BBB, 01 Jamadil-Awwal 1439H. = 18 Januari
2018M. (Khamis):
Dua konsep yang penting di dalam pembinaan
masjid, ialah konsep berjam`ah dan shura. Ini melibatkan pembinaan masjid dari
peringkat awal dan berterusan sehingga
ke akhir kewujudan masjid berkenaan. Keadaan ini berlainan dengan ciptaan
sastera, khususnya bidang-bidang kreatif yang biasanya bersifat individual.
Bermaksud katakan seorang penyair menggubah sebuah puisi., Puisi yang
dilahirkan adalah miliknya yang membawa ciri dan identiti dirinya. Begitulah
dengan bidang-bidang sastera kreatif yang lain.
Keadaan yang berlaku pada bidang sastera
berkenaan berbeza dengan pembinaan
masjid yang dari awal memerlukan jamaah – Kumpulan manusia yang berusaha untuk
mendirikan masjid. Ini amat bersesuaian dengan prinsip ``Alaikum bi al-jama`ah`
``Kamu hendaklah berjama`ah, bahkan kita melihat banyak ibadat-ibadat di dalam Islam mementingkan berjama`ah seperti solat, haji,
memberi zakat (kepada jama`ah). Sesungguhnya kekuatan umat adalah kerana
jama`ah.
Bersama di dalam kehidupan berjama`ah ini
pula, mereka juga digalakkan bermesyuarat. Ayat Al-Qur`an
Bermaksud:
``Dan segala urusan mereka itu dilakukan
(diputuskan) dengan mesyuarat ( Al-Shura: 38).
Ini bererti Islam amat mementingkan hidup
bermasyarakat. Mendirikan masjid adalah untuk kepentingan bermasyarakat dalam
mana melalui masjid umat Islam berhimpun dan menunaikan ibadat secara
berjama`ah sebagai yang dituntut. Melalui masjid mereka mendapat bimbingan
keilmuan dari guru-guru yang mursyid. Melalui masjid mereka menguruskan
kehidupan kemasyrakatan seperti tolong menolong bantu membantu, bahkan melalui
masjid mereka menguruslkan kematian.
Melalui berjama`ah mempunyai hikmah-hikmahnya.
Misalnya melalui berjama`ah mereka bermesyuarat bagi mendapat keputusan dan
pandangan yang bernas. Persetujuan yang dicapai dapat memadamkan atau
mengurangkan rasa tidak puas hati pihak yang tidak atau kurang bersetuju.
Ibarat kata teromba:
Kok setiap sesuatu dengan muafakat
Kok begitu kata maka suci
Kok begitu perbuatan maka sempurna
Bulat air dek pembentung
Bulat kata dek muafakat
Nan elok dipakai
Nan buruk dibuang
Melihat contoh pada nan ada
Melihat tuah pada nan menang
Usang-usang diperbaharui
Lapuk-lapuk dikajangi
Kok singkat minta disambung
Kok koyak ditampal.
(Mohd Rosli Saludin, Teromba Dalam Puisi
Melayu Tradisional, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2009: 97).
Ditambah dengan kebiasaan ungkapan yang
mencerminkan kemuafakatan:
Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama dicecah.
Ke bukit sama di daki
Ke lurah sama dituruni.
Sama laba sama rugi.
Demikian berkat dari muafakat yang juga
bermaksud melalui mesyuarat di dalam hidup berjamaah dan beradat.
Sebenarnya di dalam masyarakat ada berbagai taraf
masyarakat, ada yang bijak dan cerdik, di samping yang kurang akal, ada yang
senang dan susah, ada yang dermawan dan lokek. Melalui jama`ah dan mesyuarat atau
muwafakat kekurangan pada satu pihak dapat ditampung oleh yang lain.
Sebagaimana kata teromba di atas:
Kok singkat minta disambung
Kok koyak ditampal.
Demikianlah di dalam membina masjid sedari
awal memerlukan jama`ah dan perlu persetujuan ramai. Dan bagi mendirikan masjid
yang perlu melengkapi berbagai keperluan
sebelum mendirikan masjid, perlu kepada kewangan, kepakaran (keilmuan) dan
pembinaan dan seni bina dan memerlukan kepada pengisian. Tidak ada individu
yang melengkapi keperluan semua, sebab itu perlu kepada muwafakat jama`ah
melalui mesyuarat dan melantik jawatankuasa yang di dalamnya ada yang pakar di dalam sebahagian bidang dan
yang lain berkebolehan dalam bidang yang lain. Kekurangan dalam satu bidang
dilengkapi oleh yang lain. Dan dengan muwafakat adalah insha Allah berjaya.
Menurut norma ini dan menjadi kebiasaan, maka
sejak awal bagi pembinaan Masjid Al-Umm ditubuhkan jawatankuasa pembinaan
masjid. Sudah tentulah dalam jawatankuasa ini ada yang berkebolehan dalam
bidang-bidang tertentu dan ada yang kurang, tetapi antara satu sama lain
bantu-membantu dan lengkap melengkapi bagi menuju Takmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment