May 10, 2019

KABINET SEGERA LALUAN KEPADA TUN MAHATHIR


KABINET SEGERA LALUAN KEPADA TUN MAHATHIR
(Fikrah Bangi: 220),
BBB, 5 Ramadhan 1440H. = 10 Mei, 2019M. (Juma`at).
Kemenangan PH di luar dugaan mengalahkan BN pada pilihanraya ke 14 (9.5.2018), menipiskan peluang bagi pimpinan BN mengekalkan kuasa secara  pakatan dengan parti-parti lain, kerana jumlah kerusi yang dimenangi Umno hanyalah 48, sedangkan lawannya, misalnya PKR 50, DAP 42, Bersatu 14 dan Amanah 11. Umno tidak mungkin dapat mencari majoriti dari parti-parti lain, Umno pada masa itu belum berbaik dengan Pas, jika mengharapkan kerjasama dengan Pas, maka Pas hanya mendapat sekadar 18 kerusi, maka tidak lain bagi Umno dan BN melainkan menerima kekalahan dan bertukar menjadi pembangkang.
Kemenangan PH memerlukan tindakan segera membentuk kabinet dan kerajaan yang dikenali dengan PH itu. Dari segi parti tertinggi mendapat kerusi ialah PKR mendapat 50 kerusi. Orang yang paling layak sebagai wira perjuangan selama ini yang mengetuai parti itu ialah Anwar Ibrahim, tetapi dia masih di dalam penjara. Beliau dijangka diampun dan dilepaskan beberapa hari selepas PH berkuasa, tapi walaupun beliau dilepas, beliau bukannya ahli parlimen yang melayakkan beliau dilantik dan untuk menunggu beliau bertanding pilihanraya memakan masa. Orang yang layak selepasnya ialah Wan Azizah sebagai Presiden PKR pada masa itu. Beliau dikira lebih layak berbanding dengan Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu dan Bekas Timbalan Perdana Menteri, tetapi kerusi Bersatu yang dipimpinnya hanya 14 pada masa itu. Ketokohan Tun Mahathir dilihat tiada tandingan. Walaupun Anwar dilihat Bakal PM yang paling layak, tetapi Tun Mahathir yang  sebagai Presiden PH, dilhat tokoh berpengalaman dan paling layak menjadi PM, walaupun dalam usia yang telah lanjut.
Bagi mengatasi keadaan yang perlu kepada tindakan segera Tun Mahathir dilihat paling layak dan diberi laluan menjadi PM ke 7, dengan janji dalam tempoh terdekat beliau akan memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi PM. Dalam hal ini adalah dilihat Anwar sekali lagi terlepas dari mendapat peluang keemasan yang dilihat wira yang berkedudukan paling layak. Peluang terhalang oleh keperluan teknikal. Anwar terlepas peluang menjadi PM selepas beliau dipenjara pada September 1998. Beliau mungkin akan berpeluang kali kedua  menjadi PM, jika Tun Mahathir menyerahkan jawatan PM pada bila-bila masa, tetapi significant sebagai wira telah menurun dan kurang  istimewa seorang yang menerima jawatan secara serahan berbanding dengan seorang wira yang naik dengan benar-benar wira. Kita menunggu apakah nasib seterusnya yang akan dialami Anwar dalam pergolakan politik tanahair yanh tidak menjaminkan kemenangan tetap bagi seseoranmg atau kumpulan parti.
Adalah dilihat Wan Azizah diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah sebagai kompromi, bahawa parti yang dipimpinnya adalah perti terbesar dalam PH. Ia juga dilihat sebagai jalan bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi PM setelah beliau mempunyai kelayakan sebagai ahli parlimen. Beliau menang Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018 lepas. Kini adalah dalam proses menunggu. Namun secara diplomasi, Anwar masih memberi peluang kepada Tun Mahathir meneruskan jawatannya. Lagi pula Wan Azizah adalah TPM. Jika beliau menjadi PM, maka dilihat Wan Azizah tidak sesuai berada di dalam pemerintahan PM dan TPM berada di dalam satu pemerintahan. Wan Azizah juga menyatakan, jika Anwar jadi PM, beliau akan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Dalam keadaan sekarang dapat diibaratkan sebagai `Tak kan lari gunung dikejar`. Memang gunung tidak akan lari, tetapi yang mengejar mungkin kehilangan tenaga.
Walau apapun bagi pilihanraya yang dimenangi PH itu, Tun Mahathir adalah orang yang paling utama yang mendapat peluang mencipta sejarah selaku Perdana Menteri kedua dan ketujuh bagi Ma;laysia. Wan Azizah juga mencipta nama sebagai TPM Wanita pertama di Malaysia.
Nampaknya sedang Tun Mahathir mencipta keemasan peluang, Anwar masih dalam penungguan !
Sekian.

No comments:

Post a Comment