June 24, 2014

Polemik Intelektual: Siapa Bapa Persuratan Melayu ?

-->
BBB, 25 Sya`ban 1435 = 23 Jun 2014 (Isnin):

Polemik Intelektual satu cara yang baik bagi memperkembangkan ilmu dan meningkatkan imej sesebuah institusi. Seawal UKM ditubuhkan dan berterusan hingga ke 1980an – sepanjang Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas mengendalikan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) semacam ada pertembungan pendapat antara kepimpinan di IBKKM dan pengikut-pengikutnya di UKM dan kepimpinan di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya dan pengikut-pengikutnya di bawah Profesor Ismail Hussein. Naguib yang mengkaji Hamzah Fansuri dengan tesisnya The Mysticism of Hamzah Fansuri berpendapat bahawa Hamzah Fansurilah Bapa Persuratan Melayu Moden (lebih tepat dari Kesusasteraan), manakala Profesor Ismail Hussein berpendapat bahawa Abdullah bin Abdul Kadir Munshi adalah Bapa Persuratan Melayu Moden. Secara lahir dua institusi yang mendukung perjuangan bahasa, kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu itu membawa bendera berlainan, walaupun bersatu tujuan, iaitu sama berjuang menegakkan Bahasa, Kesusasteraan Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.


Antara hujah bahawa Hamzah Fansuri sebagai Bapa Persuratan Melayu moden bahawa:

1)      Hamzah adalah pelopor mencipta puisi Syair `Ruba`inya` di dalam bahasa Melayu sebagaimana yang dihujahkan oleh Syed Naquib dalam bukunya The Origin of Malay Shair. Sehingga ke zamannya belum ada puisi syair tercipta di dalam bahasa Melayu. Menurut Naguib, zaman Hamzah ialah pada zaman pemerintahan Sultan Ala`ul-Din Ri`ayat Shah Acheh (1588-1604). Ini terbukti dari ungkapan puisi Hamzah Fansuri:

    ``Hamzah mengikat sha`ir ini
             Di bawah hadrat raja yang wali.`

Dimaksudkan Raja Yang Wali ialah Sultan Ala`ul-Din Ri`ayat Shah  yang terkenal dengan gelaran Shah `Alam yang juga dikenali sebagai Sayyid al-Mukammil. Kata Hamzah Fansuri:

Shah `Alam raja yang adil,
Raja qutub sempurna kamil
Wali Allah sempurna wasil
Raja Arif lagi mukammil.

 Syair Ruba`I Hamzah Fansuri seperti ini menjadi asal usul bagi syair Melayu
(Syed Muhammad Naguib Al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri, Universiti of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970: 12).
Juga (Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Concluding Postscript To The Origin Of The Malay Sha`ir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1971: 11).


2)      Hamzah Fansuri membicarakan persoalan rasional yang melibatkan persoalan falsafah, tasawuf dan kerohanian. Pembicaraan secara teratur dan bersifat ilmu. Karya-karya Hamzah membawa pengaruh tokoh-tokoh besar Islam seperti Ibn `Arabi, (1240M.), Abdul Karim al-Jili (1428M.) dan beberapa yang lain. Pemikiran ini berkembangan terutama di Aceh.

3)      Hamzah berperanan bukan saja penggubah puisi terawal di dalam bahasa Melayu, tetapi juga memperkayakan bahasa Melayu dengan istilah-istilah keislaman bukan saja melalui puisi rubainya, tetapi juga melalui karangan prosanya seperti Asrar al-Arifin, Sharab al-Ashiqin dan al-Muntahi.

4)      Kehadiran Hamzah mencetuskan polimik keilmuan dan pendukung-pendukungnya dengan pengikut-pengikut Nuruddin al-Raniri yang datang kemudiannya dan pengikut-pengikutnya.


5)      Dengan kehadiran Hamzah Fansuri dan pengikut-pengikutnya mencetuskan suasana ilmiah di Acheh terutama dari akhir abad ke 16 sehingga ke pertengahan abad ke 17. Suasana ini mempengaruhi kawasan di luar dari Acheh termasuklah ke Tanah Melayu.

6)      Dari kesedaran keilmuan di Aceh mencetuskan tradisi intelektual. Dalam maksud bermula dari zaman Acheh melahirkan tradisi mengarang dan menghasilkan karya-karya besar seperti Taj al-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari, Bustan al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri di samping kitab Sirat al-Mustaqim, Shamsuddin al-Sumatrani seperti Naskhah-naskhahnya berhubungan dengan wahdatul wujud, Abdul Rauf Singkel dengan kitab Umdat al-Muhtajin dan Mir`at al-Tullab dan Tun Seri Lanang dengan Sulalat al-Salatin.

7)      Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu berkembang subur dengan tradisi keilmuan di atas.

(T. Iskandar, Shamsuddin as-Sumatrani Tokoh Wujudiyah, Dewan Bahasa April 1965: 148-157,  juga: T. Iskandar, Abdurrauf Singkel Tokoh Shatariyah (Abad 17), Dewan Bahasa, Mei 1965: 195-200).

Sesungguhnya dengan cetusan puisi dan ilmu pada zaman Hamzah Fansuri menjadikan Aceh Negara yang mendukung budaya dan keilmuan Islam, maka atas peranan yang mula dicetus oleh Hamzah Fansuri ada yang berpendapat, melayakkannya digelar sebagai Bapa Persuratan Melayu moden.

Sekian.

No comments:

Post a Comment