June 25, 2014

Hujah Abdullah Munshi Sebagai Bapa Persuratan Melayu Moden

-->

BBB, 26 Sya`ban 1435 = 24 Jun 2014 (Selasa):

Hujah-hujah dapat dibuktikan dengan adanya warisan penulisan Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi, iaitu:

1. Hikayat Abdullah Jilid 1 & 2.
2. Kesah Pelayaran Abdullah


Mereka yang menghujahkan bahawa Abdullah Munshi, terutama Profesor Ismail Hussein dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pada karya-karya Abdullah di atas. Abdullah berketurunan peranakan Arab-India. Pada masa kecil dididik orang tuanya hingga tamat mengaji Qur`an. Dia juga diajar oleh kedua-dua saudaranya Ismail Lebai dan Muhammad Latif membaca dan menulis. Beliau mempelajari bahasa Tamil, bahasa Arab dan tatabahasa Melayu. Beliau mempertingkatkan pengajian bahasa Melayunya di bawah Datuk Sulaiman dan Datuk Astor. Pengajian agama Islamnya di dalami dari gurunya Mualim Muhyiddin dari Syed Sheikh Alwi yang kedua-duanya orang Arab. Mulai tahun 1823 Abdullah belajar bahasa Inggeris dari Paderi Milne dan Thompson yang mereka pula belajar bahasa Melayu dari Abdullah. Abdullah juga mengajar bahasa Melayu kepada askar-askar dan bangsa India. Dari mereka Abdullah beroleh gelaran sebagai `Munshi`. Beliau pernah bertugas dipenerbitan milik Inggeris. Beliau pernah memangku Pengetua Anglo-Chinese College di Singapura apabila Pengetuanya Thompson pulang ke England beberapa bulan. Dengan kemampuan dan penguasaannya terutama terhadap bahasa Melayu melayakkannya mengarang Hikayat Abdullah dan Kesah Pelayaran Abdullah. Beliau mendidik anaknya Munshi Ibrahim menguasai bahasa Melayu dan karang mengarang, walaupun jejaknya diikuti anaknya Munshi Ibrahim, tetapi tidak secemerlangnya. Abdullah menunaikan Haji pada tahun 1854 dan beliau meninggal dalam perjalanannya ke sana. Pada masa Abdullah terdapat ulama terkenal seperti Syeikh Daud bin Abdullah Patani, Syeikh Abdul Samad Palembang.
Antara ketokohan Abdullah di dalam bidang persuratan bersandarkan dua buah karya utamanya:


1)      Abdullah memulakan tradisi pengarangan baru yang keluar dari alam yang tidak real – contoh Hikayat Raja-Raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah kepada gambaran alam nyata yang dihadapi dan dialami sebenarnya. Contoh karangan mengenai hal dirinya:

``Sebermula adapun moyangku laki-laki itu seorang orang Arab, negerinya Yaman, dan bangsanya Uthmani, dan namanya Sheikh Abdul Kadir, maka adalah pekerjaannya itu menjadi guru daripada agama dan bahasa. Maka iaitu turun dari Yaman ke bawah angin, maka singgahlah ia di tanah Keling, dalam negeri Nagur, lalu mengajarlah orang-orang di sana dengan beberapa lamanya. Dalam hal yang demikian, maka diperisterikan oranglah akan dia. Hatta maka iapun mendapat empat orang anak laki-laki, seorang bernama Muhammad Ibrahim, dan seorang Muhammad Desa, dan seorang Nur Muhammad dan seorang Zainul Abidin, maka kemudian iapun matilah di sana.``

(Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Hikayat Abdullah, Jil. 1,Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 4 - 5).

Jelas bahasa Abdullah adalah bahasa Melayu moden dalam konteks zamannya. Ia membicarakan turunannya secara realiti dan tidak ada unsur-unsur supernatural. Bahasanya mudah dan langsung Keadaan sedemikian juga - gambaran realiti pada bahagian-bahagian lain dari karangannya.

Berhubung dengan karya-karya Abdullah Kassim Ahmad Pengkaji Hikayat Hang Tuah berkata,
``Dengan karya-karya Abdullah, kesusasteraan Melayu telah mencapai satu perubahan struktur, yakni telah melangkah dari bumi feudal Hikayat Hang Tuah ke alam demokrasi yang lebih luas dan realistik.`` tambahnya lagi,
``Latar belakang serta persoalan karya-karya Abdullah ialah tentang masyarakat zamannya, satu masyarakat yang hidup di bumi nyata.``
(Wajah, Biografi 100 Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 66).

Selain dari menggambarkan realiti, Abdullah memecahkan tradisi kepengarangan Melayu yang biasanya berselindung dan tidak menonjolkan nama, tetapi Abdullah selain bertanggungjawab dan menampilkan nama, ia secara terang membahasakan dirinya `Aku` kepada khalayak pembaca yang mencerminkan sifat individulis yang bukan menjadi watak Melayu, khususnya tradisional. Menceritakan bagaimana ia belajar membaca dan menulis kata Abdullah:

``Sebermula maka adalah kira-kira delapan sembilan bulan aku bertekun mengaji dan menulis itu, maka tinggilah sudah bacaanku, maka makinlah terbuka jalan pengajian itu kepadaku, maka adalah waktu tengahari, lepas-lepas mengaji itu, aku perbuat layang-layang lidah kecil, ku jual kepada budak-budak, satu duit harganya, maka itulah menjadi belanjaku membeli penganan dan buah-buah. Adapun daripada layang-layang itulah asalnya aku tahu menulis bunga-bunga dan gambar-gambar, kerana pada masa itu aku biasakan tanganku, dan aku perhatikan barang-barang di mana ku lihat orang Cina membuat gambar-gambar dan bunga-bunga, maka aku tuliskan kepala layang-layang, maka ada juga orang lain-lain pun membuat layang-layang dijualnya.``
Nampaknya Abdullah sejak muda telah mempunyai `business minded` seperti orang Cina yang berbeza sekali dengan minda orang Melayu. Budaya ini bagi orang Melayu berlaku sejak zaman tradisi hingga kini.

(Abdullah Abdul Kadir Munshi, Hikayat Abdullah, Jil. 1, 1963: 24).

Abdullah mempunyai keluarga turun temurun dari kalangan mereka yang kuat beragama dan mementingkan pelajaran – membaca dan menulis. Ini adalah diwarisi dari budaya keluarganya yang berpendidikan Islam. Sifat mementingkan pelajaran ini diperkukuhkan lagi dengan pertembungan budaya barat yang dialaminya di Melaka dan Singapura, lantaran kesedaran pelajaran dan mementingkan kemajuan ketara Abdullah terkedepan berbanding dengan masyarakat Melayu tradisional yang sezaman dengannya..

Sekian.

No comments:

Post a Comment