BBB, 18 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 06 Januari
2018M. (Sabtu):
Sejak lokasi Bangi dihebahkan mulai 1972 itu sebagai
tapak kampus rasmi UKM, maka nama Bangi – termasuk kawasan kampus dan kawasan
bakal menjadi Bandar Baru Bangi yang
sebelum ini tidak diketahui, maka ianya
mewangi dan mulai terkenal di seluruh negara. Peta Bangi yang seluas 5118 ekar
itu, secara kasarnya berbentuk D (huruf besar D). Pada bahagian kanannya
bersempadankan jalan raya lama dari Kajang ke Pekan Bangi (Bangi Lama) yang
agak sempit dan berliku-liku, khususnya ke Pekan Bangi. Sebahagian besar di
sebelah kanan ini bersempadankan kawasan Kampus UKM, Sungai Tangkas dan pada
bahagian atasnya ialah Jalan Reko, manakala pada bahagian tengahnya ialah bersempadankan Kampung Sungai Merab
(sebahagian Sungai Merab termasuk di
dalam kawasan Bandar Baru Bangi). Kawasan ini kemudiannya dibelah oleh lebuhraya
(Plus) Kuala Lumpur –Seremban, manakala pada sebelah kirinya bersempadankan
kawasan Sepang. Kawasan yang berasal dari ladang kelapa sawit ini pada umumnya
adalah tanah rata, tetapi mempunyai beberapa bukit, seperti Bukit Bandar Baru
Bangi (termasuk Bukit Mutiara). Terdapat sebatang sungai, iaitu Sungai Reko
yang hulunya dari kawasan Kajang mengalir mensempadankan antara Kampus UKM
dengan kawasan Bandar Baru Bangi. Sungai berkenaan mengalir ke sungai Langat
yang hulunya ialah Hulu Langat (Pangson – kawasan rekreasi Hulu Langat) dan
sungai ini bermuarakan Kuala Langat.
Semasa kawasan estate ini diambilalih oleh pihak kerajaan Negeri
Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, perkampungan atau kawasan
yang ada ialah Pekan Bangi dan Kampung Teras Jernang, pada bahagian selatan
Bangi, manakala pada bahagian kirinya, ialah Kampung Sungai Merab membawa
kepada Sungai Ramal Dalam, Sungai Ramal Luar, Sungai Chua dan Pekan Kajang
(masa itu Kajang masih bertaraf pekan yang tidak begitu teratur). Sempadan di
bawah dari Kajang, ialah Jalan Reko yang kampung lama di sini ialah West
Country – Penempatan pekerja estate yang nama kampung ini mengambil nama
syarikat bagi estate berkenaan. Penduduk di sini pada peringkat permulaan
kebanyakannya kaum India, iaitu pekerja bagi estate West Country. Berdekatan
dengan West Country ini ialah kampung Sungai Tangkas yang menjadi kawasan penempatan
orang asli yang dipindah dari kawasan kampus UKM dan penduduk yang baru. Oleh
kerana Bandar Baru Bangi berasal dari kawasan ladang kelapa sawit, maka pada
bahagian tengah kawasan yang menjadi Bandar Baru Bangi tidak ada perkampungan
asal (kawasan kelapa sawit). Jadi bagi kawasan Bandar Baru Bangi tidak ada
penduduk yang boleh mendakwa sebagai orang asal, mereka semuanya penghuni baru
dari luar Bandar Baru Bangi.
Mulai tahun 1972 kawasan kampus UKM dan
kawasan Bandar Baru Bangi mulai menjadi kawasan yang dilawati orang ramai,
khususnya apabila kedua-dua kawasan berkenaan diteroka. Bagi kawasan kampus,
lawatan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin seperti oleh Dato` Razak bin Hussein selaku Canselor UKM dan
turut melawat tapak UKM ialah Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan
Selangor bersama Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Dato` Haron Idris.
Turut melawat peringkat permulaan rombongan kakitangan UKM dan pelajar-pelajar.
Turut datang ke Bandar Baru Bangi ialah para
spekulator yang mencari peluang ekonomi. Umpamanya mereka yang sedar lebih awal
berlumba-lumba membeli tanah-tanah berdekatan dengan kawasan kampus dan Bandar
Baru Bangi yang pada peringkat permulaan ini masih murah. Agak ironi mereka
yang banyak membeli tanah dan menjualnya kebanyakannya orang dari Fakulti Islam
dan bukannya dari Fakulti Ekonomi UKM. Menekala sebahagian pula mengambil
kesempatan pergi menemui tenaga-tenaga pengajar dan pekerja-pekerja UKM di
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur menawarkan tanah-tanah untuk dijual. Setengah
mereka mengambil peluang membeli dengan harga yang masih murah, tetapi
sebahagian lagi berhati-hati, takut terjebak akibat penipuan.
Pada peringkat permulaan, untuk datang ke
Bangi agak sukar. Sebelum kampus UKM dibuka, masih tiada lebuhraya seperti
sekarang, jalan ke Bangi, ialah melalui jalan
Kuala Lumpur ke Cheras dan Kajang yang masih sempit dan dari Kajang sampai ke tapak UKM. Untuk ke
kawasan Bangi, sama ada masuk melalui kampung West Country, di jalan Reko dan
melalui jambatan kayu yang uzur dan menyusuri jalan tepi estate kelapa sawit
atau getah – jalan tanah merah ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi, atau masuk
melalui jambatan kayu Teras Jernang, ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi. Pada
masa itu belum ada jambatan konkrit pada hadapan kampus UKM, bahkan jambatan
ini belum dibina pada permulaan kampus UKM diguna (Oktober 1977).
Perlu diingat pada permulaan kampus tetap UKM
diumumkan belum ada lebuh raya (belum siap) antara Kuala Lumpur dan Bangi,
untuk ke Seremban masih menggunakan jalan lama – Kajang –Seremban, belum ada
rancangan untuk membuka KLIA dan masih belum ada rancangan untuk membuka Putrajaya. Jadi pada
peringkat permulaan Bangi dan Kampus UKM masih sunyi jauh di Selatan negeri Selangor.
Namun ada beberapa isu yang menghebohkan
Bangi, misalnya Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang dipimpin oleh saudara
Ramli Ibrahim yang penulis adalah AJK, menuduh pemimpin tertentu pada peringkat negeri
Selangor mengeksploitasi balak-balak yang ada di kawasan kampus UKM, sehingga
dikatakan menggondolkan kawasan hutan dan merosakkan kawasan kampus. Sebenarnya
balak yang di tebang dari kawasan tapak bila dibersihkan semestinya dikeluarkan
dan tidak benar semua balak ditebang, kerana balak-balak masih kelihatan hingga
kini di kampus UKM).
Kesimpulannya dengan adanya kampus UKM dan
tapak bagi Bandar Baru Bangi membuka ruang bagi kemajuan bukan saja bagi Bangi,
tetapi kawasan sekitaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment