June 27, 2014

Tadarrus Perdana Persatuan Penduduk Diteruskan, Masjid Al-Hasanah Bertaraf Lima Bintang Dan Masjid Al-Umm Diberi Peluang Menyampaikan Penerangan

-->
Masjid Al-Hasanah, 28 Sya`ban 1435 = 26 Jun 2014 (Khamis):


Adalah menjadi tradisi bagi Persatuan Penduduk BBB (PPBBB) mengadakan tadarrus bulanan secara giliran dari surau ke surau seluruh BBB. Pada malam ini tadarrus diadakan secara lebih besar dan meriah kerana sempena menyambut Ramadhan 1435 dan tempat diadakan pula ialah di Masjid Al-Hasanah sendiri, iaitu satu-satunya masjid yang ada diBBB setakat ini. Tadarrus malam ini boleh juga dianggap sebagai permulaan tradisi tadarrus yang digalakkan terutama pada bulan Ramadhan. Bagi kali ini semua surau-surau digalakkan menghantar wakil-wakil ke Tadarrus Perdana pada malam ini. Khabarnya ada pihak yang sponsor jamuan berikutan dari khatam tadarrus dan aqiqah 6 orang anak.


Kaedah tadarrus adalah sebagaimana biasa bahawa hadirin akan dipecahkan kepada 30 kumpulan (kali ini 60 kumpulan bagi 30 juz`), bagi setiap kumpulan biasanya tiga orang atau lebih, mereka membaca juz` yang ditentukan secara bergilir sambil ditegur mereka yang ada dalam kumpulan jika ada kesalahan. Selepas tamat pembacaan diadakan majlis tadarrus dan doa.


Sebelum tadarrus Nazir Masjid Al-Hasanah Tuan Haji Napiah Shahrani mengucap terima kasih  kepada pihak PPBBB yang memilih Masjid Al-Hasanah giliran tadarrus pada kali ini. Beliau memaklumkan khabar gembira yang Masjid Hasanah terpilih sebagai Masjid 5 Bintang kerana kegiatannya dan akan menerima anugerah yang akan disampaikan oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada Sabtu hampir bersama 20 masjid yang lain di Selangor. Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Tadarrus pula menyebut bahawa tradisi tadarrus Al-Qur`an yang dianjur oleh PPBBB ini kini sudah berusia sepuluh tahun. Disamping bertadarrus menurutnya dapat menemukan pimpinan masjid dan surau-surau di BBB. Beliau menyebut pada kali ini ada pelajar dari Institut Perguruan Islam Bangi dan Ma`had Mustafawiyyah Bangi turut sama menyertai tadarrus.


Selepas selesai tadarrus, khatam Qur`an diadakan dipimpin oleh Imam Sayyid Othman dan dikuti dengan solat Isya` berjamaah. Selepas solat Isya` Majlis disambung dengan ucapan YDP PBBB Tuan Haji Ahmad Sufi Munassir menyebut tentang kegiatan koperasi PPBBB yang baru-baru ini telah bermesyuarat Agung yang telah mengeluarkan 10% dividen kepada pencarum dan zakat yang dikeluarkan. Koperasi setakat ini menurut YDP dianggotai 300 ahli dan mengharapkan penduduk yang belum menjadi ahli dapat menjadi ahli. Koperasi kini mempunyai asset RM1.3 juta dengan memiliki 4 bangunan komersil di BBB. Menurut Tuan Haji Sufi Kompleks Pendidikan Islam (KPI) akan menubuhkan Yayasan, setakat ini mengendalikan Kafa dan akan menubuhkan Sekolah Rendah Islam dan dalam jangka 5 tahun akan datang akan menubuhkan Ma`had Tahfiz Sains. Pihak KPI memerlukan peruntukan sebanyak RM1 juta dan beliau menyeru orang ramai menderma bagi menjalankan projek  di KPI.


Selepas YDP PPBBB Tuan Haji Ahmad Sufi berucap, Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm mengucapkan terima kasih kepada pihak Masjid Al-Hasanah dan PPBBB yang memberi peluang kepada Penulis melaporkan tentang progress pembinaan Masjid Al-Umm. Kata Penulis.

``Selepas pelancaran Dana Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 dan Perasmian Tapak secara Kenduru Kampung oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013, maka pembinaan Masjid bermula pada pertengahan Disember 2013 oleh Kontrektor Tekad Nusantara. Kini progress pembinaan setelah 6 bulan  setakat akhir Mei 2014 adalah 11.23%, iaitu 0.34% lebih cepat dari jadual sepatutnya (10.89%). Masjid memerlukan kewangan bukan setakat pembinaan, tetapi pengisian dan pemilikan asset sebagai harta masjid untuk lebih berdikari. Sempena bulan Ramadhan yang akan disambut, tentu ramai yang ingin menderma, kerana pahala menderma pada bulan Ramadhan berganda. Penulis menyeru kepada semua untuk menderma kepada Tabung Masjid Al-Umm. Pamflet turut diedarkan. Penulis mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah dan akan menderma dan kepada semua Penulis mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga ibadat kita diterima Allah.``

Selepas ucapan ringkas dari Tuan Haji Sufi YDP PPBBB dan Penulis, solawat beramai-ramai sambil berdiri dipimpin Tuan Nazir Tuan Haji Napiah dan 6 anak yang diaqiqah diperkenalkan secara berkeliling dalam bulatan. Majlis diikuti jamuan dan berakhir jam 10.00 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment