January 13, 2018

PERANAN SURAU AL-UMM SEBELUM MASJID AL-UMM


BBB, 24 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 12 Januari 2018M. (Juma`at):
Untuk membicarakan `Masjid  Al-Umm: Perspektif Takmilah` tidak terpisah, bahkan tidak lengkap tanpa membicarakan Surau Al-Umm, lantaran bukan saja nama Al-Umm dibawa kepada Masjid Al-Umm, tetapi tapak Masjid al-Umm sekarang mempunyai hubungan dengan Surau Al-Umm.
Setelah Surau Al-Umm diterima daripada PKNS pada 5 Ogos 1978 dan selepas gotong royong membersih bangunan baru diterima, keesokannya iaitu 01 Ramadhan 1398 terus digunakan sebagai menyambut Ramadhan dan surau meriah dengan kehadiran para jama`ah, khususnya pada malam-malam  untuk bertarawih.


Surau adalah ditadbir oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh penduduk. Pengerusi yang pertama, ialah seorang yang cergas dan dinamik di dalam menggerakkan surau, iaitu Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas seorang Pustakawan di UKM, lulus ijazah dari universiti di Indonesia. Setiausahanya ialah Tuan Haji Mohd Salleh Kassim seorang Setiausaha bagi Persatuan Mahasiswa UKM, berasal dari Johor. Kegiatan yang dilakukan selain dari berjamaah pada setiap waktu, ialah mengatur pengajian-pengajian yang disampaikan oleh antaranya pensyarah-pensyarah di UKM yang tinggal di BBB. Antara yang pernah mengajar di Surau al-Umm ialah Dr. Abdullah Ibrahim dari Fakulti Islam (Jabatan Shari`ah), UKM, Imam Supaat Abdul Rahman, Dr. Mahmood Saedon pensyarah di Fakulti Islam di UKM berasal dari Brunei dan tinggal tidak jauh dari surau. Ustaz Abdul Wahab Salleh (sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir pada peringkat Ph. D dan beliau tinggal di surau). Penulis sendiri pernah mengajar fiqh menggunakan kitab  Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad Arshad al-Banjari dan kitab  Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah.  Dan ramai lagi penceramah-penceramah jemputan. Pada setiap pagi biasanya dibacakan tafsir atau Hadith secara ringkas sebagai tadzkirah. Pada malam Jumaat diadakan Majlis Bacaan  Yasin dan tahlil, antara kegiatan menubuhkan Khairat Kematian, mengadakan majlis dan sambutan seperti Maulid al-Rasul, Isra` Mi`raj, sambutan hariraya `Idul Fitri dan Idul Adhha. Turut bergiat muslimat dalam pengajaran dan kegiatan-kegiatan kebajikan. Oleh kerana pertambahan penduduk, maka ruang untuk berjamaah agak sempit, maka sejak awal lagi difikirkan untuk menambah ruang. Ini dilakukan dengan menambahkan ruang lantai kayu hingga ke bahagian depan bangunan. Kemudian oleh kerana lantai kayu yang ditambah tidak mantap dan reput dan kemudian di buat lantai konkrit dan bertail.
Selepas Tuan Haji Ghazali Abbas melepaskan jawatan Pengerusi Surau al-Umm, kerana penduduk di kawasan kawasan baru iaitu  Jalan 1/7 dan 1/9 mengadakan surau baru pada pertengan 1980an, iaitu pada mulanya menggunakan rumah teres PKNS di kawasan itu dan kemudian mendirikan Surau Al-Nur. Beliau terkenal sebagai Pengerusi yang aktif di surau itu dengan berbagai-bagai kegiatan di Surau Al-Nur. Tempat beliau sebagai Pegerusi Al-Umm diganti oleh Imam Supaat seorang Pensyarah Maktab Perguruan Islam Bangi dan tinggal di BBB di kawasan rumah Kipas (dua tingkat), perumahan baru dibina tambahan bagi dua baris jenis berkenaan sebelumnya. Antara Setiausaha yang aktif pada masa Imam Sufaat menjadi Pengerusi Surau al-Umm ialah saudara Ibrahim bin Daud (berundur bila bertukar ke Sabah). Menurut Tuan Haji Hussein Yunus selepas itu selama 23 tahun beliau bergilir-gilir dengan Tuan Haji Banhawi  Mohamad menjadi Setiausaha. (Tuan Haji Banhawi pernah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk BBB pada 1982-1990 dan menjadi Setiausaha Surau selepas berundur dari menjadi YDP Persatuan Penduduk BBB) berikut dari En. Omar Ja`far meletakkan jawatan Pengerusi Penduduk BBB kerana melanjutkan pengajian bahagian pentadbiran ke Amerika). Selepas Haji Banhawi jawatan YDP Persatuan Penduduk BBB disandang oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin (1990-2012).
Pengerusi Surau AL-Umm selepas Tuan Imam Supaat mulai awal 2010, ialah Dato` Dr. Abdul Wahid Samsuddin Bekas Timbalan Naib Canselor, UKM dan saudara Hussein Yunus terus menjadi Setiausaha.
Penulis sendiri telah dipilih menjawat jawatan Pengerusi surau al-Umm (Selepas berundur dari menjadi Wakil Rakyat), mulai 1 Jun 2013 hinggalah 16 Disember 2017 (Masjid Al-Umm mula  digunakan dan penggunaan Surau al-Umm dihentikan).
Ahli Jawatankuasa terakhir bagi Surau Al-Umm adalah terdiri dari:
Pengerusi:  Dr. Shafie bin Abu Bakar
Imam:    Hj. Annas Adnan
Bilal:  Hj. Abdul  Aziz Abdul Rahman
Setiausaha:  Mohd Suib Maulud
Bendahari:  Hj. Mohd. Anuar bin Hj. Nordin
Ahli Jawatankuasa:
En. Jamaluddin Ibrahim
Hj. Osman  Hj. Wayat
Hj. Hussin bin Yunos (S/U sebelum Mohd Suib Maulud)
Hj. Samsuddin Puteh
Dr. Zainal Abidin Muhammad
Hj. Abdul Rahman Daud
Amir Abbas Mohd. Khalil (Pemuda)
Mu`minah bt. Yusoff
Aminah bt. Anis.
Menurut perancangan bangunan Surau Al-Umm akan dijadikan rumah imam atau asrama. Usaha untuk memiliki rumah tersebut sebagai harta masjid Al-Umm dalam pengurusan.
Surau Al-Umm adalah menjadi sebagai warisan bagi BBB, lantaran inilah surau pertama sebelum lahir berbagai surau di BBB yang kini jumlahnya menghampiri 50 buah. Pertambahan adalah mengikut pertambahan perumahan selari dengan pertambahan penduduk yang kini mendekati  200,000  penduduk.

Sekian.

No comments:

Post a Comment