BBB, 15 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 03 Januari
2018M. (Rabu):
Falsafah bermaksud memperkatakan sesuatu dari
segi hakikat, menyeluruh dan benar. Falsafah yang utama di dalam Islam ialah
`Falsafah Tauhid`. Secara falsahah, hakikat dan benar, bahawa yang mewujudkan
kejadian atau alam ini ialah `Dia Yang Esa`, yang dikenali dengan `Allah`. Dia
Pencipta, Berkuasa, Menjaga, Memelihara, Memberi Rahmat, Menghidup, Mematikan
bahkan Membinasakan.
Falsafah tauhid adalah falsafah yang mampu berdepan dengan sebarang cabaran
falsafah yang lain. Kekukuhannya adalah
tidak tercabar, lantaran kekukuhannya ia menjadi pegangan penganut-penganutnya secara
berterusan.
Falsafah tauhid, tidak setakat disebut sebagai
semata-mata doktrin, tetapi dikehendaki dipelajari oleh penganut-penganutnya
sebagai pegangan akidah. Tuntutan mempelajarinya adalah sebagaimana diungkapkan
di dalam ilmu akidah bermaksud:
``Seawal-awal kewajipan ke atas muslim (juga
muslimat) ialah mengenal Allah.``
Tanpa keimanan yang betul, menjejaskan
keimanan bahkan memberi kesan kepada segala amalan seperti ibadat dari segi
kesahihan amalan seseorang atau sebaliknya.``
Sesungguhnya kesahihan dari segi keimanan dan
kesahihan dari segi amalan adalah bergantung pada akidah pegangan.
Untuk mempastikan kebenaran dari segi akidah,
ianya perlu dipelajari, difahami dan hayati.
Akidah tauhid yang tertanam di dalam minda dan
jiwa adalah sesuatu di dalam sedar dan di bawah sedar seseorang. Segalanya
bergantung kepada pegangan akidah tauhid. Misalnya melihat sesuatu dan
kesegalan adalah ciptaan dan fenomena dari ketauhidan Allah Yang Maha Pencipta.
Dia yang bersifat Tauhid, adalah pergantungan, tempat memohon, menjadi raja` dan harap. Mencari
keredhaannya hamba berusaha melakukan amalan dengan jujur dan ikhlas. Tauhid
adalah membentuk pandangan wujud yang bersifat `keilahian` dan membentuk etika dan akhlak yang dibawa
Nabi. Dengan akidah ketauhidan yang betul memandu hidup manusia menurut shari`at yang digariskan oleh Islam, bermasyarakat
dengan masyarakat yang berakhlak dan etika, membentuk suasana masyarakat yang
harmoni, aman dan tenteram. Sebarang penyelewengan akan diperbetul dan
diperbaiki dengan nilai-nilai keislaman.
Dengan falsafah Tauhid membentuk pandangan wujud,
bahawa segala ciptaan yang dilihat sebagai perfect adalah secara nisbi adalah
sempurna dan dicipta oleh Maha Sempurna. Pada Maha Sempurna ini terhimpun
segala nilai sempurna.
Manusia dan alam ini yang dilihat sempurna,
tetapi pada hakikatnya ada tidak sempurna sebagai sifat alamnya, selalu melihat
kepada Yang Tertinggi sebagai rujukan, contoh dan model sempurna bagi
`mentakmilah` dirinya yang tidak
sempurna. Evolusi alam adalah berterusan mematuhi apa yang dicipta oleh Yang
Sempurna bagi menjadikan diri sempurna, walaupun pada hakikatnya tidak
sempurna. Segala nilai yang ideal dan sempurna adalah menjadi `Titik Penujuan`
bagi segala ciptaan, khususnya manusia.
Sesungguhnya di mana-mana jua usaha berlaku di
dalam usaha menjadi sempurna.
Seorang anak dididik melalui pendidikan formal
dan tidak formal agar menjadi sempurna.
Seorang petani bekerja bertani dan berusaha
agar tanaman tumbuh, hidup subur dan
sempurna agar ianya mengeluarkan hasil yang sempurna.
Seorang peniaga, berusaha agar perniagaannya
maju dan berkembang dan mencapai kejayaan.
Seorang pentadbir berusaha melalui
tadbirannya, apa yang dipimpinya berkembang maju, dan
Seorang pemimpin politik berusaha dari didikan dan kerjayanya, agar mendapat
sokongan dan kepercayaan masyarakat agar ianya terus disokong dan menjadi
pemimpin yang berjaya.
Namun tidak semua harapan di atas berakhir
dengan kejayaan, lantaran ada yang berdepan dengan ujian dan kegagalan, namun
yang berpandangan positif dan berakidah kukuh tetap berusaha mentakmilah diri
masing-masing agar mencapai kejayaan. Semuanya berpaksikan falsafah tauhid yang
menjadi umbi keyakinan dan rujukan segala harapan dan kejayaan.
Falsafah Tauhid adalah hakikat dan padaNya
tertumpu harap dari hamba yang beradab dan berakhlak.
Sekian.
No comments:
Post a Comment