Iskandar
Dhu Al-Qarnain Legenda Dunia Dalam Legenda Melayu
BBB, 19 Safar 1437 = 01 Disember 2015
(Selasa):
Ketokohan Dhu al-Qarnain (yang dikenali
sebagai Iskandar Dhu al-Qarnain) sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an tidak
saja terkenal sebagai Tokoh Legenda Islam, tetapi juga sebagai `Legenda Dunia`
yang dikenali di Barat dan di Timur. Tokoh ini juga dikenali di dalam peradaban
dan tamadun Melayu. Nama Iskandar begitu terkenal sebagai nama dan gelaran bagi
raja dan turunan raja-raja Melayu, misalnya Sultan Iskandar Shah sebagai Raja
Melayu Terawal di Melaka di akhir abad ke 14M. Demikian juga dengan gelaran
Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Iskandar Thani di Acheh pada pertengahan abad
ke 17M. Demikianlah dengan beberapa lagi gelaran bagi raja-raja Melayu.
Iskandar Dhu al-Qarnain dianggap sebagai nasab keturunan bagi raja-raja Melayu,
bahkan di Barat keturunan raja-rajanya dikaitkan dari nasab ketururunan Raja Iskandar Dhu
al-Qarnain. (Hikayat Iskandar Zulkarnain, Diusahakan oleh Khalid Hussain, Dewan
Bahasa dan Pusaka, Kuala Lumpur, 1967: IX).
Ada berbagai pendapat mengenai bilakah zaman
beradanya Iskandar Dhu al-Qarnain. Ada yang berpendapat bahawa Iskandar Dhu
al-Qarnain berada pada zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. yang dikaitkan wujudnya
pada zaman itu bersama Nabi Ibrahim ialah Nabi Khidhir. Dalam Hikayat Iskandar
Zulkarnain disebut bahawa Iskandar adalah berada pada zaman kerajaan Rum.
Iskandar Dhu al-Qarnain berketurunan dari bapa yang bernama Raja Durab,
beribukan Puteri Safiya Arqiya puteri Raja Rum anak kepada Raja Qilas (Hikayat
Iskandar Zulkarnain: 41). Iskandar pada zaman kanak-kanak diserah mengaji
dengan seorang guru bernama Aristatalis, iaitu seorang pendita terkenal dari
negeri Istanbul.(Ibid. 42). Setelah kematian Raja Qilas maka ditaballah Iskandar
menjadi Raja di negeri Rum. Dalam masa pemerintahannya Raja Iskandar Dhu
al-Qarnain meluaskan jajahan takluk pemerintahannya. Adalah dikatakan bahawa
Nabi Khidhir banyak membantu Raja Iskandar di dalam peperangan dan pemerintahan
(Ibid. 53-70). Dikatakan perluasan pemerintahan Iskandar Dhu al-Qarnain ke
Maghrib dan ke Masyriq adalah di dalam misi menyibarkan agama Islam di atas
agama Nabi Allah Ibrahim. (Ibid. 71-134).
Di dalam Surah al-Kahfi disebutkan bahawa Dhu al-Qurnain telah meluaskan kekuasaannya hingga ke Barat ke sempadan jatuhnya matahari dan hingga ke Timur ke sempadan naiknya matahari (18. 86-90). Dikatakan sempadan kekuasaan Iskandar Dhu al-Qarnain adalah sampai ke negeri Hindi (India). Kemaraan bala tentera Iskandar Dhu al-Qarnain ke Masyriq membawa kepada penawanan negeri Hindi. Di sini Raja Iskandar Dhu al-Qarnain dikahwinkan oleh Nabi Khidhir dengan puteri raja Kida Hindi bernama Puteri Shahrul Bariyah yang digambarkan sebagai seorang puteri yang amat cantik serta amat elok perangainya. Dengan puteri Shahrul Bariyah ini Raja Iskandar Dhu al-Qarnayn mendapat putera lelaki yang diberi nama Aristun. Kemudian Aristun berkahwin dengan puteri Raja Turkistan (mendapat anak yang diberi nama Aftus). Daripada Raja Aristun lahirnya generasi-generasi turunan yang berhubung dengan Raja Iskandar Dhu al-Karnain di Hindi yang antaranya berkahwin dengan anak Raja Nushirwan dari Parsi yang selanjutnya memperturunkan keturunan kepada Raja yang dikenali dengan Raja Suran yang dikatakan menguasai negeri-negeri maghrib dan Masyriq, kecuali negeri Cina.
Di dalam Surah al-Kahfi disebutkan bahawa Dhu al-Qurnain telah meluaskan kekuasaannya hingga ke Barat ke sempadan jatuhnya matahari dan hingga ke Timur ke sempadan naiknya matahari (18. 86-90). Dikatakan sempadan kekuasaan Iskandar Dhu al-Qarnain adalah sampai ke negeri Hindi (India). Kemaraan bala tentera Iskandar Dhu al-Qarnain ke Masyriq membawa kepada penawanan negeri Hindi. Di sini Raja Iskandar Dhu al-Qarnain dikahwinkan oleh Nabi Khidhir dengan puteri raja Kida Hindi bernama Puteri Shahrul Bariyah yang digambarkan sebagai seorang puteri yang amat cantik serta amat elok perangainya. Dengan puteri Shahrul Bariyah ini Raja Iskandar Dhu al-Qarnayn mendapat putera lelaki yang diberi nama Aristun. Kemudian Aristun berkahwin dengan puteri Raja Turkistan (mendapat anak yang diberi nama Aftus). Daripada Raja Aristun lahirnya generasi-generasi turunan yang berhubung dengan Raja Iskandar Dhu al-Karnain di Hindi yang antaranya berkahwin dengan anak Raja Nushirwan dari Parsi yang selanjutnya memperturunkan keturunan kepada Raja yang dikenali dengan Raja Suran yang dikatakan menguasai negeri-negeri maghrib dan Masyriq, kecuali negeri Cina.
