January 15, 2018

TEKANAN KE ARAH TAKMILAH


BBB,26 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 14 Januari 2018M. (Ahad):
Maksud tekanan iaitu sesuatuperkara yang mendatang yang mungkin tanpa disedari, di luar jangka atau dijangka, tapi lalai atau kurang bersedia yang mendesak  pihak yang menerima tindakan  bagi melaksanakan apa yang didesak dan jika tidak diambil tindakan, maka pihak yang didesak akan menghadapi tindakan atau kerugian. Tekanan adalah satu mekanisme dalam Takmilah, bahkan di dalam apa jua perkara yang memberi impak positif kepada semua pihak.
Tekanan misalnya digunakan untuk mempertingkatkan nilai atau mutu sesuatu pekerjaan tanpa tekanan mungkin berlaku kecuaian dan tidak berlaku peningkatan dari segi mutu dan hasil pekerjaan. Sebagai contoh di dalam bidang pelajaran, bagi meningkatkan mutu pelajaran pelajar-pelajar dikenakan peperiksaan dan perlu lulus atau gagal bagi mengetahui pencapaian pelajaran pelajar berkenaan, misalnya melalui peperiksaan peringkat sekolah rendah, SPM, STPM bahkan hingga peringkat ijazah dari sarjana muda hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah. Demikian juga di dalam bidang pekerjaan pekerja-pekerja dinilai dan dikenakan sekatan sebagai tekanan bagi kenaikan pangkat dan gaji, jika berjaya dan berkelayakan.
Di dalam konteks Surau Al-Umm, sebagaimana telah disebutkan, bahawa dengan bertambahnya surau-surau yang mendirikan Juma`at, bahkan dengan terdirinya Masjid al-Hasanah dan mula digunakan dengan rasmi pada 10 Mac 2000, maka Surau al-Umm dirasakan selesa dengan keadaannya sebagai surau kecil untuk kawasan pinggir bukit bagi seksyen satu.
Namun selepas tiga puluh tahun ianya digunakan, maka pihak PKNS (2007) memaklumkan kepada AJK Surau hasrat PKNS untuk mengambilbalik  rumah N0. 6, Jalan 1/3G yang diberi secara sementara oleh PKNS bagi dijadikan surau sementara di kawasan berkenaan. Pihak PKNS mengingatkan bahawa pihak PKNS sedari awal pembukaan BBB telah menyediakan tapak seluas 2 ekar, Lot 51177 Jalan 1/4A BBB bagi penduduk di kawasan berkenaan mendirikan surau bagi menggantikan surau sementara di No. 6, Jalan 1/3G BBB. Surat makluman dari PKNS berkenaan adalah sebagai kejutan bagi AJK Surau al-Umm, bahkan sebagai tekanan kepada pihak AJK bertindak bagi mengatasi masalah berkenaan.
Sememangnya berikut dari peringatan dari PKNS itu pihak AJK bertindak bermesyuarat membincangkan kemungkinan mendirikan surau di tapak yang disediakan, namun hasrat mendirikan surau itu kemudiannya terpendam begitu sahaja. Pada kali yang lain timbul hasrat mau mendirikan masjid dan derma pernah dipungut melebihi RM1,000, namun kehendak mendirikan masjid juga dianggap di luar dari kemampuan, lantaran itu rancangan untuk mendirikan surau dihidupkan kembali, namun hasrat itu terpendam kembali.
Rancangan mendirikan Masjid kemudiannya tercetus dari visi dan misi yang mau Bangi sebagai Bandar Ilmu. Perkara ini ditimbulkan ketika Persatuan Penduduk BBB mengadakan Sambutan 30 Tahun BBB. Slogan Bangi Bandar Ilmu diungkapkan. Perisytiharan Bangi Bandar Ilmu ini diresmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di Bandar Seri Putera, Bangi pada 22 Jun 2008. Dengan pengisytiharaan ini Menteri Besar Selangor itu mengatakan:
``Menerusi pengisytiharan ini juga diharapkan lebih banyak pengisian pelbagai cabang ilmu dapat dirintis. Semoga dengan itu juga ia mampu menjana kehidupan lebih aman, sejahtera dan prihatin di kawasan kejiranan Bangi. Sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Bertindak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, yang bekerja keras bagi merealisasikan harapan Bangi.``
Digerakkan oleh hasrat bagi meningkatkan keilmuan di Bangi Bandar ilmu, maka dilihat Masjid adalah institusi penting bagi ibadat dan mempertingkatkan ilmu bagi penduduk di Bangi Bandar Ilmu, maka Penulis yang pada masa itu sebagai ADUN Bangi telah menjemput pengerusi-pengerusi  surau-surau  atau wakil-wakil surau-surau pada  4 Februari 2010 ke Surau Al-Umm bagi membincangkan rancangan untuk mendirikan masjid (Masjid al-Umm). Seramai 30 orang telah hadir, termasuklah Pengerusi Persatuan Penduduk BBB pada masa itu, iaitu Dr. Tajul Ariffin Noordin. Dari pertemuan menghasilkan keputusan bagi mendirikan  Masjid al-Umm. Penulis dilantik menjadi Pengerusi jawatankuasa dengan Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas sebagai Timbalan Pengerusi dan Tuan Haji Hussin Yunos sebagai Setiausaha dengan sejumlah jawatankuasa.
Dengan keputusan ini mengakhiri sikap yang tidak jelas sebelum itu sama ada hendak mendirikan surau atau masjid dilokasi tapak lot 51177, Jalan 1/4A, BBB itu. Keputusan adalah merupakan tekanan yang bersifat  dorongan bagi misi dan visi Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment