BBB, 20 Sya`ban 1435 = 18 Jun 2014 (Rabu):
Majlis Diskusi Meja Bulat Bangi Bandar Ilmu yang
dipengerusikan oleh Dr. Mohd. Khazani Abdullah membuka peluang perbincangan. Saudara
Sh`ari Chin dari Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) menyatakan PPBBB
telah berbincang dengan pihak MPKj berhubung dengan penaikan taraf
bulatan-bulatan – Bulatan Ilmu (Bulatan masuk dari Tol Bangi), Bulatan UKM dan
Bulatan Kemajuan. BBB kini sesak dengan pertambahan penduduk melebihi 100,000
orang. Perluasan jalan-jalan perlu bagi mengatasi kesesakan dan sesuai dengan harapan penduduk antaranya disuarakan
awal tahun ini melalui Himpunan Tahunan Penduduk yang maukan Bangi sebagai
Bandar Selamat.
Sebenarnya jalan-jalan dari Reko ke Bangi, Jalan dari Tol
Bangi ke Jalan Kemajuan dan dari Tol ke Kilang sedang dalam proses peningkatan
sejak 2012 lagi dengan peruntukan RM80 juta sesuai dengan wujudnya MRT dari
Sungai Buluh ke Kajang.
Tuan Haji Abdul Rahman Daud dari Masjid Al-Umm mencadangkan
bahawa penyampaian ilmu dan dakwah tidak saja kepada jamaah masjid dan surau,
mereka adalah jamaah setia dan tetap yang memang mengikuti majlis-majlis, usaha
perlu dibuat untuk mengadakan ceramah di Tasik Cempaka, di kawasan-kawasan flat
dan di mana tempat-tempat bermasalah dengan mengadakan `Speaker Corner` di
tempat-tempat sedemikian.
Semasa Adun Bangi (2008-2013) majlis Ilmu secara bersiri
pernah diadakan di Tasik Cempaka, di Pasar Bandar Baru Bangi dan di Kilang,
antaranya dengan kerjasama PPBBB. Di kilang melalui Persatuan Pekerja-Pekerja
kilang. Semua majlis yang diadakan adalah berjaya. Kita adakan Ceramah Khas
sempena Ramadhan di Pasar Bangi. Majlis seperti ini perlu dikembangkan ke
tempat-tempat lain sebagaimana dicadangkan oleh Tuan Haji Abdul Rahman.
Tuan Haji Mohd Kalok juga dari Masjid al-Umm mencadangkan
agar ditubuhkan yayasan di bawah trusti yang ada legal standing bagi
mengendalikan Bangi Bandar Ilmu dan mempunyai investment. Beliau juga bersetuju
diadakan perpustakaan yang melibatkan masyarakat. Beliau percaya masyarakat
Bangi sedia menyokong jika ianya dikendalikan dengan baik.
Cikgu Arbaisyah berpendapat bagi menjayakan Bangi Bandar
Ilmu perlu ada Badan Pelaksana yang dapat menjalankannya secara teratur dan
mempunyai dana mencukupi. Beliau mengambil contoh mengendalikan kursus bagi
golongan pelajar di Masjid Al-Hasanah semasa tutup Sekolah memakan peruntukan
besar. Kita mencapai objektif, tapi apabila program seperti ini ditawarkan
kepada surau-surau tidak ada yang sanggup, kerana tidak ada dana dan kekurangan
tenaga.
Saudara Abdullah dari Institut Pendidikan Islam Bangi
mencadangkan:
Menghadkan jumlah dan mengawal pusat-pusat hiburan yang
makin bercambah dan merosakkan imej Bangi Bandar Ilmu.
Up Town makin jauh berubah. Dulu ada disertakan program dan
ceramah Islam. Kini bagai tidak terkawal, bahkan terdapat rumah urut. Beri
perhatian dan kawalan dari terus merebak gejala-gejala yang tidak sihat.
Bagi memberi imej Bangi Bandar Ilmu kenal pasti ulama dan
buat kerjasama dengan mereka di dalam mengadakan program-program yang dapat
ditujukan kepada masyarakat bukan saja di masjid dan surau, tetapi masyarakat
awam seperti pekerja-pekerja kilang. Pihak surau wajar mengadakan kerjasama
dengan pihak kilang. Didikan kepada mereka tidak merugikan masa dan pendapatan
kilang, sebaliknya dengan amanah dan dedikasi kerja makin meningkatkan prestasi
dan menambahkan pendapatan kilang-kilang.
Beliau juga menyarankan supaya mendekati masyarakat muda
agar jinak dengan agama. Tasik Cempaka jangan biarkan jadi lubuk maksiat, tapi
dekati anak muda dan yang terlibat dengan nasihat dan bimbingan. Beliau menarik
perhatian dengan apa yang diadakan oleh Majlis Agama Islam Singapura. Mereka
adakan klinik Al-Qur`an di kawasan terbuka. Anak muda malu untuk belajar dengan
guru secara formal, tapi bila mereka didatangi mereka mengambil peluang untuk
belajar. Bagi penggalakan ada pihak-pihak bermurah hati mewaqafkan sejumlah
Al-Qur`an.
Jam 12.00 saudara Rusli Jusoh ambil masa 15 minit membentangkan
rumusan:
1) Cadangan
ditubuhkan Jawatankuasa Pelaksana bagi Bangi Bandar Ilmu dan penubuhan yayasan
2) BBI
sewajarnya menjadi seperti Oxford dan Cambridge
3) Wajar
pendidikan berdasarkan waqaf ilmu yang ditunjangi sama oleh pihak agama, swasta
dan NGO.
4) Memasyarakatkan
ilmu melalui masjid-surau dan kawasan-kawasan terbuka
5) Perlu
dirikan billboard Bangi Bandar Ilmu di tempat strategic
6) Galakkan
pengajian Al-Qur`an dengan mengadakan klinik Qur`an terbuka
7) Naikkan
taraf perpustakaan yang ada atau wujudkan yang baru yang bersesuaian dengan
keperluan
8) Perlu
jaringan kerjasama antara BBI-IPT-Industri di Bangi. Tangani isu penting
masyarakat
9) Turun
ke tempat bermasalah seperti di Kilang, rumah flat dan pasar malam.
10) Kurangkan
pusat-pusat hiburan dan kawal mana yang ada.
Sekian.
No comments:
Post a Comment