January 8, 2018

ELEMEN BAGI TAKMILAH : KEPERLUAN


BBB, 20 Rabi`ul-Akhir  1439H. = 07 Januari 2018M. (Ahad):

Di dalam pendekatan Takmilah melibatkan prinsip keislaman bagi meningkatkan kualiti karya dan hasil hendaklah berprinsipkan akidah keislaman berfalsafahkan tauhid dari  segi akidah, menurut shari`at dari segi amalan dan dari segi nilai menurut  akhlak keislaman dan estetikakerohanian. Takmilah melibatkan pengamal yang seharusnya mempunyai persediaan ilmu, kehalusan hati nurani dan intuisi. Adunan dari semua tercurah di dalam karya, khususnya yang bersifat kreatif dan juga yang tidak bersifat kreatif.
Namun di dalam pendekatan takmilah sudah tentulah berdepan dengan elemen-elemen yang dapat kita sifatkan sebagai kontra. Elemen-elemen ini disebabkan antaranya:
Tiada ilmu, kering dari segi idea, tiada kreativiti dan tiada sentuhan estetika (seni).
Ini dapat berlaku kepada hasil-hasil sastera, seni bina dan bidang-bidang seni yang lain.
Ilmu adalah asas bagi semua sama ada bidang kreatif dan non- kreatif. Ilmu secara umum amat penting sama ada bagi bidang umum, lebih khusus bagi yang bersifat kreatif. Seorang yang tidak berilmu tidak dapat menulis, kerana tidak mengetahui kaedah menulis dan dengan tidak berilmu dia tidak dapat menulis apa yang sepatutnya ditulis. Untuk membina sebuah bangunan perlu kepada ilmu dari segi seni bina. Misalnya dari segi plan arkitek, manakala jurubina atau kontrektor perlu mempunyai ilmu di dalam mendirikan bangunan. Lebih halus lagi perlu ada pakar misalnya dari segi kejuruteraan awam, ukur bahan, bahagian mekanikal dan elektirikal, bahkan ada perunding-perunding  dan sebagainya.
Tanpa ilmu seseorang itu kering dari idea yang dapat mencetuskan apa perkara yang hendak dilakukan. Idea yang bernas biasanya datang dari mereka yang berilmu, berfikiran dan ada misi dan visi jika tercetus darinya idea.
Kreativiti adalah amat penting di dalam berkarya sama ada berkarya di dalam bidang penulisan atau binaan. Pada hakikatnya  Allah mencipta segala bahan di dalam kewujudan dan manusia tidak dapat mengadakan sesuatu selain dari  yang telah disediakan oleh Allah. Pada dasarnya bagi manusia, khususnya orang awam adalah mengikut, menurut dan menyalin dari apa yang sedia ada. Misalnya dari segi mengungkapkan bahasa, meniru  kreativiti yang tersedia yang dihasilkan oleh orang lain. Begitu juga dari segi binaan. Umumnya membina binaan bagi kebiasaan ialah meniru pola-pola yang sedia ada seperti bentuk rumah Melayu asli sebagai penerusan. Pembaharuan dan kesegaran baik dari segi penulisan dan juga seni bina adalah bergantung pada kreativiti yang ada pada seseorang. Tidak mudah menggubah sebuah puisi yang segar, baharu dan lain dari yang lain. Ianya bergantung pada kreativiti seseorang. Begitu juga tidak mudah bagi membina sebuah bangunan yang unik dan berbeza dari yang lain, asli dan bernilai estetika yang tinggi. Bayangkan bagaimana boleh tercetus idea dan  kreativiti yang melahirkan misalnya pada peringkat awal `Rumah Melaka` yang kemudian ditiru dan menjadi identiti bagi negeri itu atau rumah`limas` pada peringkat awal dan menjadi identiti bagi rumah negeri Terengganu. Dan bayangkan pada peringkat yang lebih tinggi, bagaimana boleh terhasilnya Taj Mahal yang menjadi satu monumen warisan dunia yang dikagumi hingga kini.
Dari kreativiti melahirkan sesuatu yang baru, asli dan mempunyai hubungan yang rapat dengan estetika. Saesuatu hasil yang mempunyai daya estetika yang tinggi tidak terhasil secara biasa dan begitu saja. Sebaliknya ianya adalah hasil dari sentuhan dalaman yang bersifat seni, bahkan rohani. Puisi Asrar Khudhi Iqbal adalah dari idea dan komitmennya – Cintanya terhadap Islam dan Rasulullah dan perjuangannya bagi mendirikan negara Pakistan. Ianya pancaran dari keilmuan, jiwa ketasawufan dan perjuangan keislamannya. Lantaran itu ia adalah asli dan bermutu tinggi. Taj Mahal adalah sentuhan cinta mendalam dari Jihangir Khan terhadap permaisuri Mumtaz Mahal yang menghasilkan seni bina yang tinggi.
Banyak keperluan bagi menghasilkan sebuah karya atau senibina yang tinggi mutunya yang melibatkan ilmu, kreativiti, kemahiran dan daya seni yang tinggi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment