January 17, 2018

JANGAN RAGU BUAT KEPUTUSAN TERBAIK

BBB,  28 Rabi`ul-Awwal 1`439H. = 16 Januari 2018M. (Selasa):
Di dalam konsep Takmilah, ialah wujudnya usaha dan perjalanan menuju Takmilah itu sendiri. Di dalam membuat keputusan jangan ada di dalamnya keraguan, kerana ianya akan mengganggu plan dan tindakan. Di dalam Islam, jika ada sesuatu itu lebih dari satu pilihan, maka dianjurkan bersolat istikharah di dalam membuat pilihan. Di dalam jamaah keputusan mesyuarat yang diambil sewajarnya diikuti dan dipatuhi.
Sebagaimana disebut pada peringkat awal tidak ada keputusan konkrit  pada ahli jawatankuasa Surau al-Umm sama ada mau mendirikan surau atau masjid pada tapak lot 51177, Jalan 1/4A, 43650 BBB. Ini dapat dilihat dari siri keputusan  berikut:
·         Hasrat mau mendirikan surau bermula awal 1980an,dengan demikian tertubuh jawatankuasa dan dana kewangan dibuka. Walau bagaimana hasrat ini tenggelam dan tidak berlaku tindakan. Ini seolah-olah surau yang sedia ada itu sudah cukup selesa. Bahkan berlaku penambahan ruang dengan membina ruang tambahan daripada kayu lapis meliputi seluruh ruang tanah pada bahagian hadapan bangunan. Dengan penambahan ruang ini dapat menampung lebih kurang seratus jamaah – luar dan dalam.  Ruang ditambah dengan kayu lapis kemudiannya ditukar kepada lantai semin bertail.
·         Hasrat timbul kembali untuk mendirikan surau, apabila permohonan yang dibuat kepada JAIS mendirikan surau mendapat kelulusan JAIS. Surat JAIS (2) dlm. JAIS Sel. 9189 3/5/10 bertarikh 30 Ogos 1996. Hasrat ini dikuatkan lagi dengan adanya makluman dari PKNS untuk mengambil kembali bangunan surau pada tahun 1997. Iaitu berikut dari keizinan JAIS untuk mendirikan surau.
·         Ada hasrat mau menukarkan status pembinaan surau kepada taraf masjid. Permohonan dibuat dan tidak  ada halangan dari JAIS. Tapi hasrat ini juga terpendam. Dan timbul juga hasrat mau kembali mendirikan surau sahaja, tapi tidak menjadi realiti.
Dapatlah dilihat bahawa wujudnya keraguan, tidak adanya ketegasan, khususnya tiada inisiatif dan tindakan konkrit, menyebakan hasrat baik mau mendirikan masjid atau surau pada peringkat permulaan tidak menjadi kenyataan.
Tindakan ADUN Bangi menjemput pengerusi-pengerusi surau atau wakjil-wakil dari surau-surau keliling Surau al-Umm yang dihadiri  30 orang wakil pada 4 Februari 2010 digerak bagi menjadikan masjid sebagai faktor utama bagi kegiatan keilmuan sesuai dengan motto `Bangi Bandar Ilmu` barulah menjadi kenyataan. Bermaksud setuju mendirikan masjid.
Senarai Ahli Jawatankuasa Sementara Pembinaan Masjid Al-Umm ialah:
1)      Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar  - Pengerusi
2)      Hj. Mohd. Ghazali bin Abas  - Timbalan Pengerusi
3)      Hj. Hussin bin Yunos – Setiausaha
4)      Fahdee bin Hj. Faisal
5)      Mohd Hafiz bin Suib
6)      Mohd. Nor bin Hj. Mohd Yasin (Bendahari)
7)      Ahmad bin Hj. Hasbullah
8)      Imam Supaat bin Hj. Abdul Rahman
9)      Dr. Tajul Ariffin Noordin
10)   Hj. Abdul Rahman Daud
11)   Mohd. Nazar Osman
12)   Dr. Abdul Rahim bin Samsuddin
13)   Mohd Said bin Mohd Yunos
14)   Amin bin Othman.
Antara persetujuan diambil ialah
·         Setuju mendirikan Masjid Al-Umm dengan kos RM10 juta ringgit.
·         Masjid Al-Umm mengendalikan pengajian, kuliah dan berbagai wacana keilmuan dan bertaraf `Jami`.
·         Masjid perlu mempunyai asset dan waqaf hingga dapat menawarkan pengajian secara percuma.
Tiga jawatankuasa kerja dibentuk, iaitu:
1)      Jawatankuasa Plan, Binaan dan Landscaping
Ketua:  Encik Nasai
Setiauasaha Tuan Haji Said bin Mohd Yunos
2)      Jawatankuasa Dana
Ketua Tuan Haj. Mohd Nor bin Yasin
Setiausaha: Akan dipilih
3)      Jawatankuasa Pendidikan
Ketua: Dr. Tajul Ariffin Noordin
Setiausaha: Fahdi bin Faisal
Dengan lantikan-lantikan di atas jawatankuasa induk dan jawatankuasa kerja memulakan kerja bagi membina Masjid Al-Umm.

Sekian.

January 16, 2018

KEWAJARAN DAN KESEMPATAN


BBB, 27 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 15 Januari 2018M. (Isnin):
Kewajaran bermaksud di sini apa yang ditampilkan adalah munasabah, beralasan, mempunyai hujjah ilmiah, bahkan dapat dipertanggungjawabkan dan terbuka untuk dikritik dan dibincangkan. Misalnya Takmilah pada permulaan ditampilkan adalah bertujuan bagi membangunkan `Gagasan Sastera Islam`. Ianya berasaskan tauhid, dan Allah bersifat Kamal (Sempurna) yang menjadi falsafah bagi kualiti karya dan juga dilihat  Allah bersifat Ilmu dan juga Indah yang menjadi asas bagi seseorang sasterawan hendaklah seorang yang berilmu di samping mempunyai nilai seni dan estetika yang tinggi. Gabungan dari tiga aspek ini menjadi kualiti tertinggi yang harus dijalani oleh seseorang sasterawan dan sebenarnya bagi bidang-bidang seni yang lain. Sebagai hasilnya sesebuah karya itu kukuh dengan falsafah tauhid bersifat sempurna, berasaskan ilmu dan bernilai estetika yang tinggi. Gagasan ini mula ditampilkan di dalam Seminar ``Sastera, Metodologi dan Penetapan Teori` yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bertempat di Port Dickson dari 21-31 Oktober 1992. Tajuk yang dibentangkan oleh Penulis pada seminar itu ialah: ``Sastera Islam, Teori Pengindahan dan Penyempurnaan Dalam Rangka Tauhid.``  (Manasikana, Teori Sastera dan Budaya Dalam Kajian Akademik, UKM, 1997: 125-145). Sejak itu teori ini terus diperkembang dan diperolahkan yang kemudian secara ringkasnya dikenali sebagai `Teori Takmilah.` Perluasan berlaku terhadap teori apabila ianya diaplikasi terhadap seni bina, apabila penulis membentangkan kertaskerja bertajuk, ``Perluasan Teori Takmilah``, disamping sebuah lagi kertaskerja berjudul, ``Gagasan Pesurat Pelengkap Takmilah, Bangi Makmal Menyerlah`` di dalam seminar yang dianjurkan oleh Persatuan Suluh Budiman yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak (UPSI) pada 27 Mac 2014. (Abdul Halim Ali (Penyelenggara) ,Teori Takmilah, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 11-21 &  22-36). Apa yang dikemukakan  di dalam kertas-kertaskerja yang berhubung dengan Takmilah yang dikaitkan dengan falsafah tauhid – juga dibina dari sifat-sifat Allah seperti Kamal- Alim dan Jamal sebagai prinsip bagi Teori Takmilah dan menjadi kualiti tertinggi yang harus dijalani oleh para sasterawan dan ahli seni bina (arkitek). Ianya adalah releven dengan sastera dan seni yang berfalsafah tauhid.
Berhubung dengan kesempatan, bermaksud peluang yang diberi atau didapati, yakni peluang yang diberi oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kesempatan bagi Penulis mengemukakan gagasan Teori Takmilah yang dari peluang permulaan Penulis berpeluang memperluas dan memperkembangkan teori, prinsip dan falsafah teori ini yang hingga kini sudah melebihi suku abad (2018-1992).
Berhubung dengan kewajaran membina Masjid al-Umm di BBB adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
·         Dengan pertambahan penduduk BBB mendekati 200,000 orang, maka adalah wajar masjid kedua didirikan di BBB. Sebuah masjid, iaitu Masjid Al-Hasanah tidak mampu menampung dengan jumlah penduduk Bangi yang makin bertambah. Ketidakmampuan menampung jumlah penduduk ini menyebabkan 10 buah surau diberi keizinan mendirikan solat Juma`at.
·         Tidak ada lagi tanah kosong seluas 2 ekar untuk didapati di BBB. Jadi adalah wajar bahawa tanah tersebut didirikan masjid, walaupun sebenarnya adalah sempit bagi sebuah masjid.
·         Masjid Al-Umm BBB dapat menggantikan Surau Al-Umm berdekatan yang agak sempit dan ketinggalan berbandiung dengan surau-surau lain.
·         Masjid Al-Umm dapat menyemarakkan kegiatan beribadat dan perkembangan ilmu di BBB  sesuai dengan Bangi adalah Bandar Ilmu.
·         Memudahkan para jama`ah yang kelilingnya terdapat 15 buah surau datang berjamaah dan juga menunaikan solat Juma`at.
Berhubung dengan peluang ada beberapa peluang semasa pada masa itu mengapa cadangan membina Masjid al-Umm ini dikemukakan.
·         Pada masa itu Penulis sebagai ADUN Bangi dan Pengerusi bagi Surau Al-Umm adalah munasabah sebagai pemimpin di Bangi Penulis memanggil mesyuarat pengerusi-pengerusi surau atau wakil-wakil bermesyuarat pada 4 Februari 2010 di Surau Al-Umm dan mencadang agar didirikan Masjid al-Umm dan cadangan diterima.
·         Penulis juga sebagai ADUN Bangi juga dilantik oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim selaku Pembantu Exco kepada YB Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali membantu beliau di dalam hal Ehwal Islam dan  Adat-Adat Melayu. Surat Dato` Menteri Besar bertarikh 30 Mei, 2008. Penulis ditugaskan menjaga berkenaan masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama di Negeri Selangor. Dengan kedudukan ini memudahkan Penulis menguruskan berkenaan permohonan membina Masjid Al-Umm.
·         Penulis juga dilantik oleh Pengerusi Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali menjadi Wakil Kerajaan Negeri Selangor sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam. Surat EXCOHA/2008/12(423) bertarikh  9 Disember 2008M. bersamaan 11 Zulhijjah 1429H.
Sesungguhnya dengan kedudukan ini banyak memudahkan urusan antaranya memohon digezetkan tanah Lot 51177 Jalan 1/4A, Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi dengan kadar segera. Menjemput YAB Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim merasmikan pemecahan Tanah Masjid al-Umm. Memohon peruntukan dana Masjid al-Umm dari Kerajaan Negeri Selangor. Memohon kelulusan mendirikan Masjid Al-Umm dari JAIS-MAIS. Memohon kelulusan memungut derma dari  MAIS dan berbagai-bagai lagi urusan.
Sesungguhnya segala urusan berkenaan adalah dapat disifatkan mudah dan berjalan lancar.

Sekian.

January 15, 2018

TEKANAN KE ARAH TAKMILAH


BBB,26 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 14 Januari 2018M. (Ahad):
Maksud tekanan iaitu sesuatuperkara yang mendatang yang mungkin tanpa disedari, di luar jangka atau dijangka, tapi lalai atau kurang bersedia yang mendesak  pihak yang menerima tindakan  bagi melaksanakan apa yang didesak dan jika tidak diambil tindakan, maka pihak yang didesak akan menghadapi tindakan atau kerugian. Tekanan adalah satu mekanisme dalam Takmilah, bahkan di dalam apa jua perkara yang memberi impak positif kepada semua pihak.
Tekanan misalnya digunakan untuk mempertingkatkan nilai atau mutu sesuatu pekerjaan tanpa tekanan mungkin berlaku kecuaian dan tidak berlaku peningkatan dari segi mutu dan hasil pekerjaan. Sebagai contoh di dalam bidang pelajaran, bagi meningkatkan mutu pelajaran pelajar-pelajar dikenakan peperiksaan dan perlu lulus atau gagal bagi mengetahui pencapaian pelajaran pelajar berkenaan, misalnya melalui peperiksaan peringkat sekolah rendah, SPM, STPM bahkan hingga peringkat ijazah dari sarjana muda hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah. Demikian juga di dalam bidang pekerjaan pekerja-pekerja dinilai dan dikenakan sekatan sebagai tekanan bagi kenaikan pangkat dan gaji, jika berjaya dan berkelayakan.
Di dalam konteks Surau Al-Umm, sebagaimana telah disebutkan, bahawa dengan bertambahnya surau-surau yang mendirikan Juma`at, bahkan dengan terdirinya Masjid al-Hasanah dan mula digunakan dengan rasmi pada 10 Mac 2000, maka Surau al-Umm dirasakan selesa dengan keadaannya sebagai surau kecil untuk kawasan pinggir bukit bagi seksyen satu.
Namun selepas tiga puluh tahun ianya digunakan, maka pihak PKNS (2007) memaklumkan kepada AJK Surau hasrat PKNS untuk mengambilbalik  rumah N0. 6, Jalan 1/3G yang diberi secara sementara oleh PKNS bagi dijadikan surau sementara di kawasan berkenaan. Pihak PKNS mengingatkan bahawa pihak PKNS sedari awal pembukaan BBB telah menyediakan tapak seluas 2 ekar, Lot 51177 Jalan 1/4A BBB bagi penduduk di kawasan berkenaan mendirikan surau bagi menggantikan surau sementara di No. 6, Jalan 1/3G BBB. Surat makluman dari PKNS berkenaan adalah sebagai kejutan bagi AJK Surau al-Umm, bahkan sebagai tekanan kepada pihak AJK bertindak bagi mengatasi masalah berkenaan.
Sememangnya berikut dari peringatan dari PKNS itu pihak AJK bertindak bermesyuarat membincangkan kemungkinan mendirikan surau di tapak yang disediakan, namun hasrat mendirikan surau itu kemudiannya terpendam begitu sahaja. Pada kali yang lain timbul hasrat mau mendirikan masjid dan derma pernah dipungut melebihi RM1,000, namun kehendak mendirikan masjid juga dianggap di luar dari kemampuan, lantaran itu rancangan untuk mendirikan surau dihidupkan kembali, namun hasrat itu terpendam kembali.
Rancangan mendirikan Masjid kemudiannya tercetus dari visi dan misi yang mau Bangi sebagai Bandar Ilmu. Perkara ini ditimbulkan ketika Persatuan Penduduk BBB mengadakan Sambutan 30 Tahun BBB. Slogan Bangi Bandar Ilmu diungkapkan. Perisytiharan Bangi Bandar Ilmu ini diresmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di Bandar Seri Putera, Bangi pada 22 Jun 2008. Dengan pengisytiharaan ini Menteri Besar Selangor itu mengatakan:
``Menerusi pengisytiharan ini juga diharapkan lebih banyak pengisian pelbagai cabang ilmu dapat dirintis. Semoga dengan itu juga ia mampu menjana kehidupan lebih aman, sejahtera dan prihatin di kawasan kejiranan Bangi. Sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Bertindak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, yang bekerja keras bagi merealisasikan harapan Bangi.``
Digerakkan oleh hasrat bagi meningkatkan keilmuan di Bangi Bandar ilmu, maka dilihat Masjid adalah institusi penting bagi ibadat dan mempertingkatkan ilmu bagi penduduk di Bangi Bandar Ilmu, maka Penulis yang pada masa itu sebagai ADUN Bangi telah menjemput pengerusi-pengerusi  surau-surau  atau wakil-wakil surau-surau pada  4 Februari 2010 ke Surau Al-Umm bagi membincangkan rancangan untuk mendirikan masjid (Masjid al-Umm). Seramai 30 orang telah hadir, termasuklah Pengerusi Persatuan Penduduk BBB pada masa itu, iaitu Dr. Tajul Ariffin Noordin. Dari pertemuan menghasilkan keputusan bagi mendirikan  Masjid al-Umm. Penulis dilantik menjadi Pengerusi jawatankuasa dengan Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas sebagai Timbalan Pengerusi dan Tuan Haji Hussin Yunos sebagai Setiausaha dengan sejumlah jawatankuasa.
Dengan keputusan ini mengakhiri sikap yang tidak jelas sebelum itu sama ada hendak mendirikan surau atau masjid dilokasi tapak lot 51177, Jalan 1/4A, BBB itu. Keputusan adalah merupakan tekanan yang bersifat  dorongan bagi misi dan visi Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

January 14, 2018

TAKMILAH : DALAM APA KEADAAN PERLU BUAT PILIHAN


BBB,  25 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 13 Januari 2018M. (Sabtu):
Sebagaimana telah disebut, setelahSurau Al-Umm diserahkan kepada penduduk, maka kegiatan yang sesuai sebagai sebuah surau telah berjalan seperti mendirikan solat-solat waktu, menjemput guru-guru mengajar bidang-bidang ilmu yang sesuai dengan surau dan keperluan masyarakat dan menjalankan kegiatan dan kebajikan masyarakat seperti menguruskan soal-soal kematian, menyambut hari-hari perayaan Islam dan berbagai kegiatan kemasyarakatan.
Pada masa tersebut tidak timbul soal ingin mendirikan masjid. Keperluan masjid bagai tidak timbul, apabila UKM, mulai membina masjidnya pada 16 Mac 1979 dan siap serta mula digunakan pada 16 April 1982, maka kalau sebelum ini warga Bangi menunaikan solat Jumaat ke Masjid Kajang, atau di ruang sementara di UKM atau ke masjid-masjid Kampong yang agak kecil seperti di Teras Jernang atau di West Country, maka kini kebanyakan warga Bangi yang kebanyakannya  merupakan pekerja-pekerja UKM menunaikan solat  Jumaat dan kegiatan-kegiatan bersifat ibadat yang lain tertumpu ke Masjid UKM. Sementara itu dalam masa yang sama surau-surau yang bertambah di BBB, setengahnya memohon dari JAIS-MAIS  mendirikan solat Jumaat. Antaranya Surau Al-Nur yang mendirikan Jumaat mulai awal tahun 1990an. Kemudian diikuti 10  buah surau yang mendirikan Jumaat di BBB. Surau-surau berkenaan:
Surau-surau  al-Nur,  al-Kauthar,  al-Sabah, al-Falah, al-Amin, al-Mujahidin, Bangi Perdana, al-Islah Jalan Sg. Chua, al-Hidayah Sungai Tangkas dan Taman Tenaga (Setengah surau ini adalah baharu mendirikan Jumaat). Dengan banyaknya surau mendirikan Jumaat kelihatan tidak perlu didirikan masjid, kerana fungsi masjid diambil oleh surau yang sebenarnya dari segi bangunan adalah bertaraf masjid. Surau-surau berkenaan tidak mau menaikkan kepada masjid, kerana mau mengendalikan sendiri kegiatan surau dan jika dinaikkan taraf, maka pentadbirannya diserah kepada MAIS dan JAIS.
Sebenarnya dalam masa pertambahan penduduk kepada jumlah lebih dari 100,000 orang  dan semua seksyen telah dihuni (16 Seksyen), pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan kewangan pada akhir 1990an sebanyak RM2 juta bagi mendirikan sebuah masjid bagi BBB. Lokasinya ialah di Seksyen 9 yang membangun sebagai Pusat Bandar BBB pada tahun 2000. Bangunan masjid di sini dibina di bawah JKR pada tahun 1999, ketika Penulis menjadi ADUN Kajang, yang BBB ini termasuk di bawah DUN Kajang. Masjid dirasmikan penggunaannya oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan negeri Selangor pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zulhijjah 1420H. Dengan terdirinya masjid ini yang kemudian dikenali sebagai Masjid Al-Hasanah bererti BBB sudah mempunyai masjid sendiri dan seolah-olah keperluan kepada masjid tidak timbul lagi, apa lagi sebahagian surau-surau mendirikan solat Juma`at.
Sebenarnya hak mendirikan Jumaat ada pada Surau al-Umm, kerana ianya adalah surau yang pertama, namun surau ini tidak pernah memohon untuk mendirikan solat Jumaat oleh kerana menyedari pada keadaannya yang tidak sesuai. Maksudnya dari segi fizikalnya yang bersifat sebuah rumah semi-D adalah sempit, walaupun sudah dibuat penambahan. Lagi pula sebagai sebuah surau sementera yang tidak berada pada bahagian tapi, sebaliknya berada pada bahagian tengah, bermaksud ada pada bahagian kiri dan kanannya, juga hadapan dan belakangnya bangunan-bangunan yang lain, maka kedududukannya amat sempit dan tidak ada ruang untuk parkir. Ketiadaan tempat parkir ini dirasai dan disedari bagi jamaah secara surau sendiri. Lantaran berada pada kawasan yang sempit ini, surau ini tidak pernah digunakan sebagai tempat bagi solat idil Fitri atau idil Adhha.
Dapat dikatakan selepas berpuluh tahun Surau al-Umm digunakan, ianya sudah ketinggalan dari segi fizikal berbanding dengan surau-surau yang lebih baru darinya seperti Surau Al-Nur, Surau al-Kauthar, Surau al-Falah,  Bangi Perdana dan Surau al-Amin yang berada di sekelilingnya dan mendapat status mendirikan Jumaat.
Dalam suasana sedemikian ahli jawatankuasa Surau al-Umm, terpaksa membuat pilihan  - pilihan yang dapat kita katakan `Pilihan Tidak Popular`, iaitu mengambil sifat berdiam diri dan mempertahankan status-quo yang ada sebagai `Surau Biasa`  di tengah-tengah perubahan yang melanda.

Sekian.

January 13, 2018

PERANAN SURAU AL-UMM SEBELUM MASJID AL-UMM


BBB, 24 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 12 Januari 2018M. (Juma`at):
Untuk membicarakan `Masjid  Al-Umm: Perspektif Takmilah` tidak terpisah, bahkan tidak lengkap tanpa membicarakan Surau Al-Umm, lantaran bukan saja nama Al-Umm dibawa kepada Masjid Al-Umm, tetapi tapak Masjid al-Umm sekarang mempunyai hubungan dengan Surau Al-Umm.
Setelah Surau Al-Umm diterima daripada PKNS pada 5 Ogos 1978 dan selepas gotong royong membersih bangunan baru diterima, keesokannya iaitu 01 Ramadhan 1398 terus digunakan sebagai menyambut Ramadhan dan surau meriah dengan kehadiran para jama`ah, khususnya pada malam-malam  untuk bertarawih.


Surau adalah ditadbir oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh penduduk. Pengerusi yang pertama, ialah seorang yang cergas dan dinamik di dalam menggerakkan surau, iaitu Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas seorang Pustakawan di UKM, lulus ijazah dari universiti di Indonesia. Setiausahanya ialah Tuan Haji Mohd Salleh Kassim seorang Setiausaha bagi Persatuan Mahasiswa UKM, berasal dari Johor. Kegiatan yang dilakukan selain dari berjamaah pada setiap waktu, ialah mengatur pengajian-pengajian yang disampaikan oleh antaranya pensyarah-pensyarah di UKM yang tinggal di BBB. Antara yang pernah mengajar di Surau al-Umm ialah Dr. Abdullah Ibrahim dari Fakulti Islam (Jabatan Shari`ah), UKM, Imam Supaat Abdul Rahman, Dr. Mahmood Saedon pensyarah di Fakulti Islam di UKM berasal dari Brunei dan tinggal tidak jauh dari surau. Ustaz Abdul Wahab Salleh (sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir pada peringkat Ph. D dan beliau tinggal di surau). Penulis sendiri pernah mengajar fiqh menggunakan kitab  Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad Arshad al-Banjari dan kitab  Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah.  Dan ramai lagi penceramah-penceramah jemputan. Pada setiap pagi biasanya dibacakan tafsir atau Hadith secara ringkas sebagai tadzkirah. Pada malam Jumaat diadakan Majlis Bacaan  Yasin dan tahlil, antara kegiatan menubuhkan Khairat Kematian, mengadakan majlis dan sambutan seperti Maulid al-Rasul, Isra` Mi`raj, sambutan hariraya `Idul Fitri dan Idul Adhha. Turut bergiat muslimat dalam pengajaran dan kegiatan-kegiatan kebajikan. Oleh kerana pertambahan penduduk, maka ruang untuk berjamaah agak sempit, maka sejak awal lagi difikirkan untuk menambah ruang. Ini dilakukan dengan menambahkan ruang lantai kayu hingga ke bahagian depan bangunan. Kemudian oleh kerana lantai kayu yang ditambah tidak mantap dan reput dan kemudian di buat lantai konkrit dan bertail.
Selepas Tuan Haji Ghazali Abbas melepaskan jawatan Pengerusi Surau al-Umm, kerana penduduk di kawasan kawasan baru iaitu  Jalan 1/7 dan 1/9 mengadakan surau baru pada pertengan 1980an, iaitu pada mulanya menggunakan rumah teres PKNS di kawasan itu dan kemudian mendirikan Surau Al-Nur. Beliau terkenal sebagai Pengerusi yang aktif di surau itu dengan berbagai-bagai kegiatan di Surau Al-Nur. Tempat beliau sebagai Pegerusi Al-Umm diganti oleh Imam Supaat seorang Pensyarah Maktab Perguruan Islam Bangi dan tinggal di BBB di kawasan rumah Kipas (dua tingkat), perumahan baru dibina tambahan bagi dua baris jenis berkenaan sebelumnya. Antara Setiausaha yang aktif pada masa Imam Sufaat menjadi Pengerusi Surau al-Umm ialah saudara Ibrahim bin Daud (berundur bila bertukar ke Sabah). Menurut Tuan Haji Hussein Yunus selepas itu selama 23 tahun beliau bergilir-gilir dengan Tuan Haji Banhawi  Mohamad menjadi Setiausaha. (Tuan Haji Banhawi pernah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk BBB pada 1982-1990 dan menjadi Setiausaha Surau selepas berundur dari menjadi YDP Persatuan Penduduk BBB) berikut dari En. Omar Ja`far meletakkan jawatan Pengerusi Penduduk BBB kerana melanjutkan pengajian bahagian pentadbiran ke Amerika). Selepas Haji Banhawi jawatan YDP Persatuan Penduduk BBB disandang oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin (1990-2012).
Pengerusi Surau AL-Umm selepas Tuan Imam Supaat mulai awal 2010, ialah Dato` Dr. Abdul Wahid Samsuddin Bekas Timbalan Naib Canselor, UKM dan saudara Hussein Yunus terus menjadi Setiausaha.
Penulis sendiri telah dipilih menjawat jawatan Pengerusi surau al-Umm (Selepas berundur dari menjadi Wakil Rakyat), mulai 1 Jun 2013 hinggalah 16 Disember 2017 (Masjid Al-Umm mula  digunakan dan penggunaan Surau al-Umm dihentikan).
Ahli Jawatankuasa terakhir bagi Surau Al-Umm adalah terdiri dari:
Pengerusi:  Dr. Shafie bin Abu Bakar
Imam:    Hj. Annas Adnan
Bilal:  Hj. Abdul  Aziz Abdul Rahman
Setiausaha:  Mohd Suib Maulud
Bendahari:  Hj. Mohd. Anuar bin Hj. Nordin
Ahli Jawatankuasa:
En. Jamaluddin Ibrahim
Hj. Osman  Hj. Wayat
Hj. Hussin bin Yunos (S/U sebelum Mohd Suib Maulud)
Hj. Samsuddin Puteh
Dr. Zainal Abidin Muhammad
Hj. Abdul Rahman Daud
Amir Abbas Mohd. Khalil (Pemuda)
Mu`minah bt. Yusoff
Aminah bt. Anis.
Menurut perancangan bangunan Surau Al-Umm akan dijadikan rumah imam atau asrama. Usaha untuk memiliki rumah tersebut sebagai harta masjid Al-Umm dalam pengurusan.
Surau Al-Umm adalah menjadi sebagai warisan bagi BBB, lantaran inilah surau pertama sebelum lahir berbagai surau di BBB yang kini jumlahnya menghampiri 50 buah. Pertambahan adalah mengikut pertambahan perumahan selari dengan pertambahan penduduk yang kini mendekati  200,000  penduduk.

Sekian.

January 12, 2018

MEMPERBAIKI KEADAAN : TERTUBUHNYA BADAN KEBAJIKAN


BBB, 23 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 11 Januari 2018M. (Khamis):
Di dalam konsep Takmilah, bahawa di dalam apa jua usaha mencari Takmilah, tidak sunyi dari menghadapi rintangan, cabaran dan berbagai permasalahan yang perlu diatasi. Halangan-halangan ini dari satu segi dapat dilihat sebagai positif, kerana dengan ujian dan usaha mengatasinya dapat memperbaiki sesuatu yang negatif kepada yang positif.


Di dalam konteks BBB yang pada peringkat awalnya banyak kekurangan dan tiada kemudahan yang dihadapi penduduk, setelah BBB dihuni bermula dari 30 November 1977 dan penduduknya makin bertambah kepada jumlah ratusan orang,  mereka menghadapi masalah pada perumahan yang diduduki, misalnya kerosakan rumah seperti retak, pagar yang rosak, atap yang bocor dan perparitan yang tersumbat dan sebagainya. Kerosakan-kerosakan yang berlaku ini walaupun setengahnya dapat diperbaiki, tetapi banyak perkara  lagi yang menjadi masalah bersama oleh penduduk. Misalnya ketiadaan surau, jalan yang tidak sempurna dan sebagainya. Masalah-masalah yang dihadapi ini menyatukan penduduk dan menjadi mekanisme yang membawa mereka bertemu dan bermesyuarat.
Pertemuan pertama dan penting ialah berlaku pada 4 Februari 1978, iaitu selepas dua bulan BBB dihuni penduduk mengadakan pertemuan di kedai makan satu tingkat, Jalan 1/1A, BBB (Kini kedai Latihan Memandu Mazris). Tujuan pertemuan ialah bagi mengatasi masalah-masalah perumahan dan kependudukan BBB. Dalam pertemuan ini membawa kepada tertubuhnya  `Badan Kebajikan Penduduk BBB`  yang Yang Dipertua pertamanya dilantik, iaitu Encik Omar bin Ja`far dengan Setiausaha pertamanya Encik Salleh Kassim. Melalui Badan Kebanjikan Penduduk BBB ini segala masalah yang dihadapi penduduk disalurkan melalui badan ini. Kemudahan didapati, kerana En. Omar Ja`far sebagai Pegawai Tadbir i Pembangunan UKM telah dilantik mewakili UKM di dalam Majlis Mesyuarat MPKJ (masa itu Majlis Daerah Hulu Langat). Jadi melalui mesyuarat berkenaan En. Omar Ja`far dapat menyalur dan menyampaikan masalah-masalah pembangunan UKM dan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk BBB. Badan Kebajikan Penduduk BBB ini adalah badan yang penting, lantaran badan ini kemudiannya bertukar dari bersifat badan kebajikan kepada Persatuan Penduduk BBB, iaitu sebuah badan yang kukuh dan teratur dan banyak jasanya sehingga kini.
Dalam masa Encik Omar Ja`far menjadi YDP Persatuan Penduduk BBB ini  beliau juga telah membawa masalah dan permintaan penduduk BBB kepada pihak PKNS, bahawa pihak PKNS, tidak menyediakan surau kepada penduduk, walaupun ada tapak bagi masjid/surau di Seksyen Satu, belum ada usaha untuk mendirikan masjid atau surau di tapak berkenaan. Jadi sebagai keperluan segera dan memudahkan penduduk untuk berjamaah En. Omar Ja`far sebagai Wakil Penduduk  memohon pihak PKNS menyediakan sebuah rumah untuk dijadikan surau  sementara. Untuk makluman, bahawa walaupun pihak PKNS menambahkan pembinaan perumahan – pada masa itu terhad kepada Seksyen Satu BBB, tetapi tidak semua rumah yang telah siap dibina pada peringkat pertama laku dijual, kerana sebagaimana dikatakan pada peringkat permulaan kurang sambutan dari kakitangan  UKM untuk membelinya, termasuklah rumah semi D, walaupun tawaran dibuka juga kepada pegawai-pegawai yang berkhidmat di UPM.
Atas usaha Persatuan Penduduk BBB yang diketuai oleh En. Omar Ja`far pihak PKNS bersetuju memperuntukkan sebuah rumah semi D, sebagai surau bagi penduduk BBB. Luas lot bagi rumah semi D ini ialah  6,292 kaki persegi. Rumah berkenaan beralamat:
No. 6, Jalan 1/3G,
43650, Bandar Baru Bangi.
Dari segi sejarah surau ini penting, bahkan menjadi warisan sejarah BBB, lantaran ianya adalah surau pertama bagi penduduk BBB. Surau ini kemudian dinamakan sebagai Surau Al-Umm, surau  awal (Ibu) bagi penduduk BBB. Dari nama surau ini juga kelak akan digunakan nama bagi Masjid Al-Umm sebagai ganti dan penerusan fungsi surau tersebut kepada masjid yang pada masa itu tidak timbul sebarang usaha untuk mendirikan masjid yang dikenali  dengan Masjid Al-Umm.
Pemberian bangunan rumah semi D, kepada penduduk menjadi pusat penyatuan penduduk dan dari surau berkenaan berlakunya berbagai kegiatan penduduk.
Surau berkenaan diserah oleh PKNS kepada penduduk ialah pada 5 Ogos 1978.
Pada hari tersebut juga diadakan gotong royong membersihkan surau, kerana esoknya merupakan 01 Ramadhan bagi tahun 1978, iaitu 01 Ramadhan 1398H.. Jadi penggunaan pertama surau al-Umm, ialah bagi menyambut awal Ramadhan tahun berkenaan.
Surau Al-Umm berfungsi sebagai surau dari 6 Ogos 1976 sehingga 16 Disember 2017 apabila Masjid Al-Umm mula digunakan.

Sekian.

January 11, 2018

TAKMILAH : MASALAH KEPENDUDUKAN


BBB:  22 Rabi`ul- Akhir  1439H. = 10 Januari 2018M. (Rabu):
Matlamat membangunkan BBB sejak 1975 dan penghuni terawal mulai pindah pada 30 November 1977 selepas UKM berpindah secara berperingkat pada bulan Oktober 1977 pada dasarnya berjaya menurut perancangan yang diatur. Lebuhraya Kuala Lumpur-Bangi (Bakal menjadi lebuhraya Utara-Selatan) siap setakat ke Bangi sahaja -  siap menjelang sedikit awal dari perpindahan, maka trailer-trailer yang mengangkut barang dari UKM di Jalan Pantai ke Bangi dapat menggunakan lebuhraya berkenaan yang hanya sampai ke Bangi sahaja (belum ada tol). Adapaun penduduk yang berpindah peringkat awal ke Bandar Baru Bangi yang hanya lima-enam keluarga mengurus sendiri dari segi perpindahan.
Pada dasarnya sebagaimana dikatakan, sambutan terutama dari kalangan warga pekerja di kampus UKM terhadap perumahan di BBB agak dingin dan tidak semua dari jumlah seratus  rumah peringkat awal itu terjual. Ini ialah kerana beberapa sebab, antaranya:
Tiada kemudahan infra-struktur yang baik. BBB masih terasing tiada jalan yang sempurna. Untuk ke BBB terpaksa melalui jalan kampung teras Jernang dan untuk ke UKM dari BBB melalui jambatan kayu di kampung berkenaan. Jalan terus ke UKM belum dibina yang memerlukan penyiapan jambatan merentasi sungai di hadapan Kampus UKM. Untuk ke Kajang juga terpaksa melalui jambatan kayu di Teras Jernang atau melalui jalan ladang bertanah merah dan melalui jambatan uzur ke kawasan perumahan pekerja ladang West Country.
Ramai dari pekerja UKM pada peringkat awal masih berulang dengan kenderaan dari Petaling Jaya atau Kuala Lumpur. Bagi pekerja yang bertaraf tinggi menganggap tinggal di BBB pada peringkat awal sebagai tinggal di tempat `Jin bertendang`, kerana kawasannya yang terasing dari tidak mempunyai kemudahan. Tinggal di BBB dianggap tidak standard. Bagi yang berpendapatan tinggi, jika mau membeli rumah, maka mereka lebih suka memilih perumahan swasta seperti di Bukit Kajang dan  di Bukit Mewah Kajang. Kerana apabila ura-ura UKM berpindah ke Bangi antara pihak pemaju hartanah, turut sama mem,bina perumahan secara swasta bagi dijualkan terutama bagi pekerja-pekerja UKM.
Tinggal di Bandar Baru Bangi, tidak ada kemudahan untuk mendapatkan keperluan barang-barang harian. Belum ada kedai yang dibuka (beberapa kedai teres setingkat dibina), tiada pasar untuk mendapatkan barangan  dapur. Untuk mendapat a-barang keperluan, terpaksa ke Kajang. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak pula sukar untuk mendapat kemudahan pelajaran. Tiada sekolah dibina pada peringkat permulaan.  Anak-anak terpaksa dihantar belajar di sekolah-sekolah di Kajang seperti sekolah Rendah Kebangsaan, Jalan Semenyih, Kajang atau disekolah Convent, Kajang. Ibu bapa terpaksa berulang-alik menghantar mereka ke Kajang. Antara mereka membuat giliran menghantar anak-anak dan menjemput mereka. Sekolah rendah BBB baru dibangunkan pada pertengahn 1980an.
Di samping tiada kemudahan sekolah, tiada kemudahan tempat ibadat. Pihak PKNS tidak memasukkan di dalam perancangan pembinaan rumah ibadat. Pendek kata tiada sebuah surau di BBB. Untuk mengadakan ibadat secara berjamaah, pada peringkat permulaan kalangan penduduk mengadakan usrah (konsep usrah mula dikenali pada masa itu, antaranya dianjurkan konsep usrah oleh Angkatan Belia Islam  - ABIM). Usrah dan berjamaah diadakan secara bergilit-gilir dari rumah ke rumah. Untuk mendirikan solat Juma`at terpaksa ke Kajang – di Masjid Kajang atau ke masjid-masjid kampung berdekatan. Oleh kerana difikirkan perlu berjumaat di Kampus, UKM yang juga tidak disediakan masjid pada peringkat awal, maka beberapa tempat dijadikan tempat mendirikan solat Jumaat seperti pada peringkar awal di ruang legar hadapan bangunan  pentadbiran UKM, kemudian berpindah ke ruang  legar Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan (FSKK) dan kemudian di aras bawah bangunan perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. Tempat ini agak lama didirikan solat berjumaat dan penduduk BBB sama menumpang bersolat Juma`at di tempat-tempat yang disebutkan tadi, sebelum masjid UKM didirikan (Masjid UKM dibina pada 16 Mac 1979 dan siap digunakan pada 16 April 1982).
Adapun bagi penduduk BBB baru sungguhpun ada tapak bagi surau atau masjid di tapak Masjid al-Umm sekarang, tidak ada sebarang perancangan pada masa itu untuk didirikan surau atau masjid di tapak berkenaan.
Banyak lagi kemudahan-kemudahan yang belum ada di BBB seperti tiada kemudahan riadhah dan rekreasi, tiada kemudahan bas (ada syariakat Bus Sum berwarna merah berulang alik antara Kajang dan Pekan Bangi, tapi tidak masuk ke BBB pada peringkat permulaan, kerana tidak ekonomik dan tiada  jalan pintas melalui jambatan hadapan UKM - belum dibina) dan berbagai lagi tiada kemudahan di BBB menyebabkan pda peringkat permulaan BBB tidak menjadi pilihan sebagai tempat kediaman.
Dari segi Takmilah  semua masalah dan halangan dapat disifatkan sebagai anti Takmilah dan dari segi prinsip Takmilah, masalah-masalah berkenaan adalah cabaran bagi berbagai-bagai pihak berusaha bagi mengatasinya. Keadaan ini berlaku di BBB dan mengambil masa.
Mendepani cabaran dan perlu ikhtiar mengatasinya bagi mencapai kepada yang lebih sempurna adalah merupakan antara konsep dan prinsip Takmilah.

Sekian.