January 9, 2018

TAKMILAH DAN REDHA SEADANYA PERINGKAT PERMULAAN


BBB, 20 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 08 Januari 2018H. (Isnin):
Pembangunan bagi fasa pertama bagi BBB yang bermula sejak 1975 siap pada akhir 1977. Pihak PKNS beroperasi dari pejabat sementaranya dari sederet kedai PKNS di Taman Mesra, Kajang. Iklan penjualan rumah di BBB ditawarkan kepada tenaga-tenaga pengajar, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja awam UKM, juga UPM (sebagai universiti 1973) serta orang awam sebelumnya. Rumah-rumah yang ditawarkan ialah rumah semi D dua tingkat, rumah teres dua tingkat dan rumah teres setingkat yang keseluruhannya berjumlah bagi peringkat permulaan adalah sebanyak 100 buah.
Lokasi perumahan ini berada tidak jauh dari bangunan Masjid Al-Umm kini, dengan rumah semi D berada memanjang di tepi bukit (Mutiara kini), manakala rumah teres dua tingkat, dua baris menurun dari bukit berkenaan, sedang rumah teres setingkat berada di tanah rata di seberang jalan bagi rumah teres dua tingkat berkenaan. Dapat dikatakan bahawa sambutan dari pegawai-pegawai UKM, juga UPM adalah dingin, walaupun harga rumah-rumah berkenaan relatifnya murah. Harga bagi rumah semi D adalah dalam lingkungan RM70,000, rumah teres dua tingkat adalah RM37,000 dan rumah teres setingkat adalah RM24,000 (type A) dan teres setingkat (type B), ialah RM17,000.
Tempahan dan pemilihan rumah yang dibuat adalah melalui pelan di atas kertas semasa pembinaan rumah-rumah di atas sedang rancak dibangunkan. Pada peringkat permulaan, pembeli-pembeli (UKM di Jalan Pantai Kuala Lumpur) tidak dapat melihat bangunan yang sedang dibina oleh kerana masih sukar ke sana dan jalan ke kawasan perumahan di atas masih jalan tanah merah yang digunakan oleh pekerja-pekerja kontrek. Cuma beberapa bulan sebelum perpindahan pembeli-pembeli baru dapat mengenali dan mempastikan rumah pilihan mereka dan dapat masuk ke lokasi dengan jalan-jalan masih bertanah merah dan belum bertar. Untuk sampai ke lokasi yang kemudian dikenal sebagai seksyen satu. Untuk datang ke lokasi dalam mana UKM masih belum dibuka, adalah datang dari kampus UKM Jalan Pantai ialah melalui jalan Cheras yang masih sempit dan kiri kanan pokok-pokok buah-buahan. Melalui jalan ini sampai ke Pekan Kajang yang pada masa itu disifatkan sebagai `Pekan Cowboy` (ada empat deret kedai lama), namun pekan ini sudah dikenali sebagai `Pekan Sate Kajang`.  Dari Kajang melalui jalan yang masih sempit – Jalan Pekan Bangi. Pada pertengahan jalan tiba didepan kampus UKM. Manakala ke kanannya ke Bandar Baru Bangi, tetapi pada masa itu masih belum ada jambatan yang merentasi Sungai Reko sebagaimana yang ada kini. Untuk ke Bandar Baru Bangi hendaklah ke atas melalui jalan berjambatan kayu ke Kampung Teras Jernang ke kanan dan kemudian ke kiri ke Bandar Baru Bangi. Dari Kajang ke Kampus UKM dapat pergi dengan menaiki bas syarikat SUM berwarna merah yang berkhidmat antara Kajang dan Pekan Bangi. Dari Kuala Lumpur boleh juga menggunakan perkhidmatan keretapi ke Kajang (kini ada stesyen UKM).
Perpindahan UKM dari Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur ialah secara bersiri pada bulan Oktober 1977 dan perpindahan bagi pembeli-pembeli rumah di BBB ialah pada 30 November 1977 (hari mula penyerahan kunci rumah).
Bagi yang memilih kediaman di Bandar Baru Bangi, terutamanya dari pekerja-pekerja awam, di samping sebahagian pensyarah dan pegawai pentadbir, bagi mereka sudah cukup memuaskan, kerana dapat memiliki rumah, walaupun tidak mewah. Mereka tidak mimpi sebelumnya untuk memiliki rumah, khususnya bagi mereka yang luar dari Selangor. Pemilihan dibuat oleh kerana:
Lokasinya adalah paling dekat dengan UKM. Membeli rumah di BBB adalah dekat dan mudah berulang alik, khususnya apabila segala keperluan siap. Ini bererti mengurangkan perbelanjaan kenderaan, menyelamatkan masa dan tidak tertekan dan tidak berkejar-kejar untuk menunaikan tugas.
Faktor kos rumah juga adalah menjadi perkiraan. Dengan harga-harga rumah yng disiapkan oleh PKNS yang disebutkan di atas adalah murah berbanding dengan rumah-rumah yang ditawarkan oleh pihak swasta yang juga rancak membangunkan projek perumahan dengan adanya UKM, misalnya perumahan di Bukit Kajang dan Bukit Mewah Kajang.
Pada peringkat permulaan UKM menyediakan skim pinjaman perumhan bagi kakitangannya membeli perumahan di BBB dan tidak perlu meminjam dari bank. Penulis sendiri mendapat faedah dari skim pinjaman ini, walaupun tidaklah banyak.
Bagi setengah pihak membeli rumah di BBB adalah sebagai prestej, kerana mendiami perumahan  di `Bandar Universiti`. Ia seolah-olah bandar Cambridge bagi Universiti Cambridge dan Oxford bagi Universiti Oxford.
Kebanyakan yang bekerja di UKM bukan orang tempatan, bahkan luar dari Selangor. Memilih BBB sebagai membina identiti baru. Menghuni di BBB adalah membina komuniti dan masyarakat baru dan tiada siapa dapat mnendakwa dia orang asal, kerana tiada perkampungan dan kependukan sebelumnya, kerana ia adalah bekas ladang kelapa sawit.
Bagi mereeka yang bertaraf rendah dan sederhana dan tiada rumah sebelumnya, dapat memiliki rumah di BBB sudah cukup menggembirakan dan syukur kepada Tuhan, walaupun pada peringkat permulaan masih banyak dengan kekurangan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment