June 22, 2014

Etika Pendakwah

-->
Shah Alam, 21 Sya`ban 1435 = 19 Jun 2014 (Khamis):


Adalah berbentuk forum. Tiga orang bercakap di dalam forum berkenaan tajuk di atas. Mereka ialah:

1)      Haji Ahmad Zaki bin Arshad – Timbalan Pengarah JAIS
2)      Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri  - Difahami Al-Fadhil dilantik menjadi Mufti Wilayah (Jika benar, tahniah dan selamat bertugas kerana Allah).
3)      Ustazah Zawiah bt. Hassan – Pedakwah

Moderator: Ustaz Ayub bin Baharudin.

Di dalam memperkatakan tentang etika pendakwah (da`i) Ustaz Ahmad Zaki berpendapat. Ramai yang mengaku sebagai da`I (pendakwah), tetapi tidak mempunyai kelengkapan ilmu sebagai da`I dan tidak memahami situasi mad`u (yang didakwah) dan tidak bersifat ikhlas. Akibat dari kejahilan da`I sendiri orang yang terkeliru, misalnya taksub terhadap seseorang tokoh dan dia sendiri terjebak di dalam ajaran sesat.

Pendakwah kadang-kadang lupa menjaga etika diri sebagaimana firman Allah bermaksud:

``Adakah kamu menyuruh manusia membuat kebaikan, sedangkan kamu lupa tentang diri kamu ? (Al-Baqarah: 44).

Pendakwah di dalam kehidupan harian kadang-kadang tidak menjaga maruah diri, kelihatan tidak berbaju, membuka aurat, merokok dan sebagainya.

Menurut Ustaz Zaki untuk menjaga kesucian dakwah dan kredebiliti pendakwah lantaran itu JAIS perlu mengadakan tapisan, bukan menghalang. Untuk mendapat tauliah mengajar dan berdakwah tapisan diadakan melalui interview dan memenuhi syarat, antaranya iaitu

·         Warganegara
·         Tak sabit sebarang kesalahan jenayah syariah dan civil. Contoh ada  
       pemegang tauliah yang melakukan perceraian di luar mahkamah
·         Berkelayakan dari segi keilmuan.

Kategori tauliah D1 untuk ceramah umum dan D2 mengajar berkitab.
Ada tauliah khusus seperti tauliah mengajar al-Qur`an. Ada tauliah umum seperti kepada Pakar Ekonomi, Pakar Kaunseling. Setakat ini tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS berjumlah 3,500 orang di Selangor.

Panel Kedua  Dr. Zulkifli Mohamad berpendapat bagi meningkat dan memartabatkan dakwah amat perlu pedakwah mengetahui etika da`i. Dr. Zulkifli bertolak dari ayat al-Qur`an bermaksud:

``Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia kerana kamu menyuruh membuat perkara yang baik dan melarang daripada perkara yang munkar (Ali Imran: 110).

Bermaksud umat terbaik dari segala umat (umam).
Bahawa amar makruf dan nahi munkar adalah sifat terpuji – Pendapat beberapa ulama seperti al-Sabuni, Ibn Kathir dan al-Sha`rawi.
Sesungguhnya Islam tersebar melalui ilmu dan dakwah.

Dr.  Zulkifli memetik pendapat tentang ilmu dakwah yang antaranya:
``Ia adalah ilmu diketahui selok belok dengan pelbagai cara untuk menyeru manusia kepada Islam yang terangkum padanya akidah, syariat dan akhlak  (Dr. Ahmad Ghalusy).

Ilmu dakwah adalah penting, da`I menyampaikan dakwah dengan uslub hikmah dan keilmuan dalam mencapai matlamat. Seorang da`I perlu:

·         mengetahui kandungan al-Qur`an dan al-Sunnah dan perjalanan khalifah
·         Mengetahui keadaan yang didakwah
·         Mengetahui kaedah berkumunikasi – termasuk bahasa
·         Mengetahui latar pegangan yang didakwah

Untuk Etika Pendakwah

·         Berakhlak Islamiyyah
·         Berkeperibadian yang unggul
·         Ikhlas yang tinggi
·         Benar dalam percakapan dan tindakan
·         Mempunyai matlamat yang jelas
·         Mempunyai uslub berhikmah
·         Penampilan yang menarik

Antara ciri-ciri yang memberi kesan ialah getaran jiwa, pantulan wajah, kelembutan perasaan, penampilan yang simpatik, keimanan yang mendalam, kefahaman yang tepat dan menyeluruh.

Panel ketiga Ustazah Zawiah bt. Hassan menyebut sukarnya untuk mendapat pendakwah wanita oleh kerana banyak kekangan antaranya keselamatan dari segi pergerakan, diikat oleh tugas asasi sebagai pekerja atau pegawai, terikat dengan keluarga bila berkeluarga, lebih-lebih terikat bila sudah mempunyai anak yang memerlukan perhatian dan pendidikan. Kegiatan dakwah kena mendapat izin suami, itu jika suami seorang yang simpati, jika tidak tidak dapat keluar. Sebagai pendakwah kita kadang-kadang dihubungi pengadu yang kadang-kadang tidak kira masa yang mungkin tidak disenangi suami. Soal bayaran yang tidak setimpal juga ditimbulkan. Pihak penganjur diminta nilai kehadiran pendakwah dari segi jauh dan dekat datangnya. Sebaik-baiknya jangan dikategori penceramah dan jangan ditanya bayaran, tapi nilai mengikut adat dan kesesuaian.

Ruang pertanyaan turut diberi kepada peserta-peserta dan beberapa mengambil bahagian.

Sekian

No comments:

Post a Comment