September 7, 2013

Surau Al-Iman, Taman Putera Budiman Selalu Dalam Ingatan

-->
Balakong, 29 Syawal 1434 = 05 September 2013 (Khamis):


Surau Al-Iman mempunyai sejarah tersendiri bagi diri Penulis dan Isteri. Ianya bermula dengan keterlibatan diri Penulis di dalam politik. Sejak November 1999 dalam kempen-kempen politik, Balakong adalah antara tempat kunjungan Penulis. Penulis masih ingat pada satu malam Penulis pernah dibawa ke kawasan rumah-rumah panjang yang menempatkan setinggan. Tempat ini adalah bekas kawasan lombong berdebu. Disinilah didirikan rumah-rumah pangsa yang kemudian dikenali dengan Taman Putera Budiman. Pada masa itu belum ada lagi Surau Al-Iman.


Pada penempatan baru ini, penduduk Islam yang berjumlah lebih kurang 300 keluarga merasakan perlu didirikan sebuah surau bagi keperluan mereka beribadat secara jamaah dan mengadakan kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan seperti menyambut Hariraya Idul Fitri, Idul Adhha, Maulidur Rasul, Hari Keluarga, sukan dan sebagainya.


Menurut saudara Zakaria bin Mamat Pengerusi Surau Al-Iman sekarang;
``Penduduk pada tahun 2,000 bergotong royong mendirikan surau dengan menggunakan kayu-kayu yang digunakan bagi membina rumah pangsa yang mereka huni. Mereka juga mengeluarkan peruntukan bagi membina tapak surau seperti membeli semin dan atap bagi surau berkenaan. Surau dapat disiapkan dalam keadaan yang amat sederhana sekadar dapat memuatkan lebih kurang 100 orang jamaah dan menjadi pusat kegiatan penduduk.``


Sejak Penulis menjadi Adun Kajang 1999-2004, walaupun Surau Al-Iman di Taman Putera Budiman, Balakong ini tidak termasuk di bawah Dun Kajang, tetapi Penulis sering dijemput ke surau sempena sambutan Ramadhan, perayaan dan kegiatan kemasyarakatan. Jemputan juga dibuat semasa Penulis tidak menjadi Adun 2004-2008 bagi tujuan ibadat dan kemasyarakatan.


Surau yang dirikan sejak tahun 2000 itu tidak begitu kukuh, kerana bahan kayu dari lebihan binaan agak reput. Pada peringkat permulaan Penulis menjadi Adun Bangi 2008-2013 Penulis sekali sekala juga dijumpat bagi kegiatan ibadat dan kemasyarakatan dan bila berada di surau Al-Iman ini Encik Zakaria bin Mamat menunjukkan kayu-kayu  bumbung dan kubah yang hampir runtuh dan di sana sini berlaku kebocoran. Bersimpati dengan keadaan surau yang dihadapi penduduk, Penulis selaku Adun Bangi, bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan Adun Bangi yang dibenarkan untuk kawasan luar – sejumlah RM5,000 untuk membaiki kubah dan tempat-tempat yang bocor.


Mulai awal 2011, setelah Adun Bangi bersetuju menyalurkan peruntukan RM5,000 kubah surau yang uzur dirobohkan. Kerja-kerja dilakukan oleh pekerja-pekerja kontrektor Haji Said. Apabila struktur kubah dirubuhkan, maka didapati kayu-kayu pada bumbung atap juga reput dan jika tidak diperbaiki akan runtuh, maka pihak surau memaklumkan kepada Adun Bangi pada masa itu dan terpaksa bersetuju untuk menggantikan bumbung dengan jangkaan pihak surau akan sama dapat mencari dana tambahan. Pada masa perobohan dilakukan bahagian anjung hadapan surau diperbaiki segera dan digunakan untuk berjamaah.


Dengan perobohan bahagian atap surau, adalah didapati wajar bahagian lantai surau perlu diperluas beserta dengan pembetulan arah Kiblat yang sebelum ini tidak tepat. Rangka atap serta bahagian atas adalah dari beam konkrit yang agak besar dan tiang-tiang  ditinggikan hingga kelihatan tegap dan kukuh. Keluasan surau menjadi tiga kali ganda luas dari keluasan sebelumnya dengan bahagian belakang dan hadapan rapat ke pagar dan lebar kiri kanan juga diperluaskan hingga tiga kali ganda luasnya. Plan yang dibuat adalah secara spontan.


Pembesaran ini tentulah memerlukan kos tambahan yang berganda. Adun mengharapkan Haji Zakaria dan AJK mencari derma dari penduduk keliling surau, bank-bank berdekatan dan peniaga-peniaga setempat. Memang ada yang menderma dan setengah daripada mereka menderma bahan seperti pasir, tanah, semin, batu dan kayu, tetapi jumlah yang didapati tidak dapat menampung kos yang terpaksa dibayar terutama kepada kontrektor. Permohonan dibuat terhadap Adun Balakaong pada masa itu yang agak sukar untuk didapati, tetapi akhirnya diserahkan melalui Adun Bangi sejumlah RM10,000.


Masalahnya segala pembayaran kepada kontrektor tidak dapat dibayar oleh pihak AJK surau dan bila diminta, dijawab, ``Minta kepada Adun Bangi` atas alasan, ``Adun Bangi yang membina !`` Pernah, oleh kerana pihak pekerja tidak menerima gaji, mereka pernah mengugut untuk meruntuhkan struktur yang dibina. Pihak Adun dan isteri sering pergi melihat bangunan yang dibina, berikhtiar bagi mendapat dana, bukan saja membayar upah kontrektor, tetapi bagi menyiapkan bangunan.


Dengan derma orang ramai, terutama dari murid-murid isteri yang mengajar mereka, lebih kurang RM50,000 dapat diusahakan, menjadikan semua perbelanjaan bagi menyiapkan surau tersebut berjumlah lebih dari RM100,000. Keluasan surau dapat memuatkan lebih dari 300 jamaah, iaitu tiga kali keluasan sebelumnya. Pada Ramadhan tahun 2012 surau dapat diguna dengan selesa. Maka dengan Ramadhan 2013 sudah dua kali Ramadhan surau digunakan dengan sempurna.

Jemputan yang dibuat oleh Pengerusi Surau saudara Zakaria bin Mamat pada petang ini untuk baca Yasin, tahlil dan jamuan Raya Idul Fitri, menggerak Penulis untuk hadir, bukan saja untuk beraya, tetapi secara nostalgic untuk melihat bangunan yang hampir setahun Penulis tidak hadir. Penulis pergi dengan saudara Azizi, mulai dari solat Maghrib yang tidak begitu ramai jamaah. Tetapi mulai solat Isyak jamaah bertambah ramai, termasuk tamu-tamu dari surau-surau berdekatan. Kehadiran berterusan datang selepas Isyak dan semasa jamuan. Yang hadir selain dari Saudara Zakaria Mamat Pengerusi, Imam Mahmud – Imam tetap dan Ustaz Rais Imam Jemputan. Jemputan yang lain ialah saudara Muhammad Ali Ahli MPKj, para jamaah surau al-Taqwa dan beberapa surau yang lain dan jemptan-jemputan khas.


Bercakap dengan saudara Zakaria bin Mamat, kos tambahan yang dibelanjakan seperti membeli carpet, kipas, pembesar suara, air-con. dan berbagai mencecah RM50.000. Jadi kos keseluruhan setakat ini lebih dari RM150,000.


Penulis, walaupun perit menghadapi permasalahan untuk menyiapkan surau yang memakan masa lebih setahun bergembira akhirnya Surau Al-Iman dapat disiapkan. Diharapkan surau ini dapat dimakmurkan oleh penduduk. Penulis dimaklumkan ada tiga orang guru yang mengajar tajwid, Hadith dan fardu `ayn setakat ini. Jamuan raya yang dihadiri lebih kurang 150 orang lelaki, perempuan dan anak-anak itu berakhir jam 10.00 malam.

Sekian.

September 6, 2013

Kandungan Batu Bersurat Terengganu: Isu Tarikh

-->

 BBB, 29 Syawal 1434 = 05 September 2013 (Khamis):


Paling utama berhubungan dengan kandungan pada Batu Bersurat Terengganu ialah isu tarikh. Tetapi apa yang menjadi cabaran bagi penyelidik-penyelidik ialah berlakunya kerosakan pada bahagian Batu itu. Antaranya dijangka hilang bahagian atas dan hampir padamnya sebahagian tulisan akibat geseran kaki, kerana berlamaan dijadikan telapak anak tangga bagi menaiki ke Surau (dijumpai 1887  oleh Syed Hussain bin Ghulam al-Bukhari). Bagaimana Batu Bersurat ini diketemui, menurut Tuan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha):

``Menurut cerita-cerita dari orang-orang tua yang didapati dari kesiasatan yang telah dibuat menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai orang adalah dinyatakan, iaitu kira-kira 50 tahun dahulu ada seorang Arab bernama as-Sayyid Hussain bin Ghulam al-Bukhari seorang ahli perniagaan yang pada masa itu sedang menyiasat kawasan-kawasan tanah yang berbijih (galian) di dalam Terengganu, maka ia telah membuat suatu perkiraan supaya satu kawasan tanah di Bukit Tawang, Hulu Terengganu dikerjakan bijih. Pada ketika itu seorang bangsa Australia bernama Harry Guild telah bersetuju menjalankan ikhtiar itu dan ia telah membuka pejabatnya di Kuala Terengganu bertempat di Kedai Binjai.

Akan Sayyid Hussain ini acapkali mudik ke Hulu kerana melawat ke kawasan Bukit Tawang, maka dalam masa persinggahannya di Kampung Buluh Kuala Berang (25 batu dari Kuala Terengganu) kerana berihat di sebuah surau kampong itu tiba-tiba ia bersua dengan sebuah Batu Bersurat yang digunakan jadi pengalas membasuh kaki naik ke surau itu. Setelah diperhati dengan cermatnya lalu dibawa hilir ke Kuala Terengganu dan dipersembahkan kepada al-Marhum al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga dan baginda memerintahkan supaya disimpan di atas Bukit Puteri.``

(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil 1, Penerbit ?, Kuala Terengganu, 1954: 24 -25).

Menurut Catatan Major H.S. Patterson yang terbit di dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society, Jilid 11, Bahagian III bertarikh Disember, 1924 menyatakan bermaksud:

``Batu tersebut telah dijumpai lebihkurang 25 tahun dahulu (1899) oleh Sayyid  Hussein al-Ghulam al-Bukhari di dalam Tersat, Daerah Kampung Buluh, Kuala Berang (di tepi Sungai Tersat). Oleh kerana Daerah itu letaknya dalam suatu kawasan yang berhampiran bagi tiga buah anak sungai, maka adalah dijangka menjadi suatu tempat pusat perniagaan dan haruslah pada suatu masa yang lampau menjadi pusat atau kepala negeri``
(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil I, 1954: 25 -26).

Misbaha juga mencatat (sedikit berlainan dari di atas),

``Menurut cerita mulut orang-orang di tempat itu, maka Batu Bersurat ini telah terletak beberapa lama di hadapan sebuah surau di mana dijadikannya alas pelapik tapak kaki bagi mereka-mereka yang hendak pergi sembahyang untuk membasuh kakinya  sebelum naik ke atas surau. Cerita ini bolehlah ditahqiqkan dengan adanya sebahagian batu itu sudah licin, kerana dihausi oleh kesan-kesan tapak kaki. Menurut cerita, seorang imam di surau itu tatkala ia berjumpa tulisan di batu tersebut, lalu diperintahkan supaya batu itu dipindahkan daripada tempat yang disangka keramat itu ke sungai, di mana akhirnya  batu itu dijumpai oleh Sayyid Hussein.

Menurut Misbaha, ``Penulis sendiri melawat ke kampong tersebut beberapa kali kerana menyiasat dan mencari berita-berita sah yang boleh menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai. Maka orang-orang tua di kampung itu setengahnya daripada mereka yang telah menyaksikan sendiri semasa batu itu duduk di tepi tebing sungai yang sekarang sudah kering airnya (Sungai Tersat) bertentang dengan Kuala Tara, telah menceritakan bahawa tempat batu dijumpai ialah di tebing sungai di sebelah kanan mudik di tepi Kampung Buluh, lebih kurang jauhnya daripada Sungai Tersat lima belas rantai dan jauhnya daripada Masjid Kampung Buluh sekarang lebih kurang suku batu sahaja. Tanah itu dikenali dengan nama ``Tanah Batu`` sempena daripada batu itu. Maka manakala tebing itu runtuh oleh larian air. Batu itupun timbul. Ianya tertanam di dalam tanah lebih kurang 4 kaki. Dari situ dipindah ke sebuah surau (Surau Tuk Rashid), sekarang surau itu telah rubuh dan tiada lagi. Daripada surau itu pula dipindahkan ke masjid Kampung Buluh, kemudian dibawa ke Kuala Terengganu setelah dijumpai oleh Sayyid Hussein.``
(Muhammad Salleh bin Haji Awang, Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil 1., 1954: Hlm. 26 -27).

Perkara utama yang menjadi perbahasan para penyelidik, ialah mengenai tarikh pada Batu Bersurat Terengganu itu, kerana pada bahagian tarikh (hujung) dikatakan berlaku kerosakan (serpih/pecah) pada bahagian hujung tarikh tersebut (baris sebelas):

9 -     Tahun menduduki tamra ini di benua Terengganu ada pertama ada
10 -   Jumaat di bulan Rajab di tahun Saratan di sasanakala
11 -   Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua …

(Kunci persoalan yang perlu dihurai dan dipastikan Jumaat bulan Rajab tahun 702 adakah tambahan number lagi selepas tujuh ratus dua Hijriyyah (kerana rosak/patah ?) atau lengkap dengan tarikh itu, jika lengkap, apakah tarikh tahun Masihi yang bertepatan dengan bulan Rajab dan hari Jumaat itu).

Percubaan membaca Batu Bersurat ini telah dilakukan pada tahun 1922 oleh Major H.S. Patterson Penolong Penasihat British di Terengganu dengan mengapurkan huruf-huruf di Batu Bersurat, walaupun sebahagian dapat dikenalpasti huruf-huruf tapi masih kurang jelas. Petterson juga meminta seorang tukang gambar Jepun di Kuala Terengganu mengambil gambar dan salinan gambar ini dihantar ke Universiti Oxford, England dan mendapat jawapan bahawa yang tulisan itu ialah suatu undang-undang Islam dan kesalahan zina yang dijalankan di dalam masa pemerintahan Raja Mandalika menurut hukum-hukum Islam dan juga mengandungi hukum-hukum lain seperti hutang piutang. Salinan juga dihantar ke Makkah untuk mendapat jawapan, tetapi tidak diketahui natijahnya.
(Muhammad Salleh bin Haji Awang, Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil. I, 1954: 29).

Beberapa penyelidik membuat kajian antaranya M.S. Shafie dari Maktab Perguruan Bahasa  yang membuat ukuran terhadap Batu Bersurat.  Profesor S.Q Fatimi dari Pakistan yang menjadi Profesor Pelawat di Universiti Malaya mencatat tarikh: ``in the month of Rajab in the Cancer year 702 A,H,`` (i.e February, 1303 A.D.).
(Fatimi, S.Q., Islam Comes To Malaysia, Malaysian Sociological Research Institute Ltd., Singapore, 1963: 60).

Menurut Fatimi:
``Dr. C.O. Blagden, who first deciphered the inscription, doubted the accuracy of the Date Rajab, 702 A.H. or 1303 A.D. In a learned article he presented many possible dates which range from February – March, 1303 A.D. to February 1387 A.D. and concludes: `` On general grounds, I am inclined to lean towards the latest possible date.``
(Fatimi, S.Q. Islam Comes to Malaysia, 1963: 61).

Menurut Misbaha, menurut perkiraan Ustaz Muhammad Khir Taib seorang ahli falak tempatan terkenal, ``Awal Muharram tahun 702H. ialah hari Ahad bersamaan  26.8.1302.``
(Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: 72).

Walau bagaimana huraian yang dibuat oleh Profesor Dr. Syed Naguib Al-Attas di dalam syarahannya yang diterbitkan oleh Muzium Negara berjudul:

The Correct Date of the Trengganu Inscription: Friday,4th Rjab, 702 A.H./Friday, 22 February, 1303 A.C.  Kata Naguib:

… the year 702 A.H.began on the 26th August 1303 A.C. The day on which the Christian Year began for that Muslim year was a Monday (i.e. the 1st of January 1303 A. C. was a Monday, and 237 days had elapsed in the Christian year when the Muslim year began on the 1st of Muharram (i.e. 26 of August 1302 A.C.). Rajab is the 7th month of the Muslim year, and since the year 702 A.H. began in August 1302 A.C., it therefore occurred in the month of February 1303 A.C., which Christian Year began on a Tuesday. Bearing in mind that the Christian Year began on a Tuesday, it is found that only the 4th day of Rajab, which was the 181st day of the Muslim Year 702, agrees with our computation of the date. Moreover, the 4th of Rajab confirms our computation because it was a Friday. The following formula explains the method of computing the above date:

Rajab 702 A.H.
702 A.H. began 26th August 1302 (Monday)  =  237 {days elapsed in the Christian Year}
4 Rajab
  Elapsed in the Muslim Year                          =  181 {days
                                                                             -----
                                                                              418
Deduce the number of days in 1302 A.C.        =  365  {it was not a Leap Year}
                                                                                53
53 days after and including 1st January  1303  =  31 + 22
A.C.                                                                   =  22nd February 1303 A.C. Friday

(Syed Muhammad Naguib Al-Attas, The Correct Date of The Terengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur, 1970: 22-23).


Ini bermakna tarikh pada Batu Bersurat Terengganu itu sudah lengkap, tidak ada tambahan number yang ada walaupun berlaku kerosakan – patah, selepas tarikh itu.
Setakat ini penemuan Syed Muhammad Naguib diterima umum dan tidak tercabar.

Sekian.

September 5, 2013

Persuratan Batu Bersurat Terengganu


27 Syawal 1434 = 03 September 2013 (Selasa):

(Baris-baris permukaan A):

Rasul Allah dengan yang orang sahabat mereka salam
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan ugama Islam
Dengan benar bicara derma meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
Di benuaku ini penentu ugama Rasul Allah Sallallahu wasallama Raja
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
Bumi penentuan itu fardu pada sekalian raja Manda
Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka
Tuhan menduduki tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada
Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala
Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua

(Permukaan B)

Keluarga di benua jauh          kan
Datang berikan Keempat       Orang berpiutang
Jangan mengambil ka              mbil hilangkan emas
Kelima derma barang orang    merdeka
Jangan mengambil tukul buat  emasnya
Jika ia ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus rutan jika merdeka beristeri
Atawa perempuan bersuami di tanam hingga ka
Pinggang dihembalang dengan batu dimatikan
Jika ingkar ba…hembalang jika anak Mandalika

(Permukaan C)

Bujan dandanya sepuluh tengah tiga jika ia
Menteri bujang dandanya tujuh tahil  sepe
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima tahil
Tujuh tahil sepaha masuk bendara, jika orang
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak
Tiada dapat bersuami, jika ia  berbuat balabicara bujan ia

(Permukaan D)

… bila tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma
--- Seri Paduka Tuhan siapa tiada harta dendanya
…Jadikan anakku, atawa pemainku, atawa cucuku, atawa keluarga ku atawa anak
… tamra ini segla isi tamra ini barang siapa tiada menurut tamra ini laknat  Dewata Mulia Raya
--- dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

(Haji Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: 52 – 66). Lihat juga:
Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei, 1995: 109-110.

Daripada Batu Bersurat Terengganu dan kandungan banyak persoalan dapat ditimbul dan dibincangkan.

Mengapa Terhasil di Hulu Terengganu ?

Itu antara soalan yang dapat ditimbulkan, mengapa tidak di Kuala Terengganu ? Muara yang menjadi tempat permulaan perahu dan kapal mendarat, tempat yang lebih makmur dan ramai dengan penduduk. Sebagaimana telah disebutkan bahawa sungai adalah menjadi jalan utama bagi pergerakan dan kegiatan. Sungai Terengganu adalah sungai terbesar dan terpanjang dan dapat disusuri ke hulunya dengan baik (kini sungai tersebut menjadi lebih cetek, kerana pengeluaran dan aliran airnya disekat oleh Empangan Kenyir)
.
Tempat didirikan Batu Bersurat Terengganu adalah berada dilokasi strategik. Kampung Buluh berada diantara dua cabang sungai, iaitu Sungai Terengganu dan ke Sungai Berang yang mempunyai anak Sungai Tersat yang di tepinya didirikan Batu Bersurat (Sungai Terengganu menjadi kuala bagi Sungai Berang). Jadi Kampung Buluh dan Kuala Berang adalah menjadi tempat ideal bagi persinggahan dan perniagaan. Pada zaman tradisi melalui Hulu Terengganu juga merupakan jalan pintas bagi jalan darat untuk ke Pahang. Kampung Buluh dan Kuala Berang yang menjadi tempat pemerintahan Raja Mandalika dan pusat perniagaan –  sebagai tempat pertemuan pedagang-pedagang, termasuk pedagang Islam, ditakdirkan menjadi tempat terpilih bagi pedagang-pedagang Islam menyampaikan dakwah mereka kepada penduduk tempatan yang dijangka berlaku pada akhir abd ke 13 M. lagi. Islam berkembang luas dengan kemasukan Raja Mandalika menerima Islam dengan diikuti masuk Islam oleh rakyat setempat dan diisytiharkan menjadi agama negeri sebagaimana pada Batu Bersurat.

Sezaman Dengan Pengislaman Pasai

Pada akhir abad ke 13 berlaku kerancakan dakwah Islamiah di Pasai dan Terengganu seperti kemasukan Raja Merah Silu (Sultan Maliks Salih) menerima Islam (1292) melalui pendakwah seperti Syeikh Ismail yang dihantar oleh Maulana Ishak dari Makkah.
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja2 Pasai, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 29).
Adalah dijangka dari gelombang dakwah yang sama antara kalangan pendakwah juga ke Hulu Terengganu dan mendekati pembesar-pembesar Raja Mandalika dan mengislamkan Raja, pembasar-pembesar dan rakyat tempatan sekitar akhir abad ke 13 Masihi.

Budaya Merakamkan Maklumat Pada Batu

Kalau kita lihat, bahawa budaya merakamkan maklumat pada batu, tidaklah lumrah berlaku di Semenanjung. Penemuan dan bukti Batu Bersurat di Terengganu adalah satu-satunya yang ditemui di Semenanjung, tetapi budaya menggunakan batu bagi mengukirkan patung-patung dan candi-candi akibat pengaruh Hindu-Buddha memang lumrah berlaku di Sumatera seperti Di Bukit Seguntang dan Di Borobudur di Jawa. Apabila Islam datang, maka tradisi mencatat pada batu dilakukan sebagaimana pernah dilakukan pada batu Kota Kapur (686M.), Batu Bersurat di Minye Tujuh (1380M.) yang walaupun mencerminkan pengaruh Islam, tetapi masih bertulisan Sanskrit dengan menggunakan huluf Pallawa dan berbahasa Melayu purba. Pada batu ini tercatat tarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M.

Hijrat Nabi Mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarssa
Hajji Catur dan dasa vara sukra
Raja Iman (Warda) rahmatullah
Gutra bha(ru)bha sa(ng)mpu hak Kadah Pase ma
Tarukk tasih tanah samuha
Ilahi ya Rabbi Tuhan samuha
Taruh dalam swargga Tuhan tatuha.

(Teuku Iskandar, 1995: 110).

Apa yang hendak ditekankan bahawa pengaruh menggunakan batu sebagai bahan maklumat adalah berterusan dari zaman sebelumnya. Cuma pada zaman Islam dilarang dari menggunakan patung yang dianggap syirik, sebab itu pada zaman Islam batu – termasuk pada Batu Nisan dirakamkan maklumat seperti Batu Bersurat Terengganu dan juga di Minye Tujuh.

Siapakah Pengukir Suratan Pada Batu Bersurat Terengganu ?

Berhubung dengan batu yang dijadikan bahan penulisan adalah didapati dari Hulu Sungai Terengganu, kerana di sana kedapatan jenis dan banyak bentuk batu yang sedemikian seperti di Jeram Tumpat di Hulu Terengganu Mati (Muhammad Salleh bin Haji Awang, Sejarah Terengganu, Penerbit ? Tarikh ?: hlm.14-18). Batu ini berwarna kelabu kehitam-hitaman adalah seberat 210 kg. yang mempunyai 4 permukan tertulis (Mohamad Abu Bakar, Fo-lo-an (Kuala Berang, … Dari Sini Ia Bersimi, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu, 1991: 10).

