January 18, 2018

KAEDAH SEBAGAI WASILAH KEPADA TAKMILAH


BBB, 29 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 17 Januari 2018M. (Rabu):
Dalam apa juga perancangan dan penghasilan yang mau dicapai mestilah mempunyai kaedah yang menjadi wasilah bagi pencapaian sesuatu hasil. Dengan `Kaedah`  ini biasanya sudah ada pola-pola awal yang biasanya telah dilalui melalui pengalaman orang-orang yang telah melaluinya sehingga ianya menjadi identiti dan dikenali dengan pola-pola yang sedia ada. Orang yang datang selepasnya biasanya mengikuti, bahkan dalam banyak hal meniru pola-polan berkenaan, tetapi tidak bererti tidak ada ruang bagi pembaharuan dan penyimpangan dari pola-pola yang sedia ada. Perubahan yang menjadi ruang bagi kreativiti dan inovasi biasanya menjadi sebahagian daripadanya yang merupakan ruang  bagi Takmilah, tetapi jangan sampai merubahkan keseluruhan sehingga ianya hilang ciri dan identiti dan menjadi sesuatu yang lain. Sebagai contoh bagi  bidang kreatif – sastera. Katakan seorang penulis mau menulis tentang puisi. Dia menulis puisi menurut pola puisi yang konvensional, misalnya menulis pantun  mesti meraikan dari segi rima akhir  ab – ab, sukukata, konsep pembayang dan maksud dan ciri estetika. Seorang pemantun masih mempunyai ruang dari segi pembaharuan, misalnya memilih bahan dari segi pembayang dan maksud, memilih diksi kata dan sebagainya. Bagi puisi moden yang dikenali dengan `sajak` juga harus mengikuti pola yang sedia ada yang  dapat dikenali sebagai sajak, walau banyak pembaharuan yang dapat dibawa, tetapi janganlah menyimpang keseluruhan sehingga hilang wajahnya sehingga tidak dikenali sebagai puisi moden atau sajak.
Keadaan yang sama misalnya menulis cerpen. Ianya mesti patuh dari segi konsep cerpen sebagai cerita pendek, tetapi banyak ruang bagi penulis membuat pembaharuan dari segi tema, intro, gaya persembahan, persoalan, teknik, klimek cerita, peleraian dan perutusan. Keadaan yang sama dari segi novel. Bagi menulis novel juga ada konsep novel yang harus diikuti, sebagai cerita panjang. Pengarang seharusnya tidak menyimpang terlampau jauh sehingga misalnya bertukar menjadi sebuah karangan prosa biasa yang panjang. Di dalam bercerita juga pengarang novel berkenaan mempunyai ruang untuk berkreatif, misalnya dari segi intro, penyusunan persoalan yang mendukung tema penceritaan, cara persembahan dan berbagai teknik pembaharuan, konflik, peleraian, penyelesaian dan perutusan serta kesan estetika dan sebagainya.
Keadaan yang sama bagi membina sebuah masjid perlu mempunyai kaedah yang menjadi wasilah Takmilah kepada terbinamnya sebuah masjid. Biasanya masjid sudah mempunyai kaedah pembinaannya dan dikenali sebagai masjid. Kaedah ini bukan saja perlu kepada pembinaan fizikal sesebuah masjid, tetapi perlu mengikuti kaedah-kaedah pra-pembinaan. Kaedah-kaedah ini bermula dari keperluan sebelum mendirikan bangunan masjid yang boleh kita katakan:
1)      Keperluan persediaan permulaan  yang melibatkan aturan dan syarat-syaratnya
2)      Keperluan kepada peruntukan yang tanpanya tidak dapat didirikan masjid
3)      Keperluan kepada kepakaran, bahan,  tenaga manusia dan pengawalan bagi pembinaan
4)      Keperluan kepada daya kreativiti, inovasi, seni dan estetika masjid yang mungkin membawa kepada kelainan dan istimewa yang meningkat dan menyempurnakan konsep Takmilah
5)      Keperluan kepada pengisian dan pengimarahan yang mempunyai ruang kegiatan, kreativiti dan inovasi dalam masa dan ruang yang panjang.
Tanpa kerangka di atas, baik penulisan kreatif, maupun seni membina masjid yang merupakan salah satu dari aspek seni bina, maka hasrat menulis karya-karya kreatif baik puisi, cerpen dan novel, begitu juga hasrat mau mendirikan masjid, tidak akan berjaya dilaksanakan.
Bagi kesemua kelima-lima keperluan di atas terselit satu keperluan utama, tidak disebut secara langsung, tetapi dia berada pada kelima-lima keperluan di atas yang tanpanya, tidak terlaksana atau tidak terhasil sama ada  bidang seni penulisan kreatif dan juga seni membina masjid. Keperluan dimaksudkan ialah `ILMU`.
Ilmu melibatkan kesemua kelima-kelima keperluan di atas.
Ilmu juga merangkumi pengalaman, kemahiran dan daya kreativiti
Ilmu juga melibatkan masa depan, iaitu pengisian yang melibatkan ruang dan masa yang panjang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment