BBB, 25
Rabi`ul-Akhir 1439H. = 13 Januari 2018M. (Sabtu):
Sebagaimana telah disebut, setelahSurau Al-Umm
diserahkan kepada penduduk, maka kegiatan yang sesuai sebagai sebuah surau
telah berjalan seperti mendirikan solat-solat waktu, menjemput guru-guru
mengajar bidang-bidang ilmu yang sesuai dengan surau dan keperluan masyarakat
dan menjalankan kegiatan dan kebajikan masyarakat seperti menguruskan soal-soal
kematian, menyambut hari-hari perayaan Islam dan berbagai kegiatan
kemasyarakatan.
Pada masa tersebut tidak timbul soal ingin
mendirikan masjid. Keperluan masjid bagai tidak timbul, apabila UKM, mulai
membina masjidnya pada 16 Mac 1979 dan siap serta mula digunakan pada 16 April
1982, maka kalau sebelum ini warga Bangi menunaikan solat Jumaat ke Masjid
Kajang, atau di ruang sementara di UKM atau ke masjid-masjid Kampong yang agak
kecil seperti di Teras Jernang atau di West Country, maka kini kebanyakan warga
Bangi yang kebanyakannya merupakan
pekerja-pekerja UKM menunaikan solat
Jumaat dan kegiatan-kegiatan bersifat ibadat yang lain tertumpu ke
Masjid UKM. Sementara itu dalam masa yang sama surau-surau yang bertambah di
BBB, setengahnya memohon dari JAIS-MAIS mendirikan solat Jumaat. Antaranya Surau
Al-Nur yang mendirikan Jumaat mulai awal tahun 1990an. Kemudian diikuti 10 buah surau yang mendirikan Jumaat di BBB.
Surau-surau berkenaan:
Surau-surau
al-Nur, al-Kauthar, al-Sabah, al-Falah, al-Amin, al-Mujahidin,
Bangi Perdana, al-Islah Jalan Sg. Chua, al-Hidayah Sungai Tangkas dan Taman
Tenaga (Setengah surau ini adalah baharu mendirikan Jumaat). Dengan banyaknya
surau mendirikan Jumaat kelihatan tidak perlu didirikan masjid, kerana fungsi
masjid diambil oleh surau yang sebenarnya dari segi bangunan adalah bertaraf
masjid. Surau-surau berkenaan tidak mau menaikkan kepada masjid, kerana mau
mengendalikan sendiri kegiatan surau dan jika dinaikkan taraf, maka
pentadbirannya diserah kepada MAIS dan JAIS.
Sebenarnya dalam masa pertambahan penduduk
kepada jumlah lebih dari 100,000 orang dan semua seksyen telah dihuni (16 Seksyen),
pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan kewangan pada akhir 1990an sebanyak
RM2 juta bagi mendirikan sebuah masjid bagi BBB. Lokasinya ialah di Seksyen 9
yang membangun sebagai Pusat Bandar BBB pada tahun 2000. Bangunan masjid di
sini dibina di bawah JKR pada tahun 1999, ketika Penulis menjadi ADUN Kajang,
yang BBB ini termasuk di bawah DUN Kajang. Masjid dirasmikan penggunaannya oleh
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah Sultan negeri Selangor pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zulhijjah 1420H.
Dengan terdirinya masjid ini yang kemudian dikenali sebagai Masjid Al-Hasanah
bererti BBB sudah mempunyai masjid sendiri dan seolah-olah keperluan kepada
masjid tidak timbul lagi, apa lagi sebahagian surau-surau mendirikan solat
Juma`at.
Sebenarnya hak mendirikan Jumaat ada pada
Surau al-Umm, kerana ianya adalah surau yang pertama, namun surau ini tidak
pernah memohon untuk mendirikan solat Jumaat oleh kerana menyedari pada
keadaannya yang tidak sesuai. Maksudnya dari segi fizikalnya yang bersifat
sebuah rumah semi-D adalah sempit, walaupun sudah dibuat penambahan. Lagi pula
sebagai sebuah surau sementera yang tidak berada pada bahagian tapi, sebaliknya
berada pada bahagian tengah, bermaksud ada pada bahagian kiri dan kanannya,
juga hadapan dan belakangnya bangunan-bangunan yang lain, maka kedududukannya
amat sempit dan tidak ada ruang untuk parkir. Ketiadaan tempat parkir ini
dirasai dan disedari bagi jamaah secara surau sendiri. Lantaran berada pada
kawasan yang sempit ini, surau ini tidak pernah digunakan sebagai tempat bagi
solat idil Fitri atau idil Adhha.
Dapat dikatakan selepas berpuluh tahun Surau
al-Umm digunakan, ianya sudah ketinggalan dari segi fizikal berbanding dengan
surau-surau yang lebih baru darinya seperti Surau Al-Nur, Surau al-Kauthar,
Surau al-Falah, Bangi Perdana dan Surau
al-Amin yang berada di sekelilingnya dan mendapat status mendirikan Jumaat.
Dalam suasana sedemikian ahli jawatankuasa
Surau al-Umm, terpaksa membuat pilihan -
pilihan yang dapat kita katakan `Pilihan Tidak Popular`, iaitu mengambil sifat
berdiam diri dan mempertahankan status-quo yang ada sebagai `Surau Biasa` di tengah-tengah perubahan yang melanda.
Sekian.
No comments:
Post a Comment