BBB, 16
Rabi`ul-Akhir 1439H. = 4 Januari 2018M. (Khamis):
Dari segi realiti dan hakikat, bahawa ada dua
entiti kewujudan. Wujud hakiki dan wujud nisbi.
Wujud hakiki ialah wujud Pencipta Yang
Tunggal, Abadi, Berkuasa dan padaNya segala kesempurnaan.
Wujud nisbi iaitu wujud manusia, alam dan
segala yang lain daripada Tuhan yang bersifat kena cipta, baharu, tiada kuasa
dan mendambakan kesempurnaan.
Ada beberapa istilah yang berhubung dengan
cipta, iaitu seperti:
Khalaqa ertinya mencipta yang bermaksud
mencipta keseluruhan seperti mencipta makhluk (berasal dari akar kata khalaqa –
mencipta). Firman Allah bermaksud:
``Dan Dialah yang mencipta langit dan bumi
dengan benar.`` (Al-An`am: 73).``
Ja`ala ertinya menjadikan, sebagai contoh ayat
Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kami jadikan tidur kamu untuk berehat.
Dan kami jadikan malam sebagai pakaian (lindung) dan kami jadikan siang untuk
mencari kehidupan.` (Al-Naba`: 9
-11).
Terdapat sebuah lagi istilah, iaitu
badi`ah yang bermaksud cipta secara
indah dan seni, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dialah yang mencipta langit dan bumi secara
indah (menarik) (Al-`An`am: 101).
Konsep ciptaan Allah adalah bersifat asli dan
tidak ada pattern atau pola ciptaan sebelumnya, kerana Dialah yang mencipta
semata-mata, asli, bukan tiruan. CiptaanNya baik.
Allah mencipta makhluk, khususnya di muka bumi
dan seterusnya menghantar manusia bermula dari Adam memulakan tradisi khalifah
dan kepimpinan di muka bumi sebagaimana firman Allah yang ditujukan kepada malaiklat bermasud:
``Dan berkata Tuhan Engkau kepada malaikat,
bahawasanya Aku jadikan (Adam) di muka bumi ini sebagai khalifah. (Al-Baqarah:
30).
Muka bumi adalah ruang yang disediakan kepada
Adam dan turunannya sebagai tempat tinggal bagi dirinya dan isterinya Hawa dan
seterusnya bagi keturunannya hingga kini dan seterusnya. Padanya disediakan
keperluan manusia dengan berusaha dari segi makan minum, pakaian dan tempat
tinggal dan berbagai-bagai keperluan yang lain. Mereka terdorong ke arah
mencari sempurna dan menyempurnakan diri (takmilah).
Pada hakikatnya manusia dari dahulu hingga
kini menggunakan segala keperluan diri adalah dari perkara yang telah
disediakan oleh Allah dengan memproses bahan-bahan yang sedia ada. Manusia
bertani untuk mendapat makanan adalah dari tumbuhan yang sedia ada dengan
menanam kembali dengan jumlah yang banyak bagi keperluan. Manusia memerlukan
rumah bagi lindungan, ialah dengan
menggunakan kayu kayan dan tumbuh-tumbuhan yang sedia ada dan membinanya dalam
bentuk dari bahan yang sedia ada dan dikenali dengan `rumah`. Ianya adalah bagi
menyempurnakan kehidupan.
Pada hakikat di samping penyediaan keperluan-keperluan
manusia dengan daya dan ikhtiar dari mereka, Allah juga menyediakan latar,
suasana dan keindahan-keindahan yang menyenangkan manusia. Misalnya
bentuk-bentuk yang indah, tumbuhan-tumbuhan yang menarik, warna-warna menghijau yang menyenangkan penglihatan. Di
samping itu di bukit dan gunung disediakan pokok-pokok buah-buahan yang dapat
dimanfaatkan oleh manusia, disediakan lembah dan sungai yang mengalir yang
manusia mendapatkan air, haiwan-haiwan untuk di makan dan ditunggang dan
berbagai lagi.
Pendeknya dari alam yang disediakan manusia
dapat manfaat bagi kehidupan bagi membina rumah dan sumber kehidupan. Manusia
juga mulai memahami ciri indah dalam membina rumah dengan menyediakan
ruang-ruang diperlukan dan mereka meniru dan menggubah elemen-elemen seni bagi menghias
di luar dan dalam rumah untuk
menyenangkan perhatian. Dengan kehidupan yang senang dan susah, sihat
dan sakit, gembira dan duka mencanai kehidupan manusia, bahkan menjadi adat dan
budaya bagi hidup mereka. Ini dapat dilihat dari pemilihan tempat sebagai tapak yang sesuai dengan kediamanbentuk
dan seni bina kediaman masyarakat permulaan yang dimanfaat dari bahan-bahan yang
ada di kelilingan. Sejak dari awal dapat diperhati sudah ada ciri-ciri estetika
pilihan atau secara tidak langsung terbentuk atau terwujud dari keadaan
kelilingan mereka. Dari keberadaan mereka dalam satu kelompok membentuk masyarakat yang di dalam masyarakat
berkenaan tersedia keperluan-keperluan bersama. Dari masyarakat berkenaan lahir
nilai, bahasa, budaya, seni, kreativiti dan estetika yang mengidentitikan mereka.
Semuanya mencerminkan pergerakan ke arah
takmilah dalam konteks ruang, masa dan keperluan semasa. Ia adalah mekanisme
yang terus berlaku membentuk identiti, nilai dan budaya mereka - budaya manusia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment