June 13, 2014

Islam Menghadiahkan Tulisan Kepada Bahasa Melayu `Tulisan Jawi`

-->
BBB, 14 Sya`ban 1435 = 12 Jun 2014 (Khamis):

Islam tidak saja berperanan memartabatkan Bangsa dan Bahasa Melayu, tetapi menghadiahkan tradisi intelektualnya yang diwarisi `Tulisan` kepada bahasa Melayu.

Dari segi sejarahnya sebelum kelahiran tulisan, bahasa Arab adalah pecahan dari bahasa Sami. Bahasa ini terpecah kepada dua - al-Humairi di selatan Semenanjung Arab dan Adnani di utara. Bahasa Arab Adnani berkembang dan digunakan hingga sekarang di dalam percakapan dan tulisan. Tetapi bahasa Humairi telah luput dari penggunaan akibat dari kemerosotan kemajuan perniagaan dan berlakunya peristiwa pecahnya Takungan Dam Sail al-`Aram di Ma`arib.


Makkah berkembang maju sebagai pusat keagamaan dan perniagaan, menjadi tempat himpunan kabilah-kabilah Arab di musim-musim tertentu. Di samping berniaga mereka menziarah Baitullah dan mengadakan pertandingan puisi di Pasar Ukkaz. Perhimpunan mengembang dan mengukuhkan bahasa Arab Adnani. Kebanyakan orang Arab adalah `Buta Huruf`, terutama kalangan Badui. Dari segi pertumbuhan tulisan. Tulisan Humairi lebih awal lahir lantaran kawasan Yaman lebih mendahului dari segi kemajuan. Tulisan Humairi mempunyai huruf tidak bersambung semacam tulisan Habashah yng darinya lahir Khat Kufi. Walaupun sudah pupus warisan daripadanya dapat dikesan pada wang daripada batu bertarikh abad ke 8 SM.

Walau bagaimana Arab Adnani juga mempunyai tradisi tulisan yang berkembang dari Iraq dan Semenanjung Arab yang dikenali dengan Tulisan Jazam yang mempunyai pertalian dengan Aram al-Nabti yang menjadi tulisan Arab di Anbar, Hirah dan kawasan sekeliling (Jazam bermaksud `terputus`, iaitu bentuk tulisan baru yang terputus dari tradisi tulisan Nabti sebelumnya). Turut berkembang di kalangan Nasrani al-Anbat di Palestin dan mempelajari tulisan ini juga penduduk di Sham. Dari tulisan ini berkembang tulisan Khat Nasakh yang merupakan pecahan khat Jazam. Orang-orang Quraisy turut mempelajari Khat Jazam daripada penduduk di Herah dalam ulang alik mereka berniaga ke Iraq dan tulisan ini sampai ke Makkah. Tulisan ini berkembang sebelum Islam, juga berkembang sama di Madinah, termasuk di kalangan orang Yahudi di Madinah.


Penguasaan tulisan pada zaman Jahiliah berlaku di kalangan mereka yang maju terutama yang terlibat dengan perniagaan. Kekurangan penulis juga berlaku pada permulaan Islam. Yang mempelajarinya pun masih kurang mahir, ketara berlaku kesalahan di dalam tulisan-tulisan yang diwarisi.  
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 31-36).

Bila diutuskan Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul, Islam menggalakkan umatnya membaca yang tentulah juga menulis (Al-`Alaq: 1-5). Tahanan perang yang pandai menulis diberi peluang menebus diri dengan mengajar anak-anak menulis dan membaca. Antara sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Bahawa sanya hak seorang anak ke atas bapanya bahawa mengajarnya menulis, memberi namanya yang elok dan mengahwinkannya apabila sudah baligh.``
Pada zaman Rasulullah terdapat sejumlah penulis-penulis yang berkhidmat dengan Rasulullah. Mereka ialah: Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Umar bin al-Khattab, Abu Bakar bin Abi Qahafah, Khalid bin Said bin Ali a.s., Hamzalah bin al-Rabi`, Yazid bin Abi Sufyan, Mu`awiyah bin Abi Sufyan, Ubay bin Ka`b dan Zayd bin Thabit. Zayd adalah yang paling kerap bertugas dengan Rasulullah mencatat wahyu, kemudian menyertainya Mu`awiyah selepas pembukaan Makkah mencatat wahyu dan lain-lain. Penulis surat-surat Rasulullah ialah Abdullah bin al-Arqam al-Zuhri, manakala Sayyuduna Ali menulis surat-surat perjanjian Nabi dan juga surat-surat perdamaian.
(Shafie Abu Bakar, Sejarah Perkembangan Seni Khat, Pameran Dan Bengkel Seni Khat, Perpustakaan Tun Seri Lanang, 26 Sya`ban – 18 Ramadha 1402 = 18 Jun – 10 Julai 1982: 18-19).

Perkembangan dari segi penulisan meningkat apabila Islam berkembang di Kufah dan Basrah yang memerlukan pemerintah menguasai tulisan dalam pentadbiran. Berlaku kesungguhan dalam mempelajari tulisan. Di wilayah-wilayah tersebut terkenal berkembang khat Nasakh dan Kufi. Penguasaan tulisan menjadi meluas selepas berlaku pembukaan Negara-negara Baghdad, Afrika, Andalus hinggalah ke Timur Jauh.
(Butrus al-Bustani, 1989: 36).


Sejak dari awal perkembangan Islam pengajaran dan penulisan berlaku dari menulis ayat-ayat Al-Qur`an dan tafsiran kepada catatan terhadap sabda-sabda Rasulullah s.a.w.
Bahkan terdapat surat-surat Rasulullah s.a.w. yang dihantar kepada pemerintah pada zamannya seperti Raja Hiraqla Rum, Maquqas Parsi dan Najashi Habashah.
Penggunaan tulisan ketara dari penghasilan karangan-karangan di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti bidang aqidah, fiqh, tasawuf, tafsir, Hadith yang dihasilkan oleh ulama-ulama` muktabar di dalam bidang masing-masing. Misalnya Imam Malik menghasilkan Al-Muwatta`, Imam Shafie menghasilkan Al-Umm dan berbagai lagi.

Dari segi dakwah Islamiyah terutama bagi bangsa yang lain dari bahasa Arab, maka bayangkanlah kesusahan pihak pendakwah untuk menyampaikan pengajaran kepada orang yang didakwahnya yang tidak boleh membaca bahasa yang mendakwah dan pendakwah tidak memahami bahasa yang didakwah. Bayangkan kesusahan Shaykh Ismail yang datang dari Makkah ke Samudera Pasai berkomunikasi dengan Raja Merah Silu (Sultan Malikul Saleh), Pendakwah dengan Raja Mandalika di Terengganu dan juga Shayk Abdul Aziz mau mengislamkan Raja Kecil Besar Melaka (Sultan Iskandar) dan mau mengajar hukum hakam keislaman (Cerita berhubung dengan Raja Pasai dan Melaka dilegenda dan dimitoskan). Lantaran sedemikian didorong oleh keperluan berkomunikasi memerlukan sistem penulisan. Ini terjadi di Benua India lahir bukan saja tulisan tetapi bahasa urdu sebagai bahasa dan tulisan bagi menyampaikan agama Islam. Tulisan berkenaan adalah berasaskan huruf al-Qur`an. Demikian juga bahasa Turki turut menerima Huruf al-Qur`an menjadi huruf penulisan. Keadaan yang sama bila Islam tiba ke Alam Melayu, maka turut diterima huruf al-Qur`an yang setengahnya disesuaikan dengan sebutan Melayu yang kemudian dikenali sebagai Tulisan Jawi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment