January 10, 2018

KONSEP ANTI TAKMILAH : CABARAN MENGATASI


BBB, 21 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 09 Januari 2018M. (Selasa):
Antara konsep Takmilah, bahawa di dalam usaha meningkatkan kualiti penghasilan, baik di dalam membina peribadi dengan nilai-nilai keislaman yang baik berasaskan Al-Qur`an, Al-Hadith, juga bagi hasil pekerjaan dan apa jua amalan, tidak lari dari berdepan dengan anti Takmilah. Maksud anti Takmilah ialah sesuatu yang menghalang, mengganggu, merosakkan, bahkan menggagalkan. Menurut prinsip Islam, perkara-perkara yang negatif ini antaranya dikenali sebagai jahat dan mungkar perlu diusaha menghapuskannya atau menghilangkan dari gangguan berkenaan. Gangguan-gangguan  ini antaranya disebabkan oleh berbagai faktor.
Faktor  yang paling utamanya ialah kerana kejahilan. Jahil adalah halangan dan musuh  utama bagi kemajuan dan sebarang kejayaan. Orang yang jahil tidak terbuka kepadanya kefahaman. Misalnya jahil dari membaca menghalang dari dapat  membaca maklumat yang dapat memberi maklumat dan terencat dari kejayaan. Jahil dari bertani, walaupun ada tanah menyebabkan tanah tidak dapat mengeluarkan hasil yang dapat memberi rezeki kepada petani, bahkan walaupun dia bertani, tetapi jahil dari dapat menggunakan kaedah-kaedah moden  menyebabkan tidak  dapat meningkatkan hasil. Jahil daripada belajar, menyebabkan seseorang tidak berpelajaran dan susah baginya untuk mendapat pekerjaan.
Antara anti Takmilah lagi ialah sifat malas daripada berusaha. Orang yang malas, walaupun ada potensi pada dirinya. Misalnya seorang yang sihat dan ada pelajaran, tetapi malas, maka ianya tidak maju sebagaimana orang yang mempunyai kelayakan sama dengannya, tetapi rajin, maka yang rajin mencapai kemajuan, sedangkan yang malas adalah ketinggalan.
Antara anti Takmilah juga ialah halangan-halangan yang ada dan yang mendatang. Ianya mungkin dihadapi misalnya oleh yang berilmu dan yang rajin. Pada dasarnya ianya dapat dilihat sebagai faktor positif. Tidak ada sebarang usaha yang tidak menghadapi ujian. Ianya perlu diatasi, misalnya berlaku kerugian, kemalangan, kerosakan, bahkan tentangan-tentangan dari pihak yang lain. Semua perkara ini perlu diatasi dengan ikhtiar dan usaha bagi mengatasi halangan-halangan yang dihadapi. Mengatasi halangan-halangan adalah sebagai pengajaran, keilmuan dan latihan yang dapat memahir dan meningkatkan kualiti di dalam sesuatu pekerjaan atau apa jua amalan yang dilakukan.
Secara lebih halus dapat juga disifatkan sebagai anti Takmilah, ialah tiadanya kemampuan berkreativiti dan berinovasi menyebabkan sesuatu pekerjaan atau perusahaan berada pada tahap yang sama dan tidak berkembang atau dapat dikatakan tidak berdaya maju. Kreativiti dan inovasi adalah amat penting  di dalam sebarang pekerjaan dan penghasilan. Tanpanya menjadikan sesuatu pekerjaan dan penghasilan berulang dan berada pada tahap yang sama, menjemu dan tidak berdaya maju. Bandingkan misalnya antara masyarakat sesuatu bangsa yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan berdaya maju, berbanding dengan yang tidak mempunyai daya kreativiti dan berdaya maju. Jepun misalnya satu bangsa yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi yang melibatkan berbagai-bagai perkara. Ambil saja dari segi pengeluaran jenama motokar seperti syarikat mengeluarkan jenama kenderaan Honda dan Toyota. Kedua-dua  syarikat ini berkembang maju kerana ada daya kreativiti yang menghasilkan model demi model yang baru dan tahan sehingga ianya menjadi jenama yang popular dan mendapat pasaran tinggi di dunia. Begitu juga lihat kepada Korea Selatan yang terus berkreativiti dan berinovasi dari segi mengeluarkan handphone bernama Samsung dengan pembaikan kualiti  secara terus menerus dan mengatasi keluaran dari syarikat-syarikat  terkenal di Barat. Disebalik daripada itu lihatlah negara-negara yang ketinggalan dari segi kreativiti dan inovasi yang contoh negaranya banyak dan tidak perlu disebut nama negara-negara berkenaan yang jauh ketinggalan dari kemajuan yang dicapai oleh Jepun dan Korea Selatan.
Persoalan anti Takmilah dapat dikira sebagai perkara yang perlu diberi perhatian, kerana ianya menyekat, mengganggu dan menyebabkan terhalangnya daripada mencapai kualiti terbaik yang harus dicapai, baik bagi penilaian kualiti, penghasilan pekerjaan  dan pencapaian. Kreativiti dan inovasi dua elemen yang penting bagi pencapaian mutu penghasilan. Kreativiti dan inovasi tidak  mudah mencapainya sebagaimana bidang-bidang keilmuan dapat dipelajarai secara teratur, berperingkat dan mencapai puncak dari segi keilmuan, tetapi kreativiti dan inovasi tidak dapat dipelajari secara berkurikulum secara teratur yang hasilnya dapat dilihat secara seturut. Ianya berkait dengan `penerokaan minda dan hati budi yang seni` yang terjelma secara halus dan  seni dalam rekacipta dan penghasilan. Kreativiti dan inovasi misalnya dapat berlaku pada gubahan karya sastera, reka bentuk, , reka bina, rekacipta, reka bunyi dan berbagai-bagai lagi yang bersifat kreatif dan inovatif. Amat sukar untuk diajar dan dipelajari. Ianya merupakan kurniaan Tertinggi kepada yang bersifat kreatif dan inovatif.
Asek-aspek seni, kreativiti dan inovasi dapat diaplikasi dalam berbagai bidang, termasuklah karya sastera, seni bina, seni kependudukan (perbandaran), seni taman, seni pakaian, seni suara dan sebagainya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment