June 11, 2014

Falsafah Pemikiran Syed Naquib Merubah Pegangan Tradisional Pendapat Disemai Barat: Tentang Kedatangan Islam

-->
BBB, 12 Sya`ban 1435 = 10 Jun 2014 (Selasa):

Sejak awal Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas berkhidmat di UKM sebagai Dekan Fakulti Sastera dan mengajar di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti berkenaan sejak kampus UKM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur beliau membawa kelainan-kelainan yang berkesan yang dicetuskan di dalam kuliah-kuliah beliau. Sebagai seorang tokoh falsafah yang diakui dunia beliau melontarkan idea-idea yang berat, tetapi bernas dan mencabar.


Pendapatnya yang bernas dan jitu, antaranya bahawa beliau menyangkal pendapat orientalis Barat yang melihat bahawa Islam di Alam Melayu adalah datangnya dari India, bahkan cara datangnya juga sama dengan cara datangnya agama Hindu ke Alam Melayu sebelumnya. Menurut orientalis kepercayaan masyarakat Melayu terhadap kefahaman Hindu begitu mendalam, sedangkan kepercayaan terhadap Islam yang datang kemudiannya juga melalui India menipis dan bersifat luaran seperti kulit bawang. Pendapat orientalis ini menjadi pegangan dominant di pengajian-pengajian tinggi berpengaruh, khususnya tentang kebudayaan Melayu:
Tentang Pengaruh Hindu-Buddha ini antaranya kata J.C. van Leur tentang Indonesia (Termasuk Tanah Melayu):


``The culture of early Indonesia and early Indo-China bears the stamp of Brahmanism and Buddhism, and the sea routes carried the Indian there.``
(J.C.van Leur, Indonesian Trade And Society, W. van Hoeve Publishers Ltd, The Hague, 1967: 4).

Syed Naquib menyanggah pendapat seperti Winstedt, Van Leur, Roelofsz dan lain-lain dengan menyatakan:
``In the general survey, my purpose will be merely to draw pertinent conclusion derived from historical facts and theoretical analysis outlining the major changes in the world view of the people of the Archipelago which were brought about by the coming of Islam. Indeed, I would go so far as to assert that, with reference to the above remark, the coming of Islam, seen from the perspective of modern times, was the most momentous event in the history of the Archipelago.``  Tambah Naquib:


``Hinduism, as the people of the Archipelago practiced it, was a super-structure maintained by the ruling group above an indifferent community. The community`s participation in Hinduism was a necessary influence from above; the religion was imposed on the community by the authority of the ruling group. The Malay-Indonesian society was therefore not a Hinduized society, rather the Malay-Indonesian dynasties were, to use the expression of Van Leur, ``legitimized sacrally by an Indian hierocracy.``
(Al-Attas, Syed Naguib , Preliminary Statement On A General Theory Of The Islamization Of The Malay – Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 2).

Banyak hujah-hujah logic yang diketengahkan yang menunujukkan bahawa Islam yang diterima masyarakat di Alam Melayu bukannya dari India, tetapi dari pendakwah-pendakwah Asia Barat. Antara hujah bahawa pegangan Islam masyarakat di Alam Melayu tidak mengikut Mazhab Hanafi sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian besar penganut Islam di India, sedangkan penganut Islam di Alam Melayu adalah bermazhab Shafie. Jika ada pendakwah turun dari jalan pelayaran melalui India, tidak semestinya dari India. Contoh Nuruddin al-Raniri seorang pendakwah Islam yang datang ke Aceh, sungguhpun beliau turun dari Gujerat, tetapi beliau adalah seorang Arab, bukannya India, bahkan beliau yang bermazhab Shafie yang berketurunan dari Makkah mengarang dan mengajar Islam menurut Mazhab Shafie, bahkan beliau mengarang Kitab Sirat al-Mustaqim yang merupakan Kitab Fiqh terawal yang terkarang dalam bahasa Melayu menurut Mazhab Shafie dan masih kedapatan dan digunakan pada hari ini.
Selain daripada itu pembacaan Al-Qur`an yang diwajibkan bagi seorang muslim sekurang-kurangnya untuk dibaca di dalam solat, memperlihatkan bahawa cara bacaan orang Melayu langsung dari gaya bahasa orang Arab dengan fasih sebutan dan bacaan dan berlainan sekali dari lidah India-Muslim yang slang dan gaya bacaan mereka begitu berlainan sekali.


Satu dinamika yang dibawa oleh Islam ialah falsafah tauhid yang mengesakan Allah dan menolak syirik yang memuja patung sebagaimana banyak terhasil di Bukit Seguntang – Sumatera sebagai saki baki kerajaan Sriwijaya, iaitu patung-patung berbagai jenis dan bentuk yang menjadi kepercayaan kalangan pemerintah dari masyarakat feudal. Islam juga menolak mitos dan legenda yang dikaitkan dengan golongan atasan feudal bagi mengukuhkan kedudukan di pandangan mata rakyat.

Satu lagi dinamika yang di bawa oleh Islam, ialah melahirkan pusat perdagangan dan pusat pemerintahan yang dimakmurkan oleh pedagang-pedagang Islam. Pusat-pusat dagang dan menjadi pusat pemerintahan ialah seperti Pasai, Melaka, Acheh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Patani, Gresik Jawa, Makasar, Riau, Manila (dibangunkan oleh Sultan Sulaiman sebelum dikuasai Spanyol) dan Brunei. Melalui pusat-pusat perniagaan dan pusat pemerintahan berkembangnya pengajaran Islam dan darinya contoh Melaka dan Acheh menjadi pusat dakwah dan berkembangnya agama Islam ke seluruh Alam Melayu.

Bila Barat datang menggugat kedudukan, maka dengan prisai dan jiwa keislaman umat Islam di pusat-pusat berkenaan menyanggah dan berjihad menentang kehadiran Barat. Walaupun Barat akhirnya dapat menguasai wilayah-wilayah Islam di Alam Melayu, mereka hanya dapat menguasai dari segi politik pemerintahan, tetapi tidak dari segi jiwa dan keyakinan keislaman, kecuali dengan paksaan yang keras seperti terjadi di Manila Flipina, lantaran itu umat Islam di Alam Melayu tetap dengan dinamika keislaman yang terus dipertahan dan diperjuangkan.

Sekian.

1 comment: