June 21, 2014

Multaqa Pendakwah - Pemegang Tauliah, Peringkat Negeri Selangor

-->
Shah Alam, 21 Sya`ban 1435 = 19 Jun 2014 (Khamis):

Selaku salah seorang yang mempunyai `Tauliah Berceramah Agama Dan Mengajar - D1 & D2`` Penulis dijemput ke Multaqa di atas bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Penulis hadir mengikuti Multaqa di atas yang dirasmikan oleh Y.B. Tuan Salehen Bin Mukhyi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor.


Multaqa diisi dengan pembentangan kertas kerja berjudul Isu dan Cabaran Gerakan Dakwah Islamiah di Malaysia dibentangkan oleh Prof. Dr. Badlihisham bin Mohd Nasir Pensyarah Fakulti Tamaddun Islam UTM Skudai, diikuti Forum `Etika Da`ie` dan pada sebelah petangnya juga Forum bertajuk `Dakwah Generasi Y: Apa Peranan Kita`.

Dalam ucapan pembukaannya  Y.B. Tuan Salehen dalam majlis yang dihadiri Y.Bhg. Ustaz Ahmad Zaki bin Arshad Timbalan Pengarah JAIS, Ustaz Haji Mohd Basori bin Umar Ketua Penolong Pengarah (Dakwah), Tuan Haji Mazlan Bahagian Fatwa – kini Pegawai di JAKIM, tapi sanggup datang, Ketua-Ketua Pentadbir Agama Islam Daerah, Penyampai kertas kerja, penal-penal forum dan pserta-peserta, Tuan Salehen mengucap tahniah kepada AJK Multaqa yang dapat menarik peserta-peserta agak ramai.

Menurut Y.B. Tuan Salehen Selangor yang mempunyai 3 juta penduduk Islam berdepan dengan berbagai isu akibat dari berlainan aliran, kelainan agama, pertembungan adat budaya yang bersifat tempatan dan juga dari luar. Contoh kelainan mazhab, ajaran sesat, isu hudud, Kalimah Allah, perebutan anak oleh kelainan agama ibu bapa, murtad dan banyak lagi. Menurutnya dengan isu yang banyak, masa sehari untuk dibincangkan tidak mencukupi dan memerlukan masa yang lebih panjang. Kita akan melihat pada masa akan datang untuk berbincang lebih serius dan mendalam dalam masa yang lebih panjang.


Y.B. Tuan Salehen juga menarik perhatian peserta mengenai masalah rumah tangga dan gejala sosial yang antaranya diakibatkan oleh kesebokan ibu bapa, tidak memberi perhatian terhadap anak-anak dan tidak membimbing mereka dengan cara kehidupan agama Islam, tidak solat berjamaah sesama keluarga, akibatnya anak-anak menjadi liar dan terjebak di dalam gejala sosial yang memasalahkan mesyarakat. Tidak kurang juga dari akibat kesebokan dan kurang memberi perhatian pada pasangan dan anak-anak, mengakibatkan meningkatnya jumlah perceraian. Dan Selangor adalah paling tinggi di Malaysia dari segi statistic perceraian. Kesebokan dengan masalah dalaman yang mau diselesaikan menyebabkan pendakwah-pendakwah lupa, selain dari menyelesaikan masalah masyarakat dan umat, tugas pendakwah ialah berusaha memperkenalkan Islam kepada yang bukan Islam. Wadah ini begitu luas, 40% penduduk adalah bukan Islam. Menurut Y.B. ini adalah cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dan di atasi. Dengan harapan itu beliau merasmikan Multaqa dengan lafaz Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim.

Sebelum daripada itu, Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir ketika membentangkan kertas kerjanya, berjudul Isu Dan Cabaran Gerakan Dakwah Di Malaysia menggalurkan sejarah dakwah di Malaysia bermula dari kedatangan Islam. Gerakan dakwah seharusnya bermula kepada kalangan terdekat sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bermula dari keluarga dan kemudian kepada kaumnya. Kemudian Islam yang bermula di Makkah berkembang di Madinah. Dakwah disambung oleh khalifah-khalifah dan diteruskan oleh kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah sehingga ianya diserang oleh Holagu dari tentera Moghul.

Seterusnya pembentang melompat kepada perkembangan dakwah zaman moden bertolak dari gerakana Ikhwan al-Muslimin yang menurutnya menjadi inspirasi dakwah di seluruh dunia. Seterusnya katanya dakwah menjadi satu disiplin tersendiri. Beliau memetik pendapat Dr. Ahmad Ghalwash yang menekankan bahawa dakwah itu ialah Islam itu sendiri, manakala Dr. Rauf Shalaby, dakwah ialah sebuah gerakan menegakkan Negara Islam dan mempertahankan keberlangsungannya. Dr. Abdul Karim Zaidan pula menyatakan dakwah ialah seruan kepada Islam yang di dalamnya ada maudhu`, da`I, mad`u dan manhaj al-dakwah.


Menurut pembentang dakwah di Malaysia bertolak dari tahun 1970an. Beliau menyebut beberapa organisasi seperti Al-Arqam, Tabligh dan ABIM disamping terlibat sama parti politik seperi Pas dan UMNO. Perkembangan dakwah juga berlaku di institusi pendidikan yang lahir di dalamnya Fakulti Islam dan Jabatan Dakwah.

Antara isu yang dibangkitkan ialah usaha menegakkan Negara Islam setelah dijajah atau setelah bebas dari penjajahan, tetapi tidak mengikuti dasar pemerintahan Islam, juga isu yang menjadi cabaran ialah pegangan ideologi seperti sekularisme, faham liberalisme, perpecahan di kalangan umat Islam sendiri akibat dari perbezaan fahaman yang mau ditegakkan. Isu usaha gerakan agama lain meluaskan pengaruh mereka terhadap agama Islam. Beliau juga menyebut tentang isu hudud yang katanya, ``
``Cara pengurusan ummah dalam isu-isu lain seperti hudud turut dibayangi oleh motif politik dari cuba mencapai objektif dakwah yang sebenarnya.`` (hlm. 12). Cara pembentang membicarakan isu ini tidak menyenangkan.

Dari segi potensi mengatasi isu dan cabaran beliau melihat:
``… Islam sejak sekian lama telah diambilkira sebagai dasar Negara sehingga banyak polisi seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, Islam Hadhari dan wasatiah Islam muncul.``(hlm. 13-14).

Beliau mau ditangani:
``Perbezaan politik perlu ditangani dengan lebih professional dan pro-Islam.`` (hlm. 14).
``… lampu hijau yang diberikan  kepada kemaraan hudud perlu didokongi dengan ikhlas dan serius bukannya dengan membiarkan lembu berkeliaran di jalan yang pastinya menjadi masalah kepada semua pihak.`` (hlm. 15).
``Isu makanan halal misalnya perlu ditangani dengan tegas dan professional. Makanan halal yang menjadi maudhu dakwah utama perjuangan gerakan al-Arqam, harus diperjuangkan secara lebih tegas dan sistematik``. (hlm. 15).
Pembentangan agak meluas terutama tentang sejarah dakwah, rasanya kurang perlu. Banyak isu-isu semasa dan mutakhir yang menjadi cabaran dari segi dakwah di Malaysia patut ditampil dan dihuraikan  secara terperinci tidak diberi. Ada bias dan kecenderungan politik di dalam kertas kerja ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment