June 8, 2014

Istilah Sastera Yang Mengelirukan

-->
BBB, 9 Rajab 1435 = 7 Jun 2014 (Sabtu):

Pada permulaan pembukaan UKM, universiti ini mempunyai 3 fakulti, iaitu Fakulti Sastera, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Sains. Hingga ke Sesi 1972-73 Fakulti Sastera mempunyai 7 jabatan, iaitu:

1)      Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu
2)      Jabatan Ekonomi dan Perdagangan
3)      Jabatan Ilmu Alam
4)      Jabatan Kajimanusia dan Kajimasyarakat
5)      Jabatan Sejarah
6)      Unit-Unit Bahasa
7)      Jabatan Pendidikan.
(Kalendar 1972 – 1973, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, 1972 – 1973: III).


Apa yang mau ditarik perhatian di sini bahawa istilah `Sastera` sesungguhnya diguna dan membawa kepada kekeliruan. Asal usul istilah sastera jika dirujuk kepada manuskrip-manuskrip lama Melayu sering digandingkan dalam sebutan `ahlul nujum dan sasterawan` yang meletakkan sasterawan sebagai seorang yang mempunyai sakti yang dengan kebolehannya, misalnya dalam mantera mengungkapkan bahasa yang boleh mempesona dan menarik minat pendengar-pendengar terhadapnya – contoh tukang cerita.

Istilah yang merujuk kepada `pesona dengan bahasa`, kemudian secara keliru diangkat sebagai bidang keilmuan yang mencakup kepada bidang yang bukan sains dan bukan juga bersifat agama dikenali sebagai bidang sastera, tetapi ianya berbeda dari `kesusasteraan` yang merujuk kepada yang mempunyai unsur kreatif dan estetik. Ironinya kesusasteraan ini diletak di bawah bidang yang dinamakan `Sastera`. Demikianlah selama ini diguna istilah `sastera` dengan menaiktaraf sebagai bidang akademik dan mempunyai ruang lingkup keilmuan tersendiri. Demikianlah digunakan di Universiti Malaya dan diikuti oleh UKM sejak permulaan UKM dibuka `Sastera` sebagai satu fakulti.


Menjelang perpindahan UKM ke Bangi, sudah disedari tentang kekeliruan penggunaan istilah sastera, bahawa apa yang disifatkan sebagai sastera selama ini yang cakupannya tidak jelas, sebenarnya dikenalpasti dan jelas bahawa ianya mengandungi elemen Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, bahkan diperkukuhkan berbanding dengan bidang sastera yang tak jelas itu, bahawa ianya adalah bidang yang dikaji berdasarkan kepada kaedah yang saintifik, maka ianya dinamakan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dan sastera atau kesusasteraan ianya turun kepada istilah yang lebih khusus kepada sesuatu bidang yang berkait dengan bahasa dan mempunyai elemen kreatif dan estetik, sedangkan segala tulisan sama ada yang ada elemen estetik dan tidak estetik, tetapi disuratkan atau boleh disuratkan lebih tepat diletak di bawah bidang dinamakan `Persuratan`, iaitu sesuatu yang tersurat dan terakam dan boleh disurat dan dirakamkan yang ketara dari segi ilmiahnya. Istilah ini dipinjam dari istilah Islam yang merujuk kepada surat/surah yang terdapat di dalam Al-Qur`an sebanyak 122 tempat. Maka sebagai satu bidang di dalam Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dinamakan sebagai `Jabatan Persuratan Melayu` yang lebih jelas dari `Sastera`. Penulis pernah membicarakan tentang kekeliruan penggunaan istilah sastera dan mencadangkan untuk semua bidang yang dikenali dengan sastera dan tersurat sebagai bidang persuratan, manakala yang mempunyai elemen estetik sebagai sastera dan kesusasteraan.

(Shafie Abu Bakar, Di Antara Sastera dan Persuratan Islam, Muktamar GAPIM Ke 3
Serta Simposium Bahasa Dan Persuratan, Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM), , Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya, 11 Safar 1400=30 Disember 1979: 30-41). Makalah ini dengan judul `Apakah Persuratan Islam` dimasukkan ke dalam:
Pemikiran Islam Kini, Yayasan Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur, 1983: 145-165.


Dengan perpindahan UKM ke Kampus Bangi, sesuai dengan perkembangan fizikalnya, maka turut berkembang dari segi fakulti, jabatan dan bidang-bidang keilmuan, maka mulai sesi 1978/79 fakulti yang dulu menggunakan Fakulti Sastera mulai menggunakan Fakulti Sains Kemasyarakatan Dan Kemanusiaan – Lebih jelas dari nama Fakulti Sastera yang digunakan selama ini. Di bawah fakulti ini  terdapat perubahan nama jabatan dan pertambahan dari sebelumnya yang sesuai jabatan-jabatan berkenaan berada di bawah Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Jabatan-jabatan dimaksudkan:

  • Jabatan Antropologi Dan Sosiologi
  • Jabatan Geografi
  • Jabatan Pendidikan
  • Jabatan Persuratan Melayu
  • Jabatan Perhubungan
  • Jabatan Sains Politik
  • Jabatan Sejarah
  • Unit Bahasa-Bahasa
  • Kursus Dari Fakulti Ekonomi
  • Jabatan Metamatika
  • Kenegaraan Malaysia
  • Kenegaraan Malaysia Kursus Islam
(Buku Panduan 1978/1979, Fakulti Sains Kemasyarakatan Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1978/79: II.).

Dengan itu bahawa kursus-kursus lebih jelas di bawah ruanglingkup Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Kursus-kursus di bawah fakulti ini seterusnya makin berkembang dan bertambah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment