BBB: 22
Rabi`ul- Akhir 1439H. = 10 Januari 2018M.
(Rabu):
Matlamat membangunkan BBB sejak 1975 dan
penghuni terawal mulai pindah pada 30 November 1977 selepas UKM berpindah
secara berperingkat pada bulan Oktober 1977 pada dasarnya berjaya menurut
perancangan yang diatur. Lebuhraya Kuala Lumpur-Bangi (Bakal menjadi lebuhraya
Utara-Selatan) siap setakat ke Bangi sahaja - siap menjelang sedikit awal dari perpindahan,
maka trailer-trailer yang mengangkut barang dari UKM di Jalan Pantai ke Bangi dapat
menggunakan lebuhraya berkenaan yang hanya sampai ke Bangi sahaja (belum ada
tol). Adapaun penduduk yang berpindah peringkat awal ke Bandar Baru Bangi yang
hanya lima-enam keluarga mengurus sendiri dari segi perpindahan.
Pada dasarnya sebagaimana dikatakan, sambutan
terutama dari kalangan warga pekerja di kampus UKM terhadap perumahan di BBB agak
dingin dan tidak semua dari jumlah seratus rumah peringkat awal itu terjual. Ini ialah
kerana beberapa sebab, antaranya:
Tiada kemudahan infra-struktur yang baik. BBB
masih terasing tiada jalan yang sempurna. Untuk ke BBB terpaksa melalui jalan
kampung teras Jernang dan untuk ke UKM dari BBB melalui jambatan kayu di
kampung berkenaan. Jalan terus ke UKM belum dibina yang memerlukan penyiapan
jambatan merentasi sungai di hadapan Kampus UKM. Untuk ke Kajang juga terpaksa
melalui jambatan kayu di Teras Jernang atau melalui jalan ladang bertanah merah
dan melalui jambatan uzur ke kawasan perumahan pekerja ladang West Country.
Ramai dari pekerja UKM pada peringkat awal
masih berulang dengan kenderaan dari Petaling Jaya atau Kuala Lumpur. Bagi
pekerja yang bertaraf tinggi menganggap tinggal di BBB pada peringkat awal
sebagai tinggal di tempat `Jin bertendang`, kerana kawasannya yang terasing
dari tidak mempunyai kemudahan. Tinggal di BBB dianggap tidak standard. Bagi
yang berpendapatan tinggi, jika mau membeli rumah, maka mereka lebih suka
memilih perumahan swasta seperti di Bukit Kajang dan di Bukit Mewah Kajang. Kerana apabila ura-ura
UKM berpindah ke Bangi antara pihak pemaju hartanah, turut sama mem,bina
perumahan secara swasta bagi dijualkan terutama bagi pekerja-pekerja UKM.
Tinggal di Bandar Baru Bangi, tidak ada
kemudahan untuk mendapatkan keperluan barang-barang harian. Belum ada kedai
yang dibuka (beberapa kedai teres setingkat dibina), tiada pasar untuk
mendapatkan barangan dapur. Untuk
mendapat a-barang keperluan, terpaksa ke Kajang. Bagi ibu bapa yang mempunyai
anak-anak pula sukar untuk mendapat kemudahan pelajaran. Tiada sekolah dibina
pada peringkat permulaan. Anak-anak terpaksa
dihantar belajar di sekolah-sekolah di Kajang seperti sekolah Rendah
Kebangsaan, Jalan Semenyih, Kajang atau disekolah Convent, Kajang. Ibu bapa
terpaksa berulang-alik menghantar mereka ke Kajang. Antara mereka membuat
giliran menghantar anak-anak dan menjemput mereka. Sekolah rendah BBB baru
dibangunkan pada pertengahn 1980an.
Di samping tiada kemudahan sekolah, tiada
kemudahan tempat ibadat. Pihak PKNS tidak memasukkan di dalam perancangan
pembinaan rumah ibadat. Pendek kata tiada sebuah surau di BBB. Untuk mengadakan
ibadat secara berjamaah, pada peringkat permulaan kalangan penduduk mengadakan
usrah (konsep usrah mula dikenali pada masa itu, antaranya dianjurkan konsep usrah
oleh Angkatan Belia Islam - ABIM). Usrah
dan berjamaah diadakan secara bergilit-gilir dari rumah ke rumah. Untuk
mendirikan solat Juma`at terpaksa ke Kajang – di Masjid Kajang atau ke
masjid-masjid kampung berdekatan. Oleh kerana difikirkan perlu berjumaat di
Kampus, UKM yang juga tidak disediakan masjid pada peringkat awal, maka
beberapa tempat dijadikan tempat mendirikan solat Jumaat seperti pada peringkar
awal di ruang legar hadapan bangunan pentadbiran UKM, kemudian berpindah ke ruang legar Fakulti Sains Kemanusiaan dan
Kemasyarakatan (FSKK) dan kemudian di aras bawah bangunan perpustakaan Tun Seri
Lanang, UKM. Tempat ini agak lama didirikan solat berjumaat dan penduduk BBB
sama menumpang bersolat Juma`at di tempat-tempat yang disebutkan tadi, sebelum
masjid UKM didirikan (Masjid UKM dibina pada 16 Mac 1979 dan siap digunakan
pada 16 April 1982).
Adapun bagi penduduk BBB baru sungguhpun ada
tapak bagi surau atau masjid di tapak Masjid al-Umm sekarang, tidak ada sebarang
perancangan pada masa itu untuk didirikan surau atau masjid di tapak berkenaan.
Banyak lagi kemudahan-kemudahan yang belum ada
di BBB seperti tiada kemudahan riadhah dan rekreasi, tiada kemudahan bas (ada
syariakat Bus Sum berwarna merah berulang alik antara Kajang dan Pekan Bangi,
tapi tidak masuk ke BBB pada peringkat permulaan, kerana tidak ekonomik dan
tiada jalan pintas melalui jambatan
hadapan UKM - belum dibina) dan berbagai lagi tiada kemudahan di BBB
menyebabkan pda peringkat permulaan BBB tidak menjadi pilihan sebagai tempat
kediaman.
Dari segi Takmilah semua masalah dan halangan dapat disifatkan
sebagai anti Takmilah dan dari segi prinsip Takmilah, masalah-masalah berkenaan
adalah cabaran bagi berbagai-bagai pihak berusaha bagi mengatasinya. Keadaan
ini berlaku di BBB dan mengambil masa.
Mendepani cabaran dan perlu ikhtiar
mengatasinya bagi mencapai kepada yang lebih sempurna adalah merupakan antara
konsep dan prinsip Takmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment