January 6, 2018

BANGI DALAM PETA AZALI

BBB, 17 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 05 Januari 2018M. (Juma`at):
Segala kewujudan makhluk, baik sebesar atau sekecil mana di ketahui dan di dalam makluman Allah sejak azali. Firman Allah bermaksud:
``Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja.`` (Al-An`am: 59).
Bangi sebagai lokasi penempatan bagi penduduk Bandar Baru Bangi (BBB) telah sedia wujud dalam peta azali, diketahui ilahi, tetapi tidak diketahui oleh mereka yang bakal menghuninya, bahkan sesudah polimik pejuang-pejuang bahasa dan pejuang-pejuang kebangsaan selesai dengan pemilihan kampus sementara bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertempat di Maktab Perguruan di Lembah Pantai dan rasmi pembukaannya pada 18 Mei 1970,  Bangi pada peta azali belum terserlah, bahkan belum dikenalpasti.
Namun berikut dari kejayaan menubuhkan UKM di kampus sementaranya persoalan mengenai tapak kekal bagi UKM dibincangkan. Dilihat dari segi `Takmilah`  maka, tapak rasminya adalah sesuatu yang penting bagi masa depan UKM. Di mana beradanya UKM akan menyerlahkan imejnya, UKM seharusnya menjadi sebuah universiti negara yang unggul yang mencerminkan puncak dasar pendidikan kebangsaan dan negara, ianya seharusnya berada pada tapak terbaik.
Ada beberapa tempat ditimbulkan, bahkan mendapat tawaran dari negeri-negeri  untuk menyediakan tapak tetap UKM. Misalnya Melaka bersedia menawarkan tapak di Trendak Camp, Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor yang baru dibuka juga pernah menjadi lokasi tawaran, iaitu di tapak UITM kini, sebelum ITM didirikan,  negeri-negeri di Pantai Timur juga bersedia memperuntukkan tapak bagi UKM. Namun yang penting apakah tapak-tapak berkenaan berdaya maju dan mampu meletakkan UKM pada peta kemajuan dan keunggulan yang diharapkan.
Perkara yang penting ditekankan, bahawa UKM seharusnya berada dilokasi strategik yang memudahkan perhubungan, mempunyai berbagai kemudahan dan sudah tentulah mempunyai tanah yang luas bagi perkembangan pada masa hadapan. Adalah dilihat UKM mesti berada di kawasan Kuala Lumpur bagi memenuhi segala keperluan. Selepas timbul berbagai polimik dan cadangan yang pro dan kontra, akhirnya  dua tahun selepas UKM ditubuhkan Datuk Abdul Razak Hussein Perdana Menteri Malaysia yang juga Canselor Pertama UKM mengumumkan (1972)  bahawa tempat pilihan bagi tapak UKM ialah di negeri Selangor dengan lokasi  tepatnya, ialah di Bangi, berhampiran dengan Kajang, di Hulu Langat, iaitu jauh lebih kurang 18 batu dari Kuala Lumpur. Tanah seluas 2,709.2 ekar  disediakan sebagai tapak UKM (Muhammad Ali Kamaruddin, Universiti Kebangsaan Malaysia – Sejarah Penubuhan, Bangi, Penerbitan UKM, 2006: 194).
Dengan pemilihan tapak UKM, bererti juga berkait dengan pemilihan lokasi penempatan kawasan kediaman bagi tenaga pengajar, pekerja-pekerja yang berkait dengan UKM, iaitu Bandar Baru Bangi yang menjadi pemangkin bagi perkembangan UKM, bahkan pemangkin bagi perkembangan persekitaran.
Bangi adalah tumbuh dan berkembang di atas tapak berasal dari estate Ladang Kelapa sawit dan juga getah West Country seluas 5.118 ekar yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mulai pada tahun 1974 beriring dengan pembangunan kampus UKM. (Shafie Abu Bakar, Bangi, Bandar Ilmu,2012: 1).
Demikianlah Bangi sebenarnya langsung tidak dikenali sebelum ianya diumumkan sebagai tapak tetap bagi UKM. Ketentuan Azali dari Allah itu menyerlahkan diri, lantaran ada sebab musabbab yang diatur oleh Allah. Sebelumnya pejuang-pejuang kebangsaan yang memperjuangkan penubuhan UKM tidak tahu di mana tempat yang perjuangkan bagi mendirikan UKM. Melalui pemilihan teliti jawatankuasa tertinggi penubuhan UKM dan disetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka Bangi dipilih. Tiada sebarang bantahan timbul beruikut dari pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia yang juga Canselor Pertama UKM. Pemilihan Bangi disetujui semua pihak dan berikutnya sama menjadi pilihan tapak kediaman bagi kakitangan UKM dan orang awam yang dikenali sebagai Bandar Baru Bangi.
``Bangi menyerlah diri dari peta azali takmilah bagi universiti.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment