June 16, 2014

Pendekatan Secara Mikro Bangi Bandar Ilmu Berindukkan Masjid Al-Umm

-->
BBB, 17 Sya`ban 1435 = 15 Jun 2014 (Ahad):

Elemen utama secara realiti yang mencirikan BBB sebagai Bandar Ilmu ialah Masjid dan Suraunya yang berjumlah 30 buah. Masjid dan surau dihidupkan bukan saja dengan kegiatan ibadah, tetapi pengajaran-pengajaran. Antara  masjid dan surau yang menonjol, ialah Masjid al-Hasanah dan Surau Al-Nur. Faktor-faktor lain seperti wujudnya universiti-universiti sekitar Bangi, Pusat-Pusat Penyelidikan, Kompleks Pendidikan Islam, Darul Shifa` dan penduduk Bangi yang rata-rata terdidik dengan keilmuan dan cintakan ilmu pengetahuan mengukuh Bangi sebagai Bandar Ilmu. Dengan infra-struktur keilmuan berkenaan BBB sudah layak dan memang telah diisytiharkan sebagai Bandar Ilmu sebagaimana telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS, Bandar Baru Bangi. Perbincangan Meja Bulat dilihat sebagai mencari jalan bagi mempertingkatkan imej Bangi yang sememangnya sudah beridentiti sebagai Bangi Bandar Ilmu.


Kertas kerja pertama oleh Dr. Shafie Abu Bakar mengambil pendekatan mikro di atas. Beliau sebagai Pengerusi dan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm mempunyai visi dan misi merangka pendekatan dan kegiatan Masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan (2015). Kedudukan Masjid Al-Umm begitu strategic di dalam `Wadi` antara bukit dan perlembahan dan persekitaran mempunyai 1 masjid, 8 surau, 1 Darul Shifa`, 1 Kompleks Pendidikan Islam dan 4 sekolah (tidak termasuk Kafa di bawah surau-surau). Kawasan ini terkenal dengan kegiatan ilmu di institusi-institusi berkenaan. Sebab itu ianya dijadikan model bagi membangunkan zon ilmu dengan penambahan infra-struktur keilmuan diperlukan. Zon ini dikenali dengan Wadi Bangi Bandar Ilmu atau secara ringkasnya `Wadi Ilmu`. Pendekatan Mikro ini boleh diluaskan ke seluruh Bangi dengan menurut mekanisme yang sama dengan penambahan masjid sebagai induk bagi surau-surau di bawahnya. (Pembahagian surau-surau di bawah sesebuah masjid ditentukan oleh pihak berkuasa JAIS). Institusi-institusi lain yang boleh mempertingkatkan prestasi keilmuan di bawah sesuatu zon masjid boleh ditambah menurut keperluan.


Keperluan lain bagi meningkatkan imej Wadi Ilmu dan identiti seluruh Bangi sebagai Bandar Ilmu, ialah kegiatan yang seharusnya dijalankan oleh Masjid al-Umm ialah mengadakan pengajian mengikuti solat waktu terutama antara Maghrib dan Isya` dan hujung-hujung minggu, mengadakan konvensyen Ilmu terutama pada cuti persekolahan dan package pengajian. Masjid akan mengadakan Pengajian Tahfiz berasrama. Mereka belajar di Sekolah rendah, menengah atau agama integrasi menurut kelayakan umur masing-masing dan mengikuti tahfiz di waktu lain daripada itu.


Pihak Masjid Al-Umm bercadang mengadakan Pengajian Pondok Masjid  yang diikuti oleh warga emas dan orang tua. Penginapan disediakan bagi yang tidak mempunyai penginapan. Kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tempatan adalah diharapkan bagi mengisi slot-slot pengajian yang bersesuaian dan berusaha mendapat pengiktirafan.

Kompleks Pendidikan Islam dilihat sebagai institusi penting di dalam memprojekkan imej Bangi Bandar Ilmu dan kegiatan-kegiatan dijalankan sejak perasmiannya pada tahun 2013 dengan pendidikan Sekolah, ceramah mingguan dan wacana Pemikiran Bangi. KPI wajar bekerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi di Bangi memberi penerangan tentang peluang bagi pelajar dan penduduk Bangi mengikuti pengajian dan pendedahan berbagai bidang keilmuan. KPI wajar bekerjasama dengan Sekolah-sekolah di Bangi bagi memajukan pelajaran anak-anak di Bangi.


Surau Al-Nur adalah antara surau paling aktif dan terkenal bukan saja di Bangi, tetapi di luar Bangi. Surau yang berada di Wadi Ilmu Bangi ini menjadi contoh yang baik bagi surau-surau. Surau Al-Nur wajar menyusun dan menyelaras kegiatan surau-surau di Wadi Ilmu dan berperanan sebagai bank maklumat tentang tokoh-tokoh yang dapat dijemput oleh surau-surau. Kegiatan Takaful di surau ini patut dikembangkan kepada surau-surau lain.


Sebuah Pusat Perubatan Islam Dar al-Shifa` di Bangi, adalah sebuah institusi yang unik di bawah Pengasas dan Pimpinan Dato` Dr. Haron Din – Tokoh Ulama` terkenal. Institusi ini terkenal di seluruh Negara dan mempunyai cawangan di negeri-negeri. Dar al-Shifa` yang berada di dalam zon Wadi Ilmu diharap makin berkembang dan memberi ruang dan peluang bagi pelajar-pelajar yang layak untuk mengikuti pengajian di Dar al-Shifa`. Adalah difaham Dar al-Shifa` telah bekerjasama dengan Fakulti Perubatan beberapa universiti. Sudah tentu ini bukan saja mempopularkan Dar al-Shifa, tapi turut memperkenalkan Bangi Bandar Ilmu. Berbagai surau selain daripada yang disebutkan di atas adalah sama memberi perhatian pada perkembangan keilmuan dan sama mengadakan berbagai kegiatan yang memprojekkan Bangi Bandar Ilmu.


Bagi melaksana, menjaya dan mempertingkatkan Bangi Bandar Ilmu Pengajian Masjid di Wadi Ilmu memerlukan bangunan serba guna yang kawasan sesuainya ialah di Medan Usahawan. Bangunan bertingkat di sini perlu diusahakan bagi menempatkan Pejabat Pentadbiran, Dewan-Dewan Kuliah, Seminar dan Konvensyen. Sebuah Perpustakaan yang lengkap yang bersesuaian dengan berbagai pengajian di Wadi Ilmu juga perlu diadakan di bangunan yang dirikan. Begitu juga Hotel Bajet juga perlu diadakan untuk inapan mereka yang datang belajar di hujung minggu, mingguan, bulanan dan kursus package, begitu juga dengan makmal computer dan berbagai alat komunikasi. Klinik Dar al-Shifa berserta klinik lain yang diintegrasi dengan Dar al-Shifa` juga perlu diadakan di bangunan berkenaan bagi kemudahan orang awam mendapat rawatan. Termasuklah penyediaan katil-katil bagi pesakit-pesakit..


Di bangunan yang diharap dapat dibina akan diwujudkan bahagian penerbitan bagi mengeluarkan buku-buku dan maklumat-maklumat serta penerbitan dari berbagai  bidang, seterusnya diwujudkan galeri dan ruang pameran. Seterusnya ruang perniagaan dan makanan.

Satu tugas yang penting bagi menyelaras dan meningkatkan kemajuan Wadi Ilmu ialah merangka dan menyusun kurikulum bagi setiap kursus  dan pengajaran bagi semua kategori pengajian. Kemudahan bersukan dan beriadah perlu disediakan bagi menjaga kesihatan. Padang awam dan Dewan Orang Ramai berdekatan masjid adalah dipohon dari pihak berkuasa bagi meningkatkannya untuk berbagai kegiatan bersesuaian, termasuk bagi sukan.


Wadi Ilmu Bangi perlu menubuhkan Ahli Jawatankuasa pembinaan Komplek Pengajian setelah mendapat keizinan menggunakan tapak dan mencari dana bagi membina Kompleks Kebelbagaian tujuan dan pentadbiran bagi semua pengajian. Bagi memantapkan perjalanan dan pengajian secara teratur dan berkualiti memerlukan sebuah jawatankuasa yang mantap yang dapat merealisasikan Wadi Ilmu yang berindukkan Masjid Al-Umm.

Adalah diharapkan pengajian di Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm bersifat Jami` (universiti) menjadi kenyataan yang boleh diikuti dan dicontohi oleh masjis-masjid dan surau-surau yang lain.
Usaha membangunkan Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm merupakan sumbangan ke arah  Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Sekian.

No comments:

Post a Comment