May 1, 2019

KERJA DIARY DAN JAM DIRI


KERJA DIARY DAN JAM DIRI
(Fikrah Bangi: 211),
BBB,  25 Sha`ban 1440H. = 01 Mei 2019M. (Rabu).
Kerja adalah diary berterusan dan identiti kehidupan. Bagi setiap yang dilahir telah dibekalkan dengan jam diri yang berdetik dari sejak kehidupan dan akan berakhir dengan berakhirnya kehidupan. Setiap orang  perlu bekerja, kerana itulah erti kehidupan, selain daripada itu adalah kematian.
Cuma diary kehidupan ini berbeza antara seorang dengan seorang yang lain adalah bergantung pada  plan pengisian yang dilakukan, baik dan buruk. Dari kecil tugas ibu bapa adalah merangka plan kehidupan anaknya. Ibu bapa berusaha agar anak mereka sihat dan membesar secara normal dengan membekalkan pelajaran secukup bagi panduan hidup.
Diary kehidupan lebih menarik atau tidak bergantung pada kesedaran pendidikan yang diberi.  Jika dari peringkat persekolahan anak dapat disedarkan tentang matlamat  unggul yang ditanamkan, maka sang anak dengan kesedaran yang ada padanya menyalakan ubur perjuangan kehidupan, terutamanya melalui kecemerlangan pendidikan yang diterima. Kejayaan yang dicapai menolaknya ke depan. Watak super kehidupan adalah bergerak dengan kemahuan dan cita-cita yang ada pada dirinya. Ia menunggang kehidupan yang menjadi alat baginya mencapai cita-cita.  Peristiwa-peristiwa yang dilaluinya adalah cetusan-cetusan yang mendorong kepada mencapai cita-cita. Berbagai-bagai bidang yang diteroka oleh mereka yang mempunyai kesedaran tinggi kehidupan. Mereka dianggap mereka yang berjaya.
Kumpulan genius dan elit kehidupan tidak mudah dilahirkan oleh masyarakat. Yang ketara adalah kumpulam manusia biasa.  Mereka adalah `Kumpulan Utama Kehidupan`. Mereka adalah pemburu pasaran utama kehidupan . Diary harian adalah memikirkan bagaimana dengan kelayakan yang ada bagi mendapat pekerjaan bagi jaminan survival keluarga. Setengahnya dengan kemampuan minda yang ada memenuhi diari harian dengan bekerja sebagai golongan menengah yang belum tentu terjamin dari segi kehidupan. Mereka berjuang untuk hidup bagi mendapat perlindungan yang agak selesa bagi keluarga dan hidup secara normal.
Manakala kumpulan banyak adalah kumpulan marhain yang dilambangkan oleh para pekerja yang membanting tulang. Kehidupan mereka tidak terjamin dan mengharapkan pembelaan. Mereka adalah golongan banyak yang sukar untuk dibangkitkan secara keseluruhan. Mereka mengharapkan agar dapat diselamatkan mereka dari cengkaman kemiskinan. Mengharapkan  bantuan pendapatan dan mendapat bantuan perlindungan.
Kesemua mereka adalah watak-watak yang memenuhi arus masa. Mereka bekerja bagi memenuhi tuntutan kehidupan, tetapi menurut kadar masing-masing. Bagi elit kerja adalah mekanisme bagi mencapai cita-cita. Bagi golongan menengah kerja adalah status kehidupan bagi mereka, nanakala golongan marhain mereka struggle untuk kerja. Semuanya bekerja, tetapi hasil dan matlamat berbeza. Kerja adalah identiti mereka. Mereka bekerja memenuhi kotak waktu diri sebelum jam diri terhenti.
Kerja adalah identiti dan fungsi diri dan berhak mendapat ganjaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment