Cadangan bagi mendapatkan ruang tanah bagi
membina Kompleks Ilmu Masjid ini dirancangkan sejak dari awal tarikh pembinaan
fizikal Masjid Al-Umm (akhir 2013). Antara tanah yang dikenalpasti bagi
pembinaan Kompleks Keilmuan ini ialah kawasan tanah Medan Usahawan yang
warung-warung di sini terbiar sejak berpuluh tahun yang lepas. Usaha ke arah
ini telah dilakukan. Misalnya merangka plan architect oleh Ir. Tuan Haji Ghazali
Hussin. Namun tumpuan tinggi tidak diberi, lantaran tumpuan utama ialah lebih mencari
dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm.
Kini Masjid Al-Umm hampir siap, maka inilah
masa yang paling sesuai bagi menggerakkan pembinaan infra-struktur, khususnya
pembinaan Kompleks Ilmu bagi hasrat menjadikan Masjid Al-Umm induk bagi
pengajian tinggi yang dihasratkan. Sebagaimana dibicarakan bahawa bangunan ini
adalah sebanyak 17 tingkat dan gambaran kasar – architect impression telah
dilakarkan. Bangunan ini secara menyeluruhnya dapat dikatakan sebagai `Kompleks
Pentadbiran` bagi pengajian tinggi – bertaraf universiti – Jami`ah Al-Umm –
Al-Umm University. Walau bagaimana ianya bukan berfungsi semata-mata untuk
pentadbiran, tetapi melibatkan aspek-aspek yang lain bagi sebuah pengajian
tinggi.
Secara kasar dapat dipecahkan
bahagian-bahagian bagi bangunan 17 tingkat itu kepada pecahan-pecahan berikut:
1- 2 = Tingkat - Ground level dan Tingkat 2
Pada tingkat ini terdapat kedai-kedai makan,
kedai pakaian, peralatan harian, peralatan tulis dan sukan, manakala tingkat
dua ialah seperti kedai buku, komputer dan Alat-Alat Komunikasi
Pendek kata tingkat bawah ini menyediakan
keperluan harian dan biasa
3 – Tingkat Tiga
Tingkat bagi kegiatan pelajar, termasuk
persatuan-persatuan
4 - 8 Tingkat
Empat hingga Lapan
Ruang untuk kuliah dan tutorial (selain dari
menggunakan ruang yang ada di Masjid Al-Umm).
9 – 12 Tingkat Sembilan hingga Dua Belas
Tingkat untuk Shaykh, Rektor, Canselor, Presiden dan
kakitangan
Tingkat untuk Timbalan-Timbalan Akademik,
Pembangunan, Pelajar dan Hubungan Luar
Pendaftar dan kakitangan
Bendahari dan kakitangan
13 – 15 Tiga Belas hingga Lima Belas
Asrama terhad bagi pelajar-pelajar
14 – 17 Empat Belas hingga Tujuh Belas
Pejabat bagi kakitangan akademik bagi
berbagai-bagai bidang.
Sesungguhnya walaupun bangunan mempunyai 17
tingkat, sebenarnya begitu terhad dan setengahnya tidak sesuai berada di
bangunan itu, contohnya asrama para pelajar sewajarnya berada pada
bangunan-bangunan tersendiri.
Sebenarnya dengan sebuah bangunan Masjid Al-Umm
– dan Kompleks Ilmu Masjid Al-Umm, terasa masih kekurangan ruang, jika
pengajian `Jami`ah al-Umm mulai beroperasi. Apa yang perlu dilakukan bagaimana
dapat mengatasi masalah ruang dan menjadikan Jami`ah al-Umm menjadi sebuah
Pusat Pengajian yang Unik, Unggul Dengan Ilmu, Bermutu dan Identitik dengan
ciri-ciri yang ada padanya.
Jami`ah Al-Umm hendaklah mengutamakan Mutu dan
kecemerlangan ilmu, jangan ikut trend semua universiti yang ada yang lebih
bersifat kilang yang mengeluarkan keluarannya secara `mass production` yang berlambak keluaran dan
tiada pasaran dan jika mendapat pasaran, maka ianya mencerminkan kualiti umum
yang tidak mampu menunujukkan kecemerlangan yang dihasratkan. Oleh kerana
keluaran pada peringkat ijazah pertama berlambak hingga tiada ruang untuk
dipasarkan, maka tujuan utama bagi Jami`ah al-Umm, bukan mengutamakan pelajar-pelajar
ijazah pertama yang amat berlebihan dalam pasaran.
Tugas Jami`ah al-Umm, ialah mengambil sejumlah
terhad dan minimum pada peringkat ijazah pertama, tetapi lebih memilih
pelajar-pelajar ijazah sarjana di dalam
bidang-bidang terpilih. Dalam kata lain, Jami`ah al-Umm jangan tamak membuka
berbagai bidang pengajian pada peringkat ijazah pertama. Tetapi lenih
menumpukan pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah, tetapi hendaklah memilih
bidang-bidang pengajian yang baik yang mempunyai pakar-pakar yang dapat
membimbing pelajar-pelajar pada peringkat sarjana dan Doktor Falsafah yang
tokoh-tokoh mahaguru sebenarnya ramai kedapatan di Bandar Baru Bangi ini
sendiri. Penentuan bidang-bidang ini terpulang kepada usaha Jami`ah Al-Umm
mendapat pakar-pakar yang ramai di Bandar Baru Bangi. Tentulah keutamaan
terhadap bidang keislaman. Tetapi janganlah dikelirukan bila menyebut bidang
keislaman hanya terhad kepada bidang yang kita fahami sebagai bidang agama yang
dalam erti kata yang sempit.
Pada peringkat awal Jami`ah Al-Umm ini perlu
berusaha untuk kerjasama dengan berbagai-bagai universiti yang ada di Bangi dan
sekelilingnya. Ijazah secara bersama mungkin perlu pada peringkat permulaan
sebelum Jami`ah Al-Umm mendapat kepercayaan dari pelajar setempat dan dari luar.
Sebagai rumusan apa yang diutamakan oleh Jami
Al-Umm ialah menyampaikan pengajaran bermutu oleh mahaguru-mahaguru bermutu
kepada pelajar yang bermutu dengan semua
pihak dapat menjanakan ilmu dan menghasilkan penerbitan-penerbitan bermutu
atas nama Jami`ah Al-Umm.
Kita berharap hasrat murni ini dapat dijayakan
dalam masa terdekat. Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment