hikayat Melayu
Melaluinya
Akar warisan tersirat
Peradaban bangsa tersingkap.
Perpustakaan ini
Inti institusi pengajian
Laut ilmu mengadun
Rakaman penemuan
Berbagai bidang
Sumber memupuk
Peradaban bangsa
Waris budaya
Warga dunia
Di sini pencinta ilmu
Karam dalam kehausan
Di laut ilmu tanpa watas
Menghirup piala tanpa puas.
Tun Seri Lanang
Engkau adalah asas
Perlanjutan budaya
Kemegahan bangsa
Dan perpustakaan ini
Inti institusi aspirasi bangsa
Tegaknya dengan harapan menjulang
Dalam renungan tersirat
Adalah lanjutan dari apa yang kautegak
Selaku wira pengukuh bangsa
Benih yang kau semaikan
Sumbangan tak ternilai
Memupuk kesedaran
Budaya dan intelektual
Lantaran itu
Kami pilih namamu
Abadi pada perpustakaan ini
``Perpustakaan Tun Seri Lanang``
Moga
Perpustakaan ini
Turut memperkembang
Budaya dan intelektual
Berterusan.
Shafie Abu Bakar
Jabatan Persuratan Melayu.
10hb. Jun, 1980.
(Madu Ilmu, 1999: 75-76).
(Selepas dihantar dan dinilai, pihak perpustkaan menemui
Penulis, bahawa pihak AJK Penilai minta izin Penulis untuk mengubah satu
perkataan pada baris dua dalam puisi ``Keagungan warisan`` ditukar kepada
``Kegunaan warisan``, Penulis bersetuju dan dimasukkan dalam buku Cenderamata
Sempena Majlis Perasmian Perpustakaan 19hb. Sya`ban 1400 = 2hb. Julai 1980).
Buat beberapa masa Puisi Perpustakaan Tun Seri Lanang ini
disalin, diperbesar, dipamer dan digantung di Perpustakaan Tun Seri Lanang,
tetapi kini puisi ini tiada kelihatan lagi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment