21 Sya`ban 1435 = 19 Jun 2014 (Khamis):
Bangi Bandar Ilmu dapat diperkukuhkan dengan berbagai-bagai
faktor dan elemen. Bandar ilmu dengan wujud di dalamnya dan disekitarnya
beberapa buah universiti dan masjid serta surau-suraunya giat dengan kegiatan
ilmu pengetahuan, walaupun sudah layak dipanggil Bandar Ilmu, tetapi kewujudan
elemen-elemen yang lain lagi lebih mengukuhkan Bangi Bandar Ilmu.
Antara faktor kukuh di BBB seharusnya mempunyai tokoh-tokoh
yang kukuh di dalam bidang-bidang keilmuan tertentu dan terkenal keluar dari
Bangi. BBB ada elemen ini, tetapi tidak cukup ramai bagi menyemarakkan Bangi di
dalam bidang-bidang kepakaran. Setengahnya tidak ditonjolkan. Inisiatif perlu
diambil oleh Pendukung Bangi Bandar Ilmu mengukuh dan memperkenalkan
tokoh-tokoh yang berkelayakan.
Faktor yang menonjolkan sesuatu tempat ialah adanya pemikiran
dan karya-karya besar dihasilkan di tempat berkenaan. Misalnya Al-Khuarizmi
yang menghasikan kaedah geometri menjadikan diri dan tempat asalnya al-Khuarizmi
terkenal. Bukhari penghimpun Hadith menjadikan diri dan tempatnya terkenal. Adakah
ulama` dan Intelektual BBB menghasilkan karya ilmiah ? Sudah tentulah ada dan
ramai. Tetapi setakat ini tidak ada karya agung yang diterima dan diperkatakan
di Bangi dan di Malaysia .
Pendukung BBI perlu berusaha menonjolkan karya-karya bermutu dan terkenal di
dalam Negara bahkan hingga ke luar Negara. Jika belum ada usaha dan galakan
bagi penghasilan perlu dilakukan.
Satu cara memprojekkan Bangi Bandar Ilmu, pendukung Bangi
Bandar Ilmu hendaklah mendapatkan tenaga pakar bagi melibatkan diri di dalam
kerja-kerja penyelidikan mengenai topik-topik menarik secara persendirian atau
kerjasama dengan pihak lain dengan mendapat tunjangan dari pihak swasta atau
kerajaan. Hasilnya diwacana dan diterbitkan oleh pihak Bangi Bandar Ilmu atau
secara bersama.
Sehubungan dengan penghasilan karya-karya ini, sesuatu
Bandar Ilmu kukuh identitinya dengan adanya industri buku di tempat berkenaan.
Antara industri buku dimaksudkan antaranya wujudnya penerbit-penerbut buku
popular yang menerbit buku-buku pengarang terkenal dan menjadi rebutan pembeli.
Sebagai contohnya `Telaga Biru` yang diusahakan oleh pasukan usahawan muda yang
berjiwa agama dan menerbitkan buku-buku di dalam bidang-bidang terkenal. Telaga
Biru dapat membina imej sebagai penerbit buku-buku bahkan majalah keislaman.
Bangi Bandar Ilmu juga patut ada penerbit buku-buku sedemikian. Dalam hubungan
ini juga perlu wujudnya kedai-kedai buku berwibawa dan ilmiah menjadikan Bangi
terkenal dengan kedai-kedai buku bermutu. Pendukung Bangi Bandar Ilmu harus
menggalakkan pengusaha-pengusaha kedai buku bertapak di Bangi. Pengusaha dan
penerbit buku seperti `Shabab` yang ada
patut diberi galakan dan sokongan. Karnival dan jualan buku tahunan atau
dwi-tahunan di Bangi satu cara memperkenal dan melariskan jualan buku.
Tercetusnya Polimik Ilmiah pada sesautu tempat dan masa
menonjolkan imej setempat. Misalnya dengan berlakunya Peperangan Sifin
mencetuskan kelahiran Khawarij, seterusnya Qadariyyah, Jababariyyah dan
Mu`tazilah. Ini melahirkan padangan yang bersifat falsafah di dalam Islam yang
kesannya ketara di dalam keilmuan Islam. Apakah mungkin lahir polimik Ilmiah
tentang isu-isu keilmuan di Bangi ? Setakat ini masih belum lahir dan diharap
akan tercetus polimik keilmuan berhubung dengan sesuatu topic yang memberi imej
baik bagi Bangi Bandar Ilmu. Kita pernah cetuskan pendapat bahawa di Bangi
perlu ada institusi yang dikenali sebagai `Pemikiran Bangi`, iaitu kelompok
ilmuan dan pemikir yang membicarakan sesuatu isu releven dan semasa dari satu
masa ke satu masa. Pendapat dari kelompok `Pemikiran Bangi` ini seharusnya dihormati
masyarakat kerana kejituan pendapat dan menjadi rujukan luar yang kelompok ini
atau individu darinya menjadi rujukan pendapat oleh media dan masyarakat.
Walaupun sudah ada Wacana Pemikiran Bangi, tetapi tidak menjadi rujukan oleh
media dan masyarakat. Lantaran topik-topik dibicarakan juga tokoh-tokoh tidak
menonjol, tidak ada penerbitan susulan yang berhubung dengannya untuk dijadikan
rujukan. Ini bererti ada kelemahan yang perlu di atasi dan pembaikan perlu
dilakukan bagi meningkatkan reputasi Pemikiran Bangi di BBB.
Kita memperkatakan bahawa Bangi bersemarak dengan ilmu,
bahkan disifatkan sebagai Taman atau Wadi
Ilmu. Adakah setakat ini ianya menjadi daya tarikan orang datang ke Bangi
Bandar Ilmu melakukan ziarah Ilmu ? Mungkin tidak ketara dan pengajian berlaku
sesama setempat. Bangi Bandar Ilmu seharusnya menjadi tarikan
pengunjung-pengunjung Ilmu, bahkan boleh jadi sebagai `Pelancongan Ilmu. Mereka
datang secara bersendiri atau secara package. Pusat-pusat pengajian hendaklah
diatur dan diselaraskan hingga memudahkan pengunjung-pengunjung ilmu yang
datang. Ini termasuk menyediakan inapan yang menjadi tumpangan mereka untuk
mengikuti berbagai-bagai ilmu yang ditawarkan. Lokasi-lokasi pengajian dan pra-sarana
juga seharusnya disedia dan dijaga agar ianya menjadi sebagai Taman Ilmu.
Kita lebih membicarakan imej Bangi Bandar Ilmu dengan adanya
universiti-universiti di sekitar Bangi, sebenarnya satu cara mempertingkatkan
imej Bangi Bandar Ilmu ialah dengan mengadakan sekolah pada peringkat menengah berbagai
aliran yang baik yang menjadi tarikan pelajar-pelajar untuk datang belajar pada
peringkat menengah di Bandar Baru Bangi dan seterusnya ke universiti. Peranan
ini wajar diambil inisiatif oleh Kompleks Pendidikan Islam Bangi, tapi untuk
menarik minat belajar di sini sekolah hendaklah membuktikan prestasinya terbaik
– dengan guru, kurikulum dan pentadbiran terbaik, menjadi rebutan pelajar untuk
datang.
Bangi Bandar Ilmu adalah wawasan besar. Pasukan pendukungnya
seharusnya mempunyai visi dan misi yang jelas, tidak sekadar ikut-ikutan dan
tidak seharusnya menjadi platform bagi tujuan yang lain. Gagasan seharusnya
diprojek dan disusun dengan teliti oleh pakar-pakar berwibawa, dihormati
keilmuan dan berkemampuan dari segi pentadbiran. Gagasan perlu diterjemahkan
menjadi realiti dan seharusnya menunjukkan prestasi yang tinggi dan berdaya
maju. Jika terbukti menyerlah tentu mendapat dokongan dan sokongan dari
berbagai pihak – tempatan dan luaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment