BBB, 11 Sya`ban 1435 = 09 Jun 2014 (Isnin):
Walau apa pun masalah dan gangguan dalam perjalanan
memantapkan pengajian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu yang menjadi
ubur bagi perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan di
Negara ini, tidak dapat dinafikan selepas melangkah ke dekad kedua usia UKM
dengan peranan yang dilaksanakan oleh Institut Bahasa, Kesusasteraan dan
kebudayaan Melayu (IBKKM), Jabatan Persuratan Melayu dan lahir pada dekad ini
ialah Jabatan Linguistik yang merupakan pecahan dari Jabatan Persuratan Melayu di
bawah Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, universiti melahirkan ramai
penulis-penulis terkenal tanahair. Tidak keterlaluan jika dikatakan pada dekad
1980an UKM antara universiti terkenal tanahair yang melahirkan penulis-penulis
terkenal. Mereka adalah produk awal yang dikeluarkan oleh UKM.
Mulai dekad 70an hingga 90an tanahair bersemarak dengan
perkembangan sastera melalui Hadiah Sastera Kerajaan Malaysia dan pertandingan-pertandingan
hadiah sastera dari berbagai agensi. Keluaran dari UKM ramai yang menerima
hadiah-hadiah berkenaan atau menjadi tenaga penilai. Antara yang terkenal di
dalam bidang novel ialah seperti Othman Puteh, S. Othman Kelantan, Kamariah
Kamaruddin, Samsiah Mohd. Nor dan Wan Razuhar (dilahirkan oleh Grupemuisi UKM).
Manakala yang terkenal di dalam bidang cerpen ialah Othman
Puteh yang identik dengan cerpen-cerpen remaja, Siti Zainon Ismail, Mawar
Shafei, Mana Sikana dan Sahlan Mohd. Saman. Antara mereka menghasilkan bidang
drama seperti Mohd Hatta Azad Khan (Tenaga pengajar di JPM, UKM), Mana Sikana
dan Ismail Kasan, tetapi yang paling ramai lahir penulis ialah di dalam bidang
puisi seperti Muhammad Haji Salleh (Tenaga Pengajar di UKM), Kemala (Ph.D. di
UKM), Siti Zainan Ismail, Rahman Shaari, Shafie Abu Bakar, Nawawee Mohammad, A.
Halim Ali, Abdul Hadi Mohamed, Asiah Sarji, Dino S.S., Ami Masra, Abu Bakar Wan
Dagang, A. Ghafar Ibrahim (Tenaga Pengajar di UKM).
Manakala penulis-penulis di dalam bidang kritikan pula ialah
Mana Sikana, Ungku Maimunah Mohd Tahir, Sahlan Mohd. Saman, Ramli Isin, Mawar Shafei dan A. Halim Ali. Beberapa dari
mereka mempunyai pendekatan teori seperti Mana Sikana dengan Teori
Teksdealisme, Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilah dan Abdul Halim Ali dengan
Teori Estetika Bersepadu.
Tenaga-tenaga pengajar di UKM, iaitu di Jabatan Persuratan
Melayu dan Jabatan Linguistik mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka
mengajar dan menulis di dalam bidang kepakaran masing-masing. Di Jabatan
Persuratan Melayu terdapat tokoh seperti Siti Hawa Haji Saleh dengan bidang
sastera tradisional, Muhammad Haji Salleh dengan sastera moden dan puisi,
Ismail Hamid dengan sastera Melayu Warisan Islam, Ramli Isin dengan bidang
sastera moden dan kritikan, Wong Seng Tong dengan sastera Mahua, Abdul Rahman
Napiah dengan bidang Teori, Kritikan dan Drama, Abdullah Jumain Abu Samah
Kesenian dan Kepercayaan Masyarakat Melayu Tradisional, Amran Kasimin dengan
Perbomohan, Hanapi Dolah dengan Perubahan dan Persambungan Dalam Kebudayaan
Melayu, Harun Mat Piah dengan Puisi Melayu Tradisional (Pantun), Inon
Shaharuddin dengan Muzik dan Masyarakat, Mohd Hatta Azad Khan dengan Drama
Moden, , Mohd Sahlan Mohd Saman dengan Sastera Perbandingan, Mohd. Yusof Md.
Nor dengan Puisi Melayu Tradisional (Pelbagai), Noriah @Jariah Mohamad dengan
Sastera Jawa, Othman Puteh dengan Cerpen Melayu-Indonesia, Pozi Haji Masurori
dengan Pengenalan Persuratan Melayu, Rosnah Baharuddin dengan kritikan sastera
moden, Shafie Abu Bakar dengan Falsafah Islam dan Hubungannya dengan Pemikiran
Melayu dan Sastera Sufi, Siti Zainon Ismail dengan Teori dan Apresiasi Seni,
Solehah Ishak tentang Drama dan Kritikan, dan Ungku Maimunah Mohd Tahir tentang
Teori dan Kritikan Sastera. Seorang pensyarah mengajar berlainan kursus bagi
semester yang lain.
Manakala bagi bidang linguistik pula terdapat tenaga-tenaga
pengajar seperti Azhar Mohd. Simin mengajar Pengantar Kajian Sintaksis, Abdul
Halim Yusof Pengantar Kajian Fonetik
juga Fonologi dan Pengantar Kajian Linguistik bersma Azhar Simin dan Arbak
Othman, Hj. Hamdan Abdul Rahman Perkembangan Linguistik dan Bahasa Malaysia,
Asraf Abdul Wahab dan Awang Sariyan mengenai Tatabahasa. Bagi semester lain mereka juga menawarkan
kursus yang berlainan dalam bidang linguistik.
Tidak dapat dinafikan bahawa fakulti-fakulti yang lain di
UKM sama ada sains dengan berbagai jabatan, Fakulti Islam, Pendidikan juga
Perubatan dengan berbagai-bagai jabatan yang menggunakan bahasa Melayu sama
berperanan mempertingkatkan bahasa Melayu di dalam lapangan masing-masing,
sehingga bahasa Melayu mampu mendukung berbagai-bagai bidang keilmuan. Semua
fakulti berkenaan lebih bersifat menggunakan istilah bahasa Melayu setepat yang
mungkin yang mencerminkan keilmiahan, tetapi dalam FSKK, lebih dari bersifat
ketepatan tetapi juga bersifat kemanusiaan dan kemasyarakatan, lebih khusus
lagi bidang-bidang di Jabatan Persuratan Melayu lebih menyentuh soal hati
nurani, nilai dan rasa kemanusiaan, keindahan serta keluhuran yang mampu di
dukung oleh bahasa Melayu. Semua pihak
membaku dan menyimpan khazanah bahasa, sastera dan budaya, juga meneroka ke arah
pengolahan dan perkembangannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment