June 14, 2014

Tulisan Jawi Mengapa Di Terengganu ?

-->
15 Sya`ban 1435 = 13 Jun 2014 (Jumaat):

Satu penemuan penting tentang bukti kedatangan Islam ke Alam Melayu, ialah penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang bertarikh Jumaat 4 Rajab 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi. Ini bererti sudah 7 abad selepas Hijratul Rasul dan 7 abad sudah pengislaman di Terengganu (1435 – 702 = 733) Hijrah dan (2014 – 1303 = 711) Masihi.
Persoalannya mengapa di Hulu Terengganu, tetapi tidak di Pasai yang kedua-dua negeri sama maju pada akhir abad ke 12 dan abad ke 13. Logiknya Pasai di jalan lebih awal dari Terengganu menerima Islam (Kuburan Malikul Saleh bertarikh 1297 berbahasa Arab) berbanding dengan Kuala Berang yang jauh ke dalam ke Hulu Terengganu. Kita percaya penerimaan Islam di Pasai dan Terengganu pada akhir abad 13M adalah dari gelombang kehadiran pendakwah yang juga pedagang dalam masa yang sama.


Dilihat kepada Pasai, negeri itu tidak saja maju dari segi perdagangan, tetapi sudah ada perkembangan dari segi tulisan sejak abad ke 14 ke 15 di Palembang yang tidak jauh dari Pasai sudah ada tulisan tempatan yang dikenali dengan tulisan rencong (Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei, 1995: 9), Jadi tumpuan tulisan adalah terhadap tulisan tempatan. Bukan itu saja terbukti sesudah lama menerima Islam, terdapat catatan pada sebuah kuburan Islam – Kuburan Imam Warda bertarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M. masih lagi menggunakan tulisan Pallawa, walaupun membawa persoalan Islam. Kata tulisan tersebut:

Hijrah nabi mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarssa
Haji catur dan dasa vara sukra
Raja iman (varda) rahmatullah
Gutra bha(ru)bha sa(ng)mpu hak kedah pase ma
Tarukk tasih tanah samuha
Ilahi ya rabbi tuhan samuha
Taruh dalam svargga tuhan tatuha
(Teuku Iskandar, 1995: 110).

Catatan di atas tentang kematian Imam Warda, Kedah menguasai Pasai dan doa kepada Allah supaya dibalas dengan syurga. Jelas persoalan yang dibicarakan tentang Islam. Ini bererti telah 86 tahun bukti Islam di Terengganu dengan Batu Bersurat Terengganu, sedang Pasai masih belum menggunakan tulisan jawi.

Mengapa Tulisan Jawi terawal lahir di Terengganu, antaranya di Terengganu belum lahir huruf-huruf tulisan setempat yang boleh menghalang atau melambatkan kemasukan sebarang tulisan. Tulisan-tulisan mengenai negeri Terengganu pada peringkat awal bukan dari catatan dari anak tempatan, kerana belum ada tradisi tulisan tempatan sebaliknya catatan tentang negeri itu dilakukan oleh pelayar-pelayar Cina dan kemudia pedang-pedagang Islam dan barat. Lantaran itu, bila Islam datang, Terengganu masih belum mempunyai tradisi penulisan, sebab itu pengenalan Tulisan Jawi di negeri itu lebih mudah. Satu sebab lagi yang mendorong segera menerima tulisan Jawi, ialah kerana pendakwah yang datang adalah dari kalangan ulama, bukan semata pedagang. Ulama ini dapat mendekati istana Raja Mandalika yang meminati ilmu dan mudah berurusan bagi pengajaran agama dan tulisan.


Batu Bersurat Terengganu mengisytiharkan yang agama Islam menjadi agama rasmi di negeri itu dan hukum-hukum mengenai hutang piutang, hukum mencuri, mungkir janji dan mereka yang berzina. Selain dari hukum hakam keislaman, jelas bahawa terdapat istilah-istilah hulu Terengganu yang juga digunakan di kalangan masyarakat yang diam di sepanjang sungai Terengganu ke Hulunya, seperti sepeha (bererti satu perempat), tengah tiga, tamra (benua), hembelang (rejam), balacara (maksiat). Dengan istilah-istilah ini menafikan tentang adanya pendapat yang Batu Bersurat ini dibawa dari luar’
(Muhammad Saleh bin Haji Awang, Mengkaji Sejarah Terengganu, Mansor Press, Kuala Terengganu, 1954: 31-35).

Sebenarnya tempat diketemui Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang itu begitu strategik. Ianya merupakan pecahan anak Sungai Terngganu yang terus ke Hulunya, tetapi sungai ini bercabang ke Berang, sebab itu dinamakan Kuala Berang tidak jauh dari muara kuala Berang ini bercabang satu anak sungai yang dikenali dengan Sungai Tersat yang menjadikan tanah bersempadan dengan Sungai Terengganu dan dibelah oleh sungai Tersat menjadi tanah sebagai tanjung yang dikenali dengan Kampung Buluh. Di Kampung Buluh ini berdepan dengan Sungai Tersat tempat didirikan Batu Bersurat Terengganu, iaitu dua muara sungai kecil yang mengalir ke Sungai Terengganu. Tempat strategic ini merupakan pusat dagangan pada zaman tradisi dan tempat diabadikan Batu Bersurat.

Tulisan dikenali dengan `Tulisan Jawi`, tetapi tidak dengan `Tulisan Melayu` adalah nisbah dari orang Arab terhadap penduduk di Alam Melayu dan yang ramai diketemui di Makkah ialah orang Jawa, mereka menganggap orang Melayu juga `Orang Jawa`. Kerja-kerja menyalin kitab yang berlaku di Makkah, contoh semasa Shaykh Daud Patani dan kumpulan penyalin dari kalangan murid-muridnya pertengahan abad 19 membezakan antara naskhah yang disalin dalam bahasa Arab dan Jawi (Melayu) yang dikirim ke Alam Melayu melalui jamaah Haji – Shaykh Daud juga sebagai Shaykh Haji pada masanya di Makkah.

Sekian.

1 comment:

  1. salam tuan. ini hanya maklumat yang saya perolehi. dan saya percaya ianya boleh dibuktikan sebagai benar. batu bersurat terengganu sebenarnya bukan dijumpai di hulu terengganu sebagaimana umum. tapi di tepi sungai sebuah kampung di kuala terengganu. malah orang yang terlebih dahulu menjumpainya dan membawa balik ke rumah juga orang lain. ada pihak lain yang telah membeli batu tersebut dan menceritakan sebagaimana yang kita ketahui. sekian terma kasih

    ReplyDelete