May 7, 2019

MATAN AL-SANUSI POPULAR DAN MUDAH DIPELAJARI


MATAN AL-SANUSI POPULAR MUDAH DIPELAJARI
(Fikrah Bangi: 217),
BBB, 02 Ramadhan 1440H. =07 Mei 2019M. (Selasa).
Berbanding dengan Matan Al-Tahawi dan Jauharat dengan Matan Al-Sanusi, Matan Al-Sanusi yang dikenali dengan Matan Umm al-Barahin, maka matan Ummu al-Barahin adalah popular dan lebih mudah dipelajari berbanding dengan dua matan di atas. . Matan Al-Tahawi sungguhpun dalam bentuk prosa, tetapi ungkapan adalah mendalam dan tidak mudah difahami. Manakala Jauharat yang bakal dibicarakan adalah bentuk puisi dan lebih sukar memahami ibarat-ibaratnya,
Matan Umm al-Barahin adalah dalam bentuk prosa yang dihuraikan dengan bahasa yang mudah. Matan ini dihasilkan oleh seorang ulama` Usuluddin terkenal, iaitu Muhammad Yusuf ibn `Umar ibn Shu`aib al-Sanusi al-Hasani dari Tlamsani (m. 895H./1490M.) Beliau mendapat pelajaran di tanah kelahirannya.
Matan Umm al-Barahin bertolak di dalam pembicaraan bermula dengan hukum akal, iaitu wajib, mustahil dan harus. Mengetahui hukum akal adalah penting kerana daripada sinilah dibicarakan dengan sifat-sifat Allah Ta`ala yang wajib, mustahil dan harus. Perbahasan-perbahasan persoalan banyak bergantung kepada kefahaman akal. Pembicaraan utama ialah tentang sifat-sifat yang wajib bagi Allah yang dirasionalkan dengan dalil-alil akal dan naqal bagi setiap sifat yang dibicarakan. Demikian dibicarakan tentang sifat-sifat yang mustahil kepada Allah dengan hujah dan dalil-dalil naqal dan akal.Hujah dan dalil juga ditegakkan bagi prmbicaraan sifat yang harus.
Pembahagian penting terhadap sifat 20, bahawa sifat 20 ini dipecahkan kepada empat kategori, iaitu:
Sifat Nafsiah, salbiah, ma`ani dan ma`naiyah.. Pembicaraan terhadap kelompok sifat-sifat ini dibicarakan secara panjang lebar
Juga dibarakan tentang sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, iaitu empat sifat dan mustahil lawannya juga empat sifat dan harus satu.
Jadi di bawah dua kalimah shahaah perlu difahami:
Sifat yang wajib bagi Allah   20
Sifat yang mustahil Allah     20
Harus bagi Allah                       1
Wajib bagi Rasul                      4
Mustahil kepada Rasul          4
Harus bagi Rasul ialah            1`
Jumlah semua      50 sifat.
Matan Al-Sanusi yang juga dikenali dengan Umm al-Barahin adalah popular dipelajari di dalam bahasa Melayu (Jawi). Beberapa huraian dibuat oleh beberapa ulama` seperti oleh Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin dengan judul kitab Bidayat al-Hidaytah (1757M.), juga dihurai oleh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sambawi dengan judul Siraj al-Huda (1885-1886M. Huraian juga dibuat oleh Zainal Abidin Muhammad al-Fatani dengan judul `Aqidat al-Najin (1890M.).
Kitab-kitab di atas begitu popular dan mudah dipelajari oleh masyarakat Melayu-Islam di pengajian-pengajian tradisi, masjid dan surau. Pengajian yang berkisar pada sifat 20 itu adalah pegangan popular di kalangan umat Islam hingga kini.
Sekian.

No comments:

Post a Comment