January 26, 2018

TAPAK SEJAK AZALI MENGALAMI TRANSFORMASI


BBB,  08 Jamadil-Awwal 1439H. = 25 Januari 2018M. (Khamis):
Dari segi akidah kita mempercayai  tentang segala kewujudan alam secara keseluruhan dan secara detail dalam ilmu Allah sejak azali. Ini termasuk Masjid al-Umm, bahawa pada satu masa di zaman tertentu, pada tarikh tertentu,  kawasan tertentu dan keluasan tertentu akan menjadi tapak Masjid al-Umm bahkan terdirinya Masjid al-Umm sebagaimana disaksikan pada hari ini.
Namun sebelum tiba  takdir terpilih Bangi sebagai tapak UKM dan BBB termasuk di dalam plan Pembangunan 1972 dan mulanya pecah tanah dan pembangunan pada tahun 1975, tapak bagi BBB mengalami transformasi.


Bayangkan sejak zaman pra-sejarah lagi seluruh kawasan Bangi dan kelilingnya berhampiran larian sungai (kini dikenali dengan Sugai Langat) adalah hutan tebal. Setelah zaman sejarah dan lahirnya negeri-negeri Bangi dikenalpasti berada di dalam negeri Selangor. Salah sebuah negeri yang kaya dengan hasil galian bijih timah, disamping beberapa negeri berdekatan dengannya turut menghasilkan bijih timah, Ini mengundang penjajah datang menguasai Selangor dan negeri-negeri yang lain. Penjajah selain dari mengexploitasi hasil bijih melihat potensi tanah yang boleh mendapat keuntungan. Getah yang berasal dari Brazil itu dibawa ke Tanah Melayu dan didapati sesuai ditanam, maka berbagai tempat dan negeri menanam getah dan hasilnya menguntungkan British. Bangi juga mengalamai transformasi dari kawasan hutan diteroka menanam getah. Kemudian didapati kelapa sawit yang juga berasal dari Afrika itu juga sesuai ditanam di sini. Maka sebahagian dari kawasan hutan bertukar menjadi ladang kelapa sawit. Bahkan setengah ladang getah bertukar kepada ladang kelapa sawit, kerana didapati penanaman kelapa sawit lebih menguntungkan berbanding dengan penanaman getah.
Pada permulaan Bangi diteroka, maka sebahagian besar kawasannya menghijau dengan ladang kelapa sawit, hanya sebahagian kecil sahaja masih  sebagai ladang getah. Termasuk ladang getah ialah tapak masjid al-Umm itu sendiri. Kawasan ladang getah juga termasuk Bukit Bangi (kini Bukit Mutiara) dan juga laluan tepi ke West Country adalah merupakan kawasan ladang getah. Manakala turun dari situ ke bawah dan ke seluruh kawasan ke selatan sejauh pandangan ke perbukitan di selatan adalah kawasan kelapa sawit, termasuk dari Teras Jernang hingga ke Sungai Merab (belum ada lebuhraya) dan dari Sungai Merab ke sempadan dengan Kajang  adalah kawasan kelapa sawit.
Adapun tapak Masjid al-Umm adalah banjaran bukit  yang menghubungkan bukit (kini Bukit Mutiara) dengan Bukit  Bangi yang lebih tinggi (kini bersempada dengan kawasan Bangi Golf Resort). Kawasan sederhana tinggi di sini diratakan – antara tapak (kini Sekolah Kebangsaan BBB) dengan kaki Bukit (kini Bukit Mutiara) diratakan. Dan satu kawasan lebih kurang 2 ekar diratakan baji tapak masjid yang bersempadankan kawasan padang yang juga lebih kurang dua ekar sebagai tapak padang awam.


Tanah yang kemudian menjadi tapak dan didirikan masjid begitu lama dibiarkan. Tapak ini terus dibiarkan biarpun seluruh seksyen di Bandar Banda Baru Bang telah dibangunkan. Pada tapak yang dibiarkan ini masih ada kesan pokok-pokok getah, kerana bukit berdekatan (kini Bukit Mutiara) adalah sebuah bukit  yang masih dipenuhi getah sebelum dibangunkan menjadi Bukit Mutiara (Selepas tahun 2000). Oleh kerana lamanya bukit ini dibiarkan  (1975-2012) maka sebahagian dari tapak ini ditumbuhi pokok hutan akasia dan pokok-pokok liar. Tidak ada yang memasukinya kecuali bagi mereka yang mau mencari kayu. Jalan tepi  lereng bersempadan dengan padang, ada denai pejalan kaki yang menggunakannya untuk jalan pintas dari seksyen satu ke Seksyen dua  atau ke Dewan Orang Ramai yang agak terasing dari kawasan berpendudukan. Sempadan dengan perumahan semi D (lama) digunakan oleh  beberapa jiran menanam pokok buah-buahan dan reban ayam. Ada juga yang membina court badminton.  Bila kawasan ini diambilalih untuk masjid perundingan dibuat dengan jiran-jiran yang menggunakan sebahagian dari tanah masjid ini untuk disempadankan semula.
Pada bahagian masuk ke masjid dan berdepan dengan Dewan Orang Ramai dan berdepan juga dengan tanah masjid adalah merupakan kawasan lapang. Pada jangkaan kami adanya tanah lapang ini membolehkan ianya dijadikan  kawasan taman dan parkir bagi masjid dan dewan orang ramai. Memikirkan pentingnya tanah itu - seluas kira-kira setengah ekar, maka pihak jawatankuasa masjid membuat temu janji dengan pihak PKNS untuk berbincang berkenaan tanah kosong itu. Maka pada tarikh yang dipersetujui, iaitu pada 3 Jun 2010 jam 10.00 pagi pihak jawatankuasa yang terdiri dari Penulis sebagai ADUN Bangi pada  masa itu bersama dengan Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Yang Dipertua Persatuan Penduduk BBB dan Tuan Haji Hussin bin Yunos selaku Setiausaha Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm berunding dengan pihak PKNS yang diketuai Controller PKNS Bangi Tuan Haji Lokman Abdul Kadir bagi pihak PKNS. Hasilnya kami tidak mendapat kepastian tentang status tranah berkenaan. Namun selepas beberapa hari dari tarikh berkenaan naik papantanda pemaju perumahan yang dikatakan anak syarikat PKNS bagi mendirikan perumahan di situ. Kemudiannya naik rumah berkembar  -Semi D sebanyak enam unit. Dari satu segi naiknya rumah-rumah berkenaan mengindahkan juga pandangan kawasan berkenaan, walau dalam keadaan sempit.
Nampaknya tapak bagi Masjid Al-Umm pada kawasan tanah tinggi antara dua bukit, Bukit Bangi dan Bukit Mutiara dengan keluasan yang ada, iaitu seluas 2 ekar itu kekal setelah mengalami transformasi dan sedia dibangunkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment