January 28, 2018

PELANCARAN TABUNG MASJID AL-UMM - KEWANGAN SYARAT PEMBINAAN


BBB,  10 Jamadil-Awwal 1439H. = 27 Januari 2018M. (Sabtu):
Selepas mendapat keizinan dari MAIS bagi memungut derma bagi Tabung Masjid Al-Umm kali Pertama (mulai 10 Februari 2012-6 Julai 2013), maka kesempatan yang diberi amat dihargai. Tindakan yang patut diambil ialah menyegerakan pungutan agar dalam masa yang diberi secara terhad itu dapat digunakan sebaiknya bagi mendapat derma ikhlas dari orang ramai sebayak mungkin.
Bagi tindakan permulaan mesyuarat Jawatankuasa memutuskan untuk mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Tarikh yang dipilih bagi pelancaran ini ialah pada Sabtu 19 Mei 2012 jam 10.00 pagi bertempat di Medan Letak Kereta, Jalan ¼, Bandar Baru Bangi. Jawatankuasa Pelancaran Derma sebahagian besarnya ialah jawatankuas Pembinaan Masjid.
Pada medan berkenaan didirikan beberapa khemah dengan berpentas pada bahagian  atas mendekati ke arah tapak Masjid al-Umm dan diatur kerusi-kerusi di bawah khemah bersempadankan kedai  pada bahagian bawah, dan warung –warung Medan Selera pada sebelah kiri. Jemputan-jemputan yang dibuat pada hari itu ialah terhadap pihak PAID, Wakil-Wakil Jabatan, Nazir Masjid al-Hasanah, pengerusi-pengerusi surau dan AJK, ketua-ketua jabatan dan penduduk setempat.
Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan  dalam kata-kata alu-aluannya dalam buku cenderamata menyatakan,
``Membina masjid adalah usaha kebajikan, saya percaya ramai yang berlomba-lomba membuat kebajikan. Saya memohon agar Tuan/Puan dapat menyumbang bagi menjayakan projek ini. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang membuat kebajikan.`` (Al-Taubah: 120).
Dalam majlis yang dihadiri oleh lebihkurang 200 orang itu bermula dengan do`a, Penulis yang selaku ADUN Bangi merasmikan Pelancaran Derma Bagi Masjid Al-Umm, selepas kata-kata alu-aluan disampaikan Timbalan Pengerusi Tuan Haji Ghazali bin Abbas.
Penulis selaku Perasmi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor – khususnya kepada YAB Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor yang telah menggezetkan tapak bagi Masjid al-Umm dalam kadar segera, juga terima kasih kepada pihak JAIS-MAIS dan juga Pejabat Daerah yang meluluskan pembinaan dan memudahkan pengurusan. Begitu dengan pihak MPKJ yang banyak memberi kerjasama.  Kata Penulis lagi,
``Masjid yang bakal dibina sebagaimana di dalam buku kecil yang diedarkan adalah dua tingkat dalam jangkaan kos pada masa itu ialah RM11.2 juta. Ianya dijangka dibiayai sepenuhnya  oleh orang ramai melalui kutipan derma dan sumbangan. Dengan demikian beliau menyeru kepada semua yang hadir dan masyarakat seluruhnya, termasuk penduduk Bandar Baru Bangi agar turut sama menderma. Menurutnya menderma atau mewakafkan harta pada masjid adalah saham dan penanaman modal untuk akhirat. Menurut  Penulis bahawa pihak Jawatankuasa mendapat keizinan memungut derma dari pihak MAIS, iaitu MAIS/E/MAL 03-2/001/03-1/34. Dan sepuluh orang AJK diberi keizinan bagi memungut derma. Dan pada majlis itu juga disampaikan tauliah kepada sepuluh orang jawatankuasa yang dibenarkan memungut derma berkenaan. Sesungguhnya pembinaan Masjid Al-Umm tidak dapat dilakukan tanpa mempunyai kewangan yang cukup. Menurutnya pihak jawatankuasa berhasrat dapat mendirikan bangunan masjid pada awal tahun 2013, tertakluk kepada jumlah pungutan derma yang bersesuaian.
Mnurut Penulis selaku Perasmi bagi Majlis Pelancaran derma tersebut, pembangunan Masjid  Al-Umm ialah bagi menyediakan masjid bagi penduduk Bandar Baru Bangi yang makin bertambah. Adanya sebuah masjid (Masjid Al-Hasanah) tidak dapat menampung keperluan masjid dengan pertambahan penduduk, lantaran itu beberapa surau telah diizinkan mendirikan solat Juma`at. Kesempatan juga diambil, kerana tapak masjid Al-Umm adalah satu-satunya tapak mempunyai keluasan yang layak didirikan masjid, jika tidak, tapak mungkin digunakan untuk tujuan yang lain.
Pada pagi itu turut diadakan pameran tentang plan dan ran gka kasar bagi bangunan Masjid Al-Umm yang diusahakan oleh Tuan Raja Fuaddin Ahmad seorang arkitek yang menjadi AJK Pembangunan Masjid Al-Umm.
Selepas pelancaran dan penerimaan derma dari orang ramai, beliau mengucapkan terima kasih kepada AJK Pelancaran dan Penyelarasan diketuai Haji Abdul Rahman Daud yang telah membuat persiapan yang baik dan lancar.
Majlis berakhir dengan jamuan ringan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment