BBB, 02 Sya`ban 1435 = 31 Mei 2014 (Sabtu):
Pembinaan kampus UKM memakan masa lebih dari 3 tahun. Pihak
UKM khususnya bahagian pembangunan bekerja keras bagi memastikan kampus UKM
yang dijangka memakan peruntukan RM40 juta itu siap dalam jangka yang
ditentukan. Naib Canselor yang bekerja keras ialah Tan Sri Anuwar Mahmud yang
berasal dari tenaga pengajar dan pentadbir dari Universiti Malaya
yang menjadi Naib Canselor Ketiga UKM. Bangunan yang awal didirikan di UKM
ialah bangunan pentadbiran, Fakulti Sastera, Perhubungan Siswa (Pusanika),
Perpustakaan, Dewan Besar, Kolej Dato` Onn, Ibrahim Ya`kob dan Burhanuddin
Hilmi. Bagi kemudahan perhubungan dari Kuala Lumpur ,
selepas Bangi dikenalpasti menjadi kampus UKM, projek lebuhraya dari Kuala Lumpur ke Bangi
dibina. Sehingga akhir 1977 lebuhraya yang kemudian dikenali sebagai Plus itu
siap hanya sampai ke Bangi sahaja, seolah-olah jalan itu disediakan untuk ke
kampus UKM Bangi (juga ke Kajang). Pada permulaan tiada tol dikenakan hinggalah
jalan itu disambung ke Seremban beberapa tahun berikutnya. Pada bulan Oktober
1977 kampus UKM mula layak menerima perpindahan warga kampus UKM ke sana . Dan mulai
pertengahan bulan Oktober 1977 ini berlaku perpindahan besar-besaran.
Barang-barang terutama buku-buku perpustakaan dan peralatan pejabat diangkut
dengan trailer berterusan dari bulan Oktober-November 1977.
Pada akhir Oktober ini Penulis dan kawan-kawan turut menghantar
barang-barang ke kampus Bangi. Misalnya 26 Oktober 1977 Penulis membawa
buku-buku sendiri dari pejabat Jalan Pantai ke bilik Bangunan IBKKM (Institut
Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu) di Kampus Bangi. Pada 28 Oktober
1977 kami menampal kod dan alamat pada kerusi, meja dan almari pejabat sendiri
untuk dikenal pasti bagi dihantar dengan trailer ke pejabat kami di Bangi.
Penghantaran buku dan barang-barang peribadi dilakukan dengan kenderaan sendiri
beberapa kali. Pada 29 Oktober 1977 (Sabtu) adalah puncak Penulis dan
kawan-kawan sejabatan menghantar sendiri buku-buku ke pejabat kami di Bangi.
Kawan-kawan tenaga pengajar di IBKKM ialah seperti saudara Pozi Masurori, Zainal,
Harun Mat Piah, Siti Zainon Ismail, Ismail Hamid, Ungku Maimunah Mohd Tahir, Solehah
Ishak dan Puan Zam-Zam bersama menghantar buku-buku dan barang-barang masing-masing
yang sesuai dibawa bersama.
Pada 29 Oktober 1977 ini kami dibawa oleh Timbalan Naib
Canselor UKM Profesor Ghazali Abdul Rahman buat pertama kali melihat pejabat
Pentadbiran di Bangunan Pentadbiran, kemudian dibawa melihat Bilik Senet
Universiti, Bilik Majlis, Bilik Canselor dan bahagian-bahagian yang lain di
Bangunan Pentadbiran UKM. Walaupun buku-buku dan barang-barang sudah tiada di
pejabat di Jalan Pantai tapi kami masih bertugas di Jalan Pantai, di samping
mulai datang ke Bangi. Sebahagian Pentadbir dan katitangan UKM sudah bertugas
di Bangi. Misalnya pada 4 November 1977 pertama kali didirikan solat Jumaat di
pekarangan bangunan Pentadbiran UKM – Masih belum ada masjid di kampus Bangi.
Di tengah kesebokan berpindah ini Pustakawan Pertama UKM
Tuan Haji Abdul Aziz bin Shaik Mydin secara mengejut
meninggal dunia di PJ pada 10 November 1977, mungkin tertekan dengan
tugas-tugas dalam perpindahan terutama dari segi buku-buku.
Penulis benar-benar berpindah dan bertugas di Bangi apabila
menerima kunci dari PKNS rumah teres dua tingkat yang Penulis beli – terima
kunci pada 30 November 1977 dan mulai pindah sekeluarga ke rumah di Bangi pada
Sabtu 3 Disember 1977 yang mana rumah belum ada api (guna api lilin), tetapi
sudah ada air. Api mulai disambung pada 5 Disember 1977. Yang baru pindah masa
itu hanya beberapa keluarga sahaja.
Dengan perpindahan dan melihat kampus Bangi dan juga kawasan
Bandar Baru Bangi yang baru diteroka mengilham pada diri Penulis menggubah
puisi berjudul `Bangi` dan menghantarkan puisi ini ke Berita Minggu dan tersiar
pada Ahad 11 Disember 1977:
Bangi
Tiba-tiba namamu mewangi
Sebuah hutan dara
Di pinggir kota
Keluar dari pingitan
Terima lamaran
Janji masa depan meyakinkan.
Kaki-kaki bukit
Pamah dan lembah
Segera menghias diri
Sebuah sungai hening
Tenang berlari
Menanti kunjungan kasih
Bakal seabadi.
Kerelaanlah
Di atas dadanya
Tegak memutih bangunan-bangunan
Bakal menyerah
Untuk dimiliki.
Di sini anak-anaknya
Adalah bakal pewaris
Menentukan perjalanan zaman
Betapa sebuah cita
Sebagai wasiat yang diamanat
Pernah diragukan
Sedang tertunai
Dengan penuh keyakinan.
Shafie Abu Bakar,
Berita Minggu,
11 Disember 1977.
(Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi
Bandar Ilmu, Bangi, 2012: V).
Jadi bermula dari bulan November 1977 Bangi Baru yang dulu hening
dan tenang dengan kehijauan pokok-pokok hutan dara, kelapa sawit dan getah,
kini mulai menerima warga baru yang menghiasi di tengah-tengah hutan dengan
bangunan-bangunan dengan misi paling murni menjadikan tempat ini pusat
pengajian yang mendidik anak bangsa dan siapa yang mencintai ilmu menjadikan
mereka manusia intelektual yang mengangkat martabat manusia bagi faedah bangsa,
Negara dan agama. Sebahagian dari warga kampus UKM ini menjadikan Bangi Baru
sebagai kawasan kediaman yang aman dan harmoni yang terpercik sama pengaruh
keilmuan menjadikan Bangi Bandar Ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment