March 7, 2015

Islam Mengunggul Dan Memartabatkan Melayu


BBB, 27 Rabiul Akhir 1436 = 06 Mac 2015 (Jumaat):
Melayu walaupun terbukti wujud sejak pra-sejarah di Alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kewujudannya dalam sejarah purba agak terpinggir oleh kerajaan semasa yang lebih besar terutamanya Kerajaan Sriwijaya (Abad ke 7-12M.) di Sumatera dan kerajaan Langkasuka (Abad ke 6 hingga kedatangan Islam) bertempat di utara Semenanjung termasuk wilayah Patani yang merupakan kerajaan  bermazhab Buddha Mahayana. Bukti-bukti tentang kerajaan ini antaranya terdapat batu-batu bersurat seperti di Palembang Tiga Batu Bersurat (terutama di Kedukan Bukit),  di Karang Brahi, Batang Hari dan di Kota Kapor. Ini dibuktikan lagi dengan maklumat dari I-Ching yang singgah (685-689M.) di Sumatera zaman kerajaan Sriwijaya dalam pelayaran ke Nalanda, India. Disebut bahawa pada batu-batu bersurat adalah merupakan bahasa Melayu purba pada zaman Kerajaan Sriwijaya. Kedudukan Sriwijaya adalah selari dengan perkembangan agama Buddha dengan jiran-jiran terdekat seperti Cambodia dan Thailand.


(Coedes, G., The Indianized States of Southeast Asia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur – Singapore, 1968: 82).
Kelangsungan kerajaan Sriwijaya juga Langkasuka berterusan sehingga abad 12M. Antara faktor kemunduran kerajaan Sriwijaya selepas itu ialah dengan kehadiran Agama Islam ke Alam Melayu yang sedikit demi sedikit melemahkan kerajaan Sriwijaya. Kehadiran Islam tertumpu ke  rantau kepulauan Melayu secara meluas misalnya menurut Hikayat Acheh Islam tersebar di Utara Acheh sejak  500H./1112M. dibawa oleh pendakwah Shaykh Abdullah Ariff dan muridnya Shaykh Burhanuddin menyebarkan Islam ke Priaman ke selatan barat perpantaian Sumatera sekitar 601/1204. Hikayat Raja-Raja Pasai menyebut bahawa Sharif Makkah menghantar pendakwah bernama Shaykh Ismail di utara Sumatera pada pertengahan abad ke 7/13 ke Perlak dan Samudera, Pasai dan kawasan ini menerima Islam pada 652/1282 dan Sultan Pasai yang menerima Islam, iaitu Sultan Malikul Salih sebagaimana tercatat pada batu nisannya ialah pada 697/1297 atau 707/1307. Dari gelombang yang sama dakwah Islam sampai ke pantai Timur Semenanjung, iaitu di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Apa yang menarik pengislaman di Terengganu terbukti dengan wujudnya Batu Bersurat Terengganu bertulisan jawi bertarikh 702/1302. Ini adalah merupakan pertama kali dan terawal bukti penggunaan tulisan jawi digunakan di Alam Melayu. Dari gelombang yang sama dakwah Islam tiba hingga ke Jolo di Sulu di mana kedapatan kuburan pendakwah Islam di sana.
(Al-`Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement On A General Theory of The Islamization of The Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 11-12).
Kehadiran Islam  mulai abad 12 dan memuncak pada abad ke 13M. membawa perubahan yang besar bagi kawasan Alam Melayu. Kesan dari penerimaan Islam di kawasan-kawasan di atas menukarkan kepercayaan masyarakat dari pengaruh Hindu-Buddha (Bukti Hindu di Kedah) kepada kepercayaan Islam. Ada beberapa perubahan penting berlaku kepada kawasan menerima Islam dan ke kawasan-kawasan persekitaran:
Kedatangan Islam yang antaranya dibawa oleh pendakwah dan peniaga mewujudkan pelabuhan-pelabuhan perniagaan yang meningkat kepada pusat dakwah seperti pelabuhan Samudra Pasai, Perlak, Periaman, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Jolo, Sulu dan kemudian Melaka dan Aceh. Pusat-pusat ini berkembang sebagai pusat perniagaan dan menjadi pusat dakwah keislaman.
Dengan kehadiran Islam membuka lembran baru bagi kerajaan Melayu (Baru). Walaupum sebelumnya sudah ada kerajaan Melayu lama seperti Sriwijaya, Langkasuka juga kerajaan-kerajaan di Jawa yang tidak diberi nama Melayu, tetapi dengan datangnya Islam kawasan Melayu di Bukit Seguntang yang tebal dengan kepercayaan Hindu tidak begitu membangun, tetapi selepas perpindahan pemerintahanya ke Melaka, maka Melaka dikenali sebagai negeri Melayu dan berikutnya negeri-negeri lain selepas menerima Islam dikenali sebagai negeri-negeri Melayu. Pelabuhan Melaka dimakmurkan oleh pedagang-pedagang Islam, begitu juga Aceh selepas Melaka. Hingga kini Melayu lebih dikenali dan merujuk kepada negeri-negeri di Malaysia.


Islam memilih bahasa Melayu yang asal terpinggir, tetapi murni, kerana tidak dimasukkan istilah Hindu-Buddha, tidak mengelirukan. Pemilihn bahasa Melayu memperkayakan bahasa itu dengan istilah-istilah keislaman, perniagaan, komunikasi dan keilmuan, lantaran itu, bahasa yang asalnya terpinggir itu menjadi bahasa utama dan dikenali sebagai bahasa lingua-franca di dunia timur.
Islam juga memperkenalkan tulisan jawi sebagaimana bukti terawal tulisan jawi terakam pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh Juma`at 4 Rajab 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi bertempat di Kuala Berang Terengganu.
(Al-Attas. Syed Muhammad Naguib, The Correct Date of The Trengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur, Malaysia, 1970: 22-23).
Dengan pengenalan tulisan yang berasal dari huruf Al-Qur`an, maka tradisi penulisan secara meluas berlaku baik bagi pengajaran keilmuan Islam, pentadbiran, perniagaan dan berbagai-bagai pengurusan.
Dengan berkembangnya tradisi menulis dan pengajian, maka lahirlah pengarang-pengarang dan karangan-karangan di dalam bahasa Melayu yang menghasilkan antaranya karangan ketatanegaraan seperti Tun Sri Lanang yang mengarang Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Bukhari al-Jauhari yang mengarang Taj Al-Salatin, Nuruddin al-Raniri yang mengarang Bustan al-Salatin. Ramai pula pengarang yang mengarang kitab-kitab agama seperti Nuruddin al-Ranini yang mengarang kitab fiqh – Sirat al-Mustaqim. Abdul Rauf Singkel antaranya mengarang Kitab Tafsir, Abdul Malik bin Abdullah mengarang Sharah Hikam Melayu dan bidang-bidang yang lain. Antaranya sebagai sasterawan seperti Hamzah Fansuri mengarang Rubai dan banyak lagi karangan-karangan yang dihasilkan oleh ulama. Pendek kata bahasa Melayu melalui tulisan Jawi menjadi bahasa persuratan ilmu terkenal.
Pendek kata bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi bukan saja menjadi bahasa keilmuan, perdagangan dan pentadbiran, tetapi dengan bahasa Melayu dan agama Islam menyatukan kawasan Melayu sebagai umat Islam, bahkan menjadi umat Islam yang paling ramai di dunia.
Hingga kini bahasa Melayu dan agama Islam menjadi faktor yang penting di dalam menyatukan penduduk dan umat Islam di Alam Melayu.

Sekian.


March 6, 2015

Melayu Dari Segi Kewujudan Dan Catatan


BBB,  26 Rabiul Akhir 1436 = 05 Mac 2015 (Khamis):


Kewujudan Melayu adalah di Semenanjung Tanah Melayu dari Segenting Kra ke Selatan hingga Ke Riau dan Sumatera juga Jawa. Bukti kewujudan mereka ialah sebagaimana terbukti penemuan `Perak Man`  di Lenggong. `Perak Man` wujud sejak zaman pra-sejarah lagi. Dilihat dari kawasan secara luas dan mempunyai pertalian keturunan adalah keseluruhan kawasan yang dinamakan `Malay Archipelago`. Antara jaringan sejarah kewujudan Melayu antara sejarawan mengaitkan dengan  Funan, Sriwijaya dan Langkasuka.
Kewujudan Melayu sejak zaman neolithik dikenali sebagai Jakun yang mereka adalah sebagai `Proto Malay`. Tentang kewujudan mereka ini, antaranya catatan terawal dari pelayar Cina dan India yang berlaku  sejak awal abad Masihi menyebut:
``We have seen that it was undoubtedly These Malays of the coast to whom the Chinese and Indian seamen applied the names K`u-lun and Dvipantara.``
(Coedes, G. The Indianized States of Southeast Asia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur-Singapore, 1968: 12).
Dari segi penyebutan Melayu diperkukuhkan lagi  rujukan nama ini berkait dengan satu kawasan  yang dikenali sebagai palimbang. Pada abad ke 7M. Palimbang sudah terkenal. Menurut maklumat:
``In 644-45 almost the same time as the first embassy of Ho-ling in 640, The New History of the T`ang mentions the first embassy of Mo-loyu. This name refer to the country of Malayu situated on the east coast of Sumatra and centred in the region of Jambi.``
Maklumat ini diperkukuh dengan kehadiran I-Ching yang singgah pada 671M. Dalam perjalanannya ke Nalanda, India sebagai pusat pengajian agama Buddha di sana. (Coedes, 1968: 79-80).
Maklumat ini sesuai dengan maklumat tempatan yang menyebut bahawa Sultan Iskandar anak Sang Nila Utama  keturunan Demang Lebar Daun dari Palembang dirajakan di Melaka.
(Shellabear, W.G. Sejarah Melayu, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 70-71).
Dari penggaluran di atas menunjukkan bahawa `Melayu` sudah wujud sejak zaman pra-sejarah. Rentetan daripada itu terdapat catatan mengenainya di dalam catatan Cina dan India. Walau bagaimana merujuk kepada fakta sejarah, pada abad ke 7 ini juga adalah wujudnya kerajaan yang besar iaitu Kerajaan Sriwijaya di Sumatera dan berkekalan hingga abad ke 12. Dapatlah dijangka, walaupun Melayu sebagai kerajaan telah wujud hampir bersamaan dengan kenaikan kerajaan Sriwijaya, tetapi  pengaruh Palembang terlindung oleh kebesaran Kerajaan Sriwijaya yang pada hakikatnya juga kerajaan Melayu secara luas.
Kenaikan Melayu secara menonjol sebagai kerajaan berwibawa sebgai lanjutan dari Palimbang selepas perpindahan raja dari Palembang melalui Singapura dan membuka Melaka pada akhir abad ke 14M.
Dengan kewujudan Melayu yang berasal dari Palembang dan dirujuk juga kepada kawasan Jambi, maka dapatlah dipastikan bahawa bahasa Melayu telah digunakan pada masa itu, sebagaimana bahasa tersebut digunakan pada hari ini – sudah tentulah dengan perubahan.
Dilihat dari segi dokumen bahasa, tiada kedapatan warisan penulisan yang berkait dengan Palembang dan juga dengan pembukaan awal Melaka, kecuali dalam bentuk ukiran-ukiran batu tinggalan candi-candi yang agak banyak sebagaimana terdapat di Muzium Palembang. Prasasti awal yang ada hubungan dengan bahasa Melayu ialah Prasasti Minye Tujuh bertarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M. Iaitu mengenai tarikh kematian Imam Warda. Ini bermakna pada masa itu Islam telah bertempat di Minye Tujuh yang ada kaitan dengan keislaman Pasai. Namun tulisan pada Batu Nisan Minye Tujuh ini menggunakan huruf Pallava. Walaupun begitu kata-kata yang digunakan adalah kata-kata `Melayu` klasik yang dapat difahami, walaupun ada campuran istilah-istilah Sanskrit. Contoh antara kata:
Hijrah Nabi,  yang. Tujuh ratus, puluh, Raja Imam, hak, Kedah, tanah, samuha (semua), taruh, dalam, Tuhan.
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, 1995: 110).
Dapat diambil kesimpulan, bahawa hingga kepada masa itu masih belum ada tulisan khas bagi bahasa Melayu bertempat di Palembang, walaupun Palembang berstatus sebuah negeri yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negeri China. Adalah dijangka tulisan yang digunakan ialah tulisan Pallava – Sanskrit sebagaimana digunakan oleh kerajaan Srivijaya sebagai kerajaan besar di Sumatera. Bahkan kawasan ini sebenarnya hingga kepada perpindahan ke Melaka masih kuat dengan pegangan agama Hindu sebagaimana digambarkan dalam sejarah Melayu yang mengaitkan turunan Raja yang datang ke Singapura (Sang Nila Utama) sebagai keturunan Raja Chulan.
Jelaslah, walaupun disebutkan bahawa Melayu adalah dari Palembang (Bukit Seguntang), tetapi kelompok-kelompok di tempat lain yang sudah wujud penduduknya seperti Johor, Terengganu. Pahang, Kedah, Kelang, Patani ke Segenting Kra dan sebagainya adalah Melayu. Bila Melayu menjadi unggul oleh berbagai faktor, maka nama Melayu meluas kepada kawasan yang dikenali sebagai `Malay Archipalago`. Termasuk Jawa yang pernah mempunyai kerajaan besar seperti Kerajaan Majapahit dan beberapa kerajaan yang lain. Ini dicatat oleh pelayar-pelayar Barat dan di dalam peta-peta rujukan `Kepulauan Melayu` - Malay Archipalago.
Melayu pada hakikatnya telah wujud di kawasan terutamanya Semenanjung sejak zaman pra sejarah sebagaimana terbukti dengan penemuan Perak Man dan antara lanjutan mereka dikenali sebagai orang Jakun, Seman, Sakai, Orang Laut, Seletar dan sebagainya. Mereka lebih unggul apabila wujudnya pemerintah-pemerintah di kawasan-kawasan yang kemudian dikenali dengan negeri. Identiti Melayu menjadi kukuh, terutama selepas kenaikan Melaka yang dikenali sebagai `Emporium of the East`. Lantas  Semenanjung dan kawasan kepulauan di kenali sebagai `Kepulauan Melayu`.

Sekian.

March 5, 2015

Renungan Mesra Terhadap Bahasa Melayu, Sindrom Apakah Yang Melayukannya ?

   
BBB, 25 Rabiul Akhir 1436 = 04 Mac 2015 (Rabu):


Kita mewarisi bahasa ibunda yang kita gunakan seharian dari ibu bapa dan datuk nenek moyang kita yang dikenali dengan `Bahasa Melayu`. Bahasa yang amat berharga yang kita gunakan sebagai alat komunikasi seharian ini bukan sekadar penuturan di kalangan keluarga dan masyarakat setempat, tetapi ibarat – bayangkan melihat kepada hutan tropika yang menghijau lebat memenuhi sebahagian permukaan negara kita tercinta, maka kita sebagai pengguna bahasa kita ini sebagai daun-daun reranting dari seluruh kelebatan hutan subur menghijau di seluruh permukaan negara. Bahkan sebahagian daripada hutan yang telah luruh dan tumbuh dan luruh dan tumbuh ! hingga kepada kita mewarisinya. Sebagai melihat kehijauan hutan di permukaan bumi negara dengan mesra dan kasih sayang, maka demikian melihat kepada warisan bahasa yang kita sedang guna dengan penuh mesra, betapa tidak dengan bahasa tersebut kita mula dididik ibu menggunakan kata, kita bersama-sama anak-anak sebaya mulai bercakap dengan bahasa yang pelat, bermain di laman bersama kawan-kawan permainan tradisi main galah panjang, larian bola katak, lumba upih dan sebagainya yang kadang-kadang berlari ke alur sungai mandi lantaran kepanasan di luar pengetahuan orang tua. Semuanya ini dari satu segi adalah proses sosialisasi di kalangan kawan-kawan sebaya di samping memupuk kemahiran berbahasa.
Demikianlah proses kecintaan terhadap bahasa terus terbina melalui pendidikan dan pelajaran. Secara kebetulan kecintaan berkenaan terpupuk selari dengan pihak pembela bahasa dan agensi-agensi berwibawa adalah memperjuangkan pembinaan bahasa. Kemudian turut menyemarak sama mendukung pembukaan Universiti Kebangsaan Malaysia.  Namun antara harapan terbinanya keunggulan bahasa dan pendiikan melalui bahasa berkenaan ada kebimbangan tatkala terlihat semacam ada pengabaian terhadapnya dan tiada kesungguhan oleh agensi-agensi dan institusi-institusi pendidikan yang seharusnya semakin memperkasakannya, kecintaan yang terpupuk terhadap bahasa adalah amat mencabar. Usaha pembinaan bahasa selama setengah abad amat singkat dan bahasa yang dicintai belum mantap. Dari setengah abad berkenaan hanya tiga dekad pertama menampakkan kesungguhan dan keberhasilan, manakala selebih berikutnya menampakkan hilang kesungguhan, tiada plan strategik diketengahkan yang menjadi landasan panduan perlaksanaan. Usaha-usaha yang baik yang dulu dilakukan diabaikan dan banyak bidang yang boleh diteroki tidak dilakukan.
Kita bertanya, kemanakah perginya kerjasama serantau MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia) yang menjadi mekanisme pembinaan bahasa Nusantara serumpun itu ? Sepatutnya badan ini menjadi lebih perkasa dan berwibawa bagi pembinaan bahasa serumpun berkenaan. Banyak  kegiatan yang dapat dilaksanakan bagi kepentingan bersama. Ada harapan agar bahasa senusantara ini menjadi bahasa perantaraan antara negara-negara Asean, tetapi apakah langkah positif yang diambil ? Kerjasama antara pusat-pusat pengajian tinggi di antara negara-negara di Nusaantara dulu pernah berlaku, tetapi kini kurang kedengaran. Tidakkah wajar kerjasama secara berstrategik dan bermatlamat unggul perlu diterus dan dipertingkatkan ? Adakah Kementerian Pelajaran merasakan ini tidak penting, sedangkan cakap-cakap mau meletakkan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia diwar-warkan ? Tidakkah wajar wibawa pendidikan pada peringkat Nusantara dan Asean juga perlu diberi perhatian ?
Berbicara mengenai pendidikan, khususnya pengajian tinggi, bukan maksud kita medium pengajian semestinya di dalam bahasa Melayu atau Nusantara semata-mata, di dalam kehidupan moden yang dunia tiada sempadan, kita perlu bersifat terbuka dan peka perlu mengantarabangsakan diri, terutama di dalam berkemahiran berbagai bahasa, tetapi di dalam masa yang sama kita perlu peka dan menjaga kepentingan `rumahtangga` kita, nilai dan budaya kita dengan penuh cinta. Dalam kata lain bersikap antarabangsa tidak bererti membiar dan mengabaikan pemilikan kita yang berharga yang menjadi identiti dan jati diri kita. Pengantarabangsa dan kecintaan terhadap nilai dan budaya kita seharusnya serentak dan beriringan, bahkan menjadi keutamaan.
Bercakap berkenaan dengan kegiatan institusi yang menjaga tentang perkembangan bahasa dan sastera, menurut penilaian kita dari luar, bukan saja MABBIM yang dikendalikan oleh DBP bagi pihak kerajaan Malaysia tidak berjalan, tetapi kegiatan-kegiatan badan-badan bahasa dan sastera, persatuan-persatuan penulis peringkat negeri dan daerah seperti tidak kedengaran. Dengan demikian kegiatan-kegiatan bahasa dan sastera yang dilakukan oleh badan-badan dan persatuan turut tidak berjalan. Hadiah-hadiah dan insentif yang biasanya dijalankan oleh badan dan persatuan tidak lagi berjalan, jika ada satu dua kegiatan bagai tidak bermaya. Mengapakan berbagai majalah yang membicarakan soal bahasa, sastera, budaya, seni, bahkan agama dan juga majalah bagi peringkat sekolah rendah dan menengah yang dulu dengan mudah didapati dipasaran, kini tiada kedapatan lagi. Sesungguhnya penerbitan-penerbitan nadi bagi kegiatan bahasa dan sastera. Dengan tiada penerbitan ruang bagi penulis-penulis menulis dan lebih penting kegiatan-kegiatan bahasa dan sastera kehilangan ruang.
Yang menjadi pertanyaan mengapakan selepas 1990an segala yang berhubung dengan kegiatan bahasa dan sastera semacam hilang dan lumpuh ? Ini termasuk fakulti-fakulti, institut dan jabatan yang menyemarakkan perkembangan bahasa dan sastera kini semacam layu dan kurang kedengaran ? Sindrom apakah yang menyebabkan semuanya terbantut dan lumpuh ? Tidak jelas ke manakah dasar pelajaran hendak dibawa. Semakin majukah kita atau sebenarnya tidak ke mana !
Apa yang dilihat negara kita tidak mempunyai falsafah yang dituju, setiap hari  kita disebok dan dimabukkan oleh berita perebutan kuasa oleh orang-orang politik dan jenayah oleh orang-orang yang tentunya hilang pedoman. Kita seharusnya lebih banyak membicarakan tentang ilmu dan kebahasaan bagi mendidik masyarakat berpegang pada kebenaran, mendidik mereka dengan nilai-nilai kemanusiaan agar mereka menjadi orang budiman dan berpegang pada agama agar mereka benar-benar orang-orang beriman.

Sekian.

March 4, 2015

Seni Keilmuan Meningkatkan Kualiti Dilihat Dari Skema Takmilah


BBB, 12 Rabiul Akhir 1436 = 03 Mac 2015 (Selasa):
Ilmu adalah kebenaran dan Ilmu juga  boleh bersifat seni lantaran ianya mengkagumkan, menikmatkan, mempertunjukkan dan mententeramkan. (Di sini ilmu sebagai satu subjek dengan menyifatkannya maka ianya bergerak ke aspek nilai - estetik). Dalam kata lain keilmuan dapat dilihat sebagai satu seni – Seni Akli.
Dalam konteks apa yang telah dibicarakan tentang `Ilmu` dan dilihat dari skema Takmilah, maka `Ilmu` adalah berada pada tapak `Akliah` bersebelahan dengan tapak `Nilai` yang berada pada tapak tengah – tegak,  yang tapak tengah ini bersebelah dengan tapak yang boleh kita kenali sebagai individu (tokoh), kelompok atau masyarakat. Ketiga aspek pada tapak ini melalui berbagai faktor seharusnya dinamik mengalami `pergerakan kualiti` yang dari segi idealnya tiba kepada satu puncak yang sama yang merupakan puncak dari segi piawaian Takmilah. Takmilah sempurna hanya berlaku pada `Insan Kamil` yang Kamil dari segi Ilmu (Akliah) Nilai (Rohani/Akhlak) dan tokoh (Insan Kamil/Khalifah/Rabbani).


Dilihat kepada Skema Takmilah Yang Sempurna di atas bahawa Rasulullah s.a.w adalah Tokoh Insan Kamil/Khlifah/Rabbani menguasai ilmu secara lengkap yang bergerak ke Piawaian tertinggi Takmilah , iaitu Al-Qur`an. Dari pergerakan nilai bahawa Baginda adalah Insan sempurna dari segi akhlak dan kerohanian sebagaimana digambarkan Al-Qur`an yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung ( Al-Qalam: 4  )
Dan  ``Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu menjadi ikutan yang baik (Al-Ahzab: 21).
Dan akhlak Baginda disifatkan oleh Saidatina A`ishah, ``Bahawa akhlak Baginda ialah Al-Qur`an.``
Dalam keadaan biasa puncak pada piawaian Takmilah ini tidak dapat dicapai, walau macam mana, pergerakan kualiti, meskipun tidak sempurna, maka ia adalah sempurna dalam ketidaksempurnaan.
Pergerakan kualiti ke arah Takmilah adalah pergerakan yang tidak mudah. Ambil contoh dalam mentakmilah diri pengkarya dia seharusnya melengkapkan diri dari segi keilmuan. Bayangkan melengkapkan diri secara pengajian formal hingga ke peringkat pengajian tertinggi,  memakan masa berdekad. Untuk menjadi seorang yang benar ilmuan dan mau menjadi tokoh, katakan penulis dia tidak saja mempelajari ilmu secara formal, tetapi perlu membaca, mencari pengalaman dan mendalam aspek-aspek kemanusiaan, falsafah dan kerohanian. Dia mesti mempelajari kaedah penulisan yang baik, menulis dengan baik dan mendapat pengiktirafan.  Walau apapun faktor keilmuan faktor utama dalam perjalanan kualiti Takmilah.  Pada ilmuan, ilmu itu adalah sesuatu yang indah, lazat dan sumber utama bagi ilham. Ilmu sebagai sesuatu yang benar, ia juga sebagai pancaran seni yang benar berkenaan.
Dari satu segi Pengkarya juga serentak dengan peningkatan kualiti keilmuan yang meningkatkan diri untuk berkelayakan sebagai penulis mapan, jika bidangnya ialah kreatif dia mesti mengalamai sentuhan estetika, hasil dari penggarapan kalbunya dengan aspek-aspek kemanusiaan yang dialami dalam hidup baik dialami dirinya atau oleh orang lain, ia sepatutnya dikentalkan lagi dengan aspek-aspek kerohanian yang mempertajamkan persepsi dan meghaluskan seni dan daya ciptanya. Pendeknya pergerakan kualiti ke arah Takmilah baik dari aspek ilmu, hati-rohani jalannya panjang dan berlapis-lapis pengalaman dan paling sukar mencapai lazat dan manisnya ilmu yang sukar dipisah dari diri yang mencintai ilmu dan sentuhan seninya. sebagaimana kata Sayyiduna Ali k.w. `Banyak nikmat yang dapat dikecapi, tetapi tiada nikmat dapat mengatasi nikmat ilmu.`` (Nahju al-Balaghah).  Dengan ilmu bergerak ke wilayah estetika dan pada akhirnya ilham, pengalaman, sentuhan seni diperturunkan kepada peringkat penghasilan secara kreatif, inovatif dan bermutu. Ianya memberi manfaat kepada khalayak dan masyarakat.


Apa yang dibincangkan ialah perjalanan kualiti kepada Takmilah pada peringkat individu. Ia boleh dilihat pada peringkat kelompok. Katakan sejumlah ahli akademik mau menonjolkan sebuah jabatan atau institusi menjadi institusi terkenal di tanahair yang memberi perhatian bagi meningkatkan `budaya negara`. Sudah tentulah kelompok intelektual ini secara kolektif memilih nilai-nilai budaya Malaysia yang menarik dan bermutu. Ini diperkukuh dengan membuat kajian, menerbitkan kajian di dalam penerbitan buku-buku dan jurnal-jurnal terkenal. Dari satu segi dengan keasyikan kajian dalam bidang masing-masing tersentuh dan terangkat dengan nilai-nilai dan aspek-aspek seni budaya yang dikaji. Apa yang dikaji, dinilai, dirasa, dihayati dengan rasa keharuan, keunggulan dengan ciri estetika ini didedah kepada masyarakat  agar  mereka sama menghayati, merasa keunggulan  seni dan nilai budaya masyarakat. Penemuan kajian adalah merupakan keunggulan dapatan yang bukan saja dikagumi, tetapi menjadi daya tarikan kepada berbagai pihak – tempatan dan luaran sama datang menghyatinya.
Keadaan yang sama dapat dikiaskan pada peringkat negara, apa jenis masyarakat yang hendak dilahirkan. Misalnya masyarakat maju berintegriti, bernilai dan beretika seharusnya mempunyai skema dan acuan yang releven . Sudah tentu ada kepelbagaian dan kelompok bakal dilahirkan. Misalnya kelompok intelektual, pentadbir bermutu, golongan usahawan dan peniaga berdaya, ahli-ahli politik matang dan berwawasan, petani berjaya dan pekerja-pekerja mahir. Mereka ini sesudah melalui pendidikan formal yang teratur dilalui oleh semua pihak secara terarah, kemudian setiap kelompok atau segmen masyarakat di atas seharusnya digarap dan dicanai di dalam bidang-bidang berkenaan secara kreatif sehingga mencapai Takmilah yang pada puncaknya bersatu mendukung aspirasi ``Masyarakat Maju, Bernilai Unggul, Berdaya Kreatif``.
Apa yang mau ditampilkan bahawa membina individu dan masyarakat hendaklah melalui ilmu dan nilai. Ilmu secara objektif dan ilmu yang menikmatkan. Ilmu membentuk warga masyarakat yang berintegriti dan berperibadi. Mereka juga hendaklah dipupuk dengan jiwa kreatif dan inovatif. Bagi memupuk masyarakat berilmu, bernilai dan beretika serta berdaya kreatif, maka falsafah pendidikan dan latihan  (teori dan amali)  negara hendaklah dirangka sedemikian rupa oleh gabungan pakar-pakar sehingga dapat mencapai objektif yang unggul dan berwawasan.

Sekian.



March 3, 2015

Bahasa Menjana Khazanah Keilmuan Menggerak Kemajuan


BBB, 11 Rabiul Akhir 1436 = 02 Mac 2015 (Isnin):


Kesuburan bahasa dan kemantapannya dengan tatabahasa yang teratur adalah infra-struktur yang baik yang mampu mendukung perkembangan ilmu pengetahuan. Kehadiran Islam dengan kandungan Al-Qur`an telah mencetuskan perkembangan ilmu pengetahuan. Islam menampilkan era baru kebahasaan bahasa Arab dengan keilmuan yang terkandung di dalamnya dan menuntut diaplikasikannya bagi memacu kemajuan umat di dalam membina tamadun dan peradabannya.
Apakah yang dikemukakan oleh Al-Qur`an ?
Wahyu Al-Qur`an yang memakan masa 23 tahun pada hakikatnya membicarakan tentang segala kewujudan. Tetapi sebagai rumusan, antaranya (banyak lagi yang patut dirumuskan) membicarakan:
1)      Persoalan yang berhubung dengan akidah dan keimanan
2)      Hukum hakam yang terletak di bawah hukum syariat
3)      Kejadian manusia dan kedudukannya sebagai semulia-mulia ciptaan (Khalifah)
4)      Tentang cakerawala, langit, bumi, planet-planet dan bintang-bintang
5)      Tentang laut, hujan, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sebagai makanan hidup-hidupan
6)      Cerita-cerita yang dapat dijadikan contoh tauladan
7)      Konsep bernegara dan pemerintahan
8)      Jihad dan peperangan yang berlaku bagi menegakkan Islam
9)      Al-Qur`an mu`jizat Rasulullah. Keindahan dan kedalamannya dari segi balaghah
10)   Galakan supaya mendalami ilmu pengetahuan.
Perkembangan ilmu pengetahuan berlaku sejak dari perutusan Rasulullah s.a.w. bermula dari arahan (Iqra`) dan baginda mengambil inisiatif menyampaikan keilmuan kepada sahabat-sahabat dan umat dan menghantar perutusan mengajar tentang Islam ke luar dari Madinah. Al-Qur`an dan Hadith baginda menjadi sumber keilmuan diamal dan diperluaskan dan dari dua bidang ini (Al-Qur`an dan Al-Hadith) bidang keilmuan Islam yang asli melahirkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan seperti pengajian Al-Qur`an, Hadith, tafsir, fiqh. Usuluddin, balaghah, nahu, saraf. akhlak, tasawuf, mantiq dan fara`d.Tokoh penghimpun Hadith ialah Bukhari, Muslim, Al-Tirmidhi, Al-Nasa`i. Ibn Majah dan Abu Daud, manakala di dalam bidang tafsir  antara yang awal seperti Ibn Kathir, di dalam bidang fiqh seperti Imam Malik, Shafie. Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal, Usuluddin ialah Ash`ari, Maturidi dan Al-Tahawi, Al-Balaghah oleh Sayyiduna Ali bin Abi Talib (Nahj al-Balaghah), Nahu Saraf Si Bawayh dan Akhlak serta tasawuf oleh Al-Imam al-Ghazali.
Pada satu peringkat apabila negara Islam makin berkembang – selepas kenaikan kerajaan Umawiyyah berlaku pertentangan idea dan perbalahan pendapat yang mencetuskan perbahasan mengenai persoalan falsafah di antara pendukung-pendukug Khawarij dan Ahlu al-Sunnah dan perlanjutan daripadanya antara ahlu al-Sunnah, Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah juga Shi`ah. Berikut dari perluasan negara Islam, maka pusat-pusat keilmuan berkembang yang bermula dari Madinah, ke Damshiq, Baghdad, Andalusia, Qairawan, Qahirah dan Bukhara. Dari pusat-pusat keilmuan ini melahirkan tokoh-tokoh ulama di dalam berbagai-bagai bidang.
Perkembangan keilmuan dalam Islam tidak bersifat keagamaan dan falsafah sahaja. Tetapi menurut saudara Osman Bakar,
``The Qur`an is not a book of science, but it does provide knowledge of the pinciples of science, which it always relates to metaphysical and spritual knowledge. The Qur`anic injunction to `read in the nature of The Lord has been faithfully observed by every generation of muslims.`
(Osman Bakar, Tawhid and Science, Secretariat For Islamic Philosophy And Science, USM, Penang, 1991: 63).
Di samping perluasan negara Islam berlaku pertembungan dengan budaya ilmu luar (Greek) seperti Plato dan Aristotle terutama konsep idea dari Plato dan logic Aristotle,  lantaran itu di dalam perbahasan keilmuan Islam seperti ilmu theologi di dalam aliran Ashari-Maturidi pendektan logik Aristotle turut digunakan, manakala perbahasan mengenai tasawuf yang bersifat falsaafah seperti oleh Ibn Arabi dan Al-Jili turut menggunakan falsafah Idea Plato. Al-Ghazali juga turut membahaskan dan menilai pendekatan falsafah dari luar ini.
Walau pun ada pertembungan dengan budaya ilmu dari luar, tetapi Islam mempunyai pendekatan keilmuan yang khusus, iaitu berprinsipkan tauhid. Islam menampilkan keaslian pendekatan keilmuan seperti tafsir, Hadith, tasawuf (Sunni) dan Usul Fiqh. Manakala di dalam bidang sains pengkaji-pengkaji seperti Muhmmad bin Zakariya Al-Razi, Ibn Sina, Ibn Bajah, Ibn Tufail, Ibn Rushd, Fakhr al-Din Razi dan ramai lagi.
(M.M. Sharif, A History of Muslim Philosophy, Vol. I. Otto Harassowitz, Wiesbaden, 1963: 421 – 642).
Selain daripada itu terdapat tokoh-tokoh yang menghasilkan persuratan seperti Al-Muqqaddimah oleh Ibn Khaldun di dalam bidang sosial, Rihlah Ibn Battutah oleh Ibn Battutah tentang pelayaran dan pengembaraan, Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Al-Mawardi tentang pemerintahan dan Sirah Ibn Ishak oleh Muhammad bin Ishak tentang Sirah.
Pendek kata kehadiran bukan semata-mata membawa agama dalam erti kata terhad, tetapi membawa ilmu pengetahuan yang berindukkan Al-Qur`an dengan menggunakan bahasa Al-Qur`an. Tidak ada bidang keilmuan yang tidak dilibati oleh Islam. Dengan ilmu ia menyedarkan Eropah yang masih dalam kegelapan, menyampaikan cahaya hidayah sehingga ke India dan menyentuh negara China dan Rusia. Memartabatkan beberapa bahasa yang menjadi bahasa penyebaran Islam seperti bahasa Urdu dan Bahasa Melayu. Tidak ada satu bahasa umat Islam yang tidak diperkayakan dengan ilmu dan istilah-istilah keislaman.
Pendek kata bagi pembinaan tamadun dan peradaban umat tidak lain dari ilmu. Ilmu sebagai darah bagi badan dan tenaga bagi tamadun dan peradaban, kalau ilmu diabaikan maka tamadun dan peradaban akan runtuh dan menghilang.

Sekian.

March 2, 2015

Kesedaran Keperluan Kepada Tatabahasa


BBB, 10 Rabiul Akhir 1436 = 01 Mac 2015 (Ahad):


Kesedaran bersifat intelektual memakan masa. Manusia berbahasa sejak mereka wujud di muka bumi. Mereka memberi nama bagi benda-benda agar benda-benda tersebut boleh diingati dan dapat membezakan antara satu benda dengan benda yang lain. Mereka seolah-olah mengikat tag bagi benda-benda berkenaan. Permasalahan memberi nama benda tidak serumit bagi menandakan perbuatan yang tidak bersifat benda dan tertakluk dengan masa dan hilang. Misalnya perlakuan `duka` adalah berkait dengan perbuatan yang bukan dengan sengaja dan berkait dengan suasana dan mood dan keadaan yang dilalui oleh seseorang. Sifat sedemikian dinamakan `duka`. Perlakuan apa yang disifatkan `duka` lebih sukar diberi istilah, kerana ia bukan benda, tetapi tertakluk kepada `kejadian` pada diri seseorang dengan suasana tersendiri. Suasana `duka` ini berlainan sifat antara satu sama lain, tetapi dari gaya muka, sifat, mood dan suasana dialami, maka dinamakan duka. Duka ini terikat dengan masa, sama ada sudah, sedang atau akan. Demikian agak rumit bagi istilah perbuatan. Tetapi hasil dari perulangan pengalaman yang dilalui, maka istilah `duka` sudah difahami. Keadaan sedemikianlah berlaku di dalam memberi istilah bagi perbuatan-perbuatan yang lain yang amat banyak berlaku sebagaimana banyaknya nama-nama bagi benda yang menjadi pengalaman individu dan masyarakat sebanyak istilah-istilah yang dapat disusun di dalam kamus setelah wujudnya kesedaran yang mencerminkan kesedaran intelektual pada peringkat yang lebih tinggi. Kesedaran juga timbul menamakan kata-kata yang bersifat penyambung bagi kata nama dan perbuatan (bukan nama dan perbuatan) bagi menggambarkan sesuatu pengungkapan ayat yang lebih lengkap dan tepat. Maksudnya seperti yang, kepada, ke, dari,  dengan, nya. pada, dalam dan sebagainya.
Pertumbuhan semua kata baik nama, perbuatan dan haraf (lain dari nama dan perbuatan) pada asalnya tumbuh, bertambah dan berkembang secara lisan di tengah masyarakat, tetapi antara kelompok dengan  kelompok yang lain berbeza dari kekayaan istilah kata (vocabulary) dengan kelompok yang lain. Misalnya masyarakat badui kaya dengan istilah-istiulah yang berkait dengan padang pasir, masyarakat peniaga lebih kaya dengan istilah-istilah perniagaan dan perdagangan dan begitulah dengan istilah-istilah yang lain. Walau bagaimana dari interaksi antara masyarakat, maka istilah-istilah berkenaan lebih luas digunakan di tengah masyarakat. Namun perbezaan tidak dapat dielakkan oleh kerana perbezaan suasana masyarakat yang melahirkannya dan juga kejauhan antara satu tempat dengan tempat yang lain dan jarang atau kerap digunakan, lantaran itu bahasa Arab di Makkah yang lumrah digunakan oleh penduduk Makkah dari kalangan Quraisy berbeza dari Arab Yaman, setidak-tidaknya dari segi lahjah. Pengekalan bahasa selain dari terus digunakan di tengah masyarakat, tetapi tidak dapat dielak dari berlaku perubahan, ialah dengan mengikatnya dengan bahasa persuratan (penulisan), namun begitu pada zaman Jahiliyyah umpamanya belum ada tradisi persuratan, tetapi pengekalannya secara ungkapan puisi yang diwarisi secara penghafalan. Lantaran itu wujudnya penyair-penyair sama ada yang dikategorikan sebagai penyait al-Sa`alik (Gelandangan), penyair istana, penyair al-Mu`allaqat, penyair dua zaman (al-Mukhadramun), penyair-penyair Rasulullah dan sebagainya. Walaupun sebahagian dari kandungan tidak sesuai dengan Islam, tetapi dari segi pengekalan bahasa dan sastera adalah merupakan sumbangan yang penting bagi kajian bahasa, sastera dan budaya masyarakat sebelum Islam. Pada zaman Jahiliyyah ini belum timbul kesedaran untuk menyusun kaedah tatabahasa (Nahu dan Saraf) bagi kemantapan bahasa Arab.
Bila diturunkan Al-Qur`an, kesedaran tentang bahasa dan nilai adabiyyahnya mulai timbul. Keindahan tentang bahasa Al-Qur`an disanjung oleh Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab dan Penyair terkenal Al-Walid bin al-Mughirah. Tetapi kesedaran secara mendalam dan timbul usaha melihat dari segi bahasa dan balaghah dilakukan oleh Sayyiduna Ali bin Abi Talib yang bahasa Al-Qur`an, fasahah dan balaghah amat mempengaruhinya dan Sayyiduna Ali terkenal digelar sebagai Sayyid al-Bulagha` (Tokoh Balaghah) (Muhammad Abduh. Muqaddimah li Nahj al-Balaghah, Ikhtarahu Al-Sayyid al-Rida Min Kalam Sayyidi Amir Al-Mu`minin Ali bin Abi Talib, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan,1410/1990: 4).
Sebenarnya dengan turunnya Al-Qur`an dia bukan sahaja menjadi  kitab hukum hakam dan panduan keislaman, tetapi juga menjadi panduan dan piawayan dari segi bahasa dan balaghah – termasuk dari segi adabiyyah. Al-Qur`an yang menurut lahjah Quraisy menjadi bahasa standard bagi bahasa Arab. Dirujuk kepadanya segala permasalahan kebahasaan Arab. Dengan Al-Qur`an dapat dikawal dari penyelewengan, penyimpangan dan kerosakan dari segi bahasa. Al-Qur`an memantapkan peristilahan-peristilahan yang boleh diselewengkan. Misalnya istilah-istilah yang berhubung dengan ibadat, akidah. akhlak dan berbagai lagi.
Dari segi pemantapan bahasa Arab yang disusun secara sempurna dilakukan oleh Abu Abdullah Muhammad Jamaluddin bin Abdullah bin Malik (600-672H.) dengan karangan khulasahnya yang berjudul (Al-Fiyah) atau lebih dikenali dengan Matan Al-Fiyah yang mengandungi kaedah ilmu Nahu-Saraf yang dirumuskan di dalam seribu bayt (Matan Seribu). Matan yang lengkap ini menarik perhatian para sharih, antaranya oleh Allamah Yahya Zain al-Din bin Abd al-Nur (m. 627H.). Turut disharh oleh Ibn Hisham yang terkenal dengan gelaran Sibawayh (761H.), diikuti oleh lebih sepuluh sharh yang lain – termasuk yang terkenal ialah Ibn `Aqil (698-769H.) yang digunakan bagi rujukan ini.
(Baha`uddin Abdullah bin `Aqil, Sharh Ibn `Aqil, Juz` I, Matba`ah al-Sa`adah, Misr, 1381/1961: 6).
Dengan kitab nahu termasuk saraf dan kitab-kitab nahu yang sebelumnya menjadikan kaedah nahu saraf di dalam bahasa Arab  mantap. Dengan nahu-saraf tatabahasa:
1)      Memantapkan kaedah dan tatabahasa bahasa `Arab
2)      Mengatur cara menyusun fikiran menurut kaedah bahasa yang mantap dan mengelak dari kekeliruan dan salah tafsir
3)      Menjadi ukuran standard di dalam pembicaraan dan penilain bahasa
4)      Memudahkan kefahaman bila mengguna bahasa mengikut kaedah yang betul
5)      Mengindahkan bahasa
Oleh kerana pentingnya pengajian nahu dan saraf, maka di dalam pengajian tradisi amat mementingkan pengajian nahu dan saraf, apa lagi jika pengajian tersebut bertaraf tinggi – termasuk menggunakan kitab-kitab berbahasa Arab. Sebenarnya, baik apa bahasa pun perlu dimantap dengan kaedah tatabahasanya.

Sekian.

March 1, 2015

Bahasa Dan Persuratan Mendukung Peradaban: Di Mana Kita


BBB, 09 Rabiul Akhir 1436 = 28 Februari 2015 (Sabtu):
Pengenalan huruf di dalam sesuatu masyarakat adalah merupakan tahap penting bagi kemajuan masyarakat berkenaan. Logik perkembangan selepas itu bermulanya tradisi persuratan dalam masyarakat berkenaan. Tradisi persuratan Islam adalah mewarisi huruf-huruf Aram (Nasakh) dari utara (Sham) dan huruf-huruf musnad dari selatan (Yaman) yang dikenali dengan khat kufi yang sebelumnya berkembang sejak 5,000 S.M. (Sumeria) hingga ke Babylonia (3,800 S.M.), Mesir (3,200 S.M.) dan terbaru Pheonix 2000 S.M. Bangsa yang menguasai tulisan dan persuratan adalah bangsa yang maju. 


Contohnya Islam yang menggunakan tulisan mengolahkan keilmuan yang berindukkan Al-Qur`an. Islam maju dan berkembang sejak abad ke 7M. hingga awal abad ke 20. Kekuatan Islam adalah dari kekuatan ilmu yang dapat membina tamadun dan peradaban – termasuk ilmu dan seni-budaya.
Bangsa-bangsa lain yang pernah bangkit, tidak lain bangkit, melainkan dengan kekuatan ilmu dan seni- budaya. Negara-negara Barat adalah bertolak dari perkembangan bahasa Latin yang tulisannya telah digunakan sejak 240 S.M. Apabila Kerajaan Rome diwujudkan pada tahun 753 S.M., maka bahasa dan persuratan yang digunakan ialah bahasa Latin. Rome terkenal dengan negara yang kukuh dengan peraturan dan undang-undang. (Children`s Brittanicca, Vol 10. 1978: 175-176). Bahasa Latin yang dikenali sebagai Roman Language ini menjadi induk bagi bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Spain, Portugis dan Rumania (Children`s Brittannica, Vol. 15, 1978: 54). Negara-negara tersebut terkenal sebagai negara-negara maju. Berindukkan dari bahasa Latin terbina bahasa negara-negara masing-masing. Negara-negara ini mempunyai tanah-tanah jajahan yang bahasa penjajah yang berasal dari bahasa Latin-Roman ini dikembangkan ke tanah-tanah jajahan mereka, termasuklah tulisan. America negara yang relatif baharu turut memperkembangkan bahasa dari Barat berkenaan, khususnya bahasa Inggeris.
Antara negara yang mempunyai tradisi persuratan yang awal ialah India yang tamadunnya sejak abad ke 6 S.M. dengan kelahiran agama Buddha dan dengan kelahiran kitab-kitab Veda dan Upanishad yang mencerminkan bahawa bahasa India (Sanskrit) adalah antara bahasa tua di dunia. Tempiasnya turut sampai ke luar dari India, termasuk Asia Tenggara. Demikian China yang dapat dikenal pasti tamadunnya sejak 3,000 S.M. dari dinasti Fu dan berbagai-bagai dinasti hingga ke Dinasti Manchu terakhir sebelum China menjadi negara Republic pada pertengahan abad ke 20 yang kemudian menjadi negara Komunis China. Tokoh pemikir China ialah Confucius (551-479 S.M.) dan China terkenal dengan Tembok Besar China yang siap pada 220 S.M. China mempunyai tulisan tersendiri dan mempunyai persamaan tulisan Jepun dan Korea. China mempunyai rekod-rekod catatan-catatan tertua tentang politik pemerintahan, diplomasi dan hubungan luar. (Children`s Brittannica, Vol. 4: 251).


 satu masyarakat dunia, kita lihat pada  taburan penduduk di permukaan bumi,  maka tempat-tempat yang lebih awal mempunyai kesedaran tulisan dan keilmuan relatifnya lebih maju, di samping berada pada tempat yang lebih subur dan mempunyai sumber kehidupan, terutamanya air  seperti Iraq (Sumeria dan Babylon), lantaran berada di tepian sungai (peretemuan sungai Dajlah dan Furat). Dari tamadun ini melahirkan Nabi Allah Ibrahim. Sumbangan penting dari Tamadun ini sebagaimana disebut oleh Al-Qur`an peranan Nabi Allah Ibrahim di dalam menegakkan keyakinan Allah Yang Maha Esa. Falsafah tauhid ini sesuatu yang kukuh dan berterusan menjadi prinsip akidah Rasul-Rasul yang datang kemudian. Termasuk Islam yang diutus melalui Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Prinsip akidah dan pengajaran agama Islam diperkukuhkan lagi dengan penggunaan tulisan yang lahir dari Jazirah Arab hingga ke kawasan pinggir Mediterranian yang juga disebut sebagai negara Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi.
Peradaban dunia sama disemarak oleh kelahiran tamadun Rum dan Helenistik yang walaupun sumber asal juga adalah bersumber agama yang dari kawasan yang tidak jauh dari sumber Islam, dan walaupun akhirnya berlaku pertentangan dan konfrontasi antara tamadun dan peradaban Islam dengan peradaban Barat yang peradaban ini juga hasil sentuhan dengan Islam, walaupun dari satu segi berlaku konflik dan pertentangan, tetapi dilihat dari sudut yang lain, ianya menjadi katalis dan penggerak bagi berbagai-bagai pihak berlumba di dalam meluaskan maklumat dan keilmuan yang dari satu segi berlaku penentangan dan membawa kepada penjajahan, menjadikan kawasan-kawasan yang dilalui dan mengalami penjajahan dari satu segi membangkitkan kesedaran dan usaha membebaskan diri dan meningkatkan kemajuan masing-masing.
Selain dari pertembungan dua tamadun dan peradaban besar yang merubah permukaan dunia kepada perjuangan pembebasan. Dua negera yang disentuh pada bahagian awal, iaitu India lebih kepada tumpuan kepada negara sendiri, walaupun pada zaman sejak seawal tahun Masihi negara ini begitu aktif mempengaruhi negara-negara di Asia, khususnya di Asia Tenggara termasuk ke China – tanpa menggunakan kekuatan senjata. Walaupun begitu dengan jumlah penduduknya kedua teramai di dunia dan kejayaan semasa India masih tetap dipandang mulia dan dihormati di kalangan antara bangsa.
Keadaan yang sama dengan negara Cina yang mempunyai rakyat teramai di dunia, China dihormati bukan semata-mata kerana mempunyai rakyat teramai di dunia, tetapi sikapnya yang tidak mengganggu negara-negara jiran dan tidak mengambil dasar memperluaskan kawasan. China dihormati kerana mempunyai bukti-bukti dan bahan-bahan yang ianya merupakan negara tua dan mempunyai budaya dan tradisi sendiri. Walaupun begitu china merupakan negara pro-aktif dan ianya tidak terikat dengan nilai-nilai tradisional dan bersikap terbuka mendepani perubahan dan ianya turut berubah.
Bagi negara seperti Malaysia dan Indonesia- termasuk Brunei dan Singapura, sebagai negara serumpun yang mengalami nasib sejarah dan keyakinan yang hampir sama sebenarnya menghadapi cabaran di dalam pembinaan negara dan identiti bangsa. Bagaimanakah corak negara dan identiti bangsa yang mau ditegak dan diunggulkan ? Dari paparan di atas, semua negara maju adalah mewarisi tradisi unggul sebelum darinya – Warisan saudara semanusia dalam keluarga besar  yang serumah di dunia. Kita harus berbangga sebagaimana negara-negara lain mewarisi tamadun dan peradaban dunia yang besar. Masalahnya, walaupun kita yang pernah bangkit dan besar dengan Kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan Melaka bersama warisan diterima, tapi apakah kita mampu dengan suasana kekinian dengan keilmuan secara kreatif dan inovatif  mampu mengadun formula sendiri, sehingga setara dengan negara-negara maju serantau dan juga di dunia ?
Apa yang dialami kini, bahawa kita jauh dari untuk bangkit dengan mempamerkan wajah kita bertaraf dunia, sebaliknya kita adalah pada tahap imej politik percakaran – di luar dari skema Takmilah dan sukar melihat apakah gagasan besar yang dapat ditawarkan bagi menawan minda dan jiwa rakyat sehingga sama berusaha bagi membina keunggulan rupabangsa yang dikagumi dan dihormati dunia.

Sekian.