Pada masa pemerintahan Raja Suran ini baginda
menggerakkan bala tentera melalui jalan laut untuk menyerang negeri Cina. Dalam
perjalanan tentera Baginda menyerang negera Gangga Negara, iaitu berdekatan
dengan Dinding, Perak dengan Rajanya ialah Raja Shah Johan. Mereka dikalahkamn
oleh Raja Suran. Turut dikalahkan pihak Siam, rakyat di Kelang dan Raja Chulan
di Kota Ganggayu. Raja Suran berkahwin dengan anak Raja Culan bernama Onang Kiu
dan baginda bergerak ke Temasek.
Dari Temasek Raja Suran bersama bala
tenteranya bergerak ke Cina. Mendengar berita demikian Perdana Negeri Cina
memasang helah dengan menghantar perahu yang dilayari orang tua dengan pokok
yang ditanam di dalamnya. Apabila perahu di temui pihak Raja Suran dimaklumkan
mereka datang dari Cina semasa muda, kini setua dirinya baru sampai ke Temasek
dan pokok yang benihnya ditanam masa bertolak dari negeri Cina sudah begitu
besar begitu juga batang besi yang dibawa sebesar lengan, kini sekecil jarum
dimakan karat. Maka pihak tentera Raja Suran membatalkan niat menyerang Cina,
kerana dijangka memakan masa begitu lama - lantaran helah dari pihak Cina.
Selepas itu Raja Suran turun ke perut laut
melalui peti kaca dan sampai ke negeri di bawah laut yang rajanya bernama
Aftabul Ardz. Raja Suran berkahwin dengan anak raja tersebut yang bernama
Puteri Mahtabul Bahri. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki.Yang tua
dinamai Nila Pahlawan, kedua Krishna Pendita dan yang bungsu Nila Utama. Mereka
kembali ke permukaan bumi dan turun di Bukit Seguntang. Nila Pahlawan
dikahwinkan dengan Wan Empo dan Nila Krishna dengan Wan Malini dan Nila Utama
berkahwin dengan Wan Seri Beni anak Raja Bentan. Nila Utama kemudiannya membuka
Singapura yang asalnya nama Temasek itu. Baginda mendapat seorang putera yang
dinamakan Raja Kecil Besar. Dari jalur keturunan inilah dikatakan membuka
negeri Melaka yang memulakan pemerintahan negeri Melaka dan maju
pemerintahannya berikut dari penerimaan Islam bermula dengan Sultan Muhammad
yang juga dikenali dengan Sultan Iskandar. Dari keturunan inilah dikatakan
menjadi turunan bagi raja-raja Melayu.
(Sejarah Melayu, Versi G. Shellabear, Oxford
University Press, Kuala Lumpur, 1967: 4-87).
Tanpa mempersoalkan dari segi kebenaran fakta,
tetapi melihatnya dari segi budaya memperlihatkan bahawa turunan Iskandar Dhu
al-Qarnain dilihat begitu agung. Fakta yang terdapat di dalam Al-Qur`an secara
ringkas ini diolah secarea kreatif dan lahirlah berbagai pendapat mengenai asal
usul keturunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain ini. Setiap pihak cuba menggalurkan
keturunan raja dan pemerintahan masing-masing dengan turunan Iskandar Dhu
al-Qarnain ini termasuklah juga di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat
Iskandar Zulkarnain, Sejarah Melayu dan beberapa hikayat yang lain.
Yang menarik Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat
tokoh yang menyibarkan Agama Islam, tetapi oleh keberadaannya di dalam sejarah
mendahului zaman Rasulullah s.a.w., maka sebagai kewajaran dikatakan bahawa
Iskandar Dhu al-Qarnain adalah berada pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan
mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Khidhir, bahkan menjadi pembantu
utamanya. Manakala yang lain melihat Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman
kerajaan Rum, bahkan mengaitkannya dengan tokoh pemikir Greek, iaitu Aristotles
sebagai gurunya, manakala bagi budaya Melayu yang mengaitkan raja-raja Melayu
dari turunannya, menimbulkan pertanyaan dari segi misi agama yang dibawa oleh
Iskandar Dhu al-Qarnain lantaran terputus dengan pertalian turunannya dari Kida
Hindi hinggalah kepada zaman Nila Utama di Temasek. Misi sebagai pemeluk dan
pendukung Islam hanya timbul kembali setelah raja Melaka menerima Islam dengan
Raja Islam pertamanya Sultan Muhammad. Iskandar Dhu al-Qarnain dalam jalur
Melayu dilihat ialah dari aspek budaya dan sastera, bukan sepenuhnya dari segi
fakta. Iskandar Dhu al-Qarnain diterima sebagai tokoh agung dan sebagai legenda
dunia. Banyak pihak yang mau mengaitkan pertalian turunan dengan tokoh
berkenaan sebagai turunan agung.
Sekian.
No comments:
Post a Comment