January 25, 2018

DARI FITRAH MENUJU TAKMILAH, AKLI-ROHANI MENYERLAH


BBB:  07 Jamadi- Awwal 1439H. = 24 Januari 2018M. (Rabu):
Konsep fitrah di sini dimaksudkan bahawa segala ciptaan ditentu Tuhan dengan asli-tabi`inya. Sesuai dengan konsep alam yang fana, maka ianya berubah. Perubahan secara tabi`inya seperti meletusnya gunung berapi berlaku perubahan sekitaran, berubahnya edaran matahari menyebabkan berlaku perubahan cuaca dan memberi kesan pada perubahan permukaan bumi. Jika pun tidak berlaku perubahan besar, ianya juga tetap juga berubah. Misalnya pokok menjadi tua dan mati dan diganti oleh tumbuhan yang baru. Pokoknya semua berubah sama ada secara drastik dan nyata atau perlahan sehingga tidak ketara secara nyata. Pada keseluruhannya ada yang berubah yang dari segi lahirnya tidak berkembang maju, pada hakikat keseluruhan ianya sempurna sebagai refleksi Yang Maha Sempurna. Meskipun berlaku kerosakan, walaupun kiamat. Ianya kerosakan  nisbi, tetapi sempurna mencerminkan kehendak yang Maha Sempurna. Pergerakan di dalam alam yang alamiah adalah pergerakan dari fitrah secara tabi`i. Lebih dari itu perubahan berlaku akibat dari tindakan dan campurtan.  Ianya tidak lain dari mekanisme menuju Takmilah.
Pada keseluruhan wujud adalah merupakan `Bahan Mentah Tabi`i` tersedia untuk dipakai, untuk diubahsuai, ditambahbaiki, diceriaindah, diinovasi dan dikreativiti. Siapakah yang diberi autoriti untuk merubah, menambah, menceriaindah, menginovasi dan mengkreativiti ini ?
Mereka ialah insan yang disebut Pencipta sebagai `Khalifah Alam` yang mampu mengguna bahan tabi``i dan menukarkannya secara kimia akal dan dari tabi`i  secara konkrit dan kreatif atau asimilasi:
Dari  hutan bukit bukau terbentang menghijau kepada taman kehidupan segar
Dari perut dan permukaan bumi digali hasil mahsul pemangkin kehidupan
Dari lautan terbentang dimanfaat kandungan direntasi kejauhan mendekatkan
Keluasan angkasa diterubusi mendekatkan kehidupan di perkampungan globalisasi
Dari kimia rohani  tafakkur diri bertajalli penuh syahdu pada Kebesaran Ilahi lantas mengalirkan ilham. Pada gubahan bahasa dalam bercakap dan beribadat, tertegak monumen dengan keindahan, berbagai penghasilan kreativiti dan seni mengidentiti mencerminkan mesra, kasih sayang  dan cinta.
Namun semuanya ini secebis dari gambaran adalah manifestasi perubahan yang `ditangani manusia` dalam pemerhatian Tuhan dan bagaimanakah boleh terjadi ?
Perubahan pada dasarnya perlahan dan dia adalah bergantung pada kemampuan insan itu sendiri. Mereka belajar dari alamiah lahiri dan maknawi yang memberi ilmu sedikit demi sedikit. Mereka meniru dan mencipta dan merubah serta meninggalkan kesan yang menjadi monumen yang ditiru, dibaiki , diinovasi dan dikreativiti. Tinggalan ada yang dirakam dalam bentuk garisan dan cakaran seterusnya kepada tulisan yang diwarisi dan menjadi bahan warisan bernama peradaban dan ada tinggalan yang bersifat monumen kekal diwarisi, ditiru, dikreativiti dan diwarisi. Lihatlah apa yang dilakukan oleh insan yang tidak dilakukan oleh generasi sebelumnya. Mereka adalah meniru dan melakukan perubahan dan pembaikan bagi lebih dimanfaatkan.
Sesungguhnya keilmuan yang terhasil dan disimpan digedung-gedung keilmuan dan perpustakaan adalah warisan peradaban sebagai contoh tauladan untuk dipelajari, ditiru, diinovasi dan dikreativiti sehingga menjadi yang lebih baik untuk dimanfaatkan. Demikianlah peradaban berkembang dan tamadun meningkat dan proses terus berjalan menuju kepada apa yang disifatkan `Kemajuan`.
Kesan apakah yang lebih memberi impak pada kemajuan ? Paling utama ialah dari dalaman. Iaitu bergerak dari kemajuan akli insan yang selari pula dengan perkembangan rohani dan seni. Sesungguhnya berlakunya perkembangan minda dan peningkatan serta  pengolahan rohani dan estetika melahirkan kemajuan tampak seperti bangunan gagah mengarah ke ruang terbuka, kenderaan canggih merentasi ruang, berbagai rekaan dan inovasi memberi kemudahan dan kemajuan hidup. Demikian dari perkembangan rohanidan estetika dan kemanusiaan insan peka dengan kerohanian,  menikmati dan menghayati keindahan yang menyuburkan rohani dan jiwa. Walaupun ada kerosakan dan kebejatan proses ini terus berjalan menuju Takmilah, tentunya bagi menikmati apa yang dinamakan itu kemesraan, ketenteraman, kebahagiaan dan kesempurnaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment