November 20, 2015

Taklimat Pembinaan Bangunan Masjid Al-Umm


BBB, 07 Safar 1437 = 19  November 2015 (Khamis):



Selepas Pengerusi Induk Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas, maka agenda berikutnya ialah Taklimat Pembangunan Fizikal Masjid Al-Umm. Taklimat disampaiakn oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud selaku Pengarah Pembangunan. Penyampaian disertai dengan menggunakan ICT. Kronologi dan pentahapan pembangunan boleh dipecahkan kepada.
1)       Pra- Pembangunan Fizikal
2)      Pembangunan Fizikal
3)      Kelengkapan & Persiapan
 1.  Pra Pembangunan Fizikal
Peringkat awal ialah pengurusan dilakukan bagi mendapat kelulusan bagi mendirikan Masjid Al-Umm di atas tapak Lot 51177, Jalan 1/4A,  tanah seluas 2 ekar di Jalan ¼  bersebelahan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, antaranya:
a)      Usaha Memohon Tapak Diwartakan & Keizinan JAIS
Usaha dilakukan oleh AJK Surau Al-Umm dan mendapat kelulusan pewartaan Menteri Besar. Surat Pejabat Tanah ditujukan kepada JAIS Bil. PTD.UL. 16/3/194-2006(9) bertarikh 1 September 2009.
Permohonan kepada JAIS dan mendapat Jawapan, tiada halangan didirikan Masjid. JAIS Bil.(16) dlm. JAL. SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17 November 2009.
b)      Penubuhan AJK Pembinaan
Berikut dari kelulusan di atas, Adun Bangi menjemput Pengerusi-Pengerusi Surau atau Wakil-Wakil (hadir 30 orang) menubuhkan AJK Pembinaan pada 04 Februari 2010  yang Pengerusinya ialah YB. Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, Setiausahanya ialah Tuan Haji Hussin Yunos dan Bendahari ialah Tuan Hj. Mohd. Nor bin Haji Mohd. Yasin.
c)       Pelancaran Derma & Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm
Dilakukan oleh ADUN Bangi pada 19 Mei 2012 bertempat di Medan Parkir berhampiran dengan Tapak bagi Masjid Al-Umm. Pungutan derma pada peringkat awal ini dari penderma-penderma
adalah sebanyak RM150,000. (Kelulusan memungut derma dari MAIS/E/MAL/03.2/001/03-1/34).
d)      Perlantikan Arkitek
Pada akhir tahun 2012 melalui mesyuarat dikenalpasti arkitek, iaitu URUSBINA, Perlis. Pelan rekabentuk awal ialah dua tingkat dengan ruang lantai seluas 4312 meter persegi yang dapat menampung jamaah 2,800 orang (mengalami perubahan kemudian).
e)      Lawatan YAB. Dato` Menteri Besar Selangor
Dilakukan oleh Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu dan beliau menjanjikan peruntukan dari kerajaan negeri berdasarkan dollar to dollar sehingga jumlah RM6 juta ringgit (Berdasarkan kos pembinaan Masjid Al-Umm pada masa itu RM12 juta).  


                                                                                                                                                                            
f)       Tender Dan Pemilihan Kontrektor
Tender terbuka dibuat. Jual dokumen 18 Sept- 2 Oktober 2013. Setelah ditemuduga (
19.11.2013) pemilihan dibuat terhadap Syarikat Kontrektor Tekad Nusantara. Persetujuan diterima pada 25 November 2013 dan Masuk Tapak pada 10 Dis. 2013.
      g)    Penetapan Arah Kiblat
            Dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din  selaku Penaung Dan Penasihat AJK Masjid Al-
            Umm. Penetapan bertarikh 30 Safar 1435 = 02 Januari 2014 jam 9.00-10.30 pagi.
2.  Pebangunan Fizikal Masjid Al-Umm (Jangkaan 18 bulan) – Keputusan bina 3 tingkat
    a) Masuk Tapak  10.12.2013
        Bersih tapak mulai 14.12.2013 dan kerja tanah 21.12 2013, diikuti pembinaan R.C.Wall 18.1.2014.               
     b) Piling dan Tanam cerocok
         Dari 18 Januari hingga 4 April 2014
    c) Ground Beam, Pile Caps & Work below finish dan Naik Tiang
        Dari awal April 2014 hingga awal Ogos 2014 – kerja siap 40 %
   d) Tapak di bina dengan semin bagi  Rangka Lantai Aras Utama. Kotak tiang untuk aras satu kelihatan   
        dipasang.
        Pembangunan dari awal Ogos hingga akhir Ogos 2014. Kemajuan kerja 46%
   e) Tiang-tiang untuk aras bawah tanah dan lantai bahagian atas dikonkrit semin
        Pada akhir Ogos 2014 kelihatan ruang bawah tanah
   f)  Tiang-Tiang Dari Aras Utama di tegakkan
Sekitar bulan September 2014
g)      Beam di atas tiang bagi aras satu dipasang
Sekitan bulan Oktober 2015. Kerja 56%

h)      Pemasangan batu bata ditingkat bawah tanah dilakukan. Rangka mihrab kelihatan. Rumah letrik mulai dibina
Sekita akhir Oktober 2014
i)        Level aras satu (tingkat tiga) dikonkrit semin. Rangka tiga tingkat siap
Sekitar awal hingga akhir November 2014.
j)        Pemasangan batu bata bagi  aras utama. Rangka tiga tingkat sudah siap
Tempoh berakhirnya bulan Disember 2014. Kerja-kerja sebanyak 72.50%
k)      Pemasangan batu bata menyeluruh, pemasangan roof dan kerja-kerja plastering dilakukan. Bentuk bangunan nyata.
Berakhir Januari 2015
l)        Rangka Kubah dipasang oleh Syarikat Majleza
Pemasangan pada 29 Mac 2015. Bangunan masjid kelihatan lengkap dari luar.
m)    Semua bahagian siap termasuk hadapan masjid dan aras satu (tiga). Sebahagian besar dicat.
Berakhir Mei 2015.
n)      Tumpuan kerja Dalaman – termasuk tentang Kubah
Sekitar Jun 2015. Kemajuan kerja 80.4
o)      Tumpuan kerja ruang dalam, terutama aras satu (tingkat tiga). Pemasangan tiles
Sekitar Julai 2015.
p)      Kerja-kerja dalaman, bilik air, bilik-bilik tingkat atas dan kubah
Sekitar Ogos 2015-
q)      Pemasangan pintu, siling dan bilik air
Sekitar September 2015.
r)       Tiang bagi kubah dialih, memasang tile pada bahagian lantai di bawah kubah dan kerja-kerja dekoratif pada bahagian atas keliling ruang dalam kubah dan bahagian atas menara.
Sekitar September 2015.
s)       Kerja luar, pagar landscaping dan dekorasi dinding hadapan aras utama
Sekitar Oktober 2015. Keseluruhan kerja 90%
3. Kelengkapan Dan Menunggu Siap
Tuan Haji Abdul Rahman melahirkan harapan 10% lagi baki kerja yang melibatkan kerja-kerja dekorasi dalaman, penyaluran letrik, pemasangan air-condition, melengkapkan perabut (loose items), carpet juga sound system dan kerja-kerja luar seperti jalan, pagar, pondok pengawal dan landscaping – termasuk taman, diharap dapat disiapkan dalam kadar segera sebelum masjid mula digunakan. Beliau juga melahirkan kerisauan tentang kewangan yang tidak mencukupi, lantaran itu pada pagi ini juga diedarkan postar-postar dibahagi-bahagikan kepada Pengerusi-Pengerusi Surau atau Wakil-Wakil untuk dihebahkan kepada jamaah surau-surau untuk menampung kekurangan peruntukan bagi menyiapkan bangunan Masjid Al-Umm.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                             

November 19, 2015

Ucapan Sempena Majlis Pertemuan Dengan Pengerusi Surau-Surau


BBB,  06 Safar 1437 = 17 November 2015 (Rabu):



Sehingga jam 9.30 pagi (16 Nov.) setelah masa pendaftaran setengah jam berlalu lebih 40 orang telah mendaftar di Bilik Tahfiz, Aras Satu, Bangunan Masjid Al-Umm. Mereka terdiri dari ahli-ahli jawatakuasa Masjid Al-Umm, Pengerusi-Pengerusi Surau atau Wakil-Wakil, termasuk dari Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Tuan Haji Mohd. Ghazali Abas, selaku Pengerusi Majlis Pertemuan memulakan Majlis Pertemuan dengan salam dan pembacaan Surah Al-Fatihah. Penulis selaku Pengerusi AJK Induk Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dijemput menyampaikan ucapan alu-aluan dan laporan ringkas mengenai Masjid Al-Umm.
Selepas salam dan membaca dua ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan masjid, Penulis mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi-Pengerusi Surau dan Wakil-Wakil termasuk dari Masjid Al-Hasanah yang dapat datang ke Majlis Perjumpaan dan semasa majlis bermula jemputan-jemputan berkenaan masih tiba hingga jumlah mereka – berdasarkan pendaftaran dibuat adalah melebihi 50 orang. Terima kasih. Penulis menyebutkan bahawa tujuan menjemput Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau atau Wakil-Wakil ialah bertujuan untuk melaporkan tentang perkembangan pembangunan Masjid Al-Umm dan memaklumkan serta mendapat kerjasama dari pihak surau-surau dan masjid, bahawa AJK Masjid Al-Umm, bercadang untuk `Memulakan Penggunaan Masjid Al-Umm` pada Jumaat 16 Januari 2016 akan datang, Insya Allah.
Penulis memaklumkan bahawa hasrat untuk mula menggunakan Masjid Al-Umm ini telah dua kali tertangguh oleh sebab-sebab teknikal dan kelewatan siapnya bangunan dari tarikh yang jangka siap. Penangguhan berlaku:



1)      Jangkaan penggunaan terawal menurut jangkaan siapnya bangunan seperti tarikh asal, maka bermula untuk digunakan pada 01 Ramadhan 1436 = 18 Jun 2015 yang lepas (Sebagaimana Surau Al-Umm surau terawal di Bandar Baru Bunga mula digunakan pada 01 Ramadhan tahun 1978). Namun hasrat mau memulakan penggunaan Masjid Al-Umm bermula dari bulan berkat itu tidak kesampaian, kerana bangunan tidak siap sebagaimana dijadualkan. Penggunaan ditangguhkan dan AJK memohon maaf kepada masyarakat di atas kelewatan berkenaan.
2)      Selepas tertangguhnya dari tarikh asal pihak AJK melalui mesyuaratnya membuat keputusan untuk memulakan penggunaan bangunan Masjid Al-Umm ialah pada Hari Raya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 = 24 September 2015, tetapi pada tarikh tersebut juga bangunan masih belum dapat disiapkan, bahkan pihak kontrektor mohon dilanjutkan tempoh. Adalah diharapkan bahawa semua kerja-kerja dapat disiapkan pada akhir November 2015.
Dengan jangkaan pihak kontrektor dapat menyiapkan bangunan Masjid Al-Umm pada akhir November 2015 berkenaan, maka pihak AJK membuat keputusan bagi kali ketiga untuk menggunakan Masjid Al-Umm ialah pada Jumaat 15 Januari 2016 akan datang – Insya Allah. Untuk tempoh selama enam minggu selepas dari tarikh dijangka siap itu, persediaan bagi penggunaan Masjid akan dapat dilakukan sebaik yang dapat.
Penyiapan bagi pembangunan fizikal bagi Masjid Al-Umm yang dijangka dapat disiapkan pada hujung November 2015 itu adalah genap dua tahun dari segi pembangunan fizikal bagi Masjid Al-Umm. Ini dikira dari tarikh kontrektor `Masuk Tapak` yang bererti memulakan kerja ialah pada 10 Disember 2013. Tetapi jika dikira dari terbentuknya AJK Pembinaan Masjid Al-Umm oleh Wakil-Wakil Surau yang mula bermesyuarat di Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi pada 4 Februari 2010 (Atas jemputan Penulis selaku ADUN Bangi pada masa itu), maka usia bagi pembinaan Masjid Al-Umm,  sudah berusia lebih dari 5 tahun.
Dalam ucapan berkenaan juga Penulis menyebut bahawa kerja-kerja pembangunan adalah digerak melalui:
1.       Pentadbiran & Pengurusan
a)      AJK Induk dipengerusikan oleh  Dr. Shafie Abu Bakar  - Sejak 4 Februari 2010.
b)      AJK Teknikal diwujudkan sejak akhir 2013 (Bersamaan bermulanya pembinaan) dipengerusikan oleh Ir. Hj. Ishak bin Arshad
c)       AJK Tapak diwujudkan permulaan tahun 2014 dipengerusikan oleh Ir. Hj. Ghazali Husin. Kini AJK Teknikal dan Tapak disatukan.
2.       Pembangunan Fizikal
a)      Kontrektor: Tekad Nusantara (Tuan Haji Marzuki Hj. Che Omar)
b)      Arkitek:  Urusbina, Perlis (Ar. Haji Raja Fuaddin bin Ahmad).
3.       Perunding
a)       Kejuruteraan Awam (Safari Ingeniuers)
b)      Mekanikal & Elektrikal (Azfar Sdn. Bhd.).
c)       Ukur Bahan (May Consult)
Dalam ucapan berkenaan Penulis juga memaklumkan hasrat mau memulakan penggunaan Masjid Al-Umm pada 16 Januari 2015 oleh kerana kerja-kerja yang dilakukan sekarang adalah 90% siap. 10% yang belum siap melibatkan kerja-kerja antaranya pemasangan carpet (sudah tiba dan belum boleh dipasang), jalan, pagar, air cond, hiasan dalaman, pondok pengawal dan beberapa yang lain yang semua dalam proses penyiapan.



Penulis juga melaporkan, bahawa Masjid Al-Umm tiga tingkat itu setakat ini menggunakan peruntukan sepenuhnya adalah dari derma orang ramai.
Dari laporan Bendahari (Tuan Haji Mohd Nor Haji Yasin):
Peruntukan yang didapati hingga 30 September 2015 ialah:
Pendapatan   RM12,461,901.68
Perbelanjaan RM11,178,393.01
Baki Semasa RM1,283,508.67
Kewangan semasa adalah berubah, walaupun ada penerimaan, tetapi bayaran-bayaran terbaru yang dibuat difahamkan baki kewangan di bawah dari RM1 juta.
Penulis juga melaporkan bahawa janji duit dari Kerajaan Negeri Selangor yang dijanjikan pada 6 Januari 2013 masih belum dapat. Pertemuan terakhir dengan Menteri Besar (YAB Azmin) berjanji akan diberi RM5 juta, tapi tawaran yang tiba RM4 juta dengan syarat projek diserahkan kepada JKR, syarat tidak dapat diterima oleh AJK, tapi kewangan masih dalam tuntutan.

Sekian.

November 18, 2015

Masjid Al-Umm Adakan Pertemuan Dengan Pengerusi Surau-Surau Bandar Baru Bangi


BBB,  05 Safar 1437 = 17 November 2015 (Selasa):
Penulis telah menumpukan perhatian kepada tafsir Al-Qur`an, selepas terakhir membicarakan bidang fiqh (12 Syawal 1436 = 28 Julai 2015) sebagai kurikulum bagi pengajian di Masjid Al-Umm. Bidang Al-Qur`an juga adalah sebagai kurikulum, khususnya bagi bidang tafsir di Masjid Al-Umm. Namun kerana asyik terhadap tafsir yang Penulis merasa banyak memberi kefahaman kepada Penulis terhadap kandungan Al-Qur`an, maka penulisan menjadi berlanjutan di dalam bidang ini, sebagai kajian permulaan, maka ianya akan diperbaiki dan ditambahkan kekurangan-kekurangan pada masa akan datang. Dengan umur Penulis yang sudah lanjut, Penulis merasakan merapati diri dengan Al-Qur`an, bukan setakat membaca, tetapi mendalami kandungannya melalui tafsir lebih mesra dan mendekati diri dengan Ilahi.



Tetapi sesudah lebih dari tiga bulan tidak membicarakan tentang perkembangan fizikal Masjid Al-Umm, maka banyak perkara baharu yang wajar dilaporkan sebagai dokumen bagi perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm berkenaan. Pada hari ini pihak Masjid Al-Umm mengadakan Majlis Pertemuan Dengan Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau di Bandar Baru Bangi dan wakil-wakil (termasuk Masjid Al-Hasanah, satu-satunya masjid di Bandar Baru Bangi) dengan beberapa tujuan. Antaranya:
1)      Bagi melaporkan perkembangan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm yang merupakan adalah masjid bagi penduduk Bandar Baru Bangi. Penduduk dapat menunaikan solat Jumaat atau datang berjamaah dan mengikuti pengajian dan apa-apa aktiviti yang diadakan di Masjid Al-Umm, di samping mengikuti pengajian dan berjamaah di Masjid Al-Hasanah yang memang terkenal aktif dan pernah mendapat anugerah pada peringkat negeri kerana keaktifannya. Sesungguhnya maju mundurnya Masjid Al-Umm adalah bergantung kepada kerjasama penduduk bagi datang mengimarahkan masjid. Pihak masjid sudah pastilah memerlukan sokongan surau-surau dan penduduk dari berbagai-bagai segi.



2)      Masjid Al-Umm bercadang untuk mula menggunakan masjid tersebut mulai Jumaat 16 Januari 2016 akan datang. Tidak ada saluran yang paling sesuai bagi meyalurkan maklumat bagi penggunaan masjid ini, melainkan melalui surau-surau yang kini berjumlah 45 buah surau di Bandar Baru Bangi. Lagi pula menurut peraturan JAIS, surau-surau berkenaan akan dibahagi untuk berada di bawah satu-satu masjid untuk melicinkan pengurusan antara Pejabat Agama Daerah (PAID) dengan masjid-masjid dan melalui masjid ke surau-surau. Ini bererti mungkin separuh dari surau-surau berkenaan akan diletak dibawah naungan masjid Al-Umm dan separuh lagi di bawah naungan Masjid Al-Hasanah. Perhubungan rapat antara masjid dengan surau-surau, terutama yang di bawah riayahnya meningkatkan kegiatan, pengurusan dan pengimarahan masjid dan surau-surau berkenaan.
3)      Sebagai Masjid yang baharu yang beberapa masa akan datang akan terus ditadbirkan oleh AJK Pembangunan dan Penimarahan Masjid Al-Umm, sebelum diserahkan kepada pihak JAIS, pihak Masjid Al-Umm amat berharap kerjasama dari pihak surau-surau, juga masjid bagi membantu melicinkan pentadbiran dan pengimarahan Masjid Al-Umm. Misalnya keperluan asas selain dari pentadbiran dan pengurusan, ialah memerlukan pegawai-pegawai masjid bagi menggerak dan menjalankan kegiatan harian seperti perlu kepada imam-imam, bilal-bilal dan siak-siak. Perlu kepada guru-guru yang akan mengisikan slot-slot pengajaran yang diadakan dari yang bersifat harian dan mingguan, bahkan kepada bulanan.
Walaupun pihak masjid untuk masa depan akan melantik imam, bilal dan siak secara tetap. Tetapi bagi peringkat permulaan, pihak masjid akan kenalpasti siapakah yang benar-benar layak untuk diisi bagi jawatan-jawatan berkenaan. Untuk tidak bersifat terburu-buru dan memikirkan juga dari segi faktor kewangan, buat permulaan adalah diharapkan kerjasama pihak surau-surau mengenalpasti siapakah yang berkelayakan mengisi jawatan-jawatan berkenaan. Adalah dilihat satu cara, ialah dengan menjemput imam-imam surau-surau dan bilal-bilal menjadi imam dan bilal secara berjadual dan bergiliran mengisi slot-slot waktu solat termasuk hari Jumaat beserta khatib. Dengan ini dapat dikenalpasti mana-mana imam-imam dan bilal-bilal yang layak dijadikan imam-imam tetap atau imam-imam bergiliran, begitu juga dengan bilal. Andainya tiada yang layak, maka dapat difikirkan secara bersama untuk mencari yang benar-benar layak atau mungkin dipohon dari JAIS untuk melantik imam dan bilal yang tetap, disamping terus mendapat kerjasama dari surau-surau untuk membekalkan imam dan bilal sambilan dan mungkin ada yang terus mau memberi kerjasama secara volunteer. Dengan cara ini kerjasama yang erat antara masjid dan surau-surau akan terus berlangsung. Adapun berhubung dengan siak, kita memang mendapat pertanyaan dari banyak pihak yang mau  memberi tenaga percuma untuk berkhidmat kepada masjid. Kita amat mengalu-ngalukan tawaran secara percuma mereka. Kepada mereka yang berkenaan kita cuba mengadakan pertemuan dan memilih mereka bagi khidmat berkenaan. Sudah tentulah bila mereka berkhidmat, kita akan menghargai mereka dan berusaha untuk memberi kadar imbuhamn bulanan kepada mereka menurut kesesuaian.


Satu lagi kerjasama yang diharap dari surau-surau dan juga masjid, bahawa sebagaimana maklum masjid bukan semata-mata untuk tujuan beribadat dalam erti kata ibadat terhad, tetapi juga adalah menjadi pusat sumber ilmu dan pengajian-pengajian. Pengajian-pengajian akan diadakah selepas solat subuh (secara ringkas), waktu antara maghrib dan Isyak setiap malam dan pengajian pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad. Masa-masa pengajian akan diisi dengan pengajian-pengajian seperti Al-Qur`an dan tafsir, hadith, aqidah, fiqh, tasawuf, sirah dan bahasa Arab. Kitab-kitab pengajian perlu dikenalpasti dan dipilih bagi semua jenis pengajian berkenaan. Pengajian khusus juga diadakan bagi kelompok muslimat. Bagi mengisi pengajian-pengajian berkenaan memerlukan guru-guru yang berkelayakan bagi keilmuan-keilmuan berkenaan. Surau-surau yang berjumlah 45 buah dan masjid tentulah banyak pengalaman di dalam mengendalikan pengajian-pengajian di surau-surau masing-masing begitu juga dengan masjid. Mereka tentu amat mengenali guru-guru yang berkemahiran dalam keilmuan-keilmuan berkenaan dan dapat menarik pengaji-pengaji dan pendengar-pendengar, lantaran itu di samping Masjid Al-Umm cuba mencari dan mengenalpasti guru-guru yang layak mengisi slot-slot pengajian, maka surau-surau dapat membantu mencadangkan kepada Masjid Al-Umm dari bank maklumat yang ada pada mereka tentang guru-guru berkelayakan berkenaan untuk dijemput sama mengajar di Masjid Al-Umm. Ini memberi kemudahan kepada Masjid Al-Umm mendapat guru-guru yang berkelayakan mengisi slot-slot pengajaran yang ada di masjid Al-Umm.
4.  Dalam suasana sekarang Masjid Al-Umm masih mencari dana bagi meyiapkan pembangunan Masjid Al-Umm dan juga pengimarahannya. Maka dengan kerjasama surau-surau adalah diharapkan dapat sama memberi kerjasama bagi mendapat derma dan sumbangan dari kariah dan ahli jamaah di surau masing-masing bagi mengisi Tabung Masjid Al-Umm yang masih memerlukan derma dari orang ramai.
5. Pihak Masjid Al-Umm juga akan mengadakan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan seperti gotong royong, mengadakan karnival dan sukan dan mengadakan sambutan-sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan hari-hari raya, maulid al-Rasul, Hijratul Rasul dan sebagainya. Bagi menjayakan sambutan dan memeriahkan sambutan berkenaan, maka penyertaan surau-surau adalah diharapkan bagi kejayaan sambutan-sambutan berkenaan.
Adapun dari segi pentadbiran dan pengurusan seperti jawatan pengurus, kerani, juru teknik, juru letrik, juru komputer,  pustakawan dan pegawai keselamatan, maka jawatan ini akan dibuka untuk dipohon oleh mereka yang berkelayakan. Pihak surau-surau juga boleh membuat cadangan mereka yang layak bagi mengisi jawatan-jawatan berkenaan.
Atas hasrat mau melaporkan perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm, cadangan penggunaan dan pengimarahan Masjid Al-Umm dan mengharapkan kerjasama dari surau-surau, maka majlis pertemuan diadakan pada hari ini. Al-Hamdulillah 50 orang pengerusi-pengerusi surau-surau dan masjid atau wakil-wakil dapat hadir ke Majlis Perjumpaan dan Penerangan Masjid Al-Umm yang berlangsung dari jam 9.30 hingga 12.45 tengahari.

Sekian.

November 17, 2015

Nabi Khidhir Tokoh Berilmu Ladunni


BBB,  04 Safar 1437 = 16 November 2015 (Isnin):


Terlalu banyak pendapat dan perbezaan pendapat tentang nama dan asal usul Nabi Khidhir sehingga mengelirukan. Sebaiknya kembali kepada maklumat yang terdapat di dalam Al-Qur`an untuk mengelak dari kekeliruan dan percanggahan pendapat. Yang jelas bagi pegangan kita, bahawa Nabi Khidhir adalah berada pada zaman Nabi Musa a.s. Beliau adalah seorang yang dikurniai hikmah Ilahi  dan mendalam dari segi keilmuan Ladunni, yang langsung mendapat hidayah dan kasyaf dari Ilahi.
Tema bagi kisah Nabi Khidhir adalah mengenai Ilmu Ladunni dan mesej juga jelas, iaitu tiada seorang yang boleh mendakwa yang dirinya `lebih alim` dari orang lain. Teguran Allah Subhanahu wa Ta`ala terhadap Nabi Musa yang menjawab pertanyaan khalayak pengikutnya, bahawa tidak ada makhluk yang lain yang lebih alim darinya (tidak wajar) adalah selari dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menjelaskan tentang keilmuan dan status kealiman seseorang. Firman Allah Subhanahu wa Ta`ala yang antaranya bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Adakah sama antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu ?`` (A-Zumar: 9).
Firman Allah lagi bermaksud:
`Allah mengangkat mereka yang beriman dari kalangan kamu dan mereka yang dikurnia ilmu kepada ketinggian darajat``. (Al-Mujadalah: 11).
Namun Allah berfirman juga mengingatkan bermaksud:
``Kami mengangkat kepada ketinggian darajat sesiapa yang kami kehendaki. Dan di atas setiap yang mempunyai ilmu ada yang lebih berilmu``. ( Yusuf: 76).
Konsep berilmu pengetahuan, ialah ilmu kurniaan Allah kepada yang bersungguh mencari ilmu berkenaan dan layak menerimanya, tetapi di sana ada lagi konsep keilmuan yang bersifat rohani yang tidak sahaja bergantung kepada pencarian, tetapi melibatkan amalan yang bersifat kerohanian yang pencapaian bukan boleh dicari-cari sebagaimana `ilmu biasa` tetapi rohani yang bersifat barakah, kasyaf dan ladunni yang dikurnia Allah dan bukan semuanya layak menerimanya. Inilah taraf beradanya Nabi Khidhir yang tidak dicapai, walaupun oleh Nabi Musa.
Nabi Khidhir sebenarnya dapat membaca perwatakan Nabi Musa, tatkala pada awal pertemuan dengan Nabi Musa yang menandakan ketinggian ilmu kerohanian dan ladunni Nabi Khidhir ketika menjawab permintaan Nabi Musa memohon untuk mengikutinya bagi mempelajari ilmu yang dikurniai Allah kepada Nabi Khidhir. Nabi Khidhir tidak loket dari mengajarnya, tetapi diperlihatkan kekurangan dan keperluan yang seharus ada bagi seseorang pelajar. Belajar apa jua  ilmu perlu kesungguhan dan biasanya tidak dapat dicapai dalam waktu segera dan memerlukan kesungguhan, kelamaan dan kesabaran. Demikianlah dipertunjukkan oleh Nabi Khidhir yang secara tidak langsung menunjukkan kelemahan yang tidak disedari oleh Nabi Musa yang ada pada dirinya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Ia (Khidhir menjawab), ``Sesungguhnya engkau (wahai Musa) tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku``. (18. 67).
Nabi Musa sebenarnya menunjukkan ketidakmampuan menilai dirinya sebagaimana ia dinilai oleh Nabi Khidhir yang mempersoalkan dirinya dan menyifatkan Nabi Musa tidak  mengetahui persoalan secara menyeluruh``. (18.68).
Bagi menguji kesabaran Nabi Musa, agar dia sendiri menyedari nanti tentang kelemahan dirinya, Nabi Khidhir menambahkan syarat bagi Nabi Musa mengikutinya dan memperlihatkan sama ada Nabi Musa bersabar dan mematuhi syarat yang membuktikan kemampuannya bersabar atau tidak, sebagaimana syarat yang disebutkan di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ia (Nabi Khidhir) menjawab, ``Sekiranya engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu``. (18. 70).
Mampukah Nabi Musa menghadapi ujian dan menahankan diri dengan kesabaran bila melihat apa yang dilakukan  oleh Nabi Khidhir yang mengundang ketidaksabarannya, bahkan protes terhadap perlakuan Nabi Khidhir ? Nabi Musa sebenarnya tidak mampu menghadapi ujian kesabaran dan melahirkan protesnya apabila ia mempersoalkan tindakan Nabi Khidhir:
1)      Membucurkan kapal yang ditumpangi agar kapal yang sempurna itu rosak (18. 71)
2)      Membunuh seorang pemuda yang pada kenyataan bersih dari kesalahan (18.74)
Kedua-dua tindakan oleh Nabi Khidhir ini dipersoalakan oleh Nabi Musa, tetapi Nabi Musa meminta maaf di atas kelupaannya apabila Nabi Khidhir memperlihatkan sifat tidak sabarnya dan mengingatkan Nabi Musa, kiranya perbuatannya kali ketiga terus dipersoalkkan oleh Nabi Musa, maka ianya merupakan perpisahan akan berlaku. Sememang apabila mereka sampai ke sebuah perkampungan yang penduduknya enggan menjamu mereka dan Nabi Khidhir mengangkat dan membina dinding tembok bangunan yang hampir runtuh, lantas Nabi Musa bertanya kepada Nabi Khidhir, kiranya dengan kerjanya itu ia mau mendapatkan bayaran. Teguran kali ketiga ini diperingatkan oleh Nabi Khidhir kepada Nabi Musa, bahawa dengan itu berakhirnya kebersamaan  mereka dengan perpisahan (18.77-78).
Namun sebelum mereka berpisah Nabi Musa didedahkan hikmat dan pengajaran dari perbuatan Nabi Khidhir yang maklumat dan hikmat yang diketahui Nabi Khidhir mendahului maklumat dari Nabi Musa bahawa:
1)      Kapal cantik dirosakkan, kerana ada pihak penguasa yang bercadang merompak perahu yang menjadi sumber rezeki penambang miskin itu. Dengan kerosakan yang dilakukan menghilang minat sang penguasa untuk mengambiil perahu berkenaan. (18.79)
2)      Adapun pembunuhan yang dilakukan terhadap pemuda itu, kerana kalau tidak dia akan melakukan penderhakaan yang menjadikannya derhaka, kufur dan memasalahkan keamanan. Dengan demikian pemuda dan orang tuanya bersih dan mendapat rahmat (18.80).
3)      Adapun dinding (tembok) diperbetulkan adalah milik dua orang anak yatim di bandar itu dan dibawahnya ada harta terpendam milik mereka. Arwah bapa mereka adalah kalangan orang salih. Allah memelihara harta berkenaan dan apabila mereka cukup umur, mereka dapat mengeluarkan harta terpendam berkenaan sebagai rahmat dari Tuhan dan (ingatlah) kata Nabi Khidhir, `Aku tidak melakukannya menurut fikiranku` . Demikianlah ta`wilan sebagai jawaban kepada sikap tidak sabarnya Nabi Musa mengenai perkara-perkara berkenaan. (18.82).
Demikianlah secebis dari keilmuan ladunni Nabi Khidhir yang terpancar dari peristiwa beliau dalam hubungannya dengan Nabi Musa. Sudah tentulah amat banyak lagi hikmat Ilahi dan Ilmu Ladunni yang ada pada diri Nabi Khidhir yang mencerminkan taraf keilmuan dan kerohanian yang ada pada diri Nabi Khidhir yang tentulah Nabi Khidhir sendiri tidak berhajat untuk memaklumkan tanpa sebab dan keperluan.

Sekian.

November 16, 2015

Khidhir Tokoh Legenda Islam ?


BBB, 03 Safar 1437 = 15 November 2015 (Ahad):


Sebagaimana disebutkan bahawa di dalam Surah Al-Kahfi terdapat dua bahagian bagi dua kisah utama, iaitu Kisah Ashab al-Kahfi (18. 1-59) dan Kisah berkenaan dengan Khidhir (18.60-110). Permulaan bagi kisah ini  (Khidhir tidak disebut secara langsung) di dalam Al-Qur`an sebagaimana maksud berikut:
``Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Musa berkata kepada temannya, ``Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu, lalu aku berjalan terus bertahun-tahun. (18. 60).
Menurut catatan Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian Al-Qur`an, sebagaimana yang dipetik dari Hadith Bukhari, bahawa semasa Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang dari khalayak pendengarnya bertanya, ``Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada Tuan ?`` Nabi Musa menjawab, ``Tidak ada``. Jawapan Nabi Musa sedemikian ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala, kerana ia tidak mengembalikan soal ilmu itu  kepadaNya dan diterangkan bahawa, ``Ada seorang `hambaKu` yang lebih ilmu daripadamu,`` dan bahawa orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut, kemudian diperintahkan supaya ia membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul, dan manakala ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka disitulah tempat pertemuan itu.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diselenggarakan oleh Abdullah Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, 1985: 599).
Menurut keterangan Al-Qur`an Nabi Musa berjalan bersama temannya – Yusha` bin Nun ke tempat di tepi pantai yang dijangka adalah ditepi Laut Merah – Cabang Laut Merah, iaitu Teluk `Aqabah dan Teluk Suiz. Seterusnya ayat Al-Qur`an menerangkan yang bermaksud:
``Maka apabila mereka berdua sampai di tempat pertemuan dua laut itu lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur mengikut jalannya dilaut, yang merupakan saliran di bawah tanah``. (18. 61).
Selepas mereka berdua terjaga dari tidur di satu batu besar, mereka meneruskan perjalanan, sedang mereka lupa akan ikan yang mereka bawa. Apabila mereka lapar, mereka baru teringat kepada bekalan (ikan ) yang dibawa, tetapi ikan berkenaan telah masuk ke laut, ini mengingati mereka pertanda bahawa, itulah tempat pertemuan yang seharusanya berlaku, lalu mereka mengesan kembali ke  tempat persinggahan bermalam itu.
Ayat Al-Qur`an seterusnya menerangkan bermaksud:
``Lalu mereka berdua dapati seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan rahmat dari Kami, dan Kami mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami``. (18. 65).
Siapakah sebenarnya `Seorang Hamba` dari hamba-hamba Allah yang dikurnia `Ilmu Ladunni` yang Nabi Musa berusaha mencarinya bagi menemuinya untuk mempelajari ilmu kurniaan Allah darinya itu ?
Al-Qur`an tidak menyebut secara spesifik tentang `Hamba dikurniai Ilmu Ladunni`, iaitu ilmu dikurniai Allah dengan cara ilham.
Siapakah sebenarnya Hamba Allah yang dikurniai `Ilmu Ladunni` ini ? Dia disetujui jumhur ulama sebagai `Khidhir.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 600).
Tetapi ada beberapa pendapat mengenai Khidhir ini, lantaran ia mempunyai watak yang anih.  Apakah ia wali ?, Nabi ? atau Malaikat ?
Ibn Kathir dan Imam Nawawi tidak bersetuju untuk mengatakan yang Khidhir adalah seorang Malaikat, namun Maududi agak berlainan pendapat dengan mengatakan Khidhir adalah malaikat.
Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, Nabi Khidhir: Antara Fakta Dan Khayalan, Terjemahan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman, PTN Publications Sdn. Bhd. Subang, 2010: 18).
Abu al-Qasim al-Qushairi di dalam kitab Al-Risalah Al-Qushayriyyahnya berpendapat, bahawa Khidhir, bukan seorang Nabi, tetapi adalah seorang wali.
Imam Nawawi berpendapat bahawa pendapat yang paling kukuh bahawa Khidhir adalah seorang Nabi. Pendapat ini adalah merupakan pendapat jumhur `ulama`.
(Nabi Khidhir, Leginda: Antara Fakta Dan Khayalan, 2010 28), juga (Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 600).
Memandangkan dengan watak unggulnya, adakah sesuai Nabi Khidhir dikatakan sebagai legenda Islam ?
Di dalam warisan sastera berbagai bangsa dan bahasa, terdapat tokoh-tokoh sanjungan rakyat yang menjadi pujaan, pujian dan inspirasi bagi rakyat berkenaan. Legenda ini kebiasaannya berkaitan dengan tokoh yang  memang wujud di dalam sejarah dan warisan bagi sesuatu bangsa atau bahasa, tetapi pada kewujudan fakta berkenaan ditokok tambah dan dibesar-besarkan tentang kewiraan, pemurah dan sikap menolong orang dan sebagainya. Sebagai contoh di dalam budaya mesyarakat Arab, wujudnya tokoh yang terkenal sebagai watak yang baik, pemurah, suka menolong orang dan menghormati tamu, iaitu watak `Hatim al-Ta`i. Watak ini dimegahi oleh masyarakat Arab, bahkan kesan dari watak ini, orang Arab terkenal sebagai masyarakat yang menghormati tamu. Dalam masyarakat Melayu, terdapat watak wira yang dikenali dengan `Hang Tuah`. Watak ini pada asalnya memang wujud (di samping ada yang menafikannya), tetapi watak ini ditambah dan dilegendakan dengan berbagai-bagai sifat kewiraan yang kadang-kadang melebihi dari watak manusia biasa, bahkan begitu panjang umurnya. Tetapi sebagai ciri budaya bangsa, setiap masyarakat mengharapkan wujudnya watak-watak unggul yang menjadi pujaan dan inspirasi mereka.
Nabi Khidhir adalah watak manusia alim yang menerima ilmu ladunni dari Allah Ta`ala, bersifat suka menolong orang dan membantu mereka yang susah dan mungkin muncul secara tiba-tiba bagi sesuatu peristiwa untuk memberi pertolongan dan bantuan. Watak ini berada pada sepanjang zaman dan dikaitkan dengan zaman nabi-nabi dan rasul-rasul tertentu. Antaranya turut dibincangkan tentang kepanjangan umurnya. Mengatakan Nabi Khidhir sebagai legenda Islam, dibimbangi bahawa sebahagian dari perwatakannya dianggap sebagai tambahan dan diada-adakan, tetapi watak Khdhir wujud dan adalah sebagai watak unggul di dalam Islam.

Sekian.

November 15, 2015

Pengajaran Dan Keilmuan Dari Surah Al-Kahfi


BBB, 02 Safar 1437 = 14 November 2015 (Sabtu):


Daripada kandungan ayat-ayat Al-Qur`an, khususnya ayat-ayat bagi Surah Al-Kahf (termasuk juga mengenai Khaidir atau Khidir) dapat diambil kesimpulan bahawa kaedah bercerita (sastera adabiyyah) adalah merupakan satu kaedah yang baik bagi mendakwah Islam, sebagai contoh ialah kisah Ashab al-Kahfi, juga Surah Yusuf dan berbagai-bagai lagi. Melalui seni persuratan sastera mesej dapat disampaikan secara halus dan menarik. Lantaran itu usaha menghasilkan bahan-bahan persuratan sastera Islam sepatutnya diadakan sebagaimana satu masa dulu pernah dianjurkan pertandingan menulis cerita – cerpen, puisi dan novel Islam secara bersiri seperti oleh JAKIM – termasuk anjuran pertandingan  menulis sempena Abad 15 Hijrah, anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama GAPENA dan Yayasan Pelajaran Islam Malaysia. Anjuran seperti ini patut diadakan kembali oleh pihak berwibawa.
Penghasilan buku-buku ilmiah juga patut digalakkan bagi mengukuhkan akidah dan kefahaman Islam. Buku aqidah tidak semestinya terikat dengan pendekatan konvensional seperti yang dihasilkan oleh Asy`ari-Maturidi, tetapi dapat didekati secara sains, perubatan, astronomi dan sebagainya yang tentu bagi menghasilkan buku-buku berkenaan memerlukan pakar-pakar dalam  bidang-bidang berkenaan dan sekaligus mesti memahami keilmuan keislaman.
Dalam hubungan dengan kisah Ashab al-Kahfi ini, memberi isyarat penting tentang ilmu-ilmu `Kepurbaan`. Dalam hal ini Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Setelah itu sebahagian daripada mereka berkata, ``Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka. Allah jua yang mengetahui hal ehwal mereka. Orang-orang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata,``Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka``.  (18.21).
Dari ayat di atas, bahkan dari kisah Ashab al-Kahfi, dapat kita fahami, adalah tidak salah melihat tempat-tempat yang mempunyai kesan sejarah purba, sebagai mengkagumi ciptaan Allah dan kekuasaanNya. Juga dapat difahami, amalan menjadikan tempat-tempat menarik ciptaan Allah sebagai tempat tarikan daya kunjungan, khususnya pelancong tidaklah menjadi kesalahan. Bahkan amalan mendirikan muzium-muzium pada peringkat negeri dan negara bagi menyimpan artifek-artifek dan bahan-bahan berharga dari segi sejarah, permuzium, arkib dan juga kepurbaan sebagai khazanah negara dan untuk sama dilihat oleh pelancong-pelancong tidak bertentangan dengan hukum agama. Keadaan yang sama dengan menghimpun bahan-bahan sejarah sebagai warisan negara. Dengan semangat di atas sewajarnya masyarakat umat menyedari kepentingan sejarah, menghimpun koleksi permuziuman, arkib sebagai bahan warisan negara. Kegiatan sedemikian adalah merupakan kegiatan bersifat intelektual dan merupakan kesedaran yang meningkatkan tamadun dan peradaban bangsa dan ummah.
Sebenarnya kegiatan seperti ini kita lihat dilakukan di Makkah dan Madinah dalam mana  mereka yang mengunjungi Makkah dan Madinah dalam rangka menunaikan haji dan umrah dibawa melihat tempat-tempat bersejarah seperti melawat Gua Hira`, Gua Thur, melawat Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan semasa di Madinah melawat Maqam Rasulullah s.a.w., melawat dan bersolat di Masjid Madinah, medan-medan peperangan seperti Badar dan Uhud, melawat Masjid Quba` dan Masjid Qiblatayn dan sebagainya adalah merupakan sebagai menghayati dan memahami tempat-tempat sejarah. Dengan melihat kesan-kesan sejarah dapat dilihat kesan-kesan perjuangan Rasulullah s.a.w. di dalam menegak dan menyebarluaskan Islam.
Di dalam Surah Al-Kahfi disebut oleh Al-Qur`an bahawa Ashab al-Kahfi tidur di dalam gua berkenaan selama 300 dan sembilan tahun – tambahan (18.25).
Ada dua perkara yang dapat ditimbulkan dari ayat berkenaan, pertama bahawa ianya membuka kemungkinan terutama bagi pakar-pakar sains, khususnya pakar-pakar perubatan menyelidik kaedah yang dapat melambatkan ketuaan sehingga mencapai ratusan tahun. Ini bukan merupakan sesuatu yang mustahil. Kini pakar-pakar sains sudah dapat menemui kaedah sains yang dapat menyimpan benih lelaki yang tahan dan dapat diguna/ditetas kemudiannya dalam tempoh masa yang panjang. Keadaan yang sama boleh digunakan bagi kemungkinan memanjang umur manusia dan tempoh produktif mereka.
Keduanya di dalam ayat di atas juga  menyebutkan bahawa tempoh Ashab al-Kahfi berada  dan tidur di gua adalah 300 tahun tambah 9. Menurut kajian bahawa tempoh 300 tahun dan sembilan tahun (tambahan) adalah menurut dua kaedah kiraan, bahawa 300 tahun adalah menurut kiraan tahun berasaskan kiraan pergerakan matahari seperti penggunaan tahun Masihi kini, tetapi jika mengikut keraan pergerakan bulan atau dikira tahun Qamariyyah seperti yang digunakan di dalam Islam dan juga digunakan oleh setengah-serengah pihak yang lain seperti juga kelindar Cina, maka pertambahan tahun lebih cepat, iaitu untuk 300 tahun bagi kiraan matahari (Masihi) bererti menjadi 309 tahun bagi kiraan tahun lunar (Qamariyyah). Ini juga bermakna bagi setiap abad Masihi menjadi 103 Qamariyyah atau bagi setiap 33.33 tahun bererti bertambah setahun Qamariyyah. Perlu diingat ini merupakan pendapat, tidak semestinya tepat dan pembaca tidak semestinya menerima.
Walau bagaimana di dalam Al-Qur`an selain dari dalam Surah Al-Kahfi, terdapat tempat-tempat lain yang bersifat number, misalnya ayat bermaksud;
``Sesungguhnya sehari di sisi Allah seperti seribu tahun mengikut kiraan kamu``.  (Al-Hajj; 47).
Sungguhpun maksud di atas merujuk kepada azab dialami yang berdosa di sisi Allah di akhirat, ianya mungkin juga merujuk kepada jauh dan dekatnya kedudukan planet atau bintang dari matahari. Jika ini antara yang dimaksudkan bayangkan betapa luasnya cakrawala yang dicipta Allah yang masih belum diterokai atau belum dikatahui oleh manusia yang menjadi cabaran bagi mereka untuk menerokainya, juga mungkin merujuk kepada kelamaan atau kejauhan kiraan di alam akhirat dan rohani.
Walau apa pun konsep kiraan adalah amat penting dalam kehidupan, dan umat Islam antara kalangan terawal yang telah menerokai bidang geometri, al-gebra, di samping hisab bagi kepentingan ukuran arah kiblat, jauh dekatnya sesuatu tempat, bahkan digunakan bagi keilmuan astronomi, merekacipta jam dan sebagainya. Ditambah dengan kemajuan di dalam bidang fizik dan kimia kini dapat diketahui lamanya sesuatu bahan yang dikaji, misalnya ketuaan batu batan di sesuatu tempat, lamanya sesuatu mayat purba yang diketemui dan banyak bidang-bidang lain yang dapat diterokai.
Pendek kata melalui kisah Ashab al-Kahfi, umat Islam tidak seharusnya menerima maklumat yang dibekalkan oleh Al-Qur`an sahaja, tetapi seharusnya membuka jalan untuk mengkaji secara saintifik dan ilmiah. Misalnya memastikan lokasi dan tempat sebenarnya gua Al-Kahfi berkenaan. Zaman pemerintahan sebenarnya dari segi sejarah, keadaan masyarakat dan kepercayaan mereka pada masa itu. Lebih jauh dari itu membuka ruang bagaimana Ashab al-Kahfi boleh bertahan hidup sehingga lebih dari 300 tahun, apakah suhu udara, kelembapan tempat dan sekitaran keliling serta hubungannya dengan tubuh fizikal yang menjadikannya sesuai dan dapat bertahan lama. Penemuan saintifik misalnya boleh digunakan untuk memanjang dan melewatkan tempoh ketuaan, mempreservekan sesuatu bagi kepentingan kehidupan dan berbagai-bagai keperluan lagi,  di samping dari satu pihak kita menerima tentang kekuasaan dan keagungan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta.

Sekian.

November 14, 2015

Mesej Dari Surah Al-Kahfi


BBB, 01 Safar 1437 = 13 November 2015 (Jumaat):


Sesudah membaca sebuah kisah atau cerita – Sesudah memahami tema yang mungkin sengaja tidak diserlahkan, mengkagumi keunikan cerita dengan teknik canggih, bahasa indah memukau, wujudnya konflik antara watak dan perwatakan bertentangan mendebarkan dengan cerita berestetika tinggi dan penyelesaian (katarsis) yang mengharu atau menginsafkan, lantas apakah hasil puncak dari sesebuah kisah yang diharapkan ?
Sesebuah cerita tidak cukup dengan ungkapan `sedap dan indah`, tetapi inti yang dapat ditarik ialah apakah mesej yang mau disampaikan dan apakah pengajaran yang dapat dimanfaatkan. Harapan ini melibatkan semua jenis cerita, termasuk juga cerita-cerita dari Al-Qur`an, tetapi tidak semua cerita mengandungi semua elemen dan infra penceritaan secara lengkap. Ianya bergantung kepada jenis penceritaan dan keutamaan yang disengaja atau tidak disengajakan yang menjadi ciri dan identiti cerita berkenaan.
Surah Al-Kahfi adalah sebuah cerita lengkap, walaupun tidak sepanjang Surah Yusuf, teknik penceritaannya bersifat laporan dari `Pihak Pertama (Allah)` kepada `Orang Kedua (Rasulullah)` -  (Allah sengaja tidak disebut `Orang Pertama`, sebagai terminogi bahasa dan sastera, diganti `Pihak`), tentang cerita `Orang Ketiga (Ashab al-Kahfi). Cerita adalah bersifat laporan direct. Watak yang dilaporkan tidak dihidupkan dengan dialog – kecuali dialog kecil antara Ashab al-Kahfi selepas mereka sedar dar tidur yang panjang.
Ada mesej-mesej utama yang dapat ditarik kesimpulan.
Mesej utama dari cerita Ashab al-Kahfi (18. 1-59), bahawa `Pentingnya Aqidah Tauhid` dipertahankan. Jika  pegangan ini terdedah kepada ancaman kerosakan, maka jika perlu menjauhi dan mengasingkan diri, maka perlu mengasingkan diri sebagaimana dilakukan oleh Ashab al-Kahfi dan mendoakan keselamatan diri dan aqidah  sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``(Ingatlah peristiwa) Tatkala rombongan orang muda (Ashab al-Kahfi) pergi ke gua  lalu mereka berdoa, ``Wahai Tuhan kami kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami``. (18.10).
Pegangan agama mereka digambarkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), tatkala mereka bangun (menegakkan tauhid) lalu berkata, ``Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan Mentadbirkan langit dan bumi. Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya. Jika kami menyembah yang lainNya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran``. (18.14).
Dapat difahami era di mana peristiwa ini berlaku, iaitu pada zaman era sebelum Kristian (menyembah berhala) dan kerajaan Rum yang menerima konsep Triniti sebagai pegangan akidah pegangan negara. Ini dapat difahami dari ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan juga Al-Qur`an itu memberi amaran kepada orang-orang berkata ``Allah mempunyai anak```. (18.4).
Mesej yang dapat difahami dari Surah al-Kahfi ialah tentang konsep `Hijrah Kecil` dilakukan oleh Ashab al-Kahfi bagi menyelamatkan aqidah mereka. Namun dibandingkan dengan Hijrah al-Rasul s.a.w. dari Makkah ke Madinah adalah tindakan pro-aktif, ianya sebagai strategi bagi meluaskan aqidah Islam, bahkan membuka Negara Islam pertama yang lebih meluaskan aqidah Islam secara luas ke seluruh dunia dan terus berkembang hingga kini, tetapi bagi Ashab al-Kahfi, ialah bagi menyelamatkan aqidah tauhid mereka. Tindakan mereka adalah  sesuai menurut kemampuan mereka, lagi pula mereka bukanlah para nabi atau rasul yang membawa amanah kerasulan dan kenabian (18.16).
Daripada Surah al-Kahfi, ialah gesaan agar suka berdamping dengan orang yang beribadat yang bererti orang yang beramal dengan ilmu sebagaimana firman Allah bermaksu:
``Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata.``. (18.28).
Sikap orang yang baik ialah mencari kebenaran, bererti juga orang suka mencari ilmu dan mempraktikkan keilmuannya melalui amal ibadat. Gesaan ini dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:
``Dan katakanlah (wahai Muhammad), kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu``. (18.29).
Seperti mana juga antara nilai kebaikan yang ditekankan oleh Islam yang banyak terdapat di dalam Al-Qur`an, termasuk di dalam Surah al-Kahfi ialah menggesa umat Islam dan sebenarnya sesiapa sahaja agar melakukan kebaikan yang merupakan nilai universal dan disanjung oleh semua pihak. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya Kami tidak mensia-siakan pahala sesiapa yang melakukan amalan yang elok``. (18.30). Dan sudah tentulah balasan mereka yang melakukan kebaikan ini ialah ganjaran syurga (18.31).
Antara nilai akhlak yang baik yang merupakan adab dan budaya Islam  yang mempunyai pertalian dengan `Pandangan Wujud` yang berkait rapat dengan aqidah ialah apabila bercakap mengenai perkara yang tidak pasti kemungkinan berlaku atau sebaliknya, ialah selalu menyebut `Insya Allah`. Ingatan kepada Allah juga hendaklah disebut, jika berlaku kelupaan. Ini diajarkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan), ``Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti``. Tetapi hendaklah disertkan dengan berkata `Insya Allah`` . Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu, jika engkau lupa dan katakanlah, ``Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini``. (18.23-24).
Mesej terakhir yang juga sebagai kesimpulan bahawa hendaklah tersimpul kukuh di dalam minda dan jiwa pegangan aqidah tauhid, bahawa segala kejadian dari alam fizikal, membawa kepada yang ghaib dan tidak kelihatan mata, bahawa kesegalaan di bawah kekuasaan Allah yang kita hendaklah sentiasa memohon hidayah dan pertunjukNya ke jalan yang benar (18.14).
Allah mengingatkan tentang sikap manusia yang zalim bermaksud:
``Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya. Sesungguhnya, kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka dari memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak), dan jika engkau menyeru mereka kepada pertunjuk, maka dengan keadaan demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh pertunjuk hidayah selama-lamanya``. (18. 57).
Sesungguhnya Ashab al-Kahfi lambang mereka yang mendapat Hidayah yang kita mohon semoga kita juga sama turut mendapat hidayah – Insya Allah.

Sekian.