January 12, 2018

MEMPERBAIKI KEADAAN : TERTUBUHNYA BADAN KEBAJIKAN


BBB, 23 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 11 Januari 2018M. (Khamis):
Di dalam konsep Takmilah, bahawa di dalam apa jua usaha mencari Takmilah, tidak sunyi dari menghadapi rintangan, cabaran dan berbagai permasalahan yang perlu diatasi. Halangan-halangan ini dari satu segi dapat dilihat sebagai positif, kerana dengan ujian dan usaha mengatasinya dapat memperbaiki sesuatu yang negatif kepada yang positif.


Di dalam konteks BBB yang pada peringkat awalnya banyak kekurangan dan tiada kemudahan yang dihadapi penduduk, setelah BBB dihuni bermula dari 30 November 1977 dan penduduknya makin bertambah kepada jumlah ratusan orang,  mereka menghadapi masalah pada perumahan yang diduduki, misalnya kerosakan rumah seperti retak, pagar yang rosak, atap yang bocor dan perparitan yang tersumbat dan sebagainya. Kerosakan-kerosakan yang berlaku ini walaupun setengahnya dapat diperbaiki, tetapi banyak perkara  lagi yang menjadi masalah bersama oleh penduduk. Misalnya ketiadaan surau, jalan yang tidak sempurna dan sebagainya. Masalah-masalah yang dihadapi ini menyatukan penduduk dan menjadi mekanisme yang membawa mereka bertemu dan bermesyuarat.
Pertemuan pertama dan penting ialah berlaku pada 4 Februari 1978, iaitu selepas dua bulan BBB dihuni penduduk mengadakan pertemuan di kedai makan satu tingkat, Jalan 1/1A, BBB (Kini kedai Latihan Memandu Mazris). Tujuan pertemuan ialah bagi mengatasi masalah-masalah perumahan dan kependudukan BBB. Dalam pertemuan ini membawa kepada tertubuhnya  `Badan Kebajikan Penduduk BBB`  yang Yang Dipertua pertamanya dilantik, iaitu Encik Omar bin Ja`far dengan Setiausaha pertamanya Encik Salleh Kassim. Melalui Badan Kebanjikan Penduduk BBB ini segala masalah yang dihadapi penduduk disalurkan melalui badan ini. Kemudahan didapati, kerana En. Omar Ja`far sebagai Pegawai Tadbir i Pembangunan UKM telah dilantik mewakili UKM di dalam Majlis Mesyuarat MPKJ (masa itu Majlis Daerah Hulu Langat). Jadi melalui mesyuarat berkenaan En. Omar Ja`far dapat menyalur dan menyampaikan masalah-masalah pembangunan UKM dan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk BBB. Badan Kebajikan Penduduk BBB ini adalah badan yang penting, lantaran badan ini kemudiannya bertukar dari bersifat badan kebajikan kepada Persatuan Penduduk BBB, iaitu sebuah badan yang kukuh dan teratur dan banyak jasanya sehingga kini.
Dalam masa Encik Omar Ja`far menjadi YDP Persatuan Penduduk BBB ini  beliau juga telah membawa masalah dan permintaan penduduk BBB kepada pihak PKNS, bahawa pihak PKNS, tidak menyediakan surau kepada penduduk, walaupun ada tapak bagi masjid/surau di Seksyen Satu, belum ada usaha untuk mendirikan masjid atau surau di tapak berkenaan. Jadi sebagai keperluan segera dan memudahkan penduduk untuk berjamaah En. Omar Ja`far sebagai Wakil Penduduk  memohon pihak PKNS menyediakan sebuah rumah untuk dijadikan surau  sementara. Untuk makluman, bahawa walaupun pihak PKNS menambahkan pembinaan perumahan – pada masa itu terhad kepada Seksyen Satu BBB, tetapi tidak semua rumah yang telah siap dibina pada peringkat pertama laku dijual, kerana sebagaimana dikatakan pada peringkat permulaan kurang sambutan dari kakitangan  UKM untuk membelinya, termasuklah rumah semi D, walaupun tawaran dibuka juga kepada pegawai-pegawai yang berkhidmat di UPM.
Atas usaha Persatuan Penduduk BBB yang diketuai oleh En. Omar Ja`far pihak PKNS bersetuju memperuntukkan sebuah rumah semi D, sebagai surau bagi penduduk BBB. Luas lot bagi rumah semi D ini ialah  6,292 kaki persegi. Rumah berkenaan beralamat:
No. 6, Jalan 1/3G,
43650, Bandar Baru Bangi.
Dari segi sejarah surau ini penting, bahkan menjadi warisan sejarah BBB, lantaran ianya adalah surau pertama bagi penduduk BBB. Surau ini kemudian dinamakan sebagai Surau Al-Umm, surau  awal (Ibu) bagi penduduk BBB. Dari nama surau ini juga kelak akan digunakan nama bagi Masjid Al-Umm sebagai ganti dan penerusan fungsi surau tersebut kepada masjid yang pada masa itu tidak timbul sebarang usaha untuk mendirikan masjid yang dikenali  dengan Masjid Al-Umm.
Pemberian bangunan rumah semi D, kepada penduduk menjadi pusat penyatuan penduduk dan dari surau berkenaan berlakunya berbagai kegiatan penduduk.
Surau berkenaan diserah oleh PKNS kepada penduduk ialah pada 5 Ogos 1978.
Pada hari tersebut juga diadakan gotong royong membersihkan surau, kerana esoknya merupakan 01 Ramadhan bagi tahun 1978, iaitu 01 Ramadhan 1398H.. Jadi penggunaan pertama surau al-Umm, ialah bagi menyambut awal Ramadhan tahun berkenaan.
Surau Al-Umm berfungsi sebagai surau dari 6 Ogos 1976 sehingga 16 Disember 2017 apabila Masjid Al-Umm mula digunakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment