November 17, 2016

KELOMPOK KETIGA KALANGAN SUFI MENDALAMI KEPELBAGAIAN ILMU


BBB, 16 Safar 1438H. =  16 November 2016 (Rabu):
Pada awal pembicaraan bagi kitabnya `Al-Ta`arruf Li Mazhab Ahli al-Tasawwuf`, Al-Kalabadzi mengelompokkan ahli-ahli sufi di dalam tiga kelompok, iaitu:
1)      Kelompok  Am  terdiri dari      43  ahli sufi
2)      Kelompok kedua terdiri dari   18  ahli sufi
3)      Kelompok ketiga  terdiri dari  11  ahli sufi
Ciri pengelompokan  dan perbezaan antara tiga kelompok tidak jelas
Kelompok pertama dikatakan mereka menyebarkan keilmuan mereka, mengungkapkan pengalaman dzauq dan wujdan, menyebarkan maqamat dan ahwal mereka. Mungkin kepada keluarga bagi turunan Rasulullah s.a.w seperti `Ali bin Husain Zainal `Abidin, anaknya Muhammad `Ali al-Baqir, anaknya Ja`afar Muhammad al-Sadiq r.a`anhum mengukuhkan pegangan Ahlu al-Bayt yang dilanjutkan daripada Sayyiduna `Ali, Hasan dan Husain r.a`anhum.
Bagi yang lain adalah mengungkapkan pengalaman kesufian dari dzauq dan wujdan yang dengannya menghimpunkan maklumat kesufian.  Adapun sufi-sufi dari Khurasan memperlihatkan antara mereka membawa pendekatan yang agak ekatrim dan yang jelas dari mereka ialah seperti Abu Yazid T*aifur bin `Isa al-Bistami. Datuknya  seorang majusi yang memeluk agama Islam. Abu Yazid  (m. 261H.) seorang terkenal zuhud dan kuat beribadat. Fahamnya dapat difahami dari ungkapannya seperti berikut:
``Aku mengenal  Allah dengan Allah dan aku mengenal lain daripada Allah dengan cahaya Allah. ``
Bagi kelomok kedua sebagaimana sudah dibinncangkan mempunyai keistimewaan menyebarkan ilmu bersifat isyarat (ketasawufan), melalui kitab-kitab dan risakah-risalah (surat-surat). Catatan melalui surat ini adalah dilakukan oleh Al-Junayd dari kelompok kedua ini dan melalui ungkapan-ungkapan mereka, sebagaimana disebutkan setiap daripada  ungkapan- mereka dicatat. Namun tidak banyak kitab tasawuf dihasilkan dab tidak ada kitab-kitab yang dinisbahkan kepada mereka.
Sebagaimana dua kelompok yang lepas, maka pada dasarnya tidak begitu ketara perbedaan anatara ketiga-tiga kelompoik ini, melainkan dikatakan dari kelompok ketiga yang berjumlah sebelas  orang mempunyai keistimewaan dari segi mengarang (sannafa) –  dan susunan ungkapan.
1)      Abu Muhammad `Abdullah bin Muhammad  (m. 234H.) kelahiran Baghdad dan mendapat didikan di sini, bersahabat dengan Al-Junayd. Maklumat  yang berhubung dengan muamalat (ibadat) -   dikatakan bila tiba Ramadhan dia menggandakan tenaganya beribadat. Dia mengatakan. ``Inilah bulan yang Allah membesarkannya.``.
2)      Abu `Abdillah Ahmad bin `As*im al-Ant*akan dari Baghdad dan bersahabat dengan Abi al-`Abbas bin `At*a` dan Al-Hariri, berpindah ke Sham, tetapi kembali ke Baghdad dan meninggal (m. 267H.). Antara kalamnya, ``Sebesar-besar hijab antara engkau dan antara yang Haqq ialah kesebokan engkau mengurus dan mentadbir diri engkau dan engkau bergantung pada kelemahan  diri engkau.``
3)      `Abdullah bin Hanaf al-Ant*aki. Bersahabat dengan  Bishr al-Hafi, Sari al-Saqati dan Al-Muhasibi. Antara kalamnya, ``Apabila engkau duduk dengn ahli sidq, maka dududuklah secara sidq, kerana mereka  itu adalah pengintip hati.``
4)      Al-Harith bin al-Asad al-Muhasibi
Pengarang bagi dua kitab Tasawuf terkenal, iaitu al-Ri`ayat Li Huquq Alklah dan  A`mal al-Qulub wa al-Jawarih. Menetap di Kufah dan menurut madzhab l-Thauri. Antara kalamnya:
``Kiranya engkau tidak taat kepada orang yang berbuat baik kepada engkau, bagaimana engkau dapat berbuat baik terhadap orang yang membuat jahat terhadap engkau ?``
5)      Yahya bin Mu`adz al-Razi (m. 243H.)
Dia dari kalangan  `ulama` dan shaykh kaumnya, mendalam dari segi ilmu zahir, ilmu mu`amalat dan isharat. Antara kalamnya, ``Tidak wajar untuk menjalani wara` hingga meninggalkan perkara yang wajib. Ilmu mewariskan takut kepada Allah, zuhud mewariskan kerehatan dan ma`rifah mewariskan inabah.
6)      Abu Bakar Muhammad bin `Umar bin al-Fadhl al-Wariq al-Tirmidzi.
Pendakwah yang merantau ke Balakh dan kemudian kembali ke Nisabur dan meninggal di situ (258H.). Antara kalamnya. ``Daripada sifat wali, iaitu meyakini  (thiqah) Allah pada segala perkara, dan  kembali kepadanya bagi segala perkara.``
7)      Abu `Uthman Sa`id bin  Isma`il al-Razi
8)      Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi
 Daripada kawasan Tirmidz. Dia mempunyai karangan-karangan di dalam bidang ridhiyyat, sastera dan mu`amalat. Antara ungkapannya:
``Bukanlah kejayaan dengan banyak amalan, tetapi ialah amalan yang ikhlas dan mengelokkannya.``
9)      Abu `Abdullah Muhammad bin al-Fadhl al-Balakhi
Lahir di Balakh dan menetap di Samarqand dan meninggal di situ  (m. 319H.). Dia dianggap dari kalangan ulama` besar di Khurasan. Antara ungkapannya ialah:
``Menghairankan mereka yang sanggup merentasai perjalanan jauh ke Ka`bah dan Baitillah al-Haram, kerana ia tempat para nabi, tapi menghairankan  bagaimana mereka tidak dapat merentasi dirinya untuk sampai ke hatinya, kerana pada hati ada bukti-bukti kekuasaan Ilahi.
10)   Abu `Ali al-Jauzajani
11)   Abu al-Qasim ibn Ishaq  ibn Muhammad al-Hakim al-Samarqandi.
Adalah dari kalangan `ulama` besar di Khurasan. Dia mempunyai karangan di dalam bidang-bidang keutamaan, riyadhiyat dan mujahadat. Dia bersahabat dengan Muhammad bin `Ali dan Muhammad bin al-Fadhl dan yang lain-lain. Antara ungkapannya:
``Tanda kebahagiaan seseorang hamba mudah dia taat kepada Allah dan menurut Sunnah.
Terbukti bagi kelompok  ketiga ini mereka  menguasai bukan saja di dalam bidang tasawuf, tetapi kepelbagai ilmu yang lain seperti Hadith, Fiqh, ilmu al-Kalam, bahasa,. Ilmu Al-Qur`an yang terbukti dari kitab-kitab dan kepengarangan mereka.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

November 16, 2016

LANJUTAN TOKOH DAN UNGKAPAN MEREKA TENTANG TASAWUF


BBB, 15 Safar 1438H. =  15  November  2016 (Selasa):
Al-Kalabadzi mengambil pendekatan bagi permulaan kitabnya `Al-Ta`arruf` dengan membicarakan tentang istilah tasawuf dan berhubung dengannya - asal usul, maksud dan sebagainya. Berikutnya dibicarakan, tokoh-tokoh sufi,  iaitu bagi bab tiga dibicarakan tentang tokoh-tokoh yang  dari mereka tercermin pendapat,  tanggapan dan citra ketasawufan mereka. Dikatakan pendapat-pendapat mereka selain dari diluahkan secara lisan, juga adalah melalui surat-surat dan karangan-karangan (kitab-kitab), namun tidak pula disebut tentang kitab yang dihasilkan yang menjadi petikan dan rujukan bagi Al-Kalabadzi.
Bagi bab tiga ini Al-Klabadzi menyebut seramai  18 orang sufi. Nama –nama ini disebut secara seturut sebagaimana nama-nama yang diberi di dalam bab dua, iaitu tokoh-tokoh sufi. Bagi penerangan tentang mereka, iaitu Mahmud  al-Nawawi yang mengkaji dan membuat kata pengantar membuat catatan kaki bagi tokoh-tokoh berkenaan dan menyertakan pendapat mereka tentang aspek-aspek kesufian.
Tokoh terawal bagi bab ketiga ini ialah Al-Junayd yang nama penuhnya ialah Abu al-Qasim al-Junayd bin Muhammad bin al-Junayd al-Baghdadi. Keterangan lanjut pada catatan kaki, bahawa  ayahnya  seorang peniaga kaca di Baghdad. Dia mendalami bidang tasawuf dan menjadi imam bagi bidang berkenaan. Dia dianggap pembawa tasawuf beraliran Sunni. Al-Junayd meninggal pada tahun  297H.Antara kata-katanya berhubung dengan tasawuf ialah, ``Allah Ta`ala menjadikan ikhlas di dalam hati seseorang menurut kadar ikhlas hatinya mengingati Allah – lihatlah apa yang ada di dalam hati engkau.``
Inilah format huraian pada cartatan kaki bagi 18 tokoh berkenaan (Antaranya tiada maklumat bagi tokoh yang mungkin tidak diketahui).
Sebagai tambahan dari Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyat, bahawa Al-Junayd adalah pemimpin bagi jama`ah pengikutnya dan mengeluarkan fatwa kepada mereka. Dia bersahabat dengan Sari al-Saqati, Al-Harith al-Muhasibi, Muhammad bin `Ali  al-Qassab dan lain-lain. Dia dianggap pemimpin yang diterima oleh berbagai pihak. Terdapat 36 riwayat menurut gaya Hadith yang merujuk kepada Al-Junayd. Misalnya::
``Aku mendengar Muhammad bin al-Hasan al-Baghdadi berkata [Aku mendengar al-Junayd] Dia disoal, `Siapa dia al-`Arif ?``, maka katanya, ``Orang yang bercakap tentang rahsia dalaman engkau dan engkau diam.`` Demikian dengan contoh-contoh yang lain.
Tokoh lain ialah Abu al-Husain Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Samad al-Nuri (m. 295H.) (terkenal dengan panggilan  Ibn al-Baghawi). Maklumat tentang kata-katanya  mengenai  tasawuf yang juga dipetik dari Al-Tabaqat oleh Al-Sulami, ``Bukanlah tasawuf dengan penerangan dan kaedah keilmuan, tetapi dia adalah akhlak !``.
Tokoh seterusnya  ialah Abu Sa`id Ahmad bin `Isa al-Khazzar (m. 278H.). Menetap di Baghdad dan bersahabat dengan  Dzu al-Nun al-Misri dan Sari l-Saqati. Dia digelar `Lidah Sufi` dikatakan orang yang awal bercakap tentang konsep al-fana` dan al-baqa`.  Dia berkata, ``Terikat hati kasih kepada orang yang membuat baik kepadanya. Wahai pelik, kalau orang yang tidak melihat kebaikan dari Allah, bagaimana dia tidak cenderung kepadaNya dengan  keseluruhan dirinya. ``
Manakala Abu Muhammad Ruym bin Muhammad (m. 303H.). Menetap di Baghdad. Antara katanya, ``Jangan engkau biarkan saudaramu di dalam kesilapan semata-mata untuk menjaga hatinya.``
Berikutnya  Abu al-`Abbas  Ahmad bin Muhammad  bin Sahl bin  al-`At*a` al-Baghdadi (m. 309H.) bersahabat dengan Al-Junayd.  Abu Sa`id al-Kharraz berkata tentangnya, ``Tasawuf adalah akhlak, aku tidak melihat ahlinya melainkan pada Al-Junayd dan Ibn `At*a`.``
Antara mereka lagi ialah Abu `Abdullah `Amrin `Uthman al-Makki (m. 291H.) Bersahabat dengan Al-Junayd dan Abu Sa`id al-Kharraz. Antara kata-katanya, ``Taubat adalah fardhu baik kepada orang yang ta`at apa lagi yang melakukan ma`siat. Sama ada kecil atau besar dosa. Tiada keuzuran dari melakukan taubah. Terutama selepas melakukan ma`siat.`` (Dari Tabaqatal-Sulami).
Manakala Abu Ya`qub Yusuf bin Hamdan al-Susi bersahabat dengan Al-Junayd dan Abu Ya`kub al-Nahrajuri (tiada keterangan lanjut). Maka  Abu Ya`kub Ishak bin Muhammad bin Ayyub al-Nahrajuri (m. 330H.) bersahabat antaranya dengan Al-Junayd dan  Amrin bin `Uthman al-Makki. Antara kata-katanya,
``Benar adalah muwafakat dengan yang hak, sama ada secara rahsia dan nyata. Dan hakikat benar ialah berkata dengan hak, walaupun pada tempat yang merbahaya.``
Manakala bagi Abu Muhammad  al-Hasan bin Muhammad al-Jariri (m. 311H), antara kata-katanya ialah.
``Dalil sesuatu tentang Allah ada tiga, KekuasaanNya yang nyata, TadbiranNya pada pemilikannya  dan kalamNya yang merangkumi segala sesuatu.``
Manakala Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Kattani (m. 322H.),  dia bersahabat dengan Al-Junayd dan Al-Kharraz. Antara kata-katanya, ``Apabila engkau memohon taufik dari Allah maka hendaklah  beserta dengan amal.``
Abu Ishak Ibrahim bin Ahmad al-Khawass (m. 291H.) adalah sahabat bagi Al-Junayd. Dia berpendapat dan berkata, ``Bahawa ilmu adalah bagi yang mengikutinya, beramal dan menurut sunnah, walaupun dengan sedikit ilmu.``
Manakala bagi  Abu `Ali al-Aurakhi,  Abu Bakar Muhammad bin Musa al-Wasiti (m. 320H.), Abu `Abdullah al-Hashimi dan Abu `Abdullah Haikal al-Qurashi  (Tidak dibericatatan maklumat tentang mereka).
Abu Bakar (al-Wasiti) adalah sahabat al-Junayd dan Al-Nuri. Antara kata-katanya ialah, ``Kasih membawa kepada shauq dan shauq membawa kepada uns. Siapa yang tiada shauq dan uns tiada kecintaan baginya.``
Adapun `Ali al-Rudzbari (m. 322H.) alim, faqih dan arif dengan ilmu tariqah dan menghafal Hadith. Bersahabat dengan Al-Junayd dan Al-Nuri. Antara ungkapannya, ``Murid ialah yang tidak mau bagi dirinya melainkan dia mau apa yang dimau Allah baginya.``
Abu Bakar al-Qahti (tiada maklumat diberi) dan terakhir iaitu Abu Bakar al-Shibli  (m. 334H.). Nama sebenar ialah Dulap bin Jahdar berasal dari Parsi. Bersahabat dengan Al-Junayd. Dia alim dan faqih menurut madzhab Maliki. Antara katanya, ``Ikhlas menepati yang dicakap dengan dalaman diri.``
Demikian jama`ah dari kalangan sufi yang kebanyakannya sezamana dengan  Al-Junayd. Tidak ada karangan, tetapi kata-kata mereka diingat dan dicatat dan menjadi ikutan.

Sekian.

November 15, 2016

KITAB AL-TA`ARRUF LI MADZHAB AHLI AL-TASAWWUF OLEH AL-KALABADZI


BBB,  14 Safar 1438H. = 14  November 2016 (Isnin):
Menurut kronologi selepas karangan tasawuf Al-Luma` oleh Abu Nasr al-Sarraj (m. 378H.), maka turath tasawuf seterusnya ialah karangan tasawuf  berjudul `Al-Ta`arruf li Madzhab Ahli al-Tasawwuf karangan  Abu Bakar Muhammad al-Kalabadhi (m. 380). Agak sukar bagi mendapat maklumat tentang
Abu Bakar Muhammad al-Kalabadhi. Beberapa kitab  yang menghimpunkan nama-nama tokoh sufi seperti Tabaqat al-Sufiyyat oleh `Abdul Rahman al-Sulami (m. 412H.), tidak memuatkan nama al-Kalabadzi. Demikian di dalam Al-Tabaqat  al-Kubra oleh `Abdul Wahhab al-Sha`rani, tidak memuatkan nama Abu Bakar al-Kalabadzi, bahkan kitab Jamharat al-Awliya` oleh Mahmud  Abu al-Faydh juga tidak memuatkan nama Abu Bakr al-Kalabadzi. Tetapi menurut Mahmud al-Nawawi yang memperkenalkan kitab Al-Ta`arruf  maklumat didapati dari kitab Kashf al-Z*unun wa Mu`jam al-Mu`allifin oleh `Umar Ridha Kahhalah dan al-A`lam li al-Zarkali bahawa pengarang bagi kitab Al-Ta`arruf  beliau adalah:
Muhammad bin Ibrahim bin Ya`kub yang digelar dengan Taj al-Din al-Kalabadzi Abu Bakar adalah dari kalangan penghafal-penghafal Hadith berasal; dari Bukhari. Beliau adalah bermadzhab Hanafi  dari segi fiqh dan seorang sufi. Beliau menguasai banyak bidang ilmu dan mempunyai beberapa buah karangan, termasuklah Al-Ta`1arruf. Kitab ini disharh oleh pengarangnya dengan judul Husn al-Tasarruf bi Sharh al-Ta`arruf.
Kitab Al-Ta`arruf li Mdzhab Ahli al-Tasawuf adalah sederhana dari segi kandungan,  kitab yang bersaiz kecil ini hanya setebal 195 halaman sahaja. Karangan kitab ini tidak membawa gaya Hadith, di amping menggunakan kaedah petikan (berkata ... berkata, riwayat) dan sebagainya.
Walaupun  kitab Al-Ta`arruf tidak setebal mana, tetapi pengarang (Al-Kalabadzi) menyusun karangan secara bab demi bab dan jumlah babnya ialah sebanyak 75 bab. Ini bererti setip bab adalah ringkas, iaitu antara dua kepada tiga halaman sahaja.
Motto bagi kitab Al-Ta`arruf li Madzhab Ahl al-Tasawwuf adalah ``Kalau tidak berkenalan masakan dapat mengetahu ilmu tasawwuf`. Dalam kata lain kitab ini  adalah bersifat pengenalan atau memperkenalkan tasawuf kepada khalayak yang mau meneganali dan memahami tasawuf.
Bagi memperkenalkan ilmu tasawuf berkenaan, maka bab  awal dibicarakan tentang apa itu tasawuf, maksud dan asal usul tasawuf yang telah dibicarakan oleh Al-Sarraj secara panjang lebar di dalam kitab Al-Luma`. Antara pembicaraan dibuat, bahawa berkata satu golongan, makna `Kesufian, sufi dan sufiyah kerana  bersih rahsianya dan berkekalan kesannya. Pengarang (Al-Kalabadzi) memetik pendapat Bish bin al-Harith ``Sufi ialah yang bersih hatinya kerana Allah. Pendapat yang lain
Al-Sufi bererti yang bersih dari segi muamalah kepada Allah
Al-Sufi kerana mereka berada pada saf awal
Al-Sufi kerana  mereka dekat dengan pembawa golongan suffah yang berlindungdi bawah anjung Masjid Madinah pada awal Hijrah. Mereka keluar berhijrah sebagai orang-orang yang dagang.
Al-Sufi adalah dinisbahkan juga kepada suf –bulu – baju dari bulu
Tasaawuf juga adalah dinisbahkan mereka berada pada saf awal.
Walaupun berlainan  maksud dari segi istilah, tetapi semua sifat  berkenaan terhimpun pada diri dan jiwa sufi
Sungguhpun tasawuf baru dikenali pada bahagian akhir abad ke 2H, tetapi elemen, dokongan  dan amalan ketasawufan sudah ada sejak awal lagi.  Menurut al-Kalabadzi  bahawa,                                                                                                                                                                                                    tumbuh, subur dan berkembangnya ilmu tasawuf dengan adanya dokongan para sufi dari kalangan para sahabat dan penerusan dari mereka itu. Al-Kalabadzi menyebut:
Daripada kalangan yang bercakap tentang keilmuan berkenaan, mengungkapkan pengalaman wujdan, menyebarkan hal-hal maqam, mensifatkan tentang ahwal dari segi perkataan dan perbuatan selepas daripada sahabat  r.a`anhum ialah `Ali bin  Husain Zainal `Abidin dan anaknya Muhammad bin `Ali al-Baqir, dan anaknya Ja`far bin Muhammad al-Sadiq r.a.`anhum. Mereka adalah selepas `Ali, Hasan dan al-Husain r.a`anhum. Selepas mereka itu ialah Uwais al-Qarni, Haram bin Hibban, Hasan bin Ali al-Hasan al-Basari, Abu Hazim Salmah bin Dinar al-Madini, Malik bin Dinar, `Abdul Wahid bin Zayd, `Utbah al-Ghulam, Ibrahim bi Adham, Al-Fudhail bin `Iyadh dan anaknya `Ali bin Al-Fudhail, Daud al-T*a`i, Sufyan bin Sa`id, Sufyan bin `Uyainah, Sulaiman al-Darani, dan anaknya Sulaiman.
Seterusnya Ahmad bin al-Harari al-Dimashqi, Abu al-Faydh Dzu al-Nun  bin Ibrahim al-Misri dan saudaranya Dzulkifli dan al-Sari Ibn al-Mughlis al-Saqati, Bish al-Harith al-Hafi, Ma`ruf al-Karkhi, Abu Huzaifah  al- al-Maz`ashi, Muhammad bin al-Mubarak al-Sanaubari dan Yusuf bin Asbat* r.humullah.
Seterusnya disebut mereka yang kalangan dari negeri Khurasan dan Al-Jabal ialah Abu Yazid T*aifur bin `Isa al-Bistami, Abu Hafs al-Haddad al-Nisaburi, Ahmad bin Khudhrawayh al-Balakhi, Sahl bin `Abdullah al-Tustari, Yusuf bin Husain al-Razi, Abu Bakar ibn T*ahir al-Abhari, `Ali ibn Sahl al-Azhar al-Asfahani, `Ali bin Muhammad al-Barizi, Abu Bakar al-Kattani al-Dinuri, Abu Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad al-Rijani,  Al-`Abbas bin al-Fadhl bln Qutaibah ibn Mansur al-Dinuri, Kahmas bin `Ali al-Hamdani dan Hasan bin `Ali bin Yazdaniar r.a.`anhum ajma`in.
Jadi dapat difahami, bahawa Al-Kalabadzi mengambil pendekatan bermula dengan membicarakan tentang istilah tasawuf, asal usul dan erti-erti yang berkaiatan dengan istilah tasawuf. Istilah berkenaan sebagai telah maklum telah dikenali sejak  pertengahan abad ke 2H, tetapi mulau popular penggunaannya pada akhir abad kedua dan awal abad ke 3H. Apa yang dibicarakan ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi telah diperkatakan oleh Abu Nasr al-Sarraj di dalam  Kitab Al-Luma` dengan agak detail.
Tetapi pendekatan yang agak segar dan baharu, bahawa Al-Kalabadhi menampilkan bahawa tokoh-tokoh yang mendukung dan mengamalkan kesufian selepas sahabat, adalah sebagaimana nama-nama di atas. Jadi amalan kesufian,  walaupun nama keilmuan berkenaan lebih kemudian, tetapi amalan berkenaan berkesinambungan dari Rasulullah s.a.w. membawa kepada sahabat-sahabat dan tabi`in dan para auliya` dan salihin dari zaman terawal membawalah kepada kini.

Sekian.                          

November 14, 2016

KESIMPULAN - AL-LUMA` KITAB TASAWUF MELENGKAPI


BBB,  13 Safar 1438H. =  13 November 2016M. (Ahad):
Daripada perbincangan, huraian dan  pengolahan terhadap kandungan kitab Al-Luma` oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Kitab Al-Luma` adalah kitab terawal melengkapi ruang lingkup tasawuf berbanding dengan kitab-kitab sebelumnya iaitu Kitab Al-Zuhd  wa al-Raqa`iq oleh `Abdullah al-Mubarak (m. 181H.), Kitab al-Zuhd dan Kitab al-Wara` yang kedua-duanya oleh Abu `Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Shaibani (164-241H.), Kitab  al-Ri`ayah Li Huquq Allah dan  A`mal al-Qulub wa al-Jawarih yang kedua-duanya dihasilkan oleh Abu `Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi (243H.).
`Melengkapi`  boleh dilihat dari segi  format  (termasuk teknik) pendekatan  dan kandungan serta tujuan. Sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, bahawa apa yang dibincangkan di dalam kitab-kitab tasawuf akan datang secara asasnya didekati dan ada di dalam kitab Al-Luma`.
Dari segi format Al-Sarraj  menampilkan sebuah kitab yang bercirikan tasawuf terlepas dari bentuk yang sebelumnya  yang  lebih mendekati kitab Hadith sebagaimana kitab al-Zuhd dan Al-Wara` oleh  Ahmad bin  Hanbal, walaupun konsep riwayat masih kedapatan, tetapi tidaklah seperti kitab Hadith. Abu Nasr al-Sarraj juga menyusun kitabnya  secara bab-bab yang setiap bab bertemakan tasawuf.
Pengarangan dan penghuraian kandungan adalah berasaskan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Nabi, biarpun setengah Hadith tidak  lengkap dengan rawinya, kemudian dikukuhkan dengan pendapat-pendapat tokoh-tokoh sufi.
Adapun dari segi pendekatan dan kandungan, sebagaimana telah diperkatakan Al-Luma` adalah kitab  yang mula-mula menampilkan istilah tasawuf. Bukan saja menampilkan istilah tetapi dibicarakan dengan panjang lebar (lebih kurang 100 hlm.) tentang asa l usul, ta`rif tasawuf, huraian mengenai tasawuf, ciri dan sifat,  madzhab dan tabaqat, hujah-hujah tasawuf sebagai bidang keilmuan yang bersifat  rohani dan menolak pihak-pihak yang menolak tasawuf.
Satu pendekatan ketasawufan yang besar dan penting yang ditampilakan oleh   Al-Sarraj  yang dapat dinilai dari segi perjalanan dan peningkatan serta dapat diukur, walaupun secara subjektif bahawa Al-Sarraj mengemukakan pendekatan  yang diistilahkan sebagai maqam dan hal yang diberi huraian dan perbezaan antara maqam dan hal.
Al-Sarraj menyusun dari segi maqam, iaitu maqam taubah, wara`, zuhud, faqr,  sabar, tawakkal dan redha. Manakala bagi hal pula ialah ialah al-qurb, al-mahabbah, khauf, raja`, shauq, al-uns, tama`ninah, mushahadah dan yaqin. Dengan kewujudan maqam-maqam dan hal-hal ini memudahkan kefahaman dan dapat dilihat dari segi pergerakan kualiti rohani dan menilaikannya, walaupun kaedah peneilaian begitu  subjektif dan mungkin tidak berlaku seturut sebagaimana yang disusunkan.

Al-Sarraj dari segi pendekatannya, mau menegas dan menunjukkan bahawa tasawuf yang dibicarakan dan pendekatan serta kandungannya adalah tidak bercanggah dengan akidah dan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah lantaran pendekatan tasawuf yang dibicarakan adalah berasaskan prinsip-prinsip  Al-Qur`an dan sememangnya  di dalam setiap bab bahkan dimana saja yang releven pembicaraan adalah berasaskan kepada ayat-ayat Al-Qur`an dan selepas daripada sumber pertama diikuti dengan pembuktian dan tempat bertolak ialah juga dari Hadith-Hadith  Rasulullah s.a.w., bahkan ditekanklan bahawa Baginda  Rasulullah s.a.w. adalah menjadi uswah dan qudwah.
Bagi pendekatan tasawuf, sebagaimana juga di dalam pendekatan akidah, bahawa selepas Rasulullah s.a.w. mereka yang menjadi ikutan dan diambil pendapat dan contoh tauladan mereka ialah para sahabat Rasulullah s.a.w.  Dari kalangan sahabat ini yang berkedudukan utama ialah para khulafa` al-Rashidin yang empat, diikuti dengan kalangan  Ahlu al-Suffah yang berjumlah 300 orang dan diikuti dengan sahabat-sahabat yang lain.
Akhlak adalah aspek yang utama di dalam  tasawuf, bahkan ada yang melihat bahawa tasawuf Islam tidak lain daripada akhlak. Al-Sarraj tidak membicarakan secara langsung tentang akhlak, tetapi yang dibicarakan  ialah aspek adab yang merupakan sebahagian daripada tasawuf. Melalui adab dibicarakan persoalan adab yang berhubung dengan ibadat – termasuk semua adab bagi semua rukun Islam. Di dalam bidang adab ini juga diberi penekanan tentang adab faqir, bersahabar, mencari ilmu,, makan, musafir, berpakain, perbelanjaam, mncari rezeki, adab menziarah orang sakit. Adab dengan guru dan murid dan persediaan menghadapi maut. Al-Sarraj tidak seperti Al-Ghazali yang melihat  persoalan akhlak berpunca dari `Hati` yang menjadi induk bagi perlakuan manusia yang jika hati bersih, maka baiklah akhlak dan jika kotor, maka buruklah akhlak. Al-Sarraj melihat adab adalah hasil dari didikan, khususnya dari keyakinan dan pancaran dari hasil kepatuhan kepada Allah, terutama melalui kepatuhan dan amalan terhadap rukun Islam.
Satu aspek yang tersendiri dan khusus Al-Sarraj membicarakan tentang penulisan, lantaran pada zamannya mulai berkembangnya tradisi penulisan. Pembicaraan aspek penulisan ini bukan terhad kepada penulisan yang bersifat ilmu dan pengajaran yang berkait dengan bidang-bidang keilmuan yang berkenaan. Apa yang ditekan dan diberi perhatian oleh Al-Sarraj ialah bidang penulisan yang bersifat seni yang berciri kreatif. Sebagai bidang seni  terpancar dari mereka ungkapan-ungkapan yang bersifat kreatif, konotatif yang berlapis dan bercabang makna. Keadaan tidak menimbulkan masalah jika yang diungkap secara kreatif inovatif sesuatu yang alamiah. Sebagaimana diperkatakan bahawa tasawuf mempunyai elemen seni rohani yang jika teradun dengan seni kreatif, dibimbangi terkeluar ungkapan-ungkapan yang menyimpang dari kebiasaan menyentuh  soal akidah yang boleh membawa kepada kontroversi. Ungkapan-ungkpan sedemikian berlaku kepada kalangan sufi yang nama-nama mereka disebutkan,  sebab itu aspek ini  dibicarakan secara teliti agar ianya tidak menimbulkan percanggahan dengan pegangan dan kemurnian Islam.
Apa yang dapat difahami, bahawa Al-Sarraj dengan penuh sedar membawa misi, bahawa keilmuan tasawuf adalah merupakan satu dimensi yang menjadi keperluan diri manusia, jika akidah dapat memenuhi keperluan minda di dalam Islam dan ianya dihurai secara rasional sesuai dengan keperluan minda, dan fiqh atau shari`ah Islam lebih kepada peraturan-peraturan lahiri bagi mengatur dan mengawal kehidupan di dalam mematuhi perintah Allah dan rasul, maka bagi Al-Sarraj tasawuf adalah dimensi yang perlu bagimemenuhi tuntutan dalaman dan bersifat rohani bagi diri manusia. Pembaikan dan pemurnian dalaman memberi kesan kepada pemurnian luaran, bahkan melengkapi kepada keperluan minda, lahiri dan dengan tasawuf melengkapi bagi diri,minda dan roahani manusia itu. Pendekatan tasawuf bukan saja murni, tetapi seni rohani yang indah dan melengkapi.

Sekian.

November 13, 2016

KREATIVITI, ESTETIKA `ALAMI DAN ROHANI - KONOTATIF


BBB, 12 Safar 1438H. =  12 November 2016 (Sabtu):
Kreativiti adalah sifat yang dianugerah oleh Yang Maha Berkuasa terhadap manusia. Ianya bertolak dari kesedaran idea untuk mencipta dan mengolah  sesuatu dengan elemen tambahan yang bersifat kreatif secara seni yang lebih menarik dari sesuatu yang asal yang bersifat biasa. Kreativiti berlaku pada elemen alami dan rohani.  Ianya merupakan penambahan terhadap sesuatu yang asal ini. Kreativiti berlaku terhadap minda dan pengungkapan bagi menyampaikan sesuatu yang bersifat kreatif hingga menjadikannya berlainan dari yang asal, antaranya bersifat kepelbagaian dan bercabang makna. Ini berlaku misalnya, bagi contoh yang dekat terhadap idea dan bahasa yang mau digambarkan secara kreatif, maka terhasillah ia sebagai hasil kreativiti dengan ungkapan bahasa yang memberi perlapisan makna dan bercabang. Contoh dapat diambil dari estetika alami dari ungkapan fragmen puisi  berikut:
Suara
1
Di malam kembara ini
Kudengar suara roda keretapi
Dan suara injin kapal
Bertemu
Di belakang rumahku
Kaki-kaki hujan membawa
Suara seorang jipsi
Yang kehilangan kudanya
Suara  seorang pendaki
Yang kehilangan gunungnya.
(Latiff Mohidin, Suara, Puisi Pemenang Hadiah Sastera Malaysia, 1973).
Puisi alami di atas amat kreatif, imaginatif dan konotatif sifatnya. Lihat, suara roda keretapi dan injin kapal bertemu di belakang rumah, bukan realiti berlaku, tetapi menggambarkan ingatan penyair dengan alam kembaranya. Ertinya makna bukan makna luaran, tetapi bersifat konotatif yang memberi makna yang lebih dari satu menurut kewajaran untuk ditafsirkan. Lihat juga ungkapan ``Kaki-kaki hujan`, kehilangan kuda, kehilangan gunung`, bukan bermaksud hilang dari segi realiti, tetapi terhenti dari kecintaannya mengembara. Pokoknya ungkapan-ungkapan Latifff amat kreatif, tinggi daya estetik dan bersifat konotatif. Ungkapan-ungkapan seni  `alami ini  tidaklah menimbulkan masalah, kerana ianya tidak melibatkan soal  agama, khususnya hukum hakam dan akidah.
Tetapi konsep seni alami ini  juga berlaku kepada seni  rohani yang bersifat kreatif, imaginatif dan konotatif. Perkara ini dibicarakan juga oleh Al-Sarraj di dalam bukunya Al-Luma`. Baik bagi bidang kreatif alami dan rohani, pada satu peringkat tiba kepada ungkapan-ungkapan yang disifatkan sebagai shatahat yang makna luaran lain dan dalaman lain. Perkara ini tidak menimbulkan masalah bagi persoalan yang berhubung dengan seni alami, tetapi bermasalah jika melibatkan  kepada perkara akidah. Misalnya puisi sufi yang dipetik  oleh Al-Sarraj berhubung dengan maksud berlapisan makna dan kontoversi sifatnya. Puisi berkenaan bermaksud:
Wahai orang yang  aku cinta dan orang yang aku cinta aku
Maka apabila engkau melihat aku adalah melihat kita
Kita adalah dua roh daripada satu jasad
Adakah tidak Allah mencipta badan kita.
Ungkapan di atas adalah keluar dari jiwa mereka yang kemabukan  rasa dan cinta. Ianya dapat diberi  beberapa maksud tafsiran. Pertama memaksudkan kepada dua kekasih alamiah – manusia, tetapi ianya boleh dimaksudkan dengan faham wahdatul wujud yang bercanggah dengan faham Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Demikian juga dengan ungkapan Hamzah Fansuri yang mengatakan bahawa:
Hamzah Fansuri  di negeri Makkah
Mencari Tuhan di Baitul Ka`bah
Dari Barus ke Kudus terlalu payah
Akhirnya mendapat di dalam rumah !
Ungkapan di atas walaupun dapat ditafsirkan atau ditakwilkan kepada menemui Tuhan secara kefahaman akal melalui pengajian (ilmu) , tapi ia mencerminkan faham wahdatul wujud Hamzah Fansuri
Kedua-dua petikan puisi di atas, jelas dari aliran wahdatul wujud yang tidak selari dengan faham Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Namun begitu ada ungkapan-ungkapan dari tokoh sufi Sunni yang memberi konotasi makna, lantaran itu perlu diberi tafsiran.
Sesungguhnya di dalam Al-Qur`an  sendiri terdapat ayat-ayat yang mutashabihat,  seperti firman Allah bermaksud:
``Allah jualah yang memiliki timur dan barat,maka ke mana saja kamu arahkan wajahmu, maka arah yang diredhai Allah.`` (Al-Baqarah: 115)
``Dan Kami lebih dekat kepadaNya dari urat leher.`` (Qaf: 16)
Dan ayat bermaksud:
``Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada.`` (Al-Hadid: 4).
Ertinya di dalam Al-Qur`an ada ayat-ayat mutashabihat yang mempunyai makna bercabang bersifat konotatif dan perlu kepada takwil dan huraian.
Aspek-aspek ini juga menjadi aspek pembelajaran kerohanian di dalam tasawuf yang perlu kepada  kefahaman dan huraian yang teliti.

Sekian.

November 12, 2016

DZAUQ DAN WUJDAN - ESTETIKA ROHANI SEHARUSNYA BERPANDUAN


BBB, 11 Safar 1438H. =  11 November 2016M. (Juma`at):
Dzauq dan Wujdan yang kita terjemahkan sebagai `Estetika Rohani` adalah berkait dengan situwasi dalaman  yang berkait dengan kalbu dan amat subjektif dan relatif sifatnya dan sukar untuk diukur. Ianya bersifat alamiah dan juga rohaniah. Keduanya bertolak dari kesedaran mental terlebih dahulu. Sebagai contoh yang bersifat alamiah. Minda sedar terhadap  fenomena alam – katakan tentang sebuah tasik, mula-mula tertarik terhadap pandangannya yang menarik, kemudian meningkat kepada penghayatan terhadap keindahan tasik berkenaan, membawa kepada peringkat kekaguman yang menggerakkan imaginasi serta kreativiti yang dapat diungkapkan dengan bahasa yang kreatif dan termasuk  di dalamnya elemen membesarkan terhadap Pencipta.
Keadaan sedemikian juga dapat difahami bagi aspek kerohanian. Misalnya bermula dari kesedaran mentai, terhadap Pencipta yang mencipta alam ini  membawa  sifat ta`abbudiyyah terhadap Pencipta dengan mentaati segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Peringkat ta`abbudiyyah  misalnya melalui khusyuk bersolat yang meningkatkan ketaqwaan, dalam mana kepatuhan  dan kesedaran  Dialah Yang Maha Pencipta. Lebih dalam dari itu lantaran jiwa mengalami pengalaman yang tinggi membawa kepada cinta Ilahi. Misalnya membawa kepada terluahnya ungkapan-ungkapan bersifat kehambaan. Misalnya ungkapan yang sudah biasa didengar.
Ilahi kutidak layak menjadi penghuni syurga
Tapi aku tidak berdaya berdepan api neraka
Lantaran itu Tuhanku ampunilah dosa-dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa itu.
Pengungkapan sedemikian memperlihatkan rintihan  kalbu dari jiwa yang  menyedari kelemahan diri yang memngharapkan syurga, tapi menginsafi tentang kelayakan dan kelemahan diri, lantas timbul aduan dan mohonan dari Allah supaya menerima diri yang seada. Ungkapan sebegini  datang dari jiwa yang insaf, yang patuh pada Ilahi dan cinta kepadaNya, tetapi menyedari kedudukan diri yang rendah dan berdosa yang memang tidak layak menduduki syurga yang begitu  indah dan mulia.. Ungkapan dan luahan seperti ini datangnya dari jiwa yang murni, cinta Ilahi dan ia adalah merupakan pancaran estetika rohani yang tinggi mutunya. Contoh ungkapan ringkas yang  bersiaft rohani dan falsafah seperti ungkapan:
Pada tiap sesuatu nyata
Bukti adanya yang Esa
Segala yang wujud fana
Yang kekal hanya Dia Yang Esa.
Ungkapan di atas mengandungi elemen akli, falsafah  dan seni rohani. Aspek-aspek yang berhubung dengan dzauq dan wujdan dan seni rohani adalah sesuatu yang menarik dan mengkagumkan. Mereka yang terlibat adalah terpikat, mesra dan lazat dengannya.
Abu Nasr al-Sarraj di dalam karangnnya yang berjudul  `Al-Luma` ini membincangkan persoalan apakah dia wujdan atau dzauq dan wujdan yang kita namakan sebagai estetika rohani itu ?
Berkata Al-Sarraj, ``Berbagai dan berlainan pendapat di kalangan ahli sufi tentang `wujdan`.
Dia memetik pendapat `Umar bin `Uthman al-Makki  r.h.a. bahawa,
``Tiada kata semampu bahasa untuk mengungkapkan tentang wujdan (estetika rohani). Kerana menurutnya, ianya adalah rahsia Allah bagi mu`minin yang muqinin.``
Al-Sarraj juga memetik pendapat Al-Junayd yang mengatakan bahawa, ``Aku berpendapat bahawa `wujdan` sebagai seni rohani adalah membenarkan firman Allah yang bermaksud:
``Dan mereka mendapati (wujdan) apa yang mereka amalkan adalah hadir``. (Al-Kahfi:  49). Ya`ni benar.
Juga sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu akan mendapat (wujdan) balasan pahalanya.(Al-Baqarah: 110).
Menurut Al-Sarraj  `dzauq dan wujdan` ialah apa yang dialami kalbu dari dukacita dan gembira adalah gambaran dzauq dan wujdan – sebegai elemen estetika dan pada peringkat yang lebih  tinggi adalah estetika rohani.
Menurut Al-Sarraj hati adalah memerhati dan melihat dan adalah wujdan baginya. Sebagaimana dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:
``Maka sesungguhnya dia tidak buta pengkihatan. Tetapi buta mata hati yang di dalam dada.`` (Al-Hajj: 46).
Ya`ni dari segi kewujdan, maka dia membedakan antara yang mendapati dan yang tidak mendapati.
Menurut pendapat ada yang mengatakan bahawa wujdan ialah membuka dan menggerak  ke  arah yang Haqq. Dan wujdan adalah mendapat dan memilik.
Kata Al-Sarraj, aku mendengar  al-Hasan al-Husri r.h.a  berkata, ada empat dakwaan mengenai wujdan.
Pertama: Mendakwa mendapat wujdan, kedua, yang tidak jelas antara dapat dengan tidak, ketiga ialah tahqiq dengan pencapaian dan keempat,  wujdan yang fana dengan  apa yang didapat.

Abu Sa`id  Ahmad bin Bashar bin Ziyad bin al-A`rabi menyatakan tentang perkembangan wujdan bermula dari terangkat hijab, membawa kepada mushahadah al-raqib, kepada, hadhir kefahaman, mulahazah yang ghaib,, bercakap yang sirr, mesra kedekatan dan fana` sebagaimana ianya datang..
Dan kata Abu Sa`id, bahawa wujdan ialah awal darajah yang khusus yang bersifat membenarkan yang ghaib, bila dia merasai, maka bercahaya hati, maka hilanglah daripada shak dan ragu.
Namun ada peringkat shauq mesra wujdan yang tidak terpandu yang boleh membawa kepada kemabukan rasa dan kehilangan arah, sebagaimana berlaku kepada penyair-penyair yang bersifat jahiliyyah. Ini ditempelak oleh Allah sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan penyair-penyair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal dan angan-angan kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya.
Kecuali orang-orang beriman dan beramal salih (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak.`` (Al-Shu`ara` = 224-227).
Lantaran itu kata Sahl bin `Abdullah., bahawa setiap wujdan yang tidal disaksikan  dengan  al-Kitab dan al-Sunnah, maka adalah batal.
Jadi szauq dan wujdan – estetika rohani seharusnya mempunyai arah dan berpanduan ke arah kebaikan dan kesedaran  Ilahi.

Sekian.

November 11, 2016

DEKLAMASI DAN APRESIASI - AL-SIMA` BAHAN TASAWUF


BBB, 10 Safar 1438H. = 10 November 2016M. (Khamis):
Sesuatu yang tertulis, atau sesuatu bahasa yang tersusun yang mau diucapkan adalah bertujuan untuk dibaca dan difahami pembaca  atau didengar oleh pendengar berkenaan agar dimengerti, difahami  atau dihayati oleh pendengar berkenaan. Peranan membaca, mendengar, memahami dan menghayati adalah penting yang di dalamnya bukan setakat menyampaikan maklumat dan meminta sama dihayati, bahkan memberi respond terhadap apa yang dibaca, didengar, difahami dan dihayati pihak berkenaan dengan misalnya mengambil pengajaran, memuji, bahkan mengeji.
Keadaan yang sama berlaku pada ungkapan-ungkapan ketasawufan sama ada bersifat prosa (nathar) atau puisi selain daripada dibaca secara bersendirian, maka di dalam aspek tasawuf yang dinamakan `Al-Sima`  yang kita terjemahkan secara bebas ialah `Deklamasi dan Penghayatan` atau apresiasi. Mungkin ianya adalah mencontohi Al-Qur`an bahawa ianya dibaca secara perseorangan, bahkan ditilawah oleh seseorang dan didengari oleh yang lain baik secara perseorangan atau jamaah. Amalan sedemikian dilakukan oleh Rasulullah dalam mana adakala Baginda meminta  sahabat Baginda membaca Al-Qur`an bagi Baginda mendengar dan menghayatinya.
Di dalam Al-Luma`  Al-Sarraj memberi ruang yang panjang membicarakan tentang  `Al-Sima`  seperti mempunyai suara yang elok untuk membaca petikan-petikan tertentu yang memberi pengajaran dan penghayatan kepada pendengar. Al-Sarraj memberi tafsiran bagi ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Allah menambahkan pada ciptaanNya apa yang dikehendaki.`` (Fatir: 1)
Dimaksudkan penambahan ialah dari segi keelokan akhlak dan suara bagi membaca atau memperdengarkan sesuatu.
Menurut Al-Sarraj bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: ``Allah tidak membangkitkan seorang Nabi, melainkan mempunyai suara yang elok.`` (Al-Hadith).
Keelokan suara dapat dimaklumi dan diceritakan bahawa Nabi Daud `a.s. mempunyai suara yang elok dan apabila ia membca Al-Zabur hadir mendengarnya oleh jin, manusia, binatang liar, dan burung. Dan adalah Banu Isra`il  berhimpun mendengar dan mengapresiasi pembacaan Nabi Daud.
Dan dikatakan Nabi Musa juga diberi suara yang elok dan dia diibaratkan sebagai diberi seruling dari seruling-seruling Nabi Allah Daud., lantaran kerana keindahan suaranya.
Dari Mu`adh bin Jabal, Rasulullah s.a.w. bersabda,  ``Sekiranya engkau tahu engkau akan mendengar dengan penuh hati dan perhatian.`` –bacaan.
Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda bermaksud: `` Hiasilah bacaan Al-Qur`an kamu dengan suara kamu yang indah.``
Sesungguhnya mendengar tilawah Al-Qur`an adalah dari amalan yang baik. Tilawah dapat diikuti melalui musabaqah, pembacaan tahfiz, melalui siaran-siaran alat-alat letronik, bahkan dapat diikuti dari masjid surau sebelum menjelangnya waktu-waktu solat. Mendengan tilawah Al-Qur`an hendaklah  menurut adab-adab yang sesuai pada tempat-tempat sesuai.
Deklamasi atau pembacaan dan apresiasi  bahan-bahan ketasawufan adalah majlis mendengar tentang pembacaan bahan-bahan yang bersifat tasawuf. Cara deklamasi dan pendengaran atau apresiasi adalah tidak sama dengan majlis-majlis membacaca puisi yang diadakan di rumah-rumah puisi, budaya dan padang terbuka. Pembacaan bahan-bahan tasawuf seharusnya di dalam majlis yang murni bersifat quddus dan lebih mendekatai Allah.
Bagi pendeklamasian bahan-bahan tasawuf ada keperluan-keperluan:
1)       Tempat
Hendaklah pada tempat dan majlis yang sesuai seperti di dalam dewan yang bersifat majlis ilmu atau di ruang tempat ibadat dan pengajaran atau di tempat terbuka.  
2)      Ada Khalayak
Mereka hendaklah kalangan yang mencintai bidang kerohanian dan juga ahli-ahli seni dan sasterawan yang meminati aspek-aspek kerohanian. Mereka  ada persediaan bagi menanggapi bahan-bahan yang disampaikan
3. Pemilihan bahan-bahan yang hendak disampaikan.
a) Membaca secara langsung kitab-kitab tasawuf yang mendalam dari segi kandungan dan indah dari segi karangan. Misalnya Hikam-Hikam Ibn `Ata` Allah dan sharh terhadapnya. Misalnya Kitab Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam oleh  Ahmad bin Muhammad bin `Ajibah al-Hasani. Atau langsung mengambil kitab Ihya` `Ulum al-Din oleh Al-Ghazali mana-mana bahagian yang sesuai sebagai teks pembacaan
b) Membaca dari ungkapan-ungkapan tokoh sufi  sama ada ungkapan prosa secara ringkas dan padat seperti dari al-Junayd, Sari Al-Saqati, Dhu al-Nun al-Misri dan begitu ramai lagi
c) Membaca puisi-puisi sufi terkenal seperti dari ungkapan Rabi`ah al-`Adawiyyah, Hafiz, Jalaluddin Rumi, Iqbal dan begitu ramai lagi yang puisi-puisi mereka begitu indah mendalam.
d) Membaca tentang tokoh-tokoh sufi yang sebahagian  cerita tentang diri mereka begitu menarik seperti  Abu Dzar al-Ghifari,, Bilal bin Rabah, Mu`adz bin Jabal, Salman al-Farisi. Abu al-Dada`, Rabiah al-`Adawiyyah dan ramai lagi.
e) Bahan-bahan Yang bersifat Anekdot
Terdapat karya-karya yang menghimpunkan anekdot-anekdot yang ucapan ringkas atau cerita ringkas dari kalangan sufi tetapi memberi maksud yang mendalam . Contoh anekdot yang dihimpun oleh – Idris  Sahah dan berbagai-bagai lagi
5)  Pembaca
Hendaklah pembaca yang berkelayakan, memahami apa yang dibaca, mempunyai suara yang menarik dan boleh melagukan bahagian-bahagian yang patut dilagukan.  Dari pembacaan yang menarik dan suasana yang kondusif boleh  menjadikankan suasana syahdu, memberi keinsafan kepada pembaca dan mendorong kepada rasa kehalusan rasa, mesra, taqwa dan kasih sayang.
Dalam suasan kini yang mempunyai peralatan canggih dan ruang yang menarik deklamasi dan penghayatan bahan-bahan kerohanian dapat diadakan dengan lebih menarik. Ianya satu dari kaedah dakwah dan mendidik jiwa dengan elemen kerohanian.
Al-Sarraj nampaknya dengan secara sedar akan kepentingan `Al-Sima` tentang memahami dan menghayati bahan-bahan tasawuf melalui majlis pendengaran yang secara terkini ialah  secara deklamasi dan apresiasi.

Sekian.