BBB, 29 Sya`ban 1435 = 27 Jun 2014 (Juma`at):
Antara ciri pembaharuan yang dibawa oleh Abdullah Munshi di
dalam karya-karyanya, terutama di dalam Kesah Pelayaran Abdullah bahawa bersama
beliau menulis tentang sesuatu yang real yang dipandang dengan mata, didengar
dengan telinga dan dibaca dengan minda, bahawa beliau membawa gaya penulisan
secara `melapor` bagai gaya penulisan wartawan. Contoh dalam pelayarannya ke
Pahang Abdullah mencatat,
``Maka saya lihat hal negeri Pahang itu seperti dusun
adanya, tiada berpasar dan kedai, dan tiada lorong yang boleh berjalan-jalan,
melainkan di kampong Cina itu sahaja yang boleh berjalan, ada kira-kira lima
puluh depa.``
(Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Kesah Pelayaran Abdullah,
Malaysia Publications Limited, Singapura, 1965: 11).
Bersama dengan gambaran tentang masyarakat di Pahang beliau
mengkritik,
``Tetapi adalah tanah Pahang itu saya lihat terlalu sayang
hati sebab terbuang dengan menjadi hutan rimba sebab malas dan lalai orang
dalam negeri itu. Maka sekalian benih dan pohon, jika ditanamnya, nescaya
menjadi; sebab saya lihat segala pohon-pohon semuanya subur-subur belaka. Maka
adalah saya lihat orang-orangnya , dalam seratus barangkali sepuluh sahaja yang
bekerja dan yang lain itu lalai sahaja sepanjang hari, dalam hal miskin dan
jahat, melainkan adalah pada seorang empat lima jenis senjata, sentiasa hari tiada
bercerai daripada tubuhnya.`` (Kesah Pelayaran Abdullah, hlm.11).
Kritik sosialnya terhadap masyarakat di Pahang,
``Kalakaian kebanyakan pula anak-anak raja di situ anak raja
di sini, maka adalah masing-masing itu menaruh berpuluh-puluh kawannya. Maka
adalah pada fikiran saya orang itulah yang membuat gaduh sehari-hari dalam
negeri atau di rumah-rumah orang. Maka hamba raja pun terlalu banyak dalam
negeri. Demikianlah asalnya menjadi banyak itu.`` (Kesah Pelayaran Abdullah,
hlm. 16).
(Muhammad Yusoff Hashim & Aruna Gopinath, Tradisi
Pensejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930, Tempo Publishing (M) Sdn Bhd.,
Petaling Jaya, 1992: 416hlm.
Gambaran Abdullah ketika samapai ke Kuala Terengganu,
``Maka adalah pada tiap-tiap rumah dan kampung mereka itu
penuh dengan pohon kelapa. Dan lagi tiap-tiap kampung itu ada `madrasah` itu
pun atap juga. Dan lagi sekalian rumah mereka itu tiada sama hadapnya, ada yang
membelakang jalan, ada yang mengiring jalan, ada yang berhadapan, ada yang
tempat jalannya, selurus-lurus orang sahaja. Maka ketika saya berjalan itu ada
melalui kedai-kedai orang yang jual makanan sedikit-sedikit dan penganan cucur,
rending pisang dan keladi rebus, dan penganan talam, dan buah melaka, dan
keria, dan tepung manis, tetapi semuanya perempuan sahaja.`` (Hikayat Pelayaran
Abdullah, hlm. 28).
Tambah Abdullah berhubung dengan masyarakat di Terengganu,
``Bermula adalah pasar itu pada petang sahaja. Maka sekalian
orang yang berkedai dan berjaja daripada jenis-jenis makanan dan pakaian itu
semuanya perempuan belaka. Maka adalah mereka itu, apabila condong matahari,
maka segala perempuan yang dalam negeri, dan yang di dusun-dusun, dan yang di
hulu, masing-masing menjunjung bakul di kepalanya, maka adalah dalam bakul itu
jenis makanan atau pakaian datanglah di pasar itu, duduk berkedai. Maka barang
siapa yang hendak membeli barang sesuatunya, waktu itulah, hingga sampai masuk
matahari, maka masing-masing pun kembalilah ke tempatnya. Maka sunyilah pasar
itu sampai esok pada waktu yang tersebut itu pula. Maka namanya pasar itu Pasar
Kampung Laut.`` (Hikayat Pelayaran Abdullah, hlm. 29). Kritik tajam Abdullah
terhadap orang Terengganu.
``Sebemula maka sungguhpun saya belayar itu, tiada juga
lepas hati saya daripada memikirkan segala perkara yang saya lihat di
Terengganu, seperti hal perempuan-perempuan, dan adat-adat bodoh dan jahat,
seperti memakai senjata pada tiap-tiap hari dan sebagainya, hanya suatu perkara
yang teramat jahat dalam fikiran saya, iaitu jalan yang teramat jahat sebab
kekurangan pelajaran anak-anak raja itu tatkala ia lagi kecil, bahawa inilah
akar segala kelemahan kerajaan Melayu, dan sengsara atas segala rakyatnya.``
(Hikayat Pelayaran Abdullah, hlm. 35.
Abdullah nampaknya terlalu berani mengkritik tentang
anak-anak raja, lantaran beliau bukan anak tempatan, bukan secara berdepan,
bertulis dan diterbitkan jauh terkemudian.
Antara gambaran masyarakat di Kelantan, kata Abdullah,
``Maka adalah sejam pelayaran jauhnya dari Kuala Kelantan
itu ke Sabak. Maka setelah sampailah ke situ, maka saya lihat kampong itu di
tepi laut.; adalah kira-kira rumah itu hampir seratus buah di tepi laut.. Maka
pohon nyior terlalu banyak di situ. … Maka berkampunglah segala orang-orang di
kampong itu datang melihat saya sekalian. Maka saya lihat hal mereka itu
sekaliannya miskin, dan kain bajunya compang camping dan kebanyakan mereka itu
dengan bergondol sahaja. Bermula adalah kehidupan mereka itu memukat ikan dan
bertanam padi adanya. Maka adalah darihal rumah mereka itu, sekaliannya
pondok-pondok atap; dan dindingnya pun atap juga, dan lantainya
jongket-jongkitan dan atapnya bintang-bintangan, dan busuk bau rumah-rumah itu,
janganlah dikata lagi.`` (Hikayat Pelayaran Abdullah, hlm. 77).
Jelas Abdullah memerhati masyarakat Melayu di Pantai Timur
dari Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan pandangan negatif. Pemerintahan
tidak stabil dan selalu brperang dan kehidupan rakyat mundur, tidak semaju
kehidupan masyarakat di bawah Inggeris seperti di Singapura. Abdullah berani
mengkritik secara tajam, kerana dia bukan berada di bawah negeri-negeri yang
dikritiknya. Abdullah peka terhadap ekonomi masyarakat Melayu yang amat lemah
dan kehidupan sosial yang tidak teratur’
Dilihat kepada laporan yang dibuat Abdullah dia amat peka
terhadap sejarah, misalnya beliau mencatat tahun pelayarannya iaitu pada tahun
1253H. (hlm. 1), tarikh keluar dari Pahang ke Terengganu pada sebelas Muharram,
pada pagi Sabtu, pukul tujuh, maka Enche Ribut dan Enche Buntal pun melangkahkan
perahu (hlm. 23) dan, ``Maka tamatlah kisah ini kepada tarikh sanat 1254 tahun
pada sehari bulan Dzul Kaedah, hari Jumaat, waktu lohor bi`l-khairi wa`s-salam,
iaitu pada tahun Masehi 1852, kepada lima lekor haribulan August. Tamat. (hlm.
110).
Sememangnya karya Abdullah banyak membawa kelainan dan
menyimpang dari karangan-karangan lama sebelumnya. Ianya bukan saja bersifat
laporan dan kritikan, tetapi juga sejarah yang menggambarkan masyarakat
tradisional Melayu, juga politik pemerintahan tradisional pada zaman berkenaan.
Namun karangan Abdullah dari segi zaman masih dikategorikan sebagai
Kesusasteraan Melayu Lama. Jadi adakah beliau diberi gelar sebagai Bapa
Persuratan Melayu Moden ?
Sekian.
salam tuan, mana boleh saya dapat kisah pelayan abdullah? saya baru habis baca hikayat abdullah yg ada sebut pasal kisah pelayaran abdullah. trima kasih.
ReplyDelete