Adapun tentang pengukir bagi tulisan Jawi pada Batu Bersurat Terengganu, tidak dapat dipastikan, kerana tidak terdapat sebarang catatan mengenainya. Tetapi sudah pastilah seorang yang telah memahami tulisan Jawi dan sama mendapat bimbingan dan pemantauan dari seorang ulama atau guru yang memahami persoalan yang berhubung dengan Islam. Ada kemungkinan dia adalah dari kalangan penduduk tempatan, kerana dari kuburan-kuburan lama yang terdapat di Terengganu. Antaranya terdapat kuburan yang dipanggil sebagai `Kubur Tuk Surat` yang mungkin merujuk kepada Penulis pada Batu Bersurat. Satu kuburan lagi ialah dikenali dengan Tok Raja Ri, (di Kuala Por – 3km. dari Kuala Berang) ada yang berpendapat dia adalah kalangan ulama` yang datang peringkat awal semasa perisytiharaan Islam di Kuala Berang dan ada kemungkinan berkaitan dengan penulisan Batu Bersurat (Mohamad Abu Bakar, 1991: 12).

Sekian.

September 4, 2013

Dengarlah Ucapan Klisye Berulangan Setiap Kali Kos Barangan Dinaikkan; Bersedialah Rakyat Menanggung Beban Bergandaan !

-->

Pilihanraya ke 13 sudah berlalu
Mandate kuat sudah didapat
Tidak ada lagi kebimbangan
Kalau dulu takut hilang sokongan
Kini masa paling sesuai
Untuk kembali menuai
Menaikkan harga barangan
Subsidi petrol diesel dikurangkan
Bererti harga bagi rakyat dinaikkan
Bagi mengurangkan beban kerajaan
Untuk menampung perbelanjaan
Terutama bagi Pilihanraya ke 13
Begitu banyak dicurahkan.


Dengan mengejutnya kenaikan
Sudah tentu ada pihak menentang
Tapi jangan bimbang dengan protes
Kenaikan 20 sen siliter petrol-diesel
Masih termurah di pasaran
Walaupun sedikit membebankan
Tapi bertujuan untuk pembangunan
Dengan penjimatan RM3.3 bilion
Banyak manfaat dapat diagihkan
Antara hujah mewajarkan
Menambahkan peruntukan BRIM
Menaiktaraf infra-struktur
Meningkatkan kemudahan perhubungan.

Yang tak disebutkan
Sebaik kenaikan diumumkan
Peniaga-peniaga bersiap sedia
Untuk menaikkan harga barangan
Berangkaian walaupun tak berkenaan
Hujah mereka untuk mewajarkan
Siapa mau tanggung kos pengangkutan
Siapa mau tampung kos perkhidmatan
- Lazimnya kenaikan lebih dari patut
Bersedialah rakyat menanggung beban.

Jika pun ada suara protes berterusan
Maka akan kedengaran klisye ungkapan
Dari kementerian dan pihak berkenaan
Pihak kerajaan akan memantau perkembangan
Akan mengambil tindakan keras
Terhadap penaik harga sewenang-wenang
Dengar juga retorik basi
Kerajaan akan mencari jalan
Meringankan beban ditanggung
Golongan menengah dan rendah
Tapi tak ada formula mengatasi
Biasanya janji akan tertinggal sepi
Dalam ungkapan klisye berulangan
Dan pasang kenaikan harga berterusan
Rakyat tenggelam dalam harapan
Lemas terkapai dalam angan-angan
Nanti harga rumah yang telah naik
Juga keperluan lain makin bertambah naik
Harapan memiliki menjadi mimpi
Kerana kadar simpanan berkurang sendiri
Lantas yang terhimpit makin tersepit.

Setiap kali kos barangan dinaikkan
Lebih lagi petrol-diesel bahan tenaga
Menghangus kemampuan rakyat jelata
Menambahkan beban mereka berganda.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
27 Syawal 1434
03 September 2013.

September 3, 2013

Tradisi Persuratan Di Terengganu


BBB, 26 Syawal 1434 = 02 September 2013 (Isnin):

Negeri Terengganu adalah salah sebuah negeri tua di Semenanjung Tanah Melayu. Terdapat tinggalan-tinggalan peralatan purba Zaman Batu Baru, di Batu Tuk Bidan, Gunung Bewah di Hulu Terengganu (Rombongan Kajian pada 19 Julai 1976). Pada 24.10.1964 diketemui (oleh En. Ali Abdullah) Gendang Dong Song di Batu Buruk, Kuala Terengganu (Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang, Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: 14 - 17). Ptolemy seorang ahli geography Greek pada tahun 150 Masihi mencatat dalam peta lakar di Semenanjung Emas, iaitu Tanah Melayu (Golden Khersonese) dua tempat di Terengganu satu sebagai Kole yang dijangka dimaksudkan sebagai Kuala Kemaman dan sebuah lagi Perimula yang dijangka dimaksudkan di Kuala Sungai Terengganu (Haji Buyong Adil, Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 5 – 6).

Sebagaimana pada zaman tradisi penempatan masyarakat tradisi berlaku di kuala-kuala sungai dan ke hulunya. Demikianlah juga sungai di Terengganu, terutama Sungai Terengganu ke hulunya (Hulu Terengganu dari kuala hingga ke hulunya merupakan antara kawasan penempatan terawal). Di sungai ini berlaku kegiatan ekonomi dan perniagaan, bersifat tempatan dan juga dari luar. Mereka datang berlayar menyusuri Sungai Terengganu ke Hulunya. Demikianlah di dalam buku Sejarah Cina berjudul `Ling-wai Tai-ta` (1178M.) dikarang oleh Cao Cu-fei menyebut di dalam bukun itu tentang sebuah tempat yang dikenali sebagai Foloan yang dimaksudkan ialah Kuala Berang.  Pengaruh Hindu-Buddha terdapat di sana dalam mana ada upacara tahunan (bulan enam) mengarak Patung Buddha daripada gangsa berhias emas diiringi bunyi-bunyian serta memukul dandi (cymbal) sebagai mengingati hari lahir Buddha. Dikatakan saudagar-saudagar bangsa asing turut mengambil bahagian dalam perarakan.

Keluaran Foloan yang menjadi tarikan pedagang-pedagang ialah `su` dan `can`, iaitu jenis kayu gaharu dan laka, gading dan lain-lain yang ditukar dengan emas, perak, proselin, besi, bahan-bahan membuat barnis, arak, beras, gula dan gandum. Dikatakan setiap tahun Foloan menghantar  ufti kepada kerajaan San-fo-cih (Seriwijaya). Disebut bahawa Foloan adalah berjiran dengan Peng-heng (Pahang), Trang-yanu (Terengganu dan Ca-lan-tan (Kelantan) dan negeri-negeri itu bersamaan keadaannya. Catatan lain daripada buku `Ling-wai Tai-ta`(1178) karangan Cao Cu-fei, ialah buku Cu-fan-cih (1226) karangan Cao Ju-kua, dan ``Tao-I Cih-leo``(1349) karangan Wang Ta-yuan yang menunjukkan Foloan adalah sebuah negeri yang penting sezaman dengan kerajaan San-fo-cih (Seriwijaya). (Haji Buyung Adil, 1974: 6-8).

Suasana budaya dan keagamaan pada zaman lama ini sama dengan apa yang berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Seriwijaya di Sumatera pada abad ke 12 dalam mana Sumatera menjadi Pusat keagamaan Hindu-Buddha yang menjadi singgahan pelajar-pelajar untuk belajar seperti dilakukan oleh I-Ching pelajar dari Cina singgah menuntut di Sumatera sebelum ke Nalanda di India. Tapi menurut Syed Naguib, pendakwah-pendakwah Buddha, bukan dari penduduk asli Sumatera, tetapi datang dari India untuk antaranya bersemadi di Sumatera. Hujah Naguib bahawa tidak ada tokoh pemikir Melayu-Hindu-Buddha yang terkenal dalam sejarah agama tersebut di Sumatera. Mereka lebih terpengaruh dan lebih berkemampuan mengungkapkan kebolehan di dalam bidang seni seperti pengukiran patung-patung yang terdapat di Bukit Seguntang dan Borobudur di Jawa. Lantaran itu seni berunsur Hindu-Buddha jauh lebih hebat di Sumatera, Jawa dan Bali dari di India. Keunggulan seni Hindu-Buddha di India tidak dapat menandingi Seni Hindu-Buddha di Indonesia.
(Al-Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement On A General Theory of The Islamization of The Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 4).

Sumatera adalah sebagai jalan perantaraan yang menghubungkan India dengan Cina. Pengaruh India dan Cina mendominasi Alam Melayu sejak abad ke 8 ke abad 12, tetapi dengan munculnya Agama Islam dan berkembang pesat mulai abad ke 8M., terutama pada zaman Kerajaan Abbasiah (Abad k8 – 13M), maka komunikasi umat Islam mula terbuka ke Timur Jauh. Peniaga-peniaga Islam datang melalui Kepulauan Melayu untuk ke Cina. Mulai awal abad 12M. terdapat catatan-catatan seperti Hikayat Aceh pendakwah datang  mendakwah Islam di utara Sumatera kira 506H./1112M. Pendakwah tersebut ialah Syeikh Abdullah Arif, manakala Hikayat Raja-Raja Pasai menyebut Sharif Makkah menghantar Sheikh Ismail mendakwah penduduk Utara  Sumatera sekitar abad ke 7H,/13M. – termasuk ke Perlak dan Samudera yang telah menerima Islam 682/1282. Sultan pertama menerima Islam ialah Sultan Malikus Saleh (1292).
(Al-Attas,  Syed Naguib, Preliminary Statement …1969: 11-12).

Menurut Mas`udi menyatakan (265H/877M.) penguasaan  peniaga-peniaga dari Asia Barat menyebabkan berlakunya pemberontakan Tani di Khanfu (Canton) Cina kerana penduduk tempatan tidak berpuashati di atas monopoli peniaga-peniaga Islam (Arab dan Parsi), lantaran itu peniaga-peniaga mengalih perhatian mereka di kawasan Kepulauan Melayu dan berlaku kegiatan dakwah sebagaimana berlaku di Sumatera di atas (Al-Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement..., 1969: 11). Kerancakan dakwah bertambah selepas keruntuhan Baghdad (1258M.) di tangan Hulagu. Kalangan ulama keluar merantau dan berdakwah termasuk ke Alam Melayu, bahkan dikatakan seorang pemerintah yang berketurunan dari kesultanan di Baghdad meninggal di Sumatera.
Trengganu yang mengalamai nasib sejarah yang sama dengan Pasai yang sebelumnya dipengaruhi Hindu-Buddha, turut sama menerima pendakwah Islam pada zaman pemerintahan Raja Mandalika di awal abad ke 14M. Hubungan dagang berlaku dengan Pasai pada masa tersebut. Bahkan terdapat perkampungan Pasai di Hulu Terengganu termasuk kuburan-kuburan mereka. Adalah dijangka hubungan keagamaan juga berlaku dalam mana kedua-dua negeri menerima Islam dalam jangka hampir bersamaan. Terengganu dijangka menerima Islam lebih awal dari tarikh pada Batu Bersurat. Kerana dari segi logiknya sebelum penguasaan tulisan, sudah berlaku pembelajaran terhadap agama Islam dan tulisan Jawi sebelumnya. Ini bererti penerimaan Islam di Pasai dan Terengganu berlaku dari kesan gelombang dakwah dalam masa yang lebihkurang sama antara Pasai dan Terengganu. Tarikh pada Batu Bersurat (4 Rajab 702H/22 Februari 1303M.) adalah tarikh perisytiharan.

Apa yang menarik, berlainan dengan situasi zaman Hindu-Buddha kehadiran agama Islam baik di Pasai dan juga di Terengganu, diikuti dengan perkembangan pengajian dan keilmuan, begitulah berlaku di Pasai yang disambung oleh Aceh, demikianlah juga berlaku di Terengganu, penerimaan Islam menggerakkan tradisi pembelajaran, keilmuan dan persuratan.

Perkembangan Persuratan di Terengganu pada zaman tradisi dapat dipecahkan kepada tiga zaman, iaitu:

1)      Zaman Batu Bersurat
2)      Permulaan Pengajian Pondok
3)      Sebelum Campur tangan Barat

Sekian.

September 2, 2013

Jemputan Hari Merdeka-Raya Dari KPI Ke Surau Ar-Rahim, Bangi

BBB, 24 Syawal 1434 = 31 Ogos 2013 (Sabtu):

Sabtu-Ahad ini minggu akhir bagi Tradisi-Raya di Selangor (sebulan) dan pada hari ini adalah Hari Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Tanahair bagi kali ke 56. Jemputan diterima Penulis pada hari ini agak banyak, persis semasa menjadi Adun. Sejak beberapa hari lepas Penulis berjanji dengan saudara Azizi untuk hadir bersama ke jemputan paling awal dan paling akhir bagi hari ini. Adapun yang lain-lain Penulis akan pergi sendiri.


Sebagaimana yang dijanjikan, sebelum jam 10.00 pagi saudara Azizi telah tiba untuk ke Kompleks Pendidikan Islam, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Majlis yang diadakan ialah Sambutan Merdeka-Raya yang diadakan oleh Persatuan Penduduk. Semalam petang YDP Persatuan Penduduk menelifon Penulis minta baca puisi sempena Sambutan Kemerdekaan. Penulis mencari puisi yang telah siap, tapi tidak ada yang bersesuaian dan terpaksa dalam masa terhad, sejak petang semalam, di samping menulis bagi blog yang biasa dan persediaan mengendalikan Mesyuarat AJK Induk Masjid al-Umm pada malam, maka Penulis membuat catatan puisi yang belum siap hingga ke pagi ini masih dalam pembaikan.


Hadir ke Majlis Sambutan di KPI, ialah YB Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI, Tuan Nazir Masjid al-Hasanah Ustaz Napiah Shahrani, AJK Persatuan Penduduk, tamu-tamu jemputan dan orang ramai. Majlis baru bermula jam 10.30 pagi dengan ucapan alu-aluan dari Tuan Haji Sufi yang mengucap terima kasih di atas kehadiran para jemputan. Beliau menyebut bangunan kompleks yang menelan kos lebih dari RM3 juta itu 70% daripadanya adalah merupakan dari sumbangan derma orang ramai dan kompleks masih dalam pembangunan, antaranya untuk membina bumbung di atas kawasan majlis yang diadakan. Dr. Tajul ketika berucap menekankan visi persatuan Penduduk akan terus memperjuangkan `Islam-Melayu` termasuk penguasaan asset di BBB, antaranya melalui Koperasi Persatuan Penduduk, manakala YB Ustaz Shafie Ngah menyebut soal pembangunan yang sedang dilakukan di BBB, termasuk sebuah Bandar Baru akan lahir –Southvallie bersebelahan BBB. Beliau juga menyebutkan peruntukan – termasuk bagi pasangan yang baru kahwin. Agenda pembukaan terakhir ialah pembacaan puisi. Penulis terpaksa memohon diri selepas membaca puisi, kerana ada program lain mulai jam 11.00 pagi.


Pulang dari KPI, terus ke Majlis Kenduri perkahwinan anak jiran, diikuti Majlis Aqiqah bagi tiga cucu juga anak jiran. Ada beberapa jemputan kahwin, tetapi terpaksa membuat pilihan, iaitu hadir selepas solat Zohor ke Jamuan Perkahwinan juga anak bagi jiran. Pada masa ini hujan turun. Daripada jamuan kahwin ini Penulis berseorangan ke Bukit Mahkota. Kehadiran Penulis ke Bukit Mahkota ini bagi menyertai jamuan raya Persatuan Banjar Malaysia – Kolaan yang sebelum ini kegiatannya berpusat di BBB, yang pimpinan utamanya, Ustaz Salleh Kassim – Bekas Setiausaha Persatuan Penduduk BBB beroperasi dari kedai berhadapan rumah Penulis, sebab itu sebarang kegiatan dibuat selalunya turut dijemput penulis. Jemputan kali ini agak istimewa dan berlainan. Iaitu Sambutan Hariraya bertempat di Bangunan kedai yang baru dibeli oleh Persatuan Banjar Malaysia, iaitu di No. 17, Jalan 2/3, 43600 Bukit Mahkota, Selangor. Penulis hadir jam 3.30 dan disambut oleh Ustaz Salleh Kassim (Pengerusi) dan Dr. Zainuddin (Setiausaha). Penulis melihat bangunan baru dua tingkat yang difahamkan berharga hampir RM400,000 (dibeli secara tunai). Sempena jamuan raya Penulis sengaja memilih dua jenis makanan tradisi Banjar. Satu semacam bubur caca dan satu lagi semacam koleh (berwarna putih). Bahan yang Penulis rasa berharga, ialah berkesempatan membeli buku berjudul Masyarakat Banjar Johor oleh Noriah Mohamed dan Ghazali Basri. Sebuah lagi dtulis dalam bahasa Banjar yang Penulis tidak membelinya. Setelah makan dan bergambar dengan beberapa pihak Penulis memohon diri dan bergerak ke Masjid Sungai Ramal Luar, atas jemputan Ketua Kampung Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir dan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, turut hadir ialah YB. Ustaz Shafie Ngah. Kehadiran ialah pertemuan dengan pimpinan-pimpinan setempat dan pengunjung-pengunjung ke majlis dan sedikit makan.


Semasa di Masjid Sungai Ramal Luar ini Penulis diperingatkan oleh Isteri Majlis Aqad di Masjid al-Hasanah selepas Solat Asar, maka penulis terpaksa memohon diri dan berkejar ke rumah mengambil isteri dan ke Masjid al-Hasanah menyertai Majlis Aqad anak sepupunya – perempuan yang tinggal di Bangi di sini. Dalam majlis berkesempatan berkenalan dengan keluarga pihak pengantin lelaki dari Perak. Sebagai pengakhiran pada sebelah petang Penulis bersama isteri berkesempatan hadir Majlis Hari Terbuka yang diadakan di rumah saudara Azemi Ahmad di Kajang Utama yang rumahnya berjiran dengan rumah saudara Azizi. Turut menziarah rumah saudara Azizi bersama keluarganya.


Selepas Solat Maghrib Penulis masuk pejabat lebih dari sejam untuk menyempurnakan tugas-tugas biasa yang tidak berkesempatan melakukannya pada waktu siang kerana sebok berhari raya dan sebelum jam 9.00 balik ke rumah bersiap untuk program terakhir pada hari ini, iaitu ke Majlis Hariraya di Surau Ar-Rahim, Seksyen 8 Tambahan, BBB.
Penulis mempunyai hubungan intim dengan pihak penduduk Seksyen 8 Tambahan BBB sejak awal kawasan perumahan di sini mulai dihuni sejak 2005 bermula dengan menggunakan surau di rumah teres dua tingkat – termasuk menggunakannya bagi bulan Ramadhan. Penduduk terutama diketuai oleh Imam Haji Rusli dan AJK telah mendirikan surau yang ada sekarang dan dapat menyiapkannya dalam masa lebih dari sebulan sebelum Ramadhan dan dapat menggunakannya pada Ramadhan sekitar 2008. Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu sering datang ke sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Surau baik bulan Ramadhan, sambutan perayaan Idul Fitri dan Idul Adhha, Maulid ar- Rasul dan berbagai-bagai kegiatan yang lain. Persatuan Penduduk dan Surau sering mendapat kerjasama mahasiswa/I Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, tetapi tiada pada malam ini. Jemputan pada malam ini adalah merupakan lanjutan dari  jemputan-jemputan sejak dahulu, tanpa mengira kini Penulis bukan lagi Adun Bangi. Kehadiran Penulis pada malam ini pun bukan kerana pihak AJK,  mahu meraikan Penulis sebagai Bekas Adun, tetapi sebagai menghadiri jemputan biasa.


Penulis pergi pada malam ini selepas solat Isyak bersama saudara Azizi, jam 9.00 malam. Ketibaan Penulis disambut oleh pihak AJK. Antara yang hadir ialah En Yusof Bachik Ahli MPKj, Encik Amir Hamzah Pengerusi Persatuan Penduduk kini, Tuan Haji Rusli Imam Surau Ar-Rahim sejak awal didirikan surau, Encik Abu Hassan Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk yang lepas. Majlis yang terdiri lebih dari 5 buah khemah – Tiap khemah mewakili zon (jalan) dan ada pertandingan antara khemah. Kawasan surau dipenuhi penduduk yang sebahagian besar (300 keluarga) adalah terdiri dari golongan muda dan anak-anak. Pembukaan majlis dimulakan dengan doa oleh Tuan Haji Rusli.


Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Shahrizan menerangkan tentang berbagai-bagai program yang diadakan, termasuklah pertandingan khemah terbaik, masakan terbaik dan beberapa yang lain. Antara acara ialah penyampaian duit raya kepada anak-anak dan penyampaian cerderahati kepada tokoh-tokoh berjasa kepada penduduk dan surau. Ucapan disampaikan oleh Encik Amir Hamzah selaku Pengerusi Persatuan Penduduk  yang mengucap terima kasih di atas kehadiran penduduk – terutama tamu-tamu jemputan dan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil bahagian di dalam perayaan dan pertandingan. Encik Yusof Bachik turut berucap selaku Ahli MPKj kawasan dan memaklumkan tentang masalah yang dihadapi penduduk dan hasrat penduduk mau menurapkan medan surau. Beliau juga mengumumkan tentang penyelidikan yang dilakukan oleh MPKj dengan kerjasama UKM dan mengharapkan penduduk memberi respond terhadap soalan-soalan yang diedarkan. Penulis juga turut berucap selepas jamuan. Penulis mengimbau kerjasama dan hubungan baik Penulis sebagai Adun dulu dan mengharapkan kerjasama berterusan. Penulis juga bersyukur Surau Ar-Rahim terus menjadi pusat dan induk bagi kegiatan penduduk dan mengharapkan Surau dan Persatuan Penduduk terus memberi perhatian – terutama bagi generasi muda dan anak-anak bagi meneruskan kehidupan pada masa akan datang.


Penulis, En. Yusof Bachik dan En. Amir Hamzah turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang hadir dan puncak dari majlis ialah penyampaian cenderahati kepada mereka yang berjasa terhadap penduduk dan juga surau yang terdiri dari mantan-mantan pemimpin kini yang menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah En. Abu Hassan, En. Amir Hamzah, En. Yusof Bachik dan Penulis.


Majlis berakhir jam 10.30 malam.

September 1, 2013

Sambutan 56 Tahun Kemerdekaan, Rakyat Khuatir Masa Depan: Harapan




(Dideklamasi Sempena Sambutan Merdeka-Raya Anjuran PPBBB Di KPI)

Ulang Tahun Merdeka Ke 56
Berkibar megah Jalur Gemilang
Tapi ada yang tak gemilang
Bahkan terselindung ancaman
Dilihat dari segi ekonomi
Negara makin terbeban dengan hutang
Keluh rakyat kenaikan harga barang
Berganda di luar batas kawalan
Kos rumah di atas paras kemampuan
Nilai wang makin merosot di pasaran
Bagaimana dengan anak-cucu kita
Mau hidup di masa muka ?

Gemuruh media dengan pujian
Segala program dijalankan
Rakyat diminta penyertaan
Hakikatnya mereka makin tertekan
Gangster makin bermaharaja lela
Sesuka hati melepaskan tembakan
Nyawa bagai tidak berharga
persis kemalangan di jalanraya
Akibat dadah ganja
Diseludup berbagai cara
Di Bandar di pekan
Peragut berkeliaran
Mencari mangsa
Berdepan kehilangan nyawa
Walaupun hasil tidak seberapa
Tak kurang ancaman
Kemasukan pekerja luar
Samada halal atau haram
Membawa gejala sosial
Mengancam kesejahteraan
Akibat tekanan hidup
Ada yang hilang pertimbangan
Celaru nilai dan mental
Mendera anak kandungan
Membuang bayi secara sembunyi
Hilang kemanusiaan dan kasih sayang
Manakala remaja bertabiat gila-gila
Meronda malam berlumba haram
Tempah sia-sia kematian
Ada anak-anak dididik mesra
Derhaka pada ibu bapa
Ironi mereka diserah ke Rumah Pengasih
Oleh anak yang tidak kasih
Gagalkah sistem pendidikan
Yang pentingkan kecemerlangan
Tidak utamakan keagamaan dan kemanusiaan ?


Dari segi perkiraan biasa
Usia 56 puncak kematangan
Bayangkan seseorang di usia itu
Jika bermula sebagai pegawai
Mampu mencapai Ketua Setiausaha
Jika dia seorang tentera
Mungkin sudah berpangkat General
Jika dia seorang pemimpin parti
Mampu menjadi seorang Menteri
Tapi itu semua andaian cuma
Yang rakyat bertanya
Ke manakah mereka hendak dibawa
Damba mereka sama mau nikmati
Sebuah Masyarakat Madani
Maju jaya dalam kehidupan
Mengutamakan sejahtera aman
Di bawah pimpinan berjasa
Wibawa ke pentas antarabangsa
Bebas rasuah dan ancaman
Merdeka minda dan jiwa
Telus membuat pilihan.

Shafie Abu Bakar,
Kompleks Pendidikan Islam, BBB.

24 Syawal 1434
31 Ogos 2